Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 29 April 2013

LIMA TAHUN NISBAH SATU JAM...



LIMA TAHUN NISBAH SATU JAM….

                Wajah Mansor berkerut seribu.  Dia tidak faham sebenarnya apa yang berlaku.  Apakah Dr. Rahim tersilap membuat  diagnosis terhadap Juita, isterinya.  Seperti gunung berapi meletup dalam diri.  Tidak salahkan pendengarannya.  Atau sudah pekakkah dia? Tersilap dengarkah dia?  Sukar untuk dia mempercayainya.   Hampir luruh jantungnya mendengar perkhabaran itu.  Sukar untuk dia mempercayainya.  Selepas sahaja menerima panggilan telefon dari Dr. Rahim yang juga merupakan kawan baiknya sewaktu di MRSM dahulu dia terus bertemu doktor tersebut.  Haruskah dia menangis, ketawa, atau menyesal.  Tiada kata yang mampu keluar dari mulutnya mahu pun dikotak fikirannya.  Semuanya bagaikan kosong.  Dia tidak mampu berfikir lagi.
                Bagaimana seorang perempuan yang dikahwininya masih ada  suci tetapi sudah menggugurkan lima kali kandungannya.  Bagaimana iyanya terjadi?  Dia tercari-cari jawapannya.  Sengaja dia merahsikan perkara itu dari Juita, isterinya.  Pelik.  Di mana dia harus mendapatkan jawapan untuk semua persoalan yang sedang berlegar di kotak fikirannya.  Mansor mengetap bibir.  Dia memejamkan mata. Terbayang wajah Juita, senyuman manis isterinya.  Wanita itu terlalu cantik sehingga hatinya terbuka untuk mengahwini Juita.  Gadis manis yang ditemui sewaktu menghadiri kursus di Johor Baharu lima tahu dahulu. 
                Mansor pulang ke rumah dengan hati yang sebal, gelisah, kosong dan hambar.  Fikirannya bercelaru antara percaya dan merasa pelik dengan apa  yang  terjadi.  Tidak mungkin Dr. Rahim  berbohong.  Mansor  melangkah masuk.  Matanya tertumpu pada gambar perkahwinan yang tergantung di ruang tamu.  Bagaikan pinang di belah dua, sama cantik, sama padan.  Perkahwinan yang sungguh meriah kerana dia seorang ahli perniagaan yang berjaya.  Juita, wanita yang amat dicintai dan disayangi.  Dia jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya itu.  Lima tahun mereka melayari bahtera rumah tangga tanpa ada sedikit pun bunga-bunga pergaduhan atau persengketaan.  Juita seorang isteri yang baik dan pandai melayannya.  Lima tahun berkahwin tanpa  kehadiran cahaya mata tentulah merisaukan.  Dia menyuruh Juita melakukan pemeriksaan kesihatan, dia turut melakukan perkara  yang sama.  Dia tiada masalah, cuma Juita.  Rahimnya lemah dan dinding rahimnya telah rosak teruk akibat kesan dari pengguguran yang dilakukan dengan paksaan.  Bermakna dia menggugurkan kandungannya.  Bukan gugur sendiri.  Kerap melakukan D&C boleh menyebabkan  dinding rahim luka dan lemah.  Berita yang paling menyedihkan Juita tidak mungkin mampu mengandung lagi.  Isterinya tidak  boleh mengandung?  Sukar untuk dia mempercayainya.  Dia tidak akan mempunyai anak dengan Juita.  Mansor mengeluh kesal.
