Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 5 Oktober 2012

SAYANG MADUKU KETAT-KETAT

   



 “Kau relax je Jun?” tanya emaknya.  Dahi Jun berkerut.
                “Kenapa mak?” soal Jun kembali
                “Laki kau dah kahwin lagi, kau boleh duduk santai-santai?”
                “Ala mak ni, kahwin je, bukan ada apa pun.”
                “Eh! Budak ni, kita risau bagai nak ghak, dia boleh buat tak faham je.” Mak Temah mencekak pinggang.  Hairan dia dengan sikap anak perempuannya  yang sorang ni.  Suami kahwin lagi, dia boleh buat tak tahu.
                “Yang mak risau kenapa? Suami saya yang nikah lagi, bukannya ayah.” Jun menjeling.  Dia tersenyum.
                “Jun! Kalau laki nikah lagi, orang akan kata kau tak pandai layan… tak malu ke?”
                “Nak malu apanya? Kalau laki saya buat maksiat, kena tangkap berdua-duaan di hotel murah dengan perempuan lain, baru saya malu mak.  Ini kahwin secara sah, biarlah.  Lagi pun lelakikan boleh kahwin lebih satu. Suami saya mampu, mak.” Jun  tersenyum. Mak Temah  menggelengkan kepala. Macam ini punya perempuan pun ada, detik hati kecil Mak Temah.
                Jun sibuk mengemas rumah.  Bilik tetamu dikemas cantik.  Suaminya baru sahaja telefon.  Sejam dua mereka akan sampai di rumah.   Jun sibuk pula di dapur. Menu kesukaan suaminya disediakan.  Sambal udang dengan petai, ikan terubuk bakar, air asam, sayur kangkung goreng belacan dan masak lemak cili api ikan baung.  Dia menelan air liur.  Sedapnya menu detik hati kecilnya.  Eee! Sendiri masak , sendiri puji. Tanda-tanda perut lapar sebenarnya tu.  Jun ketawa kecil.  Dia berlari ke  ruang tamu apabila sahaja terdengar bunyi hon kereta.  Daun pintu dibuka luas.  Bibirnya menguntum senyuman selebar-lebarnya.  Berdiri di muka pintu bagaikan  penyambut tetamu menunggu kehadiran tetamu untuk ‘check in’.
                Johan melangkah keluar dari perut kereta.  Memberi senyuman selebar-lebarnya pada isteri  pertama yang sedia menunggu.  Di sebelah seorang perempuan cantik, jelita menawan melangkah keluar.  Turut tersenyum  manis.  Jun menerpa mendekati si jelita.  Saling berpelukan. 
                “Tahniah, selamat pengantin baru,”.
                “Terima kasih kembali kerana sudi menerima saya sebagai madu akak.”
                “Jomlah masuk,” pelawa Jun. 
                “Eh! Lupa nak tanya… siapa nama?” Jun memandang si jelita.
                “Juita,” jawab si jelita masih malu-malu.  Mereka  berjalan seiringan melangkah masuk ke dalam rumah. Si jelita dan Johan duduk di sofa menghilangkan lelah.
                “Terima kasihlah  sudi berkahwin dengan suami akak,” Jun duduk mengadap pengantin baru.  Juita tersenyum lebar.
                “Saya patut terima kasih kerana akak benarkan suami akak kahwin dengan saya,” kata Juita.
                “Ala! Biasalah, sekurang-kurangnya akak ada kawan,” Jun ketawa.  Juita turut ketawa.
                “Lupa nak bagi tahu, abang Johan kita ni mati pucuk dan mandul.” Jun ketawa lagi. Kali ini berdekah-dekah. Juita  terlopong mendengarnya.  Johan turut tersenyum dan menganggukkan kepala. Jun bingkas bangun dan mendekati madunya.
                “Mati pucuk?  Mandul? Habis tu kenapa kahwin lagi?”
                “Nak cari kawan untuk akak.  Teman akak pergi shopping, tolong akak kemas rumah. Bantu akak memasak,” semakin lebar senyuman Jun.   Johan turut tersenyum.  Juita rasa nak pengsan. 
                “Sayang  madu akak,” kata Jun sambil memeluk madunya.

Khamis, 4 Oktober 2012

WARKAH BUAT MAMA



Datin Zaiton mengesat airmatanya yang mengalir. Matanya tertumpu pada mayat anak bongsunya. Dadanya sebak. Surat berwarna biru itu ditetap digenggamnya. Datin Zaiton bangun dan masuk ke dalam bilik. Dia mengunci pintu. Dia membuka sepucuk surat dari arwah Zaimah. Datin Zaiton membaca kandungannya.

Mama… Ketika kau menerima warkah ini, aku sudah berada jauh darimu, malah berada jauh dari dunia ini. Tetapi semakin mendekatkan diriku kepada Ilahi. Maafkan anakmu ini mama kerana meninggalkan dirimu di waktu kau masih memerlukan aku di sisimu.

Kau menangis mama..? Apakah air matamu itu benar-benar menginsafi kematianku? Atau sekadar satu lakonan untuk menutup segala kesalahan di atas kegagalanmu mendidik aku dan anak-anakmu yang lain.

Mama... tentu mama masih mengingati peristiwa ketika kau meninggalkan ayah kandungku hanya kerana hatimu terpaut pada seorang lelaki yang bergelar jutawan. Kilaun hartanya menambat hatimu. Walaupun kau janda anak tiga, namun kerana cinta, katamu lelaki itu mahu juga mengahwini dirimu. Aku tidak menafikan kecantikan dirimu mama..memang kau cantik malah kecantikanmu itulah yang menjadi daya penarik lelaki itu.

Biarpun ayah merayu agar kau menimbangkan keputusanmu namun hatimu tertutup sama sekali. Kau membawa kami pegi jauh daripada ayah. Ayah akur kerana dia merasakan dia tidak mampu memberi kesenangan pada aku dan kakak-kakakku. Aku ketika itu terlalu kecil untuk mengerti. Malah aku hanya mampu menangis apabila terkenangkan ayah yang sudah tidak lagi mencium dan memelukku.

Selepas idah kau berkahwin dengan lelaki itu. Bujang trang tang tang katamu. Kau bertuah kata nenek memujimu. Selepas kau menjadi isteri jutawan itu cara hidupmu terus berubah. Masa dan waktumu teriisi dengan perjumpaan di kalangan golongan elit. Kau membiarkan kami adik-beradik dibesarkan dan diasuh oleh pengasuh yang kau upah. Kami dibiar membesar sendiri tanpa belaian kasih dan sayang. Waktu kami hanya diisi dengan belajar dan belajar.

Mama..! Kadangkala aku merasakan seperti anak yatim piatu, tiada ayah dan ibu. Ayah pula telah membawa diri menjadi kelasi kapal. Hanya poskad menjadi pengganti dirinya. Mama, tahukah kau bahawa airmata ini sudah tidak mungkin mengalir lagi. Mungkin sudah kering kontang akibat hujan setiap hari mengenangkan nasib diriku. Biarpun hidupku dilimpahi dengan kemewahan namun hatiku kosong mama.

Hari demi hari kau jarang berada di rumah. Kakak-kakakku pula sibuk dengan aktiviti mereka. Selalu aku ditinggalkan keseorangan di rumah. Aku lebih bahagia ketika di sekolah di samping kawan-kawanku. Namun aku tidak mudah terjebak ke kancah maksiat kerana akal kurniaan Tuhan kugunakan sebaik munbgkin. Aku bersyukur mama... kerana Allah sentiasa memelihara anakmu ini agar hatiku tidak serapuh rakan-rakan sebayaku.

Buat apa aku menghukum diriku sendiri di atas kegagalan orang tuaku memberi tunjuk ajar. Aku juga tidak tahu bersembahyang apatah lagi untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Aku tidak salahkan dirimu mama malah jauh sekali menyalahkan takdir yang membuatkan aku dilahirkan dari rahimmu.

Mama... kau tahu mama siapa yang banyak mengajarku agar menyayangi diriku sendiri. Dia cuma insan biasa mama, namun tunjuk ajarnya telah membuatkan hatiku tenang dan tenteram. Dengan kalimah-kalimah Allah yang diajarnya aku mengamalkannya setiap ketika dan waktu. Kau pernah menegurku apabila mulutku berkumat-kamit. Kau tahu tak mama ketika itu aku sedang memuji kebesaran Yang Esa. Dan jauh dari sudut hatiku aku sentiasa mendoakan kesejahteraanmu dan ayah begitu juga kakak-kakakku.

Malah dia mengajar aku bersembahyang. Dia ku anggap seperti ibuku mama. Biarpun buka dia yang mengandung dan melahirkan diriku namun tunjuk ajar serta kasih sayangnya telah mendekatkan diriku padanya. Dialah pengasuhku sendiri.

Mungkin kerana tidak mempunyai anak maka dia menyalurkan rasa kasihnya padaku. Mungkin juga dia simpati dengan nasib diriku. Setiap malam ketika kau sedang berlibuar di kelab-kelab malam bersama ayah tiriku, aku pula menjadi penghuni biliknya untuk mendengar setiap bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Mama…tahukah kau ketika itu hatiku begitu sayu mendengarnya. Perlahan-lahan aku belajar memahami maksud isi ayat-ayat tersebut.

Mama..kau menyesal? Kenapa kau harus menyesal. Aku tidak pernah sesal dilahirkan olehmu. Malah aku bersyukur. Tanpamu dan ayah sudah pasti aku tidak akan dapat melihat dunia yang fana ini. Kau tahu mama, tanpa pengasuhku itu tentu aku juga akan menjadi seperti remaja-remaja lain. Mereka menghukum diri mereka untuk menginsafkan ibu dan ayah mereka. Tetapi aku tidak begitu. Aku tidak sampai hati menghukum dirimu. Kerana darah kau yang mengalir ketika melahirkan diriku belum mampu ku bayar biarpun aku mengumpulkan semua harta di dunia ini.

Mama... hampir setiap bulan kau bercuti di luarnegara dan membeli-belah di sana. Malah kau tidak melupakan anak-anakmu ini. Terima kasih mama. Sekurang-kurangnya diriku dan kakak-kakakku ada juga dihatimu. Aku tidak mempersoalkan kunjunganmu ke luar Negara tetapi aku sesal kerana wang dan harta yang banyak sama sekali tidak membawa dirimu ke bumi bertuah Mekah. Sedangkan hatiku begitu melonjak-lonjak ingin menjejakkan kaki di bumi Allah itu. Terdapat seribu satu keunikan dan keistimewaannya mama. Hanya mereka yang pernah ke sana akan mengetahui apa yang sedang aku rasakan ketika ini. Aku menyuarakan keinginanku di waktu kau bertanyakan padaku ke mana hendak bercuti. Aku dengan riang telah menyuarakan keinginanku itu. Wajahku ceria dan riang sekali ketika itu mama. Aku mengharapkan agar kau bersetuju. Tetapi aku kecewa mama. Kau menentang kemahuanku. Hanya kerana kau tidak mahu ke sana dan kau mengatakan hanya orang-orang tua sahaja yang ke Mekah menunaikan umrah atau haji. Kau menganggap dirimu masih muda sedangkan anak sulungmu sudah berumur dua puluh lima tahun. Malah umurku juga sudah Sembilan belas tahun. Sewaktu kau meninggalkan ayah umurku dan kakak-kakakku masih mentah. Sudah terlalu lama masa berlalu mama.

