Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 20 Oktober 2013

GILIRAN BALIK RAYA - ASMAH HASHIM



GILIRAN BALIK RAYA
WANITA  2003( UTUSAN KARYA)
Nurul sibuk memilih kain tudung  untuk ibunya.  Tahun ini dia bercadang hendak pulang berhari raya di kampungnya.   Sudah lima tahun dia tidak dapat menyambut Hari Raya bersama keluarganya.  Sejak dia berkahwin dengan Borhan, sejak itu jugalah dia terpaksa berhari raya bersama keluarga Borhan.  Bukan dia tak suka tetapi sepatutnya dia juga diberi peluang untuk berhari raya dengan keluarganya.  Seperti mana dia memberi peluang pada Borhan untuk berhari raya dengan keluarganya.
Selepas menunaikan tarawih berjemaah dengan Borhan, Nurul duduk menghadap suaminya.    Borhan memandang  Nurul tidak berkelip.  Nurul masih lagi bertelekung.  Nurul menyentuh lembut tangan Borhan.  Matanya merenung mata Borhan.  Borhan kehairanan.
“Kenapa dengan Nurul ni, lain macam aja…”  Borhan melipat sejadah.  Nurul tersenyum lagi.
“Siang tadi Nurul pergi shopping…  Nurul ada beli kain tudung dan songkok  untuk ibu dan ayah Nurul di kampung.”  Nurul diam seketika.  Bimbang juga di hati jika Borhan tak setuju dengan cadangannya  nanti.
“Baguslah… anak-anak kena ingat pada orang tuanya…”  kata Borhan dan bingkas bangun.  Nurul menarik tangan Borhan.  Borhan duduk semula.
“Tahun ini kita beraya di kampung Nurul kan…”  tanya Nurul ingin kepastian.
“Apa..? kampung awak…?”  Borhan sedikit terkejut.
“Kenapa…?” soal Nurul.
“Tahun  ni kita balik beraya di kampung abang juga… macam tahun-tahun lepas…” Borhan bangun semula dan berjalan ke ruang tamu.  Nurul membuka telekungnya dan mengikut Borhan ke ruang tamu.
“Jadi tahun ini kita beraya di rumah mak  bapa abang jualah…”  Nurul separuh menjerit. Borhan mengangguk perlahan.  Nurul menjegilkan mata.  Dia mengeluh.
“Tapi bang!  Nurul tak setuju, abang buat keputusan tanpa berbincang dengan Nurul…” kata Nurul keras.  Borhan tercengang.
“Kenapa pula? Macam biasalah, abang kena berhari raya dengan keluarga abang… Nurul kena ikut cakap abang, jangan pandai-pandai nak membantah…”  Borhan bertegas.
“Kalau abang ada keluarga, Nurul juga ada  keluarga bang…  kalau abang ada keinginan dan perasaan untuk bersama keluarga abang di pagi raya, begitu juga dengan Nurul…  cubalah bertolak ansur sikit bang, dah lima tahun Nurul beraya dengan keluarga abang, tapi abang sekalipun belum pernah berhari raya dengan keluarga Nurul, cubalah faham bang…”
“Tak boleh… sebagai anak lelaki, abang kena lebihkan orang tua abang, sebagai isteri, Nurul kena patuh pada abang…  keputusan abang muktamad.”
“Kalau begitu, Nurul juga ada ketegasan dan keputusan Nurul juga muktamad… Nurul akan pulang ke kampung Nurul…”  Nurul meninggalkan Borhan terpinga-pinga sendiri.  Hati  Nurul sakit.  Borhan tak sepatutnya buat dia begini.  Borhan sepatutnya  memberinya peluang berhari  raya dengan keluarganya pula. Bukan dia tidak sayangkan keluarga mentuanya atau tak suka berhari raya dengan mereka tapi dia ada keluarga dan dia juga ingin bersama mereka.
I
Nurul awal-awal lagi telah ke stesyen kereta api untuk membeli tiket.  Dia tak ambil peduli sama ada Borhan setuju atau tidak.  Jika Borhan tak mahu balik ia akan balik seorang diri.  Biarlah Borhan seorang yang balik ke kampung  lamannya sendiri.  Nurul takkan ikut.  Dia tak sanggup  lagi menyakiti hati keluarganya. Hari  Raya Puasa tak balik, Hari Raya Haji jauh sekali.  Borhan tidak pernah dapat cuti panjang pada Hari Raya Haji.  Nurul pula terpaksa makan hati dan memendam rasa atas perbuatan Borhan yang tegas tak kena tempat.
Jika selama ini dia bertolak ansur tapi sekarang tidak lagi.  Cukuplah tempoh lima  tahun itu, mana boleh tahan hanya dia sahaja yang bertolak ansur tapi Borhan tidak.  Sepatutnya mereka bergilir-gilir menyambut Hari Raya bersama keluarga masing-masing bukan dengan hanya satu pihak sahaja.
“Macam mana dengan keputusan awak…” tanya Borhan.  Nurul menjeling.
“Nurul tetap dengan keputusan Nurul, abang jangan paksa Nurul balik ke rumah mak bapa abang.  Nurul takkan pergi…”kata Nurul tegas.  Borhan mencekak pinggang.  Dia terkejut dengan keputusan Nurul.  Selama lima tahun ini belum pernah Nurul membantah cakapnya.  Tapi kali ini Nurul begitu berani.
“Kenapa dengan awak ni… awak buang tabiat…”
“Ya… saya buang tabiat… buang tabiat kerana awak, saya tetap dengan keputusan saya, ikut suka awaklah sama ada nak ikut atau tidak…”  Nurul meninggalkan Borhan seorang diri.  Malas dia nak bertengkar dengan Borhan.  Semakin lama dilayan semakin berpanjangan jadinya  nanti.  Nurul masuk ke dalam bilik.  Daun pintu dihempas dengan kuat.  Dia benci dengan sikap Borhan yang tidak mahu bertolak ansur itu.  Borhan hanya memikirkan dirinya seorang sahaja.  Nurul mengeluh lagi.
Nurul tidak mahu memujuk Borhan lagi.  Borhan tetap dengan keputusannya.  Dua hari lagi dia akan bertolak pulang ke kampung lamannya.  Sengaja dia balik tiga hari lebih awal dari tarikh Hari Raya.  Dia ingin bersahur dan berbuka puasa dengan keluarganya.  Abang dan kakak-kakaknya akan turut pulang berhari raya di kampung.  Tahun ini giliran mereka berhari raya di kampung orang tuanya pula.
Nurul telah siap mengemas kain bajunya.  Borhan pula masih belum balik dari tempat kerja biarpun sudah pukul 7.00 malam.  Nurul mula gelisah.  Bimbang pula terjadi perkara yang  tak baik di jalan.  Nurul beristighfar.  Dia sempat mendoakan agar suaminya selamat di mana sahaja dia berada.  Biarpun marah namun dia tetap sayangkan Borhan.
Juada berbuka puasa telah siap terhidang.  Borhan masih belum balik.  Nurul cuba menelefon telefon bimbit Borhan tapi tidak berjawab.  Nurul mengetap bibir  Perang dingin seminggu yang lalu berlarutan sehingga ke hari ini. Nurul mengeluh.  Selepas menunaikan solat maghrib Nurul keluar rumah bersama beg pakaiannya, Nurul tahu berdosa keluar rumah tanpa izin suami.  Tapi apa dia boleh buat, Borhan yang memaksa dia bertindak sejauh ini.  Kalaulah Borhan bertolak ansur sudah tentu perkara begini tidak terjadi dan perang dingin pun tak berlaku.
II
Keretapi meluncur laju meninggakan stesen.  Nurul mengeluh.  Nurul beristighfar.  Dia gembira kerana dapat balik ke kampung tapi dalam masa yang sama dia juga kecewa kerana Borhan tidak  turut bersama.  Dia juga merasa bersalah kerana terpaksa menderhakai suami sendiri.  Semoga ALLAH mengampunkan dosanya dan pagi-pagi raya nanti dia akan meminta maaf pada Borhan.  Semoga Borhan sudi memaafkannya.  Nurul mengeluh kerana berebut giliran Hari Raya, rumah tangganya kucar-kacir.  Nurul beristighfar lagi.  Entah apa alasan yang akan diberitahu pada keluarganya tentang ketidakhadiran Borhan bersamanya.  Pening  kepala memikirkannya. 
Borhan tunduk memandang lantai sejak dia tiba tengah hari tadi kedua-dua orang tuanya asyik berleter.  Kepulangannya tanpa Nurul membuatkan orang tuanya tak senang hati.  Berbagai-bagai pertanyaan keluar dari mulut mereka.  Beraneka nasihat diberi padanya.  Borhan  menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
III
“Nurul tahu bau balik ni…?” tanya Mak Limah.
“Bila dia bertolak balik ke kampungnya…?” tanya Pak  Mail pula.   Borhan mengangkat bahu tanda tak tahu..  Pak Mail menggelengkan kepala.
“Masya-ALLAH… apa dah jadi ni Borhan?” tanya Mak Limah kesal.
Borhan tunduk semula.  Tak berani dia bertentang mata dengan orang tuanya yang sedang marah dan kecewa itu.
“Dia yang degil…” kata Borhan.
“Kamu tu yang keras kepala,”  sampuk Pak Mail.
“Hanya soal giliran balik  beraya, kamu suami isteri bergaduh?” Mak Limah memandang
“Ya mak,” jawab Borhan pendek.
“Borhan, Borhan… kenapalah jadi macam ni… tak ada perkara yang tidak boleh selesai, kenapa tak berbincang  dulu tentang giliran  nak balik ke mana… ada kamu tanya dia nak balik raya di mana?”  Mata Mak Limah masih lagi melekat di wajah Borhan.
“Tak mak…”
“Nurul pun ada emak dan ayah, Borhan.  Macam Borhan juga, tentu Nurul juga ada keinginan macam Borhan nak sambut Hari Raya bersama orang tuanya.  Sepatutnya Birhan berlaku adil, bertolak ansur, lagipun mak tengok dah lima tahun Borhan dan Nurul berhari raya bersama kami, apa salahnya tahun ini berhari raya bersama keluarga Nurul pula,”  leter Mak Limah.  Borhan  menyandar di kusyen.
“Bukan Borhan tak pernah bawa di balik ke kampungnya mak, selalu juga.  Cuma tak balik masa Hari Raya takkan itu pun nak berkira…”
“Pulang ke kampung masa hari biasa berbeza, kemeriahannya juga berlainan… mak dan ayah tam mahu Nurul atau menantu mak dana ayah yang lain anggap kami ini mengongkong, rumah tangga kalau tidak diuruskan dengan baik, perkara yang kecil akan  jadi besar, kalau perkara ini berlanjutan siapa yang susah…” leter Pak Mail pula.   Borhan mengeluh lagi.  Kedua-dua insan yang disayanginya it uterus meleterinya.
“Beginilah Birhan, tahun ni kau berhari rayalah dengan keluarga mentua kau, tahun depan kau boleh berhari raya di sini, mak dan ayah tak kisah, kami juga ada anak dan menantu, kami faham peraaan anak-anak dan menantu kamu, jangalah risau.  Mak dan ayah takkan berkecil hati jika tahun ini kamu semua tak berhari raya di sini, tapi janganlah sampai tak balik kampung … faham,” nasihat Mak Limah. Borhan mengangguk.
“Sebagai ketua keluarga, Borhan harus bijak menangani apa sahaja masalah, jangan hanya kerana perkara yang remeh temeh rumah tanggamu tergugat, hanya fasal giliran balik  kampung tak bercakap berhari-hari, seorang ke utara, seorang ke selatan.  Rumah tangga apa namanya  tu Borhan…” Pak Mail menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan.
IV
“Pergilah mandi, waktu berbuka dah dekat, asyik mengeluh pun bukan boleh menyelesaikan masalah.”  Mak Limah berlalu ke dapur. Dia kecewa dengan perbuatan Borhan.  Entah apa yang difikirkan oleh besan apabila melihat Nurul pulang ke kampung seorang diri,  naik kereta api pula tu.  Mak Limah pula mengeluh.  Mak Limah tidak mahu anak menantu memandang serong padanya.  Dia sayang mereka semua.  Dia tidak akan memaksa atau meminta mereka berhari raya dengannya.  Anak menantunya juga ada mentua , ibu dan ayah, tentulah perasaan mereka juga sama seperti perasaannya jika anak menantu tidak pulang  berhari raya bertahun-tahun.  Dia harap Nurul tak membencinya.
“Esok pagi-pagi, baliklah ke rumah mentua kau Borhan, tentu Nurul juga risau tentang kau, gembirakanlah hati orang tua selagi mereka hidup, baik ibu bapa sendiri mahupun hanya mentua mereka tetap ibu dan ayah  kau juga, faham tu…” nasihat Pak Mail.  Borhan mengangguk.
“Maafkan saya ayah.”
“Bukan pada ayah kau minta maaf… sepatutnya isteri kau… sudahlah, mana yang salah tu perbetulkan… sayangi keluarga mentua sebagaimana kau menyayangi mak dan ayah.  Bila kita berlaku adil dan bertolak ansu, orang lain akan berlaku adil dan bertolak ansur dengan kita.  Ingat tu…” nasihat Pak Mail.
Borhan mengangguk lemah.  Terasa kebodohan sendiri.  Kalaulah dia beralah tentu tak jadi begini.  Kalaulah mentuanya tahu tentu malu jadinya.  Borhan merasa kesal dengan  kebodohannya  dan keegoannya sendiri.  Apa pun, pasti pagi-pagi esok dia akan pulang ke kampung mentuanya dan menyambut Hari Raya bersama isterinya yang tersayang.  Semoga yang keruh dapat dijernihkan semula.
Borhan tersenyum puas kerana mendapat emak dan ayah yang memahami kehidupannya sebagai anak  dan menantu.

Rabu, 16 Oktober 2013

DIA YANG MENGERTI



TAJUK                                 DIA YANG MENGERTI (ISBN 978-983-124-883-6)
PENULIS                             AZILAH WAHAB
PENERBIT                          ALAF 21 (GRUP BUKU KARANGKRAF –GBK)
TERBITAN                          OKTOBER 2013
MUKA SURAT                    546 ms
HARGA                                RM22.00

                Suriyana seorang wanita yang cantik dan pandai bergaya.  Berkahwin dengan Osman seorang ahli perniagaan.  Kehidupan mereka  berdua bahagia sehingga memperolehi  sepasang cahaya mata.   Osman  sibuk sentiasa sehingga masa dan ruang waktu bersama keluarga semakin kurang.  Pada mulanya Suriyana tidak kisah, lama kelamaan timbul perasaan bosan dan mula syak yang bukan-bukan.  Dia mula syak suaminya ada perempuan lain.   Setiap minggu  Osman pasti akan keluar daerah dan meninggalkan Suriyana sendirian menguruskan rumah dan anak-anak.  Suriyana merasa terpinggir.  Dalam waktu yang sama Suriyana tidak menyangka akan mengandung lagi.  Dia merasa berat hati untuk menerima kehadiran anak lagi.  Kalau boleh dia tidak mahu  anak tersebut.  Anak yang ada pun dia merasa tidak berdaya menguruskannya.    Dia tidak bersedia menerima kehadiran seorang lagi anak. Keadaan yang teruk waktu mengandung, ditambah tekanan perasaan terpaksa menguruskan rumah dan anak-anak menambah beban di hatinya.
                Berbagai cara dia lakukan namun kandungan itu tetap tidak gugur,  mahu atau tidak terpaksalah dia melahirkan juga kandungan tersebut.  Bayi itu dilahirkan di rumah.  Lantaran tidak sempat hendak ke hospital.  Kehadirannya tidak disukai.  Ditambah dengan kata-kata Mak Bidan Sauyah bahawa anak itu membawa sial.  Suriyana yang semenangnya tidak suka dengan kehadiran  bayi tersebut terus menerima bulat-bulat apa  yang diberitahu oleh  bidan yang menyambut kelahiran anaknya.  Ditambah konon kelahiran di bulan   Safar dikatakan membawa sial.  Suriyana amat menpercayai kata-kata Mak Bidan Sauyah.  Apatah lagi berbagai perkara buruk terjadi selepas sahaja  kelahiran Wardina Amni.  Suriyana amat benci dengan anak bongsunya itu. 
                Wardina Amni, anak bongsu Osman dan Suriyana.  Kehadiran yang tidak diingini dan dianggap pembawa sial membuatkan dia dilayan buruk oleh ibu kandungnya sendiri.    Hidupnya di rumah itu bagaikan anak tiri, dihina, diherdik dan dipukul hampir setiap hari.  Dilayan bagaikan hamba abdi tiada langsung rasa belas ehsan di hati.  Pada ayahnya Wardina Amni bermanja dan merasa disayangi.  Begitu juga dengan sikap abang dan kakaknya berubah sama sekali apabil sahaja ayahnya meninggal dunia.  Dia dituduh sebagai pembunuh dan penyebab kematian Osman.  Anak yang tidak berdosa itu terus dinafikan haknya.    Di rumah sendiri dia dijadikan pembantu rumah oleh ibu kandung sendiri. Nyaris menjadi mangsa perkosaan abang kandung sendiri.  Kebencian  Suriyana terhadap Wardina Amni tidak pernah surut.  Semakin lama semakin dia membenci anaknya itu.  Tiada langsung sekumit perasaan kasih dan sayang, yang bersarang di dada hanyalah perasaan benci yang berapi-api.  Apa sahaja yang menimpa hidupnya sekeluarga semua kesalahan diletakkan di bahu Wardina Amni.
                Bagaimana kehidupan Wardina Amni selepas kematian ayahnya?  Apakah ada kebahagian yang menunggu Wardina Amni di luar sana?  Mahukah Suriyana mengakui Wardina Amni sebagai anak kandungnya?   Kenapa Suriyana curang pada Osman?  Dapatkah Osman menghidu kecurangan isterinya itu.  Masihkan bersisa rasa kasih dan sayang Osman pada Suriyana?  Kenapa Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna di penjara? Kenapa Suriyana  membenci ibu mentuanya Juriah?  Siapa Hafiz dalam hidup Wardiah Amni dan apakah kehadiran Amir Haziq memberi kebahagian dalam hidup Wardina Amni?  Benarkah Wardina Amni pembawa malang dan sial dalam hidup orang lain?
                Banyak soalan yang tidak mampu dijawab.  Saya meminat karya Azilah Wahab sejak membaca karya beliau sebelum ini iaitu KAU CIPTA KASIH  dan UNTUK SEKALI LAGI. Karya yang tidak menghampakan.  Membuatkan mata yang mengantuk terasa segar.  Garapan cerita yang baik.  Plot berjalan lancar dan mudah difahami.  Gaya bahasa yang bersahaja.   Tahniah penulis.  Karya yang bagus dan tidak mengecewakan. 

Selasa, 1 Oktober 2013

INTAN DELAILA - SITI ROZILAH

BAB 6


IMAN DANIEL mencampakkan baju-bajunya ke dalam almari. Lantaklah kalau hendak menimbun macam bukit, desis hatinya. Seumur hidup dia tak pernah menguruskan hal-hal sebegitu. Terkecuali hari itu, sejak dia dilahirkan ke dunia, semuanya diuruskan oleh orang gaji hatta melipat seluar dalamnya sekalipun!
“Ronyoklah baju-baju tu kau buat macam tu.” Tegur satu suara.
Iman Daniel menoleh ke arah teman sebiliknya yang telahpun siap mengemas segala barang-barang peribadinya.
“Gantunglah separuh baju-baju kau tu.” Nasihat Muzammil.
“Aku taulah!” tingkah Iman Daniel sambil meneruskan kerja melemparkan pakaian ke dalam perut almari.
Muzammil tak terkata. Dia hanya duduk memandang teman baru yang kebetulan mengambil bidang dan jurusan yang sama dengannya itu. Selepas selesai aktiviti melontar baju ke dalam almari, Iman Daniel terduduk di atas kerusi; seolah-olah melempar baju ke dalam almari adalah aktiviti yang paling memenatkan di muka bumi ini.
Muzammil tergelak kecil melihat kelakuan teman barunya itu.
“Kat rumah kau tak pernah buat kerja macam ni, ke?” soalnya.
“Nak buat apa? Ni kan kerja orang perempuan!” sahut Iman Daniel pantas. Mummynya juga seorang perempuan tapi dia tak pernah melihat mummy membasuh, menyidai ataupun melipat pakaian. Semuanya dilakukan oleh orang gaji mereka.
“Kau ni anak orang kaya ya?” soal Muzammil sambil membayangkan karakter anak-anak orang berada yang selalu ditontonnya dalam drama Melayu. Manja, sombong dan berlagak!
Tapi menurut pandangannya, teman sebiliknya yang satu itu bukanlah tergolong dalam ketegori orang yang sombong. Malah Iman Daniel terlebih dahulu menghulurkan tangan ke arahnya ketika dia masuk ke bilik itu pagi tadi.
Iman Daniel tergelak kecil. Soalan Muzammil itu dibiarkan tanpa jawapan.
“Mil, kau pandai pasang cadar ni tak?” soalnya sambil menghulurkan kain cadar berwarna hijau berbunga kuning ke arah jejaka itu.
Muzammil kerut kening. Kemudian geleng kepala.
“Pasang cadar pun kau tak tahu?” dengusnya.
“Tak tahu ke, malas! Hey, bak sini cadar tu, aku pasangkan.”
Iman Daniel ketawa senang setelah kain cadar berbunga kuning berpindah tangan. Isy... seumur hidupnya, tak pernah dia mengemaskan katilnya setiap awal pagi. Mummynya juga tak pernah mengemaskan cadar sebaik saja bangun tidur. Semuanya diuruskan oleh orang gaji.
Setelah tilam siap disarungkan cadar, Iman Daniel terus melompat dan berbaring di atasnya. Fikirannya melayang ke dewan pendaftaran pelajar baru pagi tadi, kepada barisan yang panjang dan hinggap ke arah wajah bujur sirih yang kelihatan cukup ayu di sebalik kurung biru.
Intan Delaila... cukup manis nama itu, desis hatinya. Semanis pemilik wajahnya. Alamak! Terlupa pulak nak minta nombor telefon bimbit si dia. Harap-harap adalah kesempatan untuk bertemu semula dengannya, hati anak muda itu mengharap.
“Oi! Berangan ke?” sergah Muzammil sambil membaling sebiji bantal yang telah siap disarung, ke arah Iman Daniel yang terkebil-kebil memandang siling bercat putih.
“Apalah engkau ni, Mil!” desisnya.
Muzammil menghempaskan punggungnya di sisi pemuda itu.
“Cakaplah dengan aku, siapa minah yang sedang kau angankan tu?”
Iman Daniel ketawa kecil. Soalan teman sebiliknya dibiarkan tanpa jawapan.

CAMELIA duduk di kerusi, hanya memandang ke arah Zarinna dan Intan Delaila yang sibuk mengatur kemas baju-bajunya di dalam almari serta menyarungkan sarung bantal dan cadar ke tilam. Gelagatnya ketika itu bagaikan mem besar.
Sesekali Zarinna menjeling ke arah anak gadisnya. Dia berharap agar Camelia dapat menyesuaikan diri kerana terpaksa tinggal berdikari di kolej itu kelak. Salahnya juga kerana selama ini dia terlalu memanja dan memuakan anak gadisnya itu. Seumur hidupnya, Camelia tak pernah disuruh melakukan kerja-kerja ringan di rumah hatta mengemas bilik tidurnya sekalipun. Semuanya diuruskan oleh pembantu rumah.
Di sini nanti, hendak tak hendak, Camelia terpaksa belajar berdikari.
“Jangan lupa suruh abang belikan barang-barang keperluan Mel di kedai nanti.” Pesan Zarinna ke arah anak gadisnya.
“Kalau setakat nak beli baldi, sabun mandi atau berus gigi, kat koperasi kolej pun ada jual benda-benda tu, mak cik.” Sampuk Intan Delaila.
Camelia diam. Dia kehangatan. Kipas angin yang berpusing ligat di pundak kepalanya juga gagal menghalau bahang panas daripada menyapa tubuhnya. Semuanya gara-gara baju kurung yang tersarung di badan. Walaupun kainnya daripada jenis sutera Korea yang bukan puluhan ringgit harganya, tapi kalau dah dasar berbaju kurung memanglah begitu keadaannya. Melemaskan!
Dicapainya botol air mineral lalu digogoknya rakus.
Zarinna memandang kelakuan anak gadisnya itu dengan hati yang kurang senang. Kemudian dia menoleh ke arah teman sebilik Camelia yang kelihatan penuh dengan kesantunan seorang gadis Melayu.
“Emak dan ayah Delaila tak datang ke?” Zarinna menyoal.
“Ayah dah balik, mak cik.”
Zarinna mengangguk.
“Emak?”
“Err... emak saya dah meninggal dunia.”
“Oh... maafkan mak cik, Delaila. Mak cik tak tahu.”
Intan Delaila tersenyum nipis.
“Tak apalah, mak cik. Saya tak kisah.” Sahut Intan Delaila. Dia kelihatan tenang sehinggakan Zarinna jadi kagum memandangnya.
Camelia menoleh sekilas ke arah teman sebiliknya itu. Entah apa yang berlegar di mindanya ketika itu, tiada siapapun yang tahu.
“Bila dah tinggal sebilik ni, pandai-pandailah bawa diri ya. Mak cik mintak tolong pada Delaila supaya tengok-tengokkan anak mak cik ni. Kalau ada masalah atau perselisihan faham, selesaikan secara baik. Jangan bergaduh pulak... ingat tu, Mel!” Tukas Zarinna sambil mencapai tas tangannya.
“Sapa pulak yang nak bergaduh ni, mama?” sahut Camelia dengan wajah cemberut.
Zarinna tersengih. Dia tahu sikap anak manjanya itu yang mudah tersinggung, amat sensitif dan kadangkala mempunyai sikap degil dan keras kepala yang agak sukar dikawal.
“Okeylah, mama balik dulu ya, Mel. Mak cik balik dulu, Delaila. Ingat pesan mak cik ya, tolong perhatikan Si Mel ni.” Ujar Zarinna.
Intan Delaila tersenyum dan angguk. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Zarinna. Di muka pintu, Camelia menyalami dan mencium tangan mamanya. Kedua beranak itu berpelukan seketika dan Camelia sempat mencium pipi mamanya, kiri dan kanan.
“Pukul berapa nak pergi kedai?” soal Zukry ketika Camelia keluar mendapatkannya yang sedang berdiri di koridor.
“Buat apa gi kedai?”
“Eh, kata nak beli baldi?”
“Tak yah... Delaila kata, kat koperasi bawah ni pun ada jual baldi.” Kata Camelia.
Zukry memandang ke arah Intan Delaila yang sedang berdiri di sebelah mamanya. Mereka berbalas senyum.
“Tugas awak temankan adik saya ke koperasi tu, okey!” getus Zukry.
Intan Delaila ketawa kecil.
“No hal! Kalau setakat temankan Mel ke koperasi, small matterlah tu!”
Mereka berbalas tawa.
“Okey, dahlah tu! Jom kita turun.” Tingkah Zarinna pantas.
“Bye, mama, abang... and bye to you too, handsome!” selamba Camelia berkata ke arah Irfan yang asyik merenungnya.
Isy, si mamat ni... kenapalah asyik tenung-tenung aku macam ular sawa nak telan kambing, desis hatinya sambil melebarkan senyumnya ke arah anak muda itu.
“Ooonk, oonk! Rebeb... rebeb!” Zukry mengusik sambil menyenggol lengannya ke arah Irfan di sisi.
Intan Delaila ketawa kecil melihatkan kemesraan kedua beradik itu, yang saling usik-mengusik antara satu sama lain.

“MACAM MANA anak manja awak tu, ma?” soal Syed Zahari sewaktu kereta mereka menyusuri lereng bukit untuk turun dari kawasan kampus yang luas tersebut. Hati papa mana yang tak risau jika terpaksa meninggalkan anak remaja yang manja seperti Camelia ke dunia yang luas untuk berdikari?
Camelia amat manja. Sebagai satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga kecil mereka, segala kehendak anak gadis itu akan ditunaikan. Dia tak pernah dikerah membuat sebarang kerja di rumah. Semua keperluan untuknya telah tersedia atau disediakan oleh orang gaji. Mampukah Camelia berdikari kelak, hatinya tertanya-tanya.
“Kita sama-samalah berdoa agar dia dapat menyesuaikan dirinya dengan suasana kampus, pa. Tapi saya ni sebenarnya risau...”
“Tulah, dulu lagi saya dah ingatkan awak agar jangan manjakan sangat Mel tu, ma. Tapi silap saya juga agaknya kerana tak bertegas dengannya.” Keluh Syed Zahari yang memandu.
“Bagaimana dengan roommate dia?”
“Intan Delaila? Baik budaknya, pa. Dialah yang sibuk-sibuk tolong saya kemaskan beg baju anak kita tu... sedangkan Camelia, hemmph, macam mem besar! Tengok aje orang kemaskan baju dan katil dia!” adu Zarinna.
Syed Zahari ketawa.
“Sabar ajelah, ma. Ni laluan pertama dia untuk belajar berdikari. Bila dan duduk sendirian kat sana nanti taulah dia bawa diri.”
“Saya pun harap macam tu juga, pa. Eh, malam ni jadi tak bawa saya keluar makan kat hotel?” soal Zarinna sambil melirikkan senyuman ke arah suaminya.
Syed Zahari ketawa. Hai, setelah kedua-dua orang anak mereka dilonggokkan di kampus, seluruh isi rumah menjadi milik mereka berdua. Terasa macam baru berkahwin pulak, desis hatinya sambil mencapai dan menggengam erat tangan isterinya.

INTAN DELAILA-SITI ROZILAH

BAB 5

INTAN DELAILA menggantung kemas baju-baju kurung dan kebaya labuhnya di dalam almari. Walaupun dia tahu yang dia tak patut melakukan sedemikian sebelum teman sebiliknya tiba tapi dia tak suka membuang masa. Dia akan memohon maaf kepada teman sebiliknya itu nanti dan berdoa di dalam hati agar mereka tak akan bergaduh disebabkan dia telah terlebih dahulu memilih katil, meja bacaan dan almarinya. Sebenarnya, tiada apa yang perlu digaduh atau direbutkan kerana segala-galanya serupa. Hanya dia memilih sudut kanan bilik sementara temannya itu nanti akan menghuni di sudut kiri bilik tersebut.
Ayahnya telah lama pulang. Malah mereka sempat mengalas perut bersama-sama di gerai yang berhampiran.
“Ayah harap kau belajar dengan tekun di sini nanti. Kalau ibu kau masih hidup tentu dialah orang yang paling gembira hari ni kerana anak gadis kesayangannya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.” Kata-kata ayahnya hinggap semula ke pantai kenangan Intan Delaila.
Dia hanya mampu mengangguk. Itulah azamnya sebelum melangkah keluar dari rumah mereka awal pagi tadi. Dia mahu berjaya dalam pelajarannya, kerana ibu amat mementingkan pendidikannya selama ini. Pesanan ibu, manusia tak akan melarat selagi ilmu pengetahuan melekap di dada, amat diingati olehnya.
Ibunya amat cintakan ilmu pengetahuan. Mungkin sebab itulah dia memilih kerjaya sebagai pendidik kerana mahu mendidik anak bangsanya agar menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara suatu hari nanti.
Setelah selesai mengatur pakaiannya di dalam almari kayu, dia terduduk kepenatan di katilnya. Berkeriut katil besi bertilamkan getah itu menampung berat badannya. Dia menoleh jam digital yang diletakkan di atas meja belajarnya. Waktu menunjukkan tepat ke pukul sebelas setengah tengah hari, namun bayang teman sebiliknya masih juga belum kelihatan.
Siapakah yang bakal berkongsi bilik dengannya nanti? Bagaimanakah wajah dan sikapnya? Bolehkah mereka menyesuaikan diri bersama?
Dia berdoa di dalam hati agar dia dapat menyesuaikan diri dengan teman sebiliknya, walau siapapun dia. Susahlah kalau terpaksa berkongsi bilik dengan orang yang tak sebulu dengan kita. Tak sebulu saja tak mengapa, tapi jangan sampai muncul perasaan benci membenci di antara satu sama lain.
Sebelum pulang tadi, ayahnya sempat menasihatinya agar berbaik-baik dengan teman sebiliknya itu kelak.

CAMELIA sedar sejak tadi mata Irfan asyik mencuri pandang ke arahnya. Dan sesekali tatkala mata mereka berlaga, pemuda itu akan tersenyum manis padanya.
Eleh, kalau setakat mamat gondrong ni, boleh jalanlah, desis hatinya sambil segera membalas senyuman Irfan itu.
Ketika itu mereka berlima sedang mengisi perut di gerai berhampiran dengan padang yang menghijau. Beg baju dan barang-barang peribadi Camelia ditinggalkan di bilik bacaan.
Abangnya, Zukry, melantak mengikut sesedap rasa. Lapar, katanya. Camelia pun lapar dan dahaga juga tapi oleh kerana Irfan berada di hadapannya, dia cuba sedaya upaya untuk menjaga kelakuannya.
Lagipun gadis yang berbaju kurung merah bata dan berbunga tabur diwajibkan untuk bersopan santun sepanjang masa. Lainlah kalau gadis itu hanya berkemeja T dan berseluar jeans, bolehlah mengikut jejak abangnya melantak sesedap rasa!
Ai, maintain... maintain!
“La, tak luak pun nasi goreng tu, Mel? Apehal bersopan santun sangat hari ni, yerk?”
Isy, Si Cipan ni... rasa nak tonyoh-tonyoh mulutnya dengan garfu ni, desis hati Camelia.
Dia melirik ke arah Irfan. Dan pemuda itu mengambil kesempatan untuk memandang tepat ke matanya.
Isy, maintain... maintain jelita!
“Takkan sebab pakai baju kurung macam ni, terus jadi gadis sopan kut?” usik Zukry lagi membuatkan Camelia menggetap bibirnya.
“Abang, jaga mulut tu sikit boleh tak?” jerkahnya.
Zukry terkekeh-kekeh kerana berjaya mengenakan Camelia. Zarinna dan Syed Zahari berpandangan sesama sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka.
“Tak habis-habislah korang berdua ni! Asyik bercekau aje.” Tegur Zarinna.
“Cepatlah sikit makan tu, Mel. Kita nak angkat barang ke bilik Mel ni.”
Isy, mama ni tak fahamlah, Mel kena bersopan, suap nasi pun perlahan-lahan sebab Mel pakai baju Kebangsaan kebanggaan mama. Sesiapapun yang memakai baju kurung seperti yang sedang tersarung di tubuh Mel ni, harus bersopan santun dalam segala segi, gerutu hatinya.
Lagipun pemuda di depan ni... alahai...
Dan mata Camelia serta Irfan bertaut lagi!
“Err... Mel dah kenyanglah, ma!” sahutnya pantas sambil mencapai gelas berisi air tembikai. Disedutnya laju-laju sehingga habis.
“Okey, papa nak pergi bayar harga makanan ni. Mama boleh bawa budak-budak ni angkut beg-beg Mel tu naik ke atas.” Kata Syed Zahari.
Zarinna mengangguk lalu segera mengerah anak-anak agar bangkit. Mereka berempat termasuklah Irfan melangkah pantas menuju ke bilik bacaan untuk mendapatkan barang-barang Camelia yang diletakkan di situ tadi.
Camelia hendak mencapai beg birunya tetapi jari-jemarinya bersentuhan dengan jari-jemari Irfan yang turut mahu mencapai beg sama.
“Err... biar saya aje angkat beg ni. Berat nampaknya ni. Awak angkatlah yang ringan-ringan tu ya.” Kata Irfan. Camelia kehilangan kata-kata. Dia segera mengalihkan tangannya.
“Suka hati awaklah!” desis Camelia.
Mereka berempat mendaki ke tingkat tiga. Dada anak gadis itu sedikit berdebar apabila mendapati sepasang kasut telah berada di luar pintu bilik. Ini bermakna teman sebiliknya telahpun mendahuluinya.
“Ketuk pintu dulu, Mel!” tingkah Zarinna.
Camelia mengetuk daun pintu. Mereka menunggu beberapa ketika sebelum pintu terkuak dan seorang gadis berkurung biru tercongol.
“Hai, saya Camelia, teman sebilik awak.” Dia memperkenalkan dirinya.
Si gadis berkurung biru tersenyum manis.
“Saya Delaila. Silakan masuk.” Kata Intan Delaila.
“Maaflah sebab saya dah cop katil, almari dan meja bacaan ni. Saya harap awak tak marah.”
Camelia tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di atas tilam yang masih belum bercadar. Abangnya dan Irfan menunggu di koridor, tak berani masuk ke dalam bilik anak dara.
“Saya tak kisah. By the way, awak boleh panggil saya Mel aje.” Katanya.
Intan Delaila tersenyum. Walaupun gadis yang menjadi teman sebiliknya itu kelihatan seperti anak gadis kota, tapi keramahan Camelia membuatkan dia berasa tak sukar untuk mereka menyesuaikan diri bersama.

Antara komen pembaca AKU TURUT BAHAGIA


HARTINI HAMID

tq kak Asmah..cukup terkesan membaca novel "Aku Turut Bahagia" walaupun dlm hati sebenarnya "Aku Sangat Tersiksa"..walaupun pd mulanya xsanggup nk teruskan pembacaan, tp sanggup pula bersengkang mata sampai pukul 3 pg sbb nak habiskan juga novel ni..hehehe..terima kasih jg kepada Sis Azilah Wahab yg recommend bg ulasan yg terbaik pasal novel ni dalam wall FB..(novel sis Azilah Wahab - DYM pun best jugak..) dua2 novel sangat meruntun hati..
*************************************************
FADZLINA FIRMAN NUR

selalunye bila baca novel ni dah x leh stop.nak tahu lagi dan lagi cerita seterusnya.tp bila baca Aku turut bahagia ni,rasa tak sanggup nak teruskan.tak sanggup melihat kesensaraan ummi khadeeja ni.sanggup ustaz amir ni menjadi begitu dayus.menurut isteri muda hngga lupa yg tua.nak terus baca ke tak ni?takut

dah sampai bab 20.dah x boleh sabar dah.belek2 m/s seterusnya secara rambang.waaa..tu la kau sapa surah pegi usha.ha kan dah tak sanggup nak baca.kejamnye mai & ustaz amir tu.kepd para isteri yg slalu ckp tak kesah klu laki dia nak kawin lagi.bc lah dulu novel ni.moga blh dijadikan panduan.manusia bleh berubah..Aku turut bahagia
pukul 3.57 pg.akhirnya daku berjaya menghabis aku turut bahagia.kesal dngan ustaz amir yg dungu & bengap.best giler tp ending begitu simple.10/10*tahniah Asmah Hashim.pada mereka yg pasang niat nak poligami emm..penuhkan ilmu didada dulu.





************************************************



DATIN SERI SALMIE RAZALI

Kepada novelis aku turut bahagia Asmah Hashim, Aku Turut Bahagia benar-benar menghidupkan jln cerita ini lantaran tidak dpt ku bayangkan bagaimana novelis ini berjaya mencuri serta mendalami isi hati Ummi Khadeeja yg penuh dlm kesabarannya, kepayahannya, dilemmanya dan kepasrahannya. Disini ingin jua ku luahkan perasaanku ketika membaca novel mu, daripada awal pembacaan, aku menjadi marah dan geram...dipertengahan pembacaan aku menjadi lagi sangat benci, sakit hati, meluat, penuh dgn kepanasan serta kebahangannya dan segala amarah yg ada didlm diri ini, tetapi di akhir pembacaan ku pula, tanpa ku sedari air mata ku berjujuran tanpa dipinta. Seolah-olah ianya tidak mahu berhenti air mata ini.... ku biarkan mengikut arus seperti derasnya air mata Ummi Khadeeja. Mmg benar air mata ku tumpah hingga ke pengakhiran cerita ini....(membuatkan suami ku jadi tanda tanya seperti org yg kebingungan) Indah sungguh namamu Ummi Khadeeja seindah keperibadian mu. Kesabaran mu tiada tandingannya... Jika benar Ummi Khadeeja ini wujud didlm novel ini, ingin sekali aku bertemu dgnnya kerana aku ingin memeluknya seerat-eratnya dan aku ingin mendoakan kebahagiaannya.... begitu besar pengorbanan mu ummi khadeeja yg x terucap dgn kata-kata.. jika ada 10 isteri didlm dunia ini, mungkin suku pun sukar utk dicari seperti mu wahai Ummi Khadeeja...
Salam sayang dari saya buat asmah hashim dgn ucapan teruskan perjuanganmu di Maahad Azzein Al Maaki dan pertingkatkan lagi usahamu utk melahirkan novel2 yg terbaru