                Juita gelisah.  Panggilan telefon dari mentuanya bagaikan panggilan maut sahaja.  Jika tidak hadir apa pula kata orang tua itu nanti.  Dia juga bimbang dengan pemeriksaan yang telah dibuat tempohari.  Sehingga kini dia masih belum mendapatkan keputusannya.  Hendak menelefon Dr. Rahim dia merasa malu kerana Dr. Rahim sahabat baik suaminya.  Entah apa keputusannya.  Hatinya berdebar-debar menunggu keputusan tersebut.  Sejarah silap akan terbuka juga.  Juita mengeluh.  Dadanya berat.  Dia sebak.  Perkara yang selama ini dia tutup rapat sehingga baunya juga tidak mampu keluar pasti akan ketahuan juga jika lubang terbentuk di situ.  Ah!  Apa alasan yang  harus dia beri nanti jika suaminya bertanya. Bagaikan dosa semalam mengejarnya kini. 
                “Mama tak kisah, berapa bayaran dan bagaimana caranya untuk Juita mendapatkan anak dari rahim Juita.  Lima tahun mama tunggu.  Sudah cukup lama.  Kawan-kawan mama semuanya sudah ada cucu, mama ini sahaja yang masih menunggu dan menunggu.”  Puan Maimun memandang wajah menantunya yang cantik manis itu.  Tidak mungkin menantunya mandul.  Atau pun anaknya yang mandul.  Pemeriksaan sudah dibuat.  Keputusannya sahaja yang dia belum tahu lagi.  Dia tidak mahu menunggu lagi. 
                “Tapi, mama.  Anak ni kurniaan ILahi, kalau Ju sihat pun, kalau ALLAH tak  izinkan, bagaimana?”  Juita gelisah.  Puan Maimun mendekati menantunya.  Satu-satunya menantu yang dia miliki kerana Mansor adalah anak tunggalnya.
                “Itu sebab mama kata, pergi buat rawatan, dengan Dr. Hamid Harsat ke.  Cari doktor  pakar sakit puan yang terbaik di Malaysia.  Bayaran tidak menjadi soal.”  Puan Maimun masih bertegas dengan keputusannya.  Juita  terdiam tidak terkata apa-apa.  Buat pemeriksaan lagi? Dia mengeluh.  Suami dia normal, dia juga normal sebenarnya.  Dia pernah mengandung bukan sekali tetapi berkali-kali.  Juita mengetap bibir.  Jari jemari dirapatkan, digenggam erat mencari kekuatan diri.  Suami sudah mula bertanya, emak mentua sudah mula berleter.  Pening juga kepala dia memikirkannya. Apa yang harus dia lakukan. 
                Bolehkah dia hamil lagi?  Mampukah dia hamil kembali?  Dr. Rahim tidak berkata apa-apa, hanya menyuruh dia berserah pada ALLAH SWT.  Dia masih lagi ingat kata doktor yang telah melakukan pengguguran janinnya dahulu bahawa  dinding rahimnya telah rosak kerana terlalu kerap melakukan pengguguran.    Bagaimana dia hendak menceritakan perkara itu pada suaminya.  Tidak mungkin dia berterus-terang tentang masa silamnya.  Mereka tidak boleh tahu.   Tidak sama sekali.  Hancur segala-galanya jika rahsiannya itu terbongkar.   Bercelaru fikirannya ketika itu.  Kehendak suami dan kemahuan mentuanya. 
                Makanan yang terhidang tidak diusik oleh Mansor.  Wajah Juita yang seperti orang bersalah ditenung lama.  Dia mengerutkan dahi.  Juita bagaikan orang kerisauan.  Bagaikan ada masalah yang sedang bersarang difikiran isterinya.  Apakah isterinya sudah tahu tentang keputusan  pemeriksaan tempohari. 
                “Abang, kenapa tak makan?”  Juita memandang wajah Mansor.  Mata mereka bertembung.  Cepat-cepat Juita duduk mengadap nasi yang sudah di isi ke dalam pinggan.  Dia menyenduk lauk.  Mansor masih tidak menjamah nasi yang terhidang, matanya masih memandang wajah Juita tidak berkelip.
                “Abang dah dapat keputusan pemeriksaan yang Juita buat dengan Dr.  Rahim.  Abang tak tahu nak cakap apa?  Nak tanya apa?  Sebab waktu kita berkahwin, Juita masih suci?  Tak mungkin Juita pernah mengandung?  Abang inginkan jawapan jujur darimu, Juita,”  wajah Mansor kusut.  Bingung.  Juita tidak terkejut dengan kata-kata suaminya.  Dia tidak tahu di mana dia harus memulakan bicara.  Kalau boleh dia tidak mahu membuka pekung di dada.  Biarlah rahsia.  Tetapi mampukah dia terus merahsiakannya.  Dr. Rahim sendiri sudah mengesahkannya.  Apa yang harus dia cakaplah lagi.  Bibirnya terketar-ketar.  Tangannya menggigil ketakutan. 
                “Juita!” lengking suara Mansor yang sudah hilang kesabarannya.  Malu dia dengan Dr. Rahim.  Malu dia dengan dirinya sendiri.  Malu dia dengan keluarganya. Apa pula kata mamanya nanti apabila mengetahui yang menantunya tidak mungkin melahirkan cucu untuknya kerana rahim menantunya sudah rosak dan tidak boleh dipulihkan lagi. Juita terkejut mendengar suara keras Mansor.  Belum pernah suaminya bersikap garang dengannya.
                “Sampai bila awak nak tutup rahsia dan kisah silam awak itu dari pengetahuan abang?  Cuba awak cakap Juita?  Apa sebenarnya yang telah terjadi?  Bagaimana seorang yang suci boleh mengandung?”  mata Mansor menjunam ke wajah Juita yang pucat lesi.  Mata isterinya mula berkaca.  Setitis demi setitis air mata jatuh ke dalam pinggan nasi.  Mansor mengeluh.
                “Awak ingat bila awak membisu macam ni, masalah akan selesai.  Semua persoalan abang akan terjawab?  Berterus-terang Juita!”  Mansor  menghentak meja.  Dia benar-benar geram dengan sikap mendiam diri Juita.  Perutnya yang lapar tadi terasa kenyang pula.  Semuanya kerana sikap membisu isterinya itu.  Mansor mengetap bibir, geram, marah, sakit hati bercampur baur sudah. 
                “Maafkan Juita, bang,”  Juita menunduk, semakin laju air matanya mengalir.  Tidak mampu dibendung lagi.  Dia memang bersalah.    Bersalah kerana telah menipu suaminya. Bersalah kerana merahsiakan kisah silamnya. 
                “Apa sebenarnya yang berlaku Juita, berterus-teranglah, jangan buat abang bingung sendiri,”  Mansor mengeluh keras.  Makanan yang terhidang terbiar sejuk sendiri.  Tiada siapa yang berselera hendak menjamahnya.  Masing-masing berserabut dengan masalah yang mendatang.  Juita bingkas   bangun.  Dadanya berat, fikirannya kacau bilau.  Di mana dia harus memulakan bicara.   Tidak tergamak membuka aib sendiri.  Biar pun perkara itu sudah lama berlalu, iya bagaikan tali yang menyambung tidak mahu putus.  Juita berlari masuk ke dalam bilik.  Pintu bilik ditutup dengan kasar.  Dentumannya menggegarkan rumah banglo dua tingkat itu.  Juita menyembam muka ke  atas tilam.  Dia menangis semahu-mahunya.  Perit hatinya ketika itu.  Terbuka kembali luka lama yang sudah semakin hilang bekasnya.
                “Awak menangis air mata darah sekali pun Juita, abang tetap hendak tahu perkara yang sebenar!”  Mansor  menarik tangan Juita bangun dari katil.  Juita menarik tangannya semula.  Air mata membasahi pipinya. 
                “Juita, mohon maaf dan ampun dari abang.  Juita manusia kotor, bang.  Juita malu hendak menceritakan tentang hal diri Juita.  Juita teresak-esak.  Mansor mengeluh.  Bagaimana hendak bercerita kalau sudah menangis bagaikan anak kecil kehilangan ibu.  Bagaimana hendak berbincang sedangkan esakan Juita lebih jelas dari kata-kata yang keluar dari mulut isterinya itu.   Akhirnya Mansor berlalu pergi meninggalkan Juita sendirian.  Malas untuk dia bersembang atau bertanya dalam keadaan begitu.  Tiada penghujungnya nanti.