Mama tahu tak kau bahawa malaikat maut melawat diriku, dirimu dna setiap hamba Allah ini sebanyak tujuh kali sehari. Bila-nila masa sahaja roh yang dipinjamkan oleh Yang Esa pada tubuhmu itu akan diambil kembali. Tidakkah kau takut dengan panggilan maut itu mama. Pengasuhku sering menceritakan kisah-kisah teladan dari Al-Quran ketika di zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat Baginda. Aku begitu kagum dengan keimanan mereka mama. Aku bangga kerana dilahirkan di dalam agama yang suci ini mama. Kuharap aku juga mendapat ketinggian keimanan seperti para sahabat.

Kau tahu mama betapa Rasulullah begitu menyayangi umat-umatnya. Malah kita semua adalah umat yang paling bertuah dan paling disayangi. Kau tahu mama ketika hampir wafat Rasulullah saw hanya menyebut ... Umatku... Umatku... Umatku... Begitu sayangnya Baginda pada umat-umatnya ini. Tidakkah hatimu tersentuh mama. Hatiku tersentuh mama. Malah airmata ini sering mengalir apabila terkenangkan Baginda. Kenapakah kita tidak boleh menyayangi Baginda seperti mana Baginda menyayangi kita .

Aku juga tidak melupakan peristiwa sewaktu aku dimarahi kerana memakai tudung menghadiri majlis hari lahirmu. Aku dituduh ketinggalkan zaman dan ingin memalukan dirimu. Malah kau menyediakan pakaian yang menampakkan susuk tubuhku yang sedang membesar menjadi gadis remaja. Aku melawan kerana kau menyuruh aku melakukan maksiat. Maafkan aku mama. Aku tidak bersalah kerana dalam agama dibenarkan aku bertindak begitu. Namun hatimu masih jahil dan memerlukan hidayah daripada Allah swt.

Setiap hari aku berdoa agar pintu hati mu terbuka untuk mendekatkan diri kepada Ilahi dan kembali ke pangkal jalan.Aku merasa malu apabila rambutmu yang sedang memutih diwarnakan. Wajahmu yang telah berkedut kali jalani pembedahan plastic agar kelihatan cantik. Kau lalai dengan pujian dari rakan-rakan ayah tiri dan rakan-rakan sebaya denganmu. Kau menganggap dirimu hebat.

Selepas SPM aku memohon masuk ke sebuah IPTA. Aku berjaya kerana kelulusanku yang baik. Tidak seperti kakak-kakakku. Mereka gagal dalam SPM dan hanya menjadi pengunjung kelab-kelab malam. Kata mereka padaku, buat apa bertungkus lumus belajar sedangkan kekayaan dan kesenangan milik mereka. Aku tidak terkata apa-apa kerana mereka menganggapku manusia bodoh yang tidak ada cita rasa.

Dengan mata kepala aku melihat setiap langkah mereka yang sumbang dan perbuatan mereka yang curang. Kau membiarkan sahaja kerana bagimu itulah kemajuan dan kemodenan. Hidup dalam agama tidak membawa kemajuan, hidup terkongkong dengan segala larangan. Kau tidak cuba memahami atau cuba melakukannya mama . Itu sebab kau merasakan kesukarannya. Itu bukan kemajuan mama tetapi kehidupan yang merosakkan bangsa dan agama. Sampai bila naluri kita dibiarkan dikonkong dengan anasir-anasir yang kurang sihat itu mama. Bukan ingin menunjuk pandai mama, sekadar mengingatkan. melakukannya mama . Itu sebab kau merasakan kesukarannya. Itu bukan kemajuan mama tetapi kehidupan yang merosakkan bangsa dan agama. Sampai bila naluri kita dibiarkan dikonkong dengan anasir-anasir yang kurang sihat itu mama. Bukan ingin menunjuk pandai mama, sekadar mengingatkan.kerana kau adalah ibu yang telah melahirkanku.

Mama… ada satu rahsia yang masih kusimpan sehingga ke hari ini. Maafkan aku sekali lagi mama. Luahan rasa anakmu ini biarpun sudah terlewat namun ku harap kau dapat menerimanya. Bagaimana mungkin aku melupakan peristiwa itu mama. Malam itu aku tinggal sendirian di rumah. Anak-anakmu yang lain entah di mana. Pengasuhku terpaksa pulang ke kampong kerana abangnya meninggal. Kau dan suamimu pulang dari kelab malam. Ketika itu aku di dapur kerana hendak meneguk segelas air. Tekakku terasa begitu haus.

Kau menyapaku kenapa belum tidur biarpun hari sudah lewat malam. Aku tidak menjawab sebaliknya hanya merenung ke arahmu dan suamimu yang terhuyung-hayang menaiki anak tangga. Dalam hati aku beristighfar berkali-kali sambil berdoa agar kau dan suami itu kembali ke pangkal jalan. Selepas meneguk segelas air aku terus masuk ke dalam bilikku dan menguncinya. Aku terus merebahkan diriku di atas katil. Tiba-tiba aku rasakan ada sesuatu menghempap diriku dari belakang. Aku menoleh dan alangkah terperanjatnya diriku abila suamimu berada di belakangku sambil melemparkan senyuman ytang mengitu menjijikkan.

Aku cuba melawan namun dia masih kuat dan bertenaga. Aku memanggil-manggilmu mama..mama..mamam..!! namun tiada siapa mendengar jeritanku itu. Rumah banglo yang tersergam indah di atas bukit yang begitu sunyi sehinggakan tiada kereta yang lalu-lalang atau manusia yang tinggal berhampiran. Kau juga tidak datang atau sudi mendengarnya mama. Malam itu telah menjahanamkan diriku. Aku benci padanya mama…benci sekali. Kalau boleh aku tidak mahu lagi bertembung dengan suami yang kau agung-agungkan itu. Setiap kali bertembung dengannya aku merasakanseperti diriku dijilat oleh anjing gila yang menjijikkan. Maafkan mama kerana menganggap suamimu begitu. Namun itulah yang aku rasakan..

Bukan sekali mama, malah dia mencuba lagi. Sehingga aku terpaksa lari tidur dengan pengasuhku. Sejak peristiwa itu aku aku selalu mengurungkan diri. Aku juga tidak mendaftar di university. Aku tidak menceritakan masalahku kepada sesiapa mama. Malah pada pengasuhku sendiri. Aku malu mama. Malah suamimu berkata dengan bangga bahawa kakak-kakakku juga sering menjadi teman tidurnya. Mama…kenapa ini semua harus terjadi? Aku menangis semahu-mahunya mama. Rupanya kakak-kakakku sudah menjadi tidak ubah seperti..! tidak manis untukku sebutkannya mama. Kau tahu-tahulah sendiri. Ini semua berlaku kerana kesenangan yang kau kejar itu mama.

Mama..dengarlah rintihan anakmu ini. Bukan ingin merayu namun aku bermohon agar kau mengubah cara hidupmu. Selepas beberapa bulan peristiwa hitam itu berlalu aku merasakan sedikit kelainan pada diriku. Tekakku mula meloya, kepalaku mula pening-pening. Dan yang pasti mama... ada benda bergerak-gerak di dalam rahimku… Mama!! Aku hamilkan anak suamimu. Tolonglah aku mama... kenapa perkara ini harus terjadi pada diriku.

Kau tidak mengambil tahu keadaan diriku malah kau menuduh aku perempuan jalang. Tunjuk baik di depan tetapi menjadi kupu-kupu di waktu malam. Demi Allah mama..hatiku ini tidak pernah terfikir untuk menjebakkan diri ke kancah maksiat itu. Hanya pengasuhku yang setia itu menjadi temanku setiap malam. Menangis dan ketaw bersama dirku. Padanya aku mengadu segala yang aku rasakan. Dalam usia yang masih mentah aku bakal menimang anak yang tidak kurela akan kehadirannya.

Mama... kesatlah airmatamu itu. Tiada guna kau menyesal sekarang mama. Tangisanmu ketika ini tidak dapat merubah apa-apa. Jasadku yang terbujur kaku tidak mungkin akan hidup kembali. Kau simpanlah segala kenangan di waktu kita bersama. Semoga kau akan sentiasa mengenang anakmu yang malang ini.

Mama... pesanku hanya satu, kau peliharalah anak yang kulahirkan itu. Dia tidak berdosa mama. Jangan sekali-kali kau membenci dirinya. Satu lagi pesanku mama, kau tahu kan aku meninggalkan dunia ini ketika usiaku masih begitu muda. Kau tentu tidak tahu sandatapan orang-orang sepertiku di alam barzakh. Mama... tolonglah doakan kesejahteraan rohku di sana nanti. Aku tidak mahu hidup dalam kegelapan di sana mama. Hanya padamu ku bergantung harapan mama. Kasihanilah anak gadismu ini. Berilah aku kesempatan untuk hidup dengan aman mama.

Mama... dekatkan dirimu pada Ilahi. Kenapa kau tidak mahu mengasihi dirimu seperti mana Allah dan Rasulullah mengasihi hamba dan umatnya. Kenapa mama...? Kesatlah airmatamu mama..tiada guna kau menangis lagi. Aku tidak akan kembali lagi mama... . Anggaplah ini satu pengorbanan daripadaku. Anak yang kulahirkan dan telah membuat aku kembali ke rahmahtullah. Tidak!! Aku bukan salahkan dirinya. Malah aku bersyukur kerana aku tidak perlu lagi menghadapi segala keperitan hidup di bumi ini.

Mentari masih terbit diufuk timur mama. Masih ada waktu untukmu kembali ke pangkal jalan. Dan jangan lupa mama, peliharalah anakku itu sebaik mungkin mama. Tapi mama…tolonglah jangan sekali-kali kau membenci dirinya. Dia tidak bersalah mama. Kua berhak mencorakkan dirinya, kerana aku tidak mampu melakukannya. Terserah padamu ingin menjadikannya Majusikah, Nasranikah, hipiskah atau Islamkah…

Tapi mama, jauh disudut hatiku, aku ingin dia menjadi seperti seindah namanya Khairunnisa...’! tolonglah mama, jangan kau biarkan dia menjadi sepertiku, seperti dirimu, seperti kakak-kakakku. Aku rayu padamu mama... hanya itu permintaaku buat kali terakhir. Aku telah kembali mama, semoga aku beroleh ketenangan yang selama ini aku dambakan. Maafkan aku anakmu ini yang tidak dapat membalas segala darah dan segapa keperitan yang kau rasakan ketika mengandung, melahirkan dan memlihara diriku. Kau masin mamaku dan aku masih anakmu. Kasih sayangku tidak pernah luntur terhadap dirimu…selamat tinggal mama…!

