Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 31 Disember 2013

KARYA YANG PERNAH TERBIT






BIODATA
NAMA                                     :           ASMAH  BT HASHIM
PEKERJAAN                          :           PEMBANTU  PENGURUSAN RUMAH ANAK YATIM
                                                            TAHFIZ MAAHAD AZZEIN AL MAKKI
KARYA YANG PERNAH TERSIAR:
AKU TURUT BAHAGIA- NOVEL ( ALAF 21)
DOA DAN AIR MATA ( FARDHU AIN- EDISI 15-2012)
RAHSIA  MALAM PENGANTIN ( CERPEN) - MAJALAH WANITA~  ( UTUSAN)
AKHIRNYA DIA KE TANAH SUCI ( CERPEN)- AL-ISLAM   ( UTUSAN)
BIARLAH DIA PERGI (CERPEN)- SURATKHABAR UTUSAN MELAYU  (JAWI)
KALAU DAH JODOH (CERPEN) – URTV (UTUSAN)
WARKAH UNTUK MAMA  (CERPEN) – URTV (UTUSAN)
RELA BERMADU (CERPEN) –  URTV ( UTUSAN)
AYAH OH AYAH (CERPEN) –SURATKHABAR UTUSAN MELAYU(JAWI)
MASIH ADA BAHAGIA ( CERPEN)- URTV (UTUSAN)
GILIRAN BALIK RAYA (CERPEN)- WANITA ( UTUSAN)
RINDU EMAK (CERPEN) –WANITA ( UTUSAN)
KERANA CINTA ( CERPEN) –URTV (UTUSAN)

PENGALAMAN BEKERJA

Gambar: Suasana Pejabat-google
Nukilan:  Asmah Hashim



PENGALAMAN  BEKERJA

Saya mula bekerja waktu usia saya  enam belas tahun.  Ketika itu gaji yang saya terima adalah RM1.60 sejam.  Namun bagi saya jumlah sebanyak itu adalah besar .  Maklumlah masih belajar.  Lagipun sekadar mencari pengalaman.  Saya bekerja di sebuah restoran makanan  tradisi Malaysia iaitu SATE.  SATE RIA terletak betul-betul di hadapan SG WANG PLAZA BUKIT BINTANG.   Tempat kerja jauh dari rumah.  Terpaksa naik dua buah bas jika hendak ke situ.  Namun saya lebih suka naik bas dan  berhenti di Hadapan Bangunan Kota Raya selepas itu berjalan kaki dari situ ke Jalan Bukit Bintang.  Memang jauh, namun terpaksa.  
Saya bekerja sebagai pelayan restoran ( Waitress).  Tugas saya adalah ambil pesanan pelanggan. Mengemas  dan membersihkan restoran.  Kerja tidak susahpun.  Sekali dua ajar terus pandai.  Saya bekerja 4 jam sehari sahaja.  Umur saya masih tidak dibolehkan bekerja.  Diterima kerana restoran itu memerlukan sangat-sangat pekerja.    Sebulan sahaja saya bekerja sebab saya masih belajar.  Waktu kerja saya tidak tentu, kadang-kadang pagi, kadang-kadang petang.  Kalau kena waktu malam adalah waktu yang paling saya tidak suka, terpaksa meredah kesuraman malam melangkah melalui kawasan yang agak gelap di Jalan Bukit Bintang.    Saya akan melangkah selaju boleh.  Kalau masuk pertandingan jalan kaki, rasanya saya akan menang.  Jangan sesiapa tegur, langsung saya tidak layan.  Dalam hati berbagai doa saya baca.  Takutlah oi!  Saya perempuan.  Waktu itu tidak ada ramai pendatang tanpa izin seperti sekarang.  Kuala Lumpur tidak ramai warga asing.  Kalau terjumpapun jarang-jarang sekali.
Alhamdulillah perjalanan balik sentiasa selamat.  Saya bekerja bersungguh-sungguh, seronok pula bekerja dengan orang ramai ini.  Kita beramah mesra, ambil pesanan dan memesan makanan kegemaran mereka.  Bagi saya itu satu tanggungjawab sebagai pekerja.  Saya telah terpilih sebagai pekerja cemerlang pada bulan itu.  Ya ALLAH suka teramat sangat. 
Tempat kedua saya bekerja adalah du DZUL DENTAL SURGERY DI AMPANG POINT DAN DAMANSARA UTAMA.    Saya ada belajar menaip, tujuannya hendak bekerja di pejabatlah.  Puas jugalah pergi temuduga namun tidak tercapai hajat saya.    Dengan pertolongan seorang kawan  saya diterima bekerja di sebuah klinik pergigian.  Klinik tersebut masih wujud sehingga ke hari ini. Ada seorang kawan saya ROS namanya masih lagi bekerja di situ sehingga ke hari ini.  Kalau tidak salah sudah 30 tahun lebih dia bekerja di situ.  
Saya bekerja sebagai PEMBANTU KLINIK.  Saya diberi latihan selama sebulan bagaimana menyediakan barang-barang untuk pemeriksaan gigi.  Pengalaman pertama buat saya.  Saya juga diajar bagaimana menggunakan bahan untuk buat gigi palsu dan pelbagai lagi yang bersangkutan dengan gigi, saya sendiri sudah lupa istilahnya.   Setahun saya bekerja di situ.  Berhenti kerana saya mengandung dan tidak mampu berdiri lama.
Majikan saya seorang yang baik.  Kalau hendak tahu, dia sampai awal dari kami pekerja bawahannya.  Kalau sampai sahaja di kliniknya di Ampang.  Doktor Dzul sudah ada.  Dia juga bawa makanan sendiri dari rumah.  Bukan berjimat tetapi dia komited dengan kerjanya.  Tidak mahu membuang masa dengan keluar makan.  Kami yang menjadi orang bawahannya tidak mampu berbuat demikian.  Pantang waktu rehat mulalah mencari tempat makan yang sedap dan murah.   Ketika itu di Jalan Ampang di hadapan pusat membeli belah itu ada kawasan gerai menjual nasi campur.  Sekarang sudah tiada lagilah. 
Pengalaman yang tidak mampu saya lupakan adalah sewaktu  doktor yang bertugas mencabut gigi seorang pelajar UITM.  Waktu itu tengahari.    Darah pesakit itu keluar bagaikan air pancut.  Takut saya.  Aduhai! Doktor itu tersalah cabutkah?    Dua kali pelajar itu datang untuk mendapatkan rawatan.  Pucat muka pelajar itu.  Saya sendiri takut.  Pelbagai idea doktor itu bagi agar darah itu berhenti mengalir.  Entahlah bagaimana pelajar itu buat selepas itu.  Dia tidak lagi kembali ke klinik.   Saya sempat bekerja setahun sahaja.  Terima kasih Dr. Dzul kerana menjadikan saya pekerja yang disiplin dan menepati waktu.  Terima kasih Dr. Linden ( berasal dari Australia) kerana menjadi majikan yang memahami dan tidak pernah marah pekerja bawahan.  
Pekerjaan yang paling saya suka dan minat adalah sebagai Setiausaha Kerja  Hal Ehwal Wanita ABIM  Negeri Kedah.  Kenapa saya suka, sebab saya hanya diterangkan apa tugas saya. Perkara lain  saya yang aturkan sendiri.  Wah!  Sudahlah pertama kali bekerja  di pejabat, tetapi sudah disuruh atur sendiri apa yang perlu dilakukan.  Jangan kata hendak buat surat, buat memo pun saya tidak pandai.  Mulalah menyenglongkar almari pejabat mencari apa yang perlu. 
 