                Juita menumbuk-numbuk bantal di hadapannya.  Sakit benar hatinya.  Akhirnya perkara yang ingin dirahsiakan  tidak lama lagi tidak akan menjadi rahsia lagi.  Keluarga mentuanya akan tahu, suaminya sendiri akan tahu siapa dirinya yang sebenar.  Dahulu dia memang jahat dan liar.  Dia suka berpoya-poya mencari keseronokkan di luar batasan sebagai seorang perempuan melayu dan beragama Islam.  Dia merosakkan dirinya sendiri.  Dia memang  bodoh kerana tunduk pada hawa nafsu.  Dia memang tolol kerana percaya pada kata-kata manis seorang lelaki biar pun selalu dia mendengar kata-kata seorang lelaki yang merayu dan manis  bagaikan pisau mengerat diri sendiri.
                “Juita jangan bimbang, apa yang terjadi Jo akan bertanggungjawab.  Juita adalah kekasih hati Jo sehingga akhir hayat, buat apa kita kahwin kalau semua yang kita lakukan sudah lebih dari sepasang suami isteri.  Kalau berkahwin takut bercerai.  Kalau kita begini tiada sekatan, kita lepas bebas.  Jo enjoy, Juita pun suka, kan,”  Johari memeluk Juita erat.   Berkali-kali, berhari-hari, berminggu-minggu, bertahun-tahun mereka lepas bebas tanpa ada rasa bersalah di hati masing-masing.
                “Jo, Juita mengandunglah,”  Juita mula bimbang.  Johari hanya tersenyum.  Dia menarik tangan Juita, sejumlah wang bertukar tangan.  Juita serba-salah.
                “Buat apa ada anak?  Nanti kita tak bebas,  terkongkong.  Tanggungjawab besar.  Jo tak sanggup. Juita sangguh ke?”  Johari tersengih.  Juita mengerutkan dahi.   Dia terlalu sayangkan Johari.  Benar kata-kata Johari, buat apa ada anak?  Tanggungjawab yang terpaksa digalas amatlah besar.  Dia belum bersedia.  Apa pula kata kawan-kawan sekerja dia nanti melihat perutnya membesar sedangkan dia belum berkahwin lagi.  Keputusan harus diambil.  Dia tidak mahu Johari meninggalkannya. Masa berlalu hubungan mereka semakin hari semakin jauh terlanjur.  Bukan sekali dia menggugurkan kandungannya. 
                “Jo, ini kali ke empat Juita terpaksa gugurkan kandungan, doktor bagi tahu kalau terlalu kerap, Juita mungkin tak boleh hamil lagi,”  Juita menangis.  Dia mula merasa bersalah.  Seperti biasa Johari memujuk dengan kata-kata manisnya dan nasihat muslihatnya.  Juita terus percaya dan yakin Johari akan setia di sisi.
                “Kalau kita kahwin pun, Jo tak nak anak.  Jo nak kita hidup berdua sahaja.  Jo dan Juita.  Tiada gangguan.  Juita jangan bimbang.  Kalau tak boleh mengandung lagi bagus.  Bagus untuk kita bersama,”  Johari memeluk Juita.  Erat.  Juita layu.
                Dr. Choo memandang wajah Juita. Dia menggelengkan kepala.  Puas dia menasihati gadis di hadapannya itu.  Silap haribulan nyawa galang gantinya.  Kenapa Juita begitu degil. 
                “Saya rasa awak perempuan paling bodoh dalam dunia, lima kali awak menggugurkan kandungan Juita, waktu kali keempat saya sudah beritahu, rahim awak sudah rosak, awak faham tak maksud saya,”  Dr. Choo mengeluh kesal. 
                “Ini kehendak teman lelaki saya doktor. Kalau saya tak turut kehendak dia.  Dia akan tinggalkan saya,”  Juita menangis.
                “Juita, lelaki yang baik, takkan buat awak macam ni.  Dia cuma teman lelaki awak sahaja.  Bukan suami awak.  Kenapa awak begitu bodoh mendengar kata-katanya.  Kenapa  awak  begitu bodoh!” marah Dr. Choo.  Juita sudah lama menjadi pesakitnya.  Sebagai seorang manusia dia bersimpati juga.  Sebagai perempuan dia juga boleh merasakan apa yang sedang dialami oleh Juita.
                “Apa perlu saya buat doktor?”  Juita buntu.  Johari pula sudah semakin jarang pulang ke rumah.  Bila ditanya ada sahaja jawapannya.
                “Saya bukan apa, di masa hadapan awak tidak boleh mengandung lagi.  Rahim awak  sudah rosak, kecederaannya agak teruk,  saya cuma boleh bantu dengan ubat-ubatan.    Jika awak ditakdirkan berkahwin dan mempunyai anak itu adalah satu keajaiban.  Kerosakan di rahim awak tidak boleh dipulihkan lagi.  Sudah terlambat untuk awak menyesal sekarang.  Kenapa awak biarkan diri awak hamil?  Sudah tahu teman lelaki awak tidak mahu anak?”  Dr. Choo. Mendengus kasar.
                “Entahlah doktor.  Saya makan ubat perancang yang doktor bagi, tetapi saya tetap hamil.   Pelik.  Seolah-olah ubat itu tidak  mujarab pada saya. “  Juita menangis lagi.  Setelah mengambil ubat dia terus pulang ke rumah yang disewa bersama Johari.
                Juita  membuka pintu rumah.  Dia terkejut.  Barang-barang dalam rumah semuanya telah tiada.  Mulutnya ternganga.  Dia berlari masuk ke dalam bilik.  Sama juga.  Hanya tinggal pakaiannya sahaja di dalam beg.  Juita terduduk di lantai.  Siapa yang mengambil barang-barang di dalam rumahnya itu.  Juita mengeluarkan telefon bimbitnya.  Dia harus menelefon Johari.  Dia harus memberitahu Johari tentang hal tersebut.  Tidak mungkin ada pencuri masuk kerana pintu rumah terkunci rapat sama seperti dia keluar tadi.   Juita terkedu, menyandar di dinding bilik memandang kosong ruang bilik yang telah kosong itu. 
                Perutnya berkeroncong.  Entah berapa ratus  kali dia menelefon Johari namun talian tidak berjawab.  Air mata tidak berhenti mengalir.  Apakah Johari sudah meninggalkan dirinya?  Juita  bingkas bangun.  Badannya terasa lemah.  Dia tidak mampu berjalan laju, terasa seluruh anggota badannya bagaikan  longgar di sana sini, lemah longlai.  Matanya  bengkak kerana terlalu banyak menangis.  menangisi dirinya sendiri.  Juita  menapak ke pintu.  Dia melangkah keluar.  Sahlah kini Johari sudah melarikan diri.  Johari meninggalkan dia.  Johari telah menipunya.  Juita tidak tahu dia harus ke mana?  Dia bagaikan hilang arah.  Kereta dipandu laju. 
                “Doktor!”  Juita mendekati Dr. Choo yang sedang menghampiri keretanya.
                “Juita?”  Dr. Choo memandang wajah kusut masai pesakitnya itu.   Badannya lemah terus rebah di hadapan doktor muda itu.  Matanya berpinar, gelap.  Juita pengsan. 
                Juita mengesat air mata yang mengalir.  Dia memandang wajah suaminya yang tidak berkutik merenungnya dengan pandangan tajam bagaikan hendak menelannya.  Mansor mengetap bibir.  Sakit hatinya mendengar cerita  dari isterinya itu. 