Surat itu perlahan-lahan dilipat kembali. Datin Zaiton menangis semahu-mahunya. Airmatanya mengalir umpama air terjun yang tidak diketahui bila akan berhenti. Surat itu digenggam erat. Hatinya bagai dihiris. Sedih dan pilu. Luahan rasa anaknya itu bagaikan sembilu taham menyucuk tangkai hatinya. Dia masih teringat, ketika anaknya itu tiba-tiba rebah di ruang tamu rumahnya. Muka anaknya pucat, dhiris tidak berdarah. Ketika itu dia sedang bersiap-siap untuk ke majlis harijadi kawannya, Datin Normala. Mujurlah dia belum berlepas pergi. Dipanggilnya ambulans tetapi belum sempat sampai di hospital anaknya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika itu airmatanya tidak dapat dibendung lagi. Walaupun hubungannya dengan anaknya itu tidak mesra dan renggang tetapi pemergian anaknya itu dirasakan seperti satu kehilangan yang amat menghiris perasaan.

Dia meraung dan menjerit sepuas hati. Di kamar doktor yang melakukan post mortem ke atas mayat anaknya, dia diberitahu yang anaknya itu menghidap sakit jantung . Dia benar-benar terkejut.

“Anak Datin, sudah lama menghidap penyakit jantung, sudah kronik, kelahiran bayinya telah membuatkan penyakitnya bertambah parah ditambah pula dengan tekanan perasaan yang ditanggungnya. Kalau dia mendapatkan rawatan lebih awal mungkin dapat diselamatkan..kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang..” kata doktor tersebut.

Bergenang airmata Datin Zaiton mendengar penjelasan doktor tersebut. Dia terasa menyesal kerana tidak pernah mengambil tahu masalah anaknya itu.
“Oh Zaimah... Zaimah... maafkan mama Nak...!jeritnya. Suaranya bergema di dalam bilik yang sepi itu, tapi tangisannya tiada bererti lagi…@

RINDU EMAK



Air mata emak mengalir lagi. Aku hanya mampu mengeluh. Emak merungut lagi. Sesekali dia mengesat airmata yang mengalir di pipi. Aku memandang ke laman rumah yang mula ditumbuhu rumput. Sejak emak marah-marah, kawasan rumah tidak terbela lagi. Kain baju hampir menggunung dibiar oleh emak. Sehingga bajuku sendiri terpaksa ku cari di dalam timbunan kain baju tersebut. “Aku dah tua! Itu sebab kau orang tak nak dekat dengan aku…tak mahu balik jumpa aku…ialah apa gunanya lagi…aku tak berguna pada kamu semua,” leter emak seorang diri. Simpati berbaur marah terdetik di hati. “ Kau pun nak jadi abang-abang kau Halim… tak hiraukan emak… tak ambil tahu sakit pening emak…penat aku melahirkan kamu berenam, alih-alih kau orang tinggalkan aku… tak mahu jenguk aku di sini…sibuk sentiasa… aku hantar kau orang belajar tinggi-tinggi bukan suruh lupakan aku…”Emak memandang ke arahku yang duduk di muka pintu. Aku mengerling ke arahnya. Aku mengeluh lagi. “ Halim… telefon abang-abang kau… suruh mereka balik segera… katakan aku sakit… sakit tenat…” perintah emak. “ Emak…!” Aku tidak bersetuju dengan tindakan emak. “ Kau pun nak menderhaka padaku… kau pun dah tak suka pada aku…” jerkah emak apabila aku membantah kehendaknya. Wajahnya berkerut seribu, urat-urat lehernya yang kendur cekang seketika, mungkin menahan marah. “ Halim tak bermaksud pun.” Aku bigkas bangun mendekati telefon . Lagi dibantah lagi tinggi suara emak nanti, desis hati kecilku. Aku mula mendail seorang demi seorang abang-abangku. Aku memberitahu mereka seperti yang diminta emak. Aku menoleh ke arah emak yang sedang menyandar di kerusi malas. Dia melemparkan senyuman padaku. Gagang telefon kuletak semua. Aku mengeluh. Aku memandang wajah emak, umur emak sudah mencecah enam puluh tiga tahun. Sejak kematian ayah dua puluh lima tahun yang lalu, emak tidak pernah berkahwin lagi. Emak menguruskan sendiri sawah peninggalan arwah ayah. Aku memandang ke arah sawah yang menghijau di hadapan rumah. Emak tidak lagi turun ke sawah. Kesihatannya tidak lagi memungkinkan dia melakukan kerja-kerja berat lagi, Sekarang ini akulah yang mengambil alih menjaga tanah pusaka itu. Kerja di sawah tidak seteruk zaman dahulu. Sekarang ini semuanya menggunakan jentera. Aku mampu melakukannya seorang diri. Aku tidaklah sepandai abang-abangku yang berjaya dalam pelajaran dan berjawatan tinggi. Biarpun begitu aku tidak pernah berasa kecewa. Bagiku Allah lebih mengetahui apa yang baik buatku. Kadangkala emak berleter juga kerana aku tidak sepandai abang-abangku. Ada masa dia mengucapkan syukur kerana aku tidak berjaya seperti abang-abangku. Aku faham maksud emak. Kalau aku sepandai mereka tentulah aku juga tidak akan mengerjakan tanah pusaka itu. Tentulah aku juga akan ke bandar, mencari pekerjaan yang tidak perlu bergelumang dengan lumpur dan bergaji lumayan. Dan sudah tentu aku tidak berada di sisi emak, menjaga sakit peningnya, mendengar leterannya. Aku tersenyum sendiri,. Aku benar-benar bersyukur ke hadrat Ilahi. “ Abang-abang kau tak sampai lagi Halim…?” jerit emak dari biliknya. Aku terkejut dari lamunan. Aku bingkas bangun dan menjenguk ke dalam bilik. “ Dah lewat malam ni mak… tidurlah… mungkin esok abang-abang akan sampai…” pujukku. Emak menjeling tajam. “ Kau ada telefon abang-abang kau ke Halim… jangan-jangan kau bohongkan emak… kau takut emak marah, kau pun kata kau telefon…” leter emak lagi. Aku menapak mendekatinya. Aku duduk di sampingnya. Wajahnya yang redup itu kutenung sedalam-dalamnya. Au memicit kakinya. Dia menepis seperti orang merajuk. “ Kenapa emak risau jika abang-abang tak balik… Halim kan ada… Apakah emak tak percaya yang Halim boleh jaga emak, lagi pun kan siang tadi Halim telefon mereka di depan emak…?” kataku. Dia memandang wajahku. Matanya berkaca. Dia mengusap lembut pipiku dan merebahkan diri di atas katil. Aku mengeluh sendiri. Aku menarik selimut dan menyelimuti tubuhnya. Tubuh yang tidak pernah kenal erti letih dan penat. Tubuh yang bertenaga dan bersemangat. Emak membanting tulang siang dan malam, tidak mengenal erti penat, tidak pernah mengeluh. Malah senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Aku benar-benar kagum dengan emak. Seorang wanita yang benar-benar tabah, sabar dan penyayang. Tidak pernah dia menyuruh aku dan abang-abangku ke sawah membantunya. Dia hanya mahu aku dan abang-abangku belajar dan belajar. Dia ingin melihat aku dan abang-abangku berjaya dalam hidup, menjadi orang besar. Itulah cita-citanya dan cita-cita arwah ayah Aku tidak berjaya bukan kerana aku lembab, aku tidak salahkan takdir hidupku. Segala apa yang telah Allah aturkan untuk hidupku, bagiku itulah yang terbaik. “ Emak nak kamu semua berjaya…buktikan pada masyarakat… anak kampong macam kamu juga boleh berjaya… kalau benar-benar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha… Cuma apa yang emak harapkan ialah kamu semua tidak lupakan emak… jenguklah emak selalu…” “ Along janji, Along akan balik setiap minggu, biarpun Along tinggal di Kutub Utara… Along pasti pulang menjenguk emak…” janji Along pada emak. Kulihat emak tersenyum bangga. Emak mengusap lembut rambut Along. “ Bila cuti Angah akan bawa emak jalan-jalan di kota-kota besar… bawa emak makan angin naik bot besar, pusing dunia… tentu seronok kan emak…” kata Angah sambil tersengih menampakkan gusinya yang rongak itu. Emak tersenyum dan hampir ketawa kerana terlalu gembira. “ Alang pula akan picit badan emak siang dan malam… kerana tubuh emak dah letih dan penat bekerja mencari nafkah untuk kami…” janji Alang pula. Airmata emak mula bergenang. “ Andak pula nak beli rumah besar untuk emak… ada pembantu rumah… ada taman yang indah-indah… emak hanya perlu duduk berehat…” “ Acik pun ada angan-angan juga… Acik nak beli kereta besar untuk emak… biar senang emak nak ke mana-mana…” Acik tersenym . Semua mata memandang ke arahku. “ Adik mesti tak ada janji yang nak di buat ni?” usik Alang. Aku menjeling tajam. “ Adik janji, Adik akan usahakan sawah bendang kepunyaan arwah ayah,” kataku tersengih menampakkan baris gigiku yang tidak sama itu. Abang-abangku mentertawakan janji yang aku pada emak. Itulah janjiku dan janji itu sudah pun aku tunaikan. Tetapi janji abang-abangku masih belum tertunai dan sewaktu menuturkannya mereka tidak mengerti apa yang mereka tuturkan. Begitu juga dengan aku ketika itu. Aku sendiri tidak tahu yang aku akan dapat menunaikan janjiku itu. Biarlah emak kecewa kerana aku tidak seberjaya abang-abangku namun aku berjaya menggembirakan hatinya dengan mengusahakan sawah bendang milik keluarga kami. Dan kini emak mula menuntut janji-janji abang-abangku. “ Mereka tidak sampai-sampai lagi ke Halim…?” tanya emak selepas sahaja menyelesai menunaikan solat Subuh. Aku mengeluh. Pertanyaan yang benar-benar menyakitkan hatiku. Namun aku tidak marah padannya. Sikap orang yang sedang rindu sememangnya begitu. “ Awal lagi ni mak… mungkin siang nanti sampailah abang tu…” kataku terus memujuk, sedangkan jauh di sudut hatiku kecewa dan bimbang, kecewa kerana sikap abang-abangku, bimbang jika mereka tidak juga pulang kali ini. “ Mana mereka Halim… tak balik-balik juga ni..?” tanya emak. . Matanya liar memerhati ke arah jalan tar di simpang depan rumah itu. Tertunggu-tunggu kelibat abang-abangku. Aku mengeluh. “ Halim… telefon mereka… tanya bila mereka nak balik?” perintah emak. “ Nantilah emak… Halim nak selesaikan kerja membajak ni… esok Pak Yusuf nak pinjam mesin ni…” kataku. “ Itu semua boleh ditangguh dulu Halim… abang-abang kau…! Mereka kata mereka nak balik kan…? Tapi sampai sekarang tak sampai-sampai… jangan-jangan jadi apa-apa di tengah jalan tak…?” emak mula berfikir yang bukan-bukan. “” Emak…!” Mulutku terkunci dari berkata-kata. Wajah emak penuh duka, wajah emak penuh dengan bunga-bunga rindu terhadap abang-abangku. Aku tidak sampai hati hendak memarahinya. Aku tidak sampai hati hendak mengeluarkan kata-kata kesat padanya. Dia emakku, emak yang telah melahirkan aku ke dunia ini. Tidak harus ada perasaan marah ketika melayan kerenah tuanya. “ Telefonlah mereka, Halim… tolonglah Halim…” rayu emak. Hampir sahaja gugur jantungku mendengar rayuannya. Sebak dadaku mendengar suaranya sayu merayu padaku. Aku segera meninggalkan Kubota dan berlari menaiki anak tangga. Aku mula mendail satu persatu nombor telefon bimbit abang-abangku. Emak menjadi penonton memerhatikan aku menelefon anak-anaknya yang lain. “ Along tak dapat balik… Along sibuk… emak sakit sikit je kan? Kalau agak teruk bawa saja ke hospital, kalau kami balik pun bukan kami boleh buat apa-apa… kami bukannya doktor…” kata Along padaku. Terdiam aku mendengar kata-katanya. “ Angah ada examlah… Angah ambil Ph.D, Halim kan ada… Halim sajalah tengok-tengokkan emak…” Angah segera meletakkan telefon sebelum sempat aku bercakap apa-apa. “ Anak Alang jatuh basikal… tangan dia patah… maafkan Alang ya Halim… kirim salam pada emak ya… ada masa nanti Alang baliklah, lagi pun kakak ipar kau sedang exam ni.” “Acik ada meeting penting di LA, tak boleh balik juga Halim… Halim bawa emak ke hospital ya… kalau boleh biar emak duduk di hospital swasta… Acik akan bayar bilnya nanti.” Alasan demi alasan yang diberi. Aku hanya mampu mengeluh dan kecewa. Namun kecewaku tidak sampai menusuk kalbu, tetapi emak…! Aku benar-benar bimbang. Perlahan-lahan aku mendekati emak yang kaku seribu bahasa. Air mata mula menitis satu persatu. “ Mereka dah bencikan emak, Halim… emak dah tua tak guna untuk mereka…! Emak dah tua… mereka tak sayangkan emak lagi…mereka dah ada kerja bagus,isteri cantik dan anak-anak yang comel… mereka tak perlukan emak lagi…” Emak menangis di bahuku bagaikan anak-anak kecil. Aku mengusap lembut rambutnya. “ Halim kana da mak… biarlah Halim saya yang menghilangkan perasaan rindu mak tu,” usikku. Namun tiada senyuman yang terukir di bibirnya. Wajahnya muram, sekeruh air sungai di tapak pembinaan. “ Sampai hati abang-abang kau… aku sakit pun mereka tak mahu balik juga… kalau emak tahu jadi begini, biarlah mereka tak pandai pun taka pa… macam kau.” Emak memandang wajahku. Aku melemparkan senyuman. “ Tak baik cakap macam tu mak… kata-kata marah mak adalah ‘sumpah’ bagi kami…” pujukku. Emak terus menangis. Aku tidak tahan melihat air matanya mengalir, dan aku takut hati kecilnya terguris. Kisah Al-Qomah masih terngiang-ngiang di telinga biarpun telah berbelas-belas tahun cerita itu diperdengarkan kepadanya . Kisah seorang pemuda di zaman Rasulullah saw yang terlalu menyintai isterinya sehingga melupakan ibunya dan menyebabkan ibunya murka dan akibat kejadian itu Al-Qomah tidak boleh mengucap ketika nazaknya. Na’uzubillah… aku beristighfar berkali-kali. Minta dijauhi Allah hendaknya. “ Halim, pergilah tidur… emak pun dah mengantuk sangat ni.” Kata emak padaku setelah agak lama dia berbaring di ribaanku. Aku melemparkan senyuman. Aku membetulkan tempat tidurnya. Kuselimutkan seluruh tubuh badannya. Kubelai rambutnya dan kucium pipinya. “ Assalamualaikum mak… selamat malam… tidur lena ya mak…” kataku padanya sebelum melangkah keluar. “ Halim… mak bangga mempunyai anak sepertimu… terima kasih sayang… mak takkan minta apa-apa lagi daripada Halim… Halim anak emak yang baik… Malam ini dapatlah emak tidur nyenyak senyenyak-nyenyaknya…” kata emak sambil tersenyum. Aku turut tersenyum, riang melihat perubahan dirinya. Dan aku harap esok emak tidak akan berkelakuan seperti siang tadi dan emak tidak bertanyakan tentang abang-abangku lagi. Bagiku, abang-abangku bukan anak durhaka, bukan mereka tak sayangkan emak lagi, Cuma masa yang ada terlalu singkat buat mereka. Kesibukan mereka mengatasi segala-galanya. Biarlah mereka fikir sendiri akan tanggungjawab mereka pada emak, mereka bukan budak-budak yang baru belajar, mereka ada akal diberi Tuhan. Aku mengeluh. Aku bingkas bangun apabila terdengar kokokan ayam di reban,. Aku beristighfar, ingatkan sudah terlepas Subuh, rupanya masih awal. Aku bingkas bangun. Jam di dinding menunjukkan pukul 5.30 pagi. Biasanya waktu begini bilik emak sudah terang –benderang. Emak seorang yang rajin melakukan ibadat sunat. Rajin bangun malam. Aku kagum dengannya. Orang muda sepertiku tidak sekuatnya untuk berjaga malam, bertahajud dan berwirid pada Ilahi. Itulah kelebihan emak. Aku mematikan Kubota di tepi sawah. Aku mengesat peluh jantan di dahi dan di leherku. Aku mengeluh, melepaskan lelah. Sekumpulan lembu sedang meragut rumput di tepi sawahku. Lembu dan kerbau tidak perlu bekerja di sawah lagi. Ia sudah diganti dengan alatan moden, jentera moden. Kerja membajak serelung sawah tidak perlu berhari-hari, sejam sahaja sudah mampu membajak serelung sawah. Emak sedang menganyam tikar di hujung denai. Aku menggelengkan kepala. Emak tidak pernah duduk diam, ada sahaja kerja yang hendak dibuat. Emak tidak pandai buang masa, mungkin kerana sudah terbiasa. Perlahan-lahan aku berjalan mendekatinya. Kasut but tinggi penuh dengan lumpur aku buka dan letak di tepi perigi. Emak memandang ke arahku. Aku melemparkan senyuman. Dia membalas dengan senyuman namun matanya berkaca. Wajahku yang manis awal tadi mula berkerut seribu. Emak memandang jauh ke arah jalan besar. Terjengah-jengah, tercari-cari. Aku mengeluh dalam hati. Wajahnya begitu cengkung sekali. Aku mengamati wajah tua itu. Matanya bersinar, berkaca dan akhirnya titisan air mata menitis di pipinya. Aku mengenggam bahunya. Dia memegang tanganku. Dia tersenyum semula, jarinya dengan pantas mengesat air mata yang masih berbaki di pipi. Ya, Allah! Detik hati kecilku. Rindu emak tak kunjung padam, resah emak tak kunjung hilang. Aku kesal sendiri. Sukar untuk aku mentafsirkan hati saudara-saudaraku sendiri. Begitu juga hati emak. Namun yang pasti rindu emak semakin menebal, menjadi pekung di dada, Hanya kepulangan abang-abangku sahaja yang dapat mengubat sakit rindunya itu Emak bukan inginkan rumah besar, emak bukan impikan kereta besar, emak bukan dambakan intan emas berkilauan. Apa yang emak mahu hanyalah melihat anak-anak emak, cucu-cucu emak, menantu-menantu emak. Aku mengeluh sendiri. …Emak, bersabarlah menunggu kepulangan anak-anakmu… detik hati kecilku sambil memeluk bahunya. Matanya tetap terpaku di jalan raya. Menunggu dan menanti, itulah yang pasti.

Oleh Asmah Hashim Cerpen lama yang tersiar di Majalah Wanita keluaran Utusan Oktober 2001

Rabu, 3 Oktober 2012

GURU DAN IDOLAKU-DR. WAN HAMZAH WAHBA

Asmah Hashim Sunday, 15 June 2008 WAHBA DENGAN KARYA KEMANUSIAANNYA "Warna-warna Kehidupan" Wahba dalam pasaran. Cerpen-cerpennya menghimbau raa kemanusiaan. CATATAN A.F.YASSIN Warna-warna kehidupan Wahba Dua minggu lalu, Wan Hamzah Awang (Wahba) muncul dengan antologi karya kreatif berjudul “Warna-Warna kehidupan: Rindu Seorang Ibu”. Antologi ini adalah himpunan dua genre, puisi dan cerpen. Katanya, “Jarang penulis menghimpunkan dua genre dalam satu antologi. Dan kalau nak kumpulkan puisi sahaja orang tak baca apalagi nak beli.” Bagi Wahba ini satu strategi pemasaran, bukan beliau tidak mempunyai cukup karya dalam sesuatu genre. Difahamkan sebuah lagi antologi dua genre akan terbit tidak lama lagi dengan Warna-warna Kehidupan kekal sebagai judul siri. Ertinya akan banyak lagi cerpen dan puisi Wahba akan menemui khalayak pembaca. Kemunculan anotlogi terbaru ini menandakan bermulanya kegiatan kreatif Wahba yang sejak sekian lama dikesampingkannya. Sejak sekina lama itu pula Wahba tidak aktif berkarya kerana tugas yang banyak menyita waktunya semasa di Utusan Melayu. Wahba pernah dipertanggungjawabkan memimpin Mastika, Utusan Zaman dan terakhir majalah ilmiah Pemikir. Di samping itu Wahba diamanahkan pula untuk menyelaraskan pemilihan karya kreatif bagi semua majalah terbitan Utusan Melayu (kini Utusan Karya). Katanya, “Ini bukan soal prolifik atau aktif. Sekarang saya lapang selapangnya setelah bersara. Jadi itulah saya kumpulkan semua karya saya sejak mula menulis dahulu. Masa terbaik buat saya kerana kalau tak dikumpulkan karya saya akan hilang begitu sahaja. Dan ini senaskhah, bacalah.” Menariknya, antologi ini mempunyai tajuk kecil yang kalau dibaca sekali lalu bagaikan memberi maksud keresahan penulis dalam sikap tenangnya. Wahba begitu pendiam orangnya, tak banyak bercakap. Wahba melukiskan dalam tajuk kecilnya, “Mencari hujung yang tiada bertepi, terbeku dalam kelu. Terkapai dalam resah. Hati mati. Lidah kelu, sepi memilu.” Tajuk kecil ini adalah sebahagian daripada bait “Resah” puisinya di halaman 31. Bagi yang mengenal Wahba (luar dalam) puisi ini mewakili dirinya. Seorang penulis pernah melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang.” Penulis itu tidak menambah lagi. Tapi mungkin juga penulis itu tidak akan melengkapkannya dengan kata-kata “jangan disangka tiada buaya.” Mungkin dia ingin menambah pelengkap “ada arus yang bergejolak di dalamnya.” Maka penulis itu ingin melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang jangan disangka tidak bergejolak arusnya.” Hampir semua sepuluh cerpen dalam antologi ini tidak mempunyai elemen provokatif, mengata atau menyinggung sesiapa. Kata Wahba, “Sebahagian besar cerpennya adalah gambaran persoalan manusia dengan kehidupan yang mengandungi berbagai-bagai warna dan emosi, derita gembira serta ceria dan pilu.” Sebuah lagi buku Wahba berjudul 'Layar Perak dan Sejarahnya" yang ditulis berama Seniman M. Amin terbitan Fajar Bakti, Petaling Jaya. Wahba orang lama dalam dunia sastera, walaupun dia menganggap dirinya belum cukup kuat untuk digelar tokoh atau veteran. Sebagai orang lama Wahba tidak mampu “terjun” bereksperimen seperti penulis generasi baru yang terlalu obses dengan pendekatan “avant-garde”nya dan teknik penulisan yang super terkini. Wahba pengikut konvensionalis dan seperti halnya “tradition dies hard” Wahba seperti tidak mahu tahu wujudnya teknik yang digilai penulis generasi muda hari ini. Sikap Wahba demikian bagaikan mempersoalkan rasional bahawa penulis konvensional tidak semestinya dinamik dan progresif. Juga rasional bahawa penulis yang tidak bersifat global dan bervisi besar itu tidak mengikut zaman dan masih tinggal di bawah kepompong masyarakat nya sahaja. Wahba mempunyai pandangan bahawa soal maju atau tidak majunya penulis bergantung kepada ruang lingkup pemikirannya. Misalnya upaya membina bangsa dalam sesuatu karya terletak bukan pada besar tidaknya visi, global tidaknya sikap, atau ada tidaknya pemikiran gardu depan (avant-garde) seseorang penulis. Yang lebih penting misi dan visi yang digambarkan secara halus dan komunikatif. Sebarang teknik yang mempersulit komunikasi, walau bagaimana super terkininya, tidak akan membawa banyak manfaat jika gambaran misi dan visinya tidak terungkap. Inilah yang cuba dimanfaatkan Wahba dalam antologi ini. Hampir semua cerpennya memperalatkan teknik konvensional dengan persoalan manusia biasa. Namun amat jelas Wahba mampu mendekatkan emosi dan sentimen watak-wataknya dengan realiti kehidupan sehari-hari. Malah dialog yang digunakan adalah mencerminkan kepribadian watak itu sendiri. Jika watak itu seorang posmen dia akan bercakap seperti seorang posmen, bukan seperti seorang pegawai atau ahli korporat. Makna kata, Wahba amat berhati-hati dalam pemilihan kata-kata untuk watak-wataknya. Malah dialog itu juga telah mencerminkan nilai-nilai universal. Membaca cerpen-cerpen Wahba ini tidak memeningkan kerana tidak ada yang boleh membuatkan pembaca pening. Sebabnya teknik konvensional yang digunakan mampu mengajak pembaca turut sama menyelami resah gelisah atau suka duka watak-wataknya. Tidak ada persoalan timbal balik atau bawah sedar yang ruwet. Malah kebanyakannya bersifat kronologis dengan peleraian cerita yang tidak banyak menuntut orang berfikir. “Aduhai Datin Peah” dan “Alahai YB” adalah dua daripada 10 yang barangkali boleh menyinggung, namun mesejnya tidaklah sampai melukakan. Dan realitinya memang begitu. Dalam “Alahai YB” (halaman 117), misalnya, apa yang dilukiskan Wahba adalah reality kehidupan dunia politik. Yang menikam dan yang kena tikam. Jika tak sanggup diperlakukan demikian maka sebaiknya jauhkan diri dari politik. Inilah mesej Wahba. Begitulah akhirnya watak Karim ditikam dari belakang oleh pencabarnya Kardi yang akhirnya terpilih sebagai calon parti. Difahamkan semua cerpen ini telah disiarkan dalam pelbagai media. Dari sudut pengkaji, cerpen-cerpen ini tidak banyak memberi manfaat. Jalur pemikiran Wahba sebagai cerpenis sejak tahun 1970an lagi tidak dapat ditebak kerana tidak dicatatkan bila cerpen ini dicipta dan bila pula ia disiarkan. Ada kemungkinan cerpen awal dalam antologi ini disiarkan lebih kemudian berbanding cerpen-cerpen di bahagian akhir antologi. Wahba yang kini sedang giat membantu Ran Publishers menerbitkan “Puisi 100 Penyair” menyelitkan puisinya dalam antologi ini. Setiap cerpen diselang seli dengan sajak. Ada 14 buah sajak, 10 daripadanya tentang ketuhanan sementara empat lagi tentang perjalanan. Persoalan tidak banyak lari daripada persoalan dalam cerpen. Wahba memilih sajak-sajak ini sebagai pelengkap yang harmonis kepada lukisan wajah cerpennya. Tidak sukar memahami sajak-sajaknya. Tidak ada unsure abstrak dan setiap patah kata yang dipilihnya adalah lambang-lambang yang mudah ditafsir. Kadang-kadang sajak Wahba ini adalah jelmaan prosa-prosa pendek. Saling tak tumpah. Dalam sajak “Pemberian.Nya” Wahba menulis, “Bukan emas berlian/ intan atau wang berjuta/ yang diberinya/ Dia hanya memberi kamu/ sebuah kitab/ yang perlu kamu baca/ dan menghayati panduannya.” Wahba mengakhir puisinya dengan “Jika kamu berfikir/ Kamu tidak akan sesat/ kerana kandungan dan panduannya/ memberi sinar bahagia/ selama-lamanya. Inilah laras bahasa yang digunakan Wahba dalam puisinya. Memang sukar mencari kata-kata bombastik dengan jargon-jargon lagaknya (snobbish) dalam 14 puisi Wahba yang dimuatkan. Sebagai contoh lihat sahaja pemilihan kata-kata dalam sajaknya “gadis di sebalik cermin.” Wahba ingin menyampaikan bahawa wanita penjual maruah dan diri memanfaatkan kecantikan yang bukan asli yang hanya wangi di luaran tetapi hangit di dalamanan. Indah khabar dari rupa. Seperti halnya dengan cerpen tidak ada sumber rujukan yang sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh pengkaji. Wahba menyedari kekurangan sumber ini, namun katanya “ada banyak cara untuk orang mengkaji karya penulis.” Maksud Wahba mungkin, pengkaji biasanya tahu bagaimana membuat kajian. Pengkaji yang mahir boleh menilai karya, malah boleh meneka bila karya dicipta dengan hanya membuat perbandingan antara satu karya dengan yang lain. “Warna-Warna Kehidupan Rindau Seorang Ibu” setebal 190 halaman membawa persoalan biasa lagi lokal tetapi mampu menyampaikan mesej yang universal kepada pembacanya. Tidak ada konflik antarabangsa, tidak ada teknik yang memeningkan. Wahba masih berpegang kuat kepada elemen konvensional. Antologi ini diterbitkan oleh Progressive Publishing House Sdn Bhd, Lembah Keramat. Harga senaskhah tidak dinyatakan. Ends.