Hendak tulis surat kenalah tahu apa yang perlu ditulis.  Nasib baik Setiausaha ABIM Negeri Kedah ketika itu Ustaz Asri banyak membantu.  Sekarang dia sudah naik pangkat menjadi  MUDIR  Sek. Ren. Islam ABIM Alor Setar.  Waktu itu saya bekerja di zaman Ahmad Azzam menjadi YANG DIPERTUA ABIM Malaysia.  Zaman ABIM gemilang  dan banyak aktiviti.  Di Kedah YDP adalah  Ahmad Kasim.  Pernah jadi wakil rakyat Kuala Kedah satu penggal.  Bagi saya mereka adalah majikan-majikan yang baik, dedikasi dan mengajar saya menjadi kreatif.
Kerja kedua saya sambil menguruskan Hal Ehwal Wanita ABIM adalah menguruskan bulletin ABIM Negeri Kedah diberi nama DEMI MASA.  Encik Ahmad Kasim menyerahkan bulat-bulat tugas itu kepada saya dengan dipantau oleh Biro yang berkaitan.  Lupa pula nama bironya.    Saya yang menyusun apa perlu ada di dalam buletin itu sehinggalah sampai menghantar buletin itu kepada pencetak. Saya yang ambil setelah siap, saya jugalah yang mengedarkannya.  Satu buletin berharga RM0.20 sen sahaja.  Murahkan? 
Buletin itu saya edarkan ke setiap daerah.  Setiap kali ada mesyuarat bersama-sama ABIM daerah lain saya akan menunggu kehadiran mereka untuk meminta sumbangan bagi membiayai  penerbitan buletin tersebut.  Sebulan dua kali.  Rasanya masih lagi tersimpan  buletin yang saya letakkan di dalam bilik YDP ABIM Negeri Kedah.  Setiap kali siap dicetak mesti disimpan beberapa keping sebagai rujukan disatu hari nanti.  Harap mereka masih menyimpannya .  itulah kenangan yang manis buat saya sepanjang bekerja dengan ABIM Negeri Kedah.  Bekerja seminggu tujuh hari.  Terpulang kepada saya untuk bercuti pada hari apa.  Boleh pilih.  Saya jarang bercuti kerana ABIM Negeri sering  mengadakan  program di hujung minggu.   Saya yang bekerja sepenuh masa bersama-sama rakan sekerja akan dan secara automatik sebagai AJK  program.  Penat namun seronok.