                “Bagaimana kau masih suci sewaktu kita baru berkahwin dulu Juita?”  Menggigil seluruh tubuh Mansor.  Dia terlalu memilih.  Cerewet tidak kena tempat.  Kononnya mahu mencari yang terbaik untuk dijadikan isterinya.  Inilah jadinya.  Pilih punya pilih terpilih yang  sudah ditebuk tupai, kalau ditebuk sahaja tetapi masih ada bahagian yang boleh di makan berbaloi juga.  Ini tidak busuk ke semuanya.  Tidak boleh dibaik pulih. 
                “Dr. Choo, dia melakukan pembedahan pada faraj  Juita agar seperti anak dara kembali.  Dia ingin Juita membina  hidup baru.”  Terang Juita.   Mansor terdiam tidak terkata.  Dia menyandar di sofa.  Juita mendekati Mansor.  Tangan Mansor diraih rapat ke dadanya.
                “Maafkan Juita, bang.  Ampunkan Juita.  Juita tak mengharapkan apa-apa dari abang.  Juita sudah menerima pembalasan  dari segala dosa yang telah Juita lakukan.  Juita tidak akan mempunyai anak sampai bila-bila.  Juita manusia yang berdosa, waktu muda Juita hidup bergelumang dengan noda dan dosa.   Maafkan Juita kerana menipu abang dan keluarga abang,”  Juita memeluk lengan suaminya dan menciumnya.  Mansor  memejamkan mata.  Kenapa dia tidak marah sedangkan dalam hatinya begitu menggelegak kemarahan yang tidak mampu terluah, baik dengan perbuatan atau dengan kata-kata.  Mungkin dia terkejut mendengar cerita isterinya tadi. 
                “Ya, ALLAH…  Jika ini ujian untukku, aku redha,”  kata Mansor dengan linangan air mata.  Terlalu marah sehingga tidak mahu dia mengutuk Juita.  Lima tahun mereka hidup bahagia.  Juita seorang isteri yang baik, bertanggungjawab.  Tiada cacat cela.  Tidak bolehlah dia memaafkan isterinya itu.  Lima tahun yang bahagia akan lenyapkah hanya kerana mendengar cerita Juita sejam yang lalu.  Lima tahun terlalu lama jika hendak dibandingkan dengan sejam.  Dia tidak boleh terburu-buru membuat keputusan. Ini bersabit  soal mati hidup rumah tangganya.  Kebahagian hidupnya.  Kebahagian hidup Juita  yang sudah jauh berubah.  Dia duduk tegak memandang wajah Juita, isteri yang amat disayangi sepenuh hati. 
                “ALLAH SWT  Maha Pengampun, Rasulullah SAW juga  memaafkan umatnya.  Dosa Juita terlalu besar, kalau abang tidak mempunyai pertimbangan yang seimbang sudah pasti Juita abang lepaskan.  Tapi berbaloikah tindakan abang hanya kerana cerita satu jam yang Juita sajikan pada abang tadi, dengan pengorbanan Juita sebagai seorang isteri untuk abang selama lima tahun.  Walaupun hati ini sakit, perit, tapi abang tahu, Juita turut merasakan perkara yang sama.  Ku terima dikau seadanya Juita bt Halim…  Ku maafkan segala kesalahan yang kau lakukan padaku, demi kebahagian yang telah kau berikan kepadaku selama  lima tahun.  Tidak terpadam cintaku padamu hanya kerana cerita sejammu itu.  Tidak bergoyah kepercayaanku  kepadamu yang ku tanam di hatiku selama lima tahun hanya kerana kata-katamu selama sejam itu.  Perkara sudah berlaku, biarlah berlalu.  Cerita baru kita sulam  bagi membina cinta yang kukuh bahagia untuk selama-lamanya.”  Air mata Mansor mengalir laju.   Dia menarik Juita ke dalam pelukannya.   Juita hampir meraung mendengarnya.  Pelukannya semakin erat di tubuh suaminya.  Ya, ALLAH, Engkau Berkuasa atas segalanya... .
“Orang-orang yang mengerjakan kejahatan kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman; sesungguhnya Tuhan kamu, sesudah taubat yang disertai dengan iman itu adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-A’raf: 153).