KERANA DOA DAN AIRMATA

NAMA : ASMAH HASHIM TAJUK : INDAHNYA TAKDIR ILAHI telah ditukar ke tajuk KERANA DOA DAN AIR MATA oleh pihak Fardhu Ain . Ini naskah asal sebelum diedit oleh pihak Penerbit. Selamat membaca ya kawan-kawan....
Haida hanya mampu menangis . Dia tidak berdaya berbuat apa-apa. Keputusan suaminya muktamad. Wajah Halim anak sulongnya yang sedang menangis dibiarkan sahaja. Apalah dayanya untuk memujuk. Dia hanyalah seorang isteri yang harus taat kepada arahan suaminya. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia melawan, memaki suaminya , tapi memikirkan dosa yang akan ditanggung kerana mendurhakai suami, Haidah membisu seribu bahasa. Cuma hatinya sedih melihat anaknya ditarik keluar dari Maahad Tahfiz tempat anaknya belajar oleh suaminya dengan kasar sekali. Malu Haida dengan Ustaz-Ustaz di Maahad tersebut. Apatah lagi suaminya mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar. Orang bukan Islam menghina Islam kita marah, kita akan memberontak, tapi bukankah suaminya juga beragama Islam? Kenapa tergamak suaminya bertindak kejam begitu dia sendiri tidak tahu. “ Nak jadi apa kalau setakat menghafal Al-Quran? Nak kerja apa, nanti dah besar nak makan apa?” jerit Zaki pada Halim yang menangis sambil memeluk kedua belah lututnya. Para pelajar Maahad Tahfiz itu hanya mampu melihat. Apatah lagi Ustaz mereka tidak membenarkan para pelajar mencampuri urusan orang lain. “ Abang ! sudahlah malulah,” kata Haida sambil cuba mengangkat Halim bangun. Halim tetap tidak bergerak. Zaki hilang sabar, hampir setengah jam dia cuba memujuk Halim untuk dibawa pulang. Zaki menyinga memandang Haida. Semua ini salah Haida hantar anak ke Maahad Tahfiz tanpa berbincang dengannya. Dia tidak mahu masa depan anaknya hancur kerana belajar di tempat yang tidak ada system pelajaran, setakat menghafal Al-Quran cukup ke untuk menyara hidup? Setakat tahu membaca Al-Quran boleh ke buat harta?. Kenapalah pendek akal sungguh isterinya. “ Awak diam! Ini semua awak punya pasal, anak dah belajar elok-elok di sekolah awak berhentikan..lepas tu hantar ke tempat macam ni…awak nak suruh anak awak minta sedekah? Tak ada kerja? Awak nak tanggung dia sampai ke tua ke?” jerkah Zaki. Haida beristifar. Tergamak Zaki bercakap seperti itu. Apakah sia-sia menghafal Al-Quran, bukankah Allah swt pernah berfirman jika ada salah seorang ahli keluarga menjadi hafiz atau hafizah akan mampu membawa keluar sepuluh orang ahli keluarga dari api neraka..tidak mahukan suaminya? Apakah mereka tahu di mana tempat akhirnya mereka nanti, syurga atau neraka?. “ En. Zaki..tak baik kita merendah-rendahkan kemampuan orang-orang yang menghafal Al-Quran…rezeki datangnya dari Allah swt, bukan dari kita, kita yang meminta rezeki dariNya…kalau En. Zaki tidak mahu membenarkan Halim belajar di sini, silalah bawa dia balik tapi jangan sesekali menghina kitab Suci Al-Quran kerana di dalamnya mengandungi Kalimat-Kalimah Allah, Kata-kata Allah…sebagai orang Islam sepatutnya En. Zaki faham dan tahu Rukun Iman..antaranya Percaya dengan Al-Quran…En. Zaki orang Islam sepatutnya percaya dan yakin dengan ketentuan Ilahi, dengan rezeki dari Allah…orang kafir lagikan di beri rezeki takkan kita orang Islam yang menghafaz dan memartabatkan Al-Quran tidak diberi rezeki ole Allah swt..fikirkanlah dengan akal yang bijak dan waras En. Zaki..” tegur seorang ustaz. Wajah Zaki mencuka. Dia mendengus kasar. “ Ustaz jangan sibuk, ini urusan keluarga saya, apa yang saya nak buat untuk anak saya itu hak saya..tak ada kena mengena dengan Ustaz..” jerkah Zaki , Kasar dan biadap sekali. Ustaz itu beristifar. Zaki mengheret Halim masuk ke dalam kereta. “ Maafkan kami ustaz..maafkan kami..” kata Haida berkali-kali. Malu dia dengan sikap suaminya tidak beradap itu. Haida masih tercegat melihat tindakan suaminya yang tidak masuk akal itu. Haida tidak faham diakah yang salah atau tindakan suaminya yang kurang waras. Ahh! Haida mengeluh. “ Apa lagi tercegat di situ, awak nak duduk sini ke? Kalau nak saya boleh tinggalkan awak kat sini..” jerit Zaki lagi. Haida menyeka airmata dan melangkah lemah mendekati kereta suaminya. Halim masih lagi menangis . “ Mulai hari ini saya haramkan awak hantar mana-mana anak kita ke mana-mana Maahad..biar mereka sekolah seperti biasa, agama tak penting, yang penting kehidupan masa depan, masa depan mereka! Faham!! Kalau awak buat juga perangai macam ni lagi, saya ceraikan awak!” ugut Zaki. Haida terkedu. Dia memandang wajah suaminya dengan perasaan yang kecewa. Ya, Allah kau berilah hidayah dan petunjuk kepada suamiku ini..doa Haida dalam hati. “ Apa bagusnya mengaji di pondok atau maahad, ramai yang tak ada masa depan, belajar tak sampai ke mana, menganggur duduk kat rumah , habis buruk jadi tok siak je sapu sampah kat masjid, itu yang kau nak je Haida?” marah ibu mentuanya. Haida tetap membisu. Malas dia hendak menjawab kata-kata orang yang tidak faham hakikat kehidupan yang sebenar. Menjadi tukang sapu sampah di masjid lebih mulia dari menjadi arkitek tapi tidak beriman dan bertakwa, makan rahsuah, buat maksiat. Alangkah baiknya jika anak-anaknya menjadi arkitek yang mampu menghafal tiga puluh juzuk Al-Quran dan tahu hukum-hakam agama tidak melakukan maksiat dan kemungkaran. Haida tahu ada juga pelajar-pelajar tahfiz yang gagal meneruskan pengajian mereka, bukan kerana ilmu itu tetapi kerana sikap pelajar itu sendiri. Ilmu yang ada tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Jika ilmu yang dipelajari tidak memberi keberkatan kepada pelajar tersebut maka terjadilah perkara seperti yang dilihat oleh masyarakat. Pelajar itu sebenarnya tidak berminat, tidak menyintai Al-Quran tapi kerana desakan orang tua maka digagahi juga melangkahkan kaki ke Maahad, belajar Al-Quran tetapi tidak menghayati intipatinya. Menghafal Al-Quran tetapi tidak menghafal maksud yang tersurat dan tersirat. Ada juga pelajar yang gagal kerana sikap ibu bapa yang menghantar anak ke Maahad kerana anak itu nakal dan tidak mampu dididik oleh kedua orang tua maka jadilah Maahad Tahfiz atau sekolah pondok bagaikan tempat pemulihan akhlak. Malah Maahad Tahfiz atau belajar agama ini menjadi pilihan terakhir kedua orang tua dalam memberi pendidikan kepada anak-anak sedangkan belajar agama adalah perkara pertama yang perlu ditekankan oleh kedua orang tua. Ramai yang bimbang anak mereka tidak mendapat keputusan baik dalam peperiksaan . ramai ibu bapa bimbang jika akan tidak pandai membaca. Mereka akan berusaha menghantar anak-anak mereka ke kelas tusyen, carikan guru untuk mengajar di rumah namun tidak sedikit pun hati mereka bimbang jika anak tidak solat , tidak tahu membaca Al-Quran. Bagi mereka belajar agama tidak penting yang penting kelulusan akademik. Haida mengeluh. Haida tidak mahu anak-anaknya buta Al-Quran, Haida tidak mahu anak-anaknya tidak pandai mengaji, tapi itu cuma hatinya, dia tidak mampu memberikannya kepada anak-anaknya kerana suaminya tidak pernah menyokong keinginannya itu. Apakah mereka yang menghafal Al-Quran hanya mampu menjadi tok siak, imam masjid sahaja kah. Kenapa cetek sangat pemikiran manusia tidak yakin dengan Ilmu Allah swt. Orang yang menghafal Al-Quran mampu menjadi apa sahaja , mampu menjadi doktor, peguam, atau apa sahaja asalkan rajin menuntut ilmu, tidak malas dan ingin berubah menjadi yang terbaik. Rasanya menghafap Al-Quran lebih sukar dari menghafal fomula matematik, menghafal Al-Quran lebih susah dari menghafal tarikh-tarikh kejadian dalam buku sejarah. Malah anak kawannya yang telah menghafal tiga puluh juzuk mampu mendapat 9A dalam SPM hanya belajar setahun sahaja. Pemimpina baru Mesir menghafal tiga pujuk juzuk Al-Quran, apa lagi bukti yang mereka inginkan. Ketentuan Ilahi tiada siapa mampu menidakkannya. . Di mana kekurangannya. Tidak mahukan Zaki melihat anak-anak mereka menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Berilmu, beriman dan bertakwa itulah impiannya, impian untuk anak-anaknya. Burung tidak akan boleh terbang hanya dengan menggunakan satu sayap untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Begitu jugalah kehidupan rumahtangganya. Dia sendirian tidak akan mampu membawa anak-anaknya ke destinasi yang diimpikannya tanpa bantuan suaminya. Haida mengeluh lagi, hatinya yang hancur luluh dengan perbuatan suaminya yang memalukan itu. “ Halim maafkan mak ya sayang..” kata Haida sambil memeluk anak sulongnya erat, penuh kasih sayang, dia tahu minat anaknya pada Al-Quran. Tapi apa kan daya. Semoga Allah swt memberi petunjuk kepadanya sekeluarga. Halim hanya memerhatikan wajah emaknya dengan mata berkaca. Adik-adiknya seramai tiga orang turut memeluk dan melingkari Haida. “ Awak saya tak benarkan lagi keluar ke mana-mana, terlalu bergaul sangat inilah jadinya..masjid ke , surau ke. Mana pun jangan pergi, saya takkan izinkan..faham!!’ tegas sekali amaran suaminya. Haida hanya mampu menangis. Kalau suaminya tidak membenarkan dia belajar agama di luar wajib suaminya menyediakan seorang ustazah untuk mengajarnya. Tapi mahukah suaminya. Mulut Haida ringan sahaja ingin menjwab tapi ditahankannya. Dia tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan. Halim dihantar belajar ke Luar Negara oleh mentuanya. Begitu juga anak-anaknya yang lain termasuk yang bongsu dihantar sekolah berasrama. Haida tidak berani membantah kerana itulah keputusan suaminya, keputusan keluarga mentuanya. Haida tahu keluarga mentuanya ramai yang berjaya, bekerja besar, miliki rumah besar, kereta mewah pendek kata ada segala-galanya . Mereka mampu memberi apa sahaja kepada anak-anak mereka begitu juga anak-anaknya, suaminya berkemampuan. Haida mengesat airmata yang mengalir. Semua itu akan ditinggal pergi, semua itu sudah tidak berguna lagi. Suaminya bekerja siang dan malam mencari kekayaan dunia. Hari ini tubuh yang kuat dan bertenaga itu sudah tidak mampu bergerak lagi. Terbujur kaku dipembaringan. Membisu tanpa kata-kata, hanya bibir yang bergerak tapi tiada siapa yang faham. Anak-anak yang dihantar belajar sampai ke luar Negara tidak sempat pulang untuk melihat ayah mereka sendiri kerana masing-masing sibuk belajar dan tarikh peperiksaan semakin hampir. Haida hanya mampu menangis. Di dalam rumah tiada siapa yang sudi membacakan Al-Quran atau yasin untuk dijadikan santapan telinga suaminya yang sedang nazak itu. Adik-beradik suaminya hanya berbual-bual kosong, yang sakit bagaikan tiada ertinya . “ Tak ada siapa yang sudi membaca yasin untuk abang Zaki ke?” Tanya Haida kepada ipar duainya. Semua memandangnya dan menggelengkan kepala. “ Dah lama tak mengaji kak..dah lupa, takut salah baca pula..” kata adik iparku yang bongsu. “ Mak tak nampak sangat Haida..panggil je lah Imam surau kat depan tu..bayar je berapa mereka nak..suruh mereka bacakan yasin kat Zaki..” cadang mentuaku yang masih sihat. Kuat sungguh dia, anaknya yang akan pergi dulu. Haida tidak terkata apa-apa. “ Haida…makcik faham perasaan kau..inilah akibatnya jika hidup kita hanya mencari dunia..anak-anak tidak tahu tanggungjawab, ayah dah terlantar sakit macam ni pun masih tak balik..tengok adik-beradik Zaki…tak tahu mengaji…agama penting dalam seluruh kehidupan kita Haida…nanti makcik panggilkan kawan-kawan berzanji makcik, mereka boleh bantu, Haida jangan risau ye..” kata Makcik Limah jiran sebelah rumah yang sering mengadakan majlis baca yasin dan majlis Ilmu di rumahnya. Ada ketika Haida akan turut serta itu pun jika suaminya tidak membantah. Ada masa kena marah juga. Haida hanya mampu menangis. Kalaulah suaminya mendengar kata-katanya dulu taklah jadi macam ni. Hantar anak belajar sampai ke luar Negara. Universiti dalam Negara pun banyak. Bila dan sakit pening macam ni anak-anak pula tak dapat balik. Ya. Allah permudahkanlah segalanya untuk suamiku, doa Haida dalam hati dengan mata yang berkaca. Dia hanya mampu memerhatikan sahaja tubuh suaminya yang lemah dan tidak berdaya itu. Haida bingkas bangun dan duduk di sisi suaminya. Buruk macam mana pun itulah lelaki yang telah dinikahinya berpuluh tahun dahulu.. Makcik Limah telah menepati janjinya. Dia telah membawa kawan-kawannya untuk membacakan yasin di rumah Haida. Haida tidak berganjak dari suaminya. Sesekali dia melafazkan syahadah di telinga suaminya. Airmata Haida bercucuran bila melihat keadaan suaminya yang nazak dan terkial-kial untuk mengucap..Ya,Allah permudahkanlah, doa Haida lagi. Mak cik Limah mengurut belakang Haida menenangkan hati jirannya itu. Ahli keluarga suaminya entah ke mana..mungkin cari makanan untuk dimakan sudah tengahari. Ahh! Mereka lebih pentingkan perut mereka sahaja. Abang mereka yang terbujur kaku tidak diendahkan. Emak mentuanya juga sudah hilang bersama anak-anaknya. Haidah beristifar berkali-kali dalam keadaan macam ni pun mereka buat tak tahu. Simpati sungguh Haida terhadap mereka. Semoga nasib dia tidak seburuk nasib suaminya. Ya, Allah matikanlah aku dalam Khusnul Khatimah..Haida terus berdoa lagi. Berkali-kali yasin dibaca, manzil turut dibaca. Suaminya mula gelisah, sekejap diam sekejap matanya terbeliak ke atas, sekejap matanya dipejamkan. Ada masa memandang ke kiri, ada ketika memandang ke kanan. Semakin laju airmata Haida mengalir. Dia terus memperdengarkan “ Laillahaillallah..ditelinga suaminya..mulut suaminya terkumat-kamit tidak tahu apa yang dikatakannya. Haida mengesat airmata. Dia masih terus berusaha. Akhirnya.. serentak itu kawan-kawan Mak cik Limah mengucapkan Innalillah…Haida memejamkan mata dan hanya pada Allah dia berdoa agar roh suaminya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Mak cik Limah yang duduk di sebelah Haida memeluk Haida. Semoga jirannya itu bersabar dengan pemergiaan orang tersayang. “ Sabar ya Haida…” kata Mak cik Limah . Perkataan apa lagi yang mampu dilahirkan dari kata-kata sabar kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang. Keluarga Haida yang baru sampai mula membantu. Masing-masing mengucapkan tahziah. “ Kak..anak-anak tak balik ke? Siapa nak mandikan mayat ni? Bilal dan Pak Imam surau taman akak ni tak ada ke? Siapa nak bantu..?” Tanya adik Haida yang baru sahaja sampai dari Kedah. Haida memandang wajah adiknya yang juga merupakan seorang Ustaz lulusan Al-Azhar. “ Imam ada hal lain di luar..akak tak tahu siapa dan bagaimana nak dapatkan orang untuk mandikan mayat..?” jawab Haida . Ustaz Hadi menggelengkan kepala. Inilah akibatnya cari Pak Imam waktu kematian dan kenduri-kendara, waktu sihat tak nak jejakkan kaki ke Masjid atau surau dah meninggal mulalah sibuk ahli keluarga baru nak berurusan dengan orang Masjid dan surau. Anak-anak pula tidak dihantar mengaji Al-Quran dan belajar agama, anggap tak penting, bila ada kematian macam ni siapa pun tak tahu nak buat apa-apa. “ Hadi je lah yang bantu mana yang patut..ini tuntutan kepada kita yang masih hidup..buat je le..” kata ayah Haida yang juga baru sampai. Dari jauh kelihatan keluarga arwah suaminya menangis sambil memeluk antara satu sama lain. Haida menggelengkan kepala, kecewa dengan sikap mereka. Buat apa menangis. Untuk apa? Suka atau sedih? Haida mendengus kasar. Ustaz Hadi menggelengkan kepala. Dia tahu benar sikap arwah abang iparnya yang tidak suka mendekatikan diri dengan ilmu agama atau mahu ke masjid dan surau. “Assalamualaikum..” suara memberi salam. Semua mata memandang ke arah pintu. Haida memandang dengan mata berkaca. Seorang lelaki berjubah dan berserban melangkah masuk mendekatinya. Menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Memeluknya erat dengan linangan airmata. “ Halim…anak emak..” kata Haida sayu. “ Ustaz Halim Al-Hafiz dan arkitek ..kak.” sampuk Hadi dengan senyuman manis dibibir. Haida memandang wajah adiknya tidak berkelip. Ustaz Hadi menganggukkan kepala. “ Habis ambil Ijazah Arkitek lima tahun di UK..Halim sambung belajar ambil Hafazan di Mesir dengan perbelanjaan sendiri mak..” jawab Halim lembut. Haida terdiam patutlah sepuluh tahun anaknya belajar di luar tidak mahu balik. Puas di pujuk balik bercuti tetap tidak mahu kerana ingin terus belajar. Ya, Allah sungguh Kau mendengar doa seorang ibu. “ Adik-adik pun balik mak..kejap lagi mereka sampai..” kata Halim. Haida terharu, airmata terus sahaja mengalir tanpa henti, gembira dia mendengarnya. Kalaulah suaminya ada pasti suaminya sendiri tidak menyangka anaknya yang sulong mampu mengambil dua jurusan sekali gus. Mak Mentuanya mendekati Halim dan memeluk cucu kesayangannya. “ Patutlah bila nenek suruh balik tak nak..rupanya belajar ilmu lain juga..” Emak mentuanya menjeling tajam ke arahnya. Dalam situasi begini pun masih nak marah, Haida cepat-cepat melarikan matanya. Tidak sanggup dia memandang wajah marah emak mentuanya itu. Adik-beradik suaminya mencebik. Biarlah, anak-anaknya tahu apa yang mereka lakukan. Inilah kehendak Allah untuk mereka. “ Maafkan Halim nek..Halim dah penuhi kehendak ayah dan menghafal Al-Quran adalah kehendak Halim sendiri, tidak salah Halim memenuhi tuntutan untuk diri sendiri kan…nanti kita sembang lagi..Urusan arwah ayah harus di segerakan. Tu adik-adikku dah sampai..” sambil menunjuk ke jalan. Mentuanya memandang dengan mata yang berkaca. Cucu-cucunya berserban dan berjubah melangkah masuk ke dalam rumah. Semakin sebak dada Haida. Anak-anaknya seramai tiga orang lagi bersalaman dan memeluk Haida erat. Mereka turut menangis kerana kehilangan orang yang mereka sayang. Haida faham perasaan mereka. Buruk-buruk pun ayah mereka juga. “ Jom..Pak Uda..” ajak Halim sambil memandang kea rah Ustaz Hadi. Jenazah dibawa keluar untuk di mandi dan dikapankan. Haida memandang sayu wajah suaminya buat kali terakhir. Ddalam hati Haida berdoa semoga roh arwah suaminya ditempatkan bersama orang-orang beriman dan Allah swt mengampunkan dosa-dosanya. Segala urusan pengkebumian suaminya Zaki berjalan lancar dibantu oleh adiknya Ustaz Hadi dan anak-anaknya . Haidah duduk bersimpuh di hadapan kubur suaminya. Minggu lepas baru sahaja batu nisan yang ditempah siap sepenuhnya. Sudah pun di pacak di perkuburan suaminya. Airmata Haida tumpah lagi. Buruk-buruk arwah tetap suaminya, orang yang hidup bersama-samanya berpuluh-puluh tahun. Ayah kepada anak-anaknya. Setiap awal bulan Haida akan datang ke perkuburan itu menziarahi kubur suaminya. Membacakan yasin biarpun setiap malam dia melakukannya. Semoga arwah suaminya tenang di sana. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman…amin.. “ Abang! Halim dah ada Ijazah Arkitek dan dia juga Hafiz tiga puluh juzuk, akan mula bekerja di sebuah syarikat pembinaan terkenal minggu depan. Malam kalau tak ada kerja dia akan mengajar mengaji dan beri kuliah agama dekat surau rumah kita . Dua sumber rezeki Allah beri kepadanya bang. Halil pula dah tamatkan pengajian dalam bidang Biologi dan masih sambung belajar dalam jurusan Syariah, tahun depan habis, dia boleh pilih nak kerja apa, cemerlang juga keputusannya bang, tekun anak- anak kita. Halimi pula abang suruh ambil bidang Enginering kan baru je habis minggu lepas ..malah dia sambung belajar Usuluddin di Mesir..kebetulan Halil ada di sana, mereka duduk bersama. Yang bongsu anak kesayangan abang ambil kedoktoran di Mesir, dia tukar university bang , abang tak marahkan…mereka semua rajin bang…selalu mendoakan abang, semoga abang tenang di dalam sana…..” Belajar agama sebenarnya bukan untuk dibangga-banggakan, ia satu tuntutan kepada semua umat Islam, jika orang Islam sendiri tidak memartabatkan Ilmu Allah siapalah yang akan memartabatkannya. Haida mengeluh kesal. Semua orang marah jika orang bukan Islam menghina, memaki agama Islam tetapi terang-terang orang Islam sendiri menghina Islam bila tidak yakin dengan Ilmu agama yang menjadi panduan hidup seluruh umat. Haida membersihkan kubur suaminya. Setelah membaca yasin barulah dia melangkah pulang. Pulang dengan hati yang berbunga-bunga. Pulang dengan penuh semangat kerana anak-anaknya menjadi seperti yang diinginkan. Berkat doa siang dan malam kepada Allah swt dengan hati yang ikhlas. Doa seorang ibukan tiada hijabnya di sisi Allah. Haidah menyeka airmata yang berbaki dipipi dengan lengan baju sambil lidahnya melafazkan zikir memuji kebesaran Ilahi…..

Nukilanku....

salam buat kenalan, kawan-kawan dan sahabat-sahabat lama dan baru.  Blog ini dibina oleh teman, sahabat dan adikku lain emak lain bapa yang sudi membantu.  Terima kasih Pena Ungu.  Dia bukan sesiapa padaku. Berkenalan di alam cyber.  Tidak pernah bersua muka tidak pernah dengar suara.  Namun hati kami berkata, kaulah sahabat biar pun dari kejauhan.  Di sini saya akan paparkan karya-karya saya baru dan lama.  Terkini dan terdahulu.  Sudi-sudilah membacanya untuk meredakan hati yang lara.  Ada suka, ada duka.  Biar siapa pun kita.  Kita hanya manusia biasa.

Jangan memuji wah! pandainya menulis.  Sudah jadi penulis.  Bukan mudah sebenarnya.  Memerah otak siang dan malam.  Apa  yang penting inilah minat saya selain dari mengumpul resepi dan memasak. 

Selasa, 2 Oktober 2012

AKU TURUT BAHAGIA BAB 16- 25




BAB 16
            SYIFA UMAIRA memandang sepi Jubah  berwarna putih yang dihiasi manik dan labuci yang dihadiahkan oleh Ustaz Amir Hudzaifa kepadanya waktu bertunang dahulu.  Hatinya terasa berat hendak meneruskan pernikahannya itu.  Emak dan ayahnya masih di luar, sedang bersiap agaknya.  Sengaja Umaira melengah-lengahkan waktu pernikahannya. Dari selepas maghrib dia meminta agar dilangsungkan selepas Isyak .  Biarlah mereka menunggu hingga bosan. Biar mereka balik. Justeru, tidak perlulah dia bernikah.  Habis cerita.  Syifa’ Umaira mengeluh .

            “Mai…!Mai!” panggil  Haji Mansor sambil mengetuk daun pintu dengan kuat.  Syifa Umaira yang masih mengelamun terkejut.  Dia mengurut dada.

            “Hish!budak ni… kenapa tak keluar-keluar lagi ni?saya dah takut nak jawab panggilan telefon Haji Salleh, tak pasal-pasal kena jerkah nanti,”rungut Haji Mansor pada isterinya, Hajjah Halimah yang masih bertelekung.

            “Awak kenapa tak siap? Kita dah lewat ni?”Haji Mansor membuntang matanya memandang Hajjah Halimah yang masih bertelekung dan termenung.

            “Saya tak nak pergi!saya malu... malu bang!!”jerit Hajjah Halimah.  Haji Mansor mencekak pinggang.

            “Awak jangan nak cari pasal Limah, cepat bersiap!tak pergi, lagi malu, awak tahu tak!!”jerkah Haji Mansor.  Haji Mansor mengetuk  pintu bilik Syifa’ Umaira dengan kuat.

            “Syifa’ Umaira…cepat keluar, kalau tak ayah pecahkan pintu ni,”ugut Haji Mansor.  Syifa’ Umaira mengeluh kasar.  Dia melangkah mendekati pintu, daun pintu dibuka perlahan. Haji Mansor memandang wajah Syifa’ Umaira yang murung.

            “Yang kau tak  bersiap lagi kenapa?”marah Haji Mansor.  Kepalanya mula  berdenyut melihat perangai anak dan isterinya.

            “Mai  tak nak pergi!”syifa’ Umaira mula menangis. Haji Mansor tersandar di dinding rumah.  Menyinga dia memandang wajah Syifa’ Umaira, semakin lama semakin kecil sahaja dimatanya.  Kalau tak ingat Allah pasti mati anak bongsunya itu dikerjakannya.

            “Kau ingat semua ni main-main?boleh ubah ikut suka kau?hah! nak kahwin tergedik-gedik, orang nasihat kau tak nak dengar… kami cakap kau buat tak tahu, buat bodoh.  Hari ni kau cakap tak nak pergi?mana maruah diri kau Syifa’ Umaira?pernah ke kau fikir maruah kami sebagai orang tua kau?Pernah kau fikir nama baik ayah dan mak?”jerit Haji Mansor ke telinga Syifa’ Umaira. Terkedu Syifa’ Umaira.

            Tapi ayah?”

            “Tak ada tapi-tapi… segalanya sudah diatur… kau sendiri yang gatal nak bernikah ,sampai tak tahu membezakan bujang dan suami orang, kononnya cintalah, sayanglah… bila dah sampai hari bernikah, tak nak pula… baik kau bersiap sekarang!! Ayah tak nak berkompromi lagi, suka atau tidak,malam ni kau harus bernikah juga… dah cukup kau membuat perkara bodoh, ayah tak nak sama bodoh dengan kau!”jerkah Haji Mansor.  Terkulat-kulat Syifa’ Umaira memandang ayahnya yang sedang marah itu.

            “Pergi siap sekarang!!”jerit Haji Mansor apabila melihat Syifa’ Umaira masih tercegat tidak bergerak-gerak.

            “Abang ni, budak tu tak nak pergi, biarkanlah, buat apa dipaksa?”Hajjah Halimah membela Syifa’ Umaira..  Kalau boleh dia sendiri mahu majlis itu dibatalkan sahaja.

            “Awak pun sama dengan anak awak!buat keputusan tanpa berfikir… saya tidak mahu dengar apa-apa alasan lagi…pergi bersiap sekarang…saya dah tak sanggup dengar bunyi telefon tu… apa lagi tercegat tu… pergilah siap!!”habis suaranya menjerit sudah sampai tahap maximum.

Syifa’ Umaira melangkah lemah.  Hajjah Halimah menuju ke bilik dengan wajah mencuka. Syifa’ Umaira menghempas daun pintu dengan kuat tanda protes.  Haji Mansor menggelengkan kepala.  Kenapa kau buat ayah begini Syifa’ Umaira, tidakkah kau tahu ayah sayangkan kau, biarpun marah dan bagaikan tidak merestu hubungan kau dengan bakap suami yang kau pilih,namun hati seorang ayah tidak sekejam seperti yang engkau sangka, wahai anakku, detik hati kecil Haji Mansor.  Dadanya sebak.  Dia menarik nafas panjang,tidak mahu air matanya tumpah di depan anak dan isterinya.  Anak-anaknya yang lain telah pun ke masjid tempat acara pernikahan itu akan di adakan.

            Tepat jam 10.30 malam baru mereka sampai di masjid.  Haji Mansor mendekati Haji Salleh memandangnya dengan  penuh kemarahan.

            “Maaf Jie…ada masalah sikit,”kata Haji Mansor sambil bersalaman dengan Haji Salleh.  Haji Salleh menyambut dengan baik.  Kalau ikut marah, macam-macam boleh jadi.  Entah berapa ribu kali dia beristighfar menahan sabar, menahan marah.  Marah itukan hasutan syaitan.  Haji Salleh menarik tangan Haji Mansor berjumpa dengan Ustaz Amir Hudzaifa yang sedang bersolat sunat entah ke berapa kali .

            “Boleh kita mulakan terus?”tanya Haji Mansor,usai Amir Hudzaifa menghabiskan solatnya.  Amir Hudzaifa tersenyum dan mengangguk perlahan.  Haji Mansor memandang Imam Besar Masjid Sultan Azlan Syah.  Iman Besar mengangguk.  Wajah yang tegang tadi semuanya kembali ceria.  Hanya perut yang berbunyi minta diisi.  Haji Salleh mengeluh perlahan.

            Pada mulanya Ustaz Muiz Imam Besar Masjid ingin menikahkan Amir Hudzaifa tetapi Haji Mansor ingin menikahkan sendiri anak gadisnya.  Mereka sepakat dan setuju dengan cadangan itu  Dengan sekali lafaz Syifa’ Umaira sah menjadi isteri Amid Hudzaifa.  Semua tetamu dalam dua puluh orang menarik nafas lega.  Segala-galanya berjalan lancar biarpun berbagai dugaan mendatang.  Usai majlis, doa pun dibaca. Ingatkan majlis akan berakhir.  Tiba-tiba Haji Mansor bangun untuk membacakan khutbah.  Haji Salleh mengurut dada.  Perut dah berkeroncong, hari dah lewat malam masih ada hati nak baca khutbah.  Haji Salleh ingin melarang tapi ditahan oleh Amir Hudzaifa. Para tetamu mula gelisah.  Khutbah yang dibaca bagaikan dengar dan tidak sahaja.

            Haji Salleh menggelengkan kepala.  Pada siapa agaknya khutbah itu disampaikan dia sendiri tidak pasti kerana kebanyakan yang hadir terdiri daripada ustaz dan kadi yang sudah faham akan bab munakahat itu. Tiada siapa yang sudi mendengarnya apatah lagi Haji Mansor sudah mula melalut.  Kalau ikutkah hati mahu sahaja dia memberhentikan khutbah Haji Mansor.  Haji Salleh perasan para tetamu sudah mula kurang selesa lebih-lebih lagi khutbah atau ceramah Haji Mansor bagaikan menyindir Ustaz Amir Hudzaifa berkahwin lagi.  Hampir 11.30 malam baru Haji Mansor berhenti.  Haji Salleh menarik nafas lega begitu juga tetamu yang hadir.

            Amir Hudzaifa mendekati Syifa’ Umaira yang telah pun sah menjadi isterinya.  Dia mengajak Syifa’ Umaira solat sunat dua raka’at sebelum mereka turun ke dewan makan.  Syifa’ Umaira menurut sahaja.  Hatinya bercampur baur antara suka dan duka, antara gembira dan sedih.  Usai solat Syifa’ Umaira mencium tangan Amir Hudzaifa .  Amir Hudzaifa tersenyum riang.

            Di dewan makan tetamu mula menjamu selera, sambil bersembang sesama mereka.  Wajah Amir Hudzaifa manis berseri, wajah Syifa’ Umaira tidak tergambar dengan kata-kata.  Nasi Bukhari, daging masak hitam, Ayam goreng berempah, Pajeri nenas dan buah-buahan citrus dihidangkan bersama pulut kuah durian.  Berselera para tetamu menjamu selera.

            Hajjah Halimah memandang wajah anak gadisnya sayu.  Ala,hai! Anakku sayang, kau sudah bergelar isteri orang, biar berjuta kesalahan kau lakukan pada emak, tidak pernah emak menyimpan dendam padamu sayang. Jauh disudut hati seorang ibu ingin melihat kebahagianmu,emak doakan kau tabah menempuh hari mendatang.  Emak doakan jodohmu berpanjangan sehingga ke akhir hayat…berbahagialah wahai anakku dengan orang yang kau cintai dan sayangi…doa emak sentiasa bersamamu, bisik hati kecil Hajjah Halimah, setitis mutiara gugur di pipi cepat-cepat diseka agar tidak dilihat oleh sesiapa.  Nasi yang  sedap dan lauk-pauk yang enak sedikit pun tidak mengamit selera Hajjah Halimah.

            Syifa’ Umaira menarik nafas panjang, akhirnya aku menjadi milik orang yang aku cintai dan sayangi.  Entah kenapa hatiku tidak gembira?kenapa wajahku tidak ceria?bukankah ini yang aku tunggu-tunggukan?bukankah ini harapan dan impianku berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa pujaan hati?Apakah aku terpaksa dalam rela, lain macam bunyinya tapi itulah hakikatnya.  Syifa’ Umaira mendengus kasar.  Nasi sudah menjadi bubur, biarlah aku jalani juga hidup ini.  Susah, senang biarlah aku hadapi. Detik hati kecil Syifa’ Umaira.

            Amir Hudzaifa menjamah makanan dengan hati yang berbunga.  Bukankah Allah lebih mengetahui bahawa jodohnya dengan Syifa’ Umaira telah ditetapkan sejak azali lagi.  Biar badai datang melanda, biar ribut melanda, kalau dah jodohnya dengan Syifa’ Umaira tidak ke mana.  Amir Hudzaifa tersenyum bahagia.