Di situlah saya mengenali kemampuan saya bekerja di pejabat.  Rupanya kesungguhan bekerja akan membuahkan hasil yang baik.  Saya amat berterima kasih kepada bekas majikan saya.  Mereka berjaya melahirkan seorang pekerja yang pantas, cekal dan kreatif.  Di ABIM Alor Setar saya diajar menguruskan diri sendiri.  Janji kerja jalan walaubagaimana saya lakukan.  Saya diberi kebebasan dalam bekerja.  Pertama kali agaknya pekerja mengejar majikannya untuk  tarikh akhir (dateline).  Itulah saya.  Ke mana sahaja fail dikepit.  Semua atas urusan kerja.  Tuan Haji Ahmad Kasim beliau majikan yang baik.  Terima kasih juga kepada guru-guru di Sri ABIM Alor Setar kerana menerima saya sebagai rakan sekerja mereka.  Kalau balik ke Kedah ada rezeki pasti singgah. Saya berhenti kerana berpindah ke Kuala Lumpur.
Pekerjaan saya yang terakhir rasanya, sebagai PENOLONG PENGURUS  di sebuah rumah anak yatim di Sg. Merab Bangi.  Waktu hendak bekerja di situ, saya telah ditemuduga sebanyak  dua kali.  Kali pertama dengan  Pengurus rumah anak yatim tersebut.  Temuduga kedua dengan Pengerusi rumah anak yatim itu.  Pada awalnya saya ditawarkan bekerja selama sebulan sahaja sebab Pengurusnya hendak ke luar negara. Mengikut suaminya.  Pengerusi pula menyarankan agar saya bekerja teruslah di  tempat itu sebab saya pernah bekerja dengan ABIM dan kebetulan rumah anak yatim tersebut ada MOU dengan ABIM.    Bertanya juga kepada diri, mampukah aku bekerja dengan anak-anak yatim ini.  Belum pernah sekalipun bekerja dengan mana-mana rumah anak yatim. 
Saya masuk kerja 8.30 pagi, setelah hantar anak bongsu ke tadika berhampiran.    Biasanya saya akan bawa dua helai baju.  Sebelum masuk pejabat, saya akan mengemas seluruh kawasan. Dari hujung pagar sehinggalah ke dalam asrama.  Setiap pagi kerana anak-anak itu akan buat sepah dan membiarkan asrama, bilik prep dan surau tidak dibersihkan sebelum waktu tidur.  Aduhai, anak-anak.  Kata orang menjaga anak yatim ini syurga menanti, neraka juga menanti.  Hanya mampu tersenyum.  
Bukan mudah menjaga anak yatim.  Cabarannya besar.  Anak-anak yatim yang dibawah seliaan saya, sekolah tidak pandai, disiplin tiada, sebabnya para penjaga sebelum ini menggunakan hadis, bahawa anak yatim tidak boleh dipukul.  Bayangkanlah.  Saya bekerja di situ hanya 2 tahun sahaja.  Selepas itu saya dan suami membuka rumah anak yatim tahfiz sendiri.  Maahad Tahfiz Yatim Miskin  Maahad Azzeinn Al Makki.  Sekarang ini kami beroperasi di Kampung Kubu Gajah, kami menumpang di tanah tersebut sebelum mendapat tanah milik sendiri.  Sekarang ini kami sedang mencuba mencari tanah yang ingin diwakafkan oleh sesiapa sahaja atau ada hamba ALLAH yang sudi menderma bagi kami membeli tanah dan membangungkan maahad tahfiz anak yati kami sendiri.  Bukan senang menumpangkan?  Tangan dan kaki terikat.  Maklumlah tanah orang.  Namun kami tetap bersyukur sekurang-kurangnya  ada tempat untuk kami mendidik anak-anak yang kami pilih menjadi tahfiz.  Semoga usaha kami ini mendapat keberkatan dan rahmat ALLAH SWT.  Itulah pekerjaan saya sekarang, memasak untuk anak-anak ini sambil itu saya menulis.

          Pengalaman bekerja di beberapa tempat membuatkan saya memahami satu perkara, jika saya, kita bekerja jujur, bertanggungjawab, ikhlas kita akan disayangi majikan.  Malah kita disenangi dan mudah diterima di mana sahaja.  Bagi saya bekerja merupakan satu ibadah apa salahnya jika kita bekerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pahala daripada ALLH SWT.  Jadi bekerjalah bersungguh-sungguh tidak kira apa jawatan kita.

CERITA TENTANG BUKU





         Novel berat atau ringan? Saya hendak bercerita tentang novellah, ya.  Saya memang suka membaca, bertambah-tambahlah lagi apabila saya berkawan dengan mereka yang memang gila membaca.  Sebelum ini tidak pernah saya biarkan buku yang dibeli tidak dibaca dalam kadar segera, selalunya setelah habis satu baru beli  buku yang lain pula.  Tahun ini memang sejarah dalam hidup saya, pending atau buku yang tidak dibaca, tahu beli sahaja mencecah 80 buah.  Aduhai, nasib baik tidak kena marah.  Cakap dengan suami, beli buku  sahaja, bukan minta beli barang kemas.  Sekali terjah pesta buku mesti habis ratusan ringgit, ada kawan sampai seribu.  Saya tidak tahulah bagaimana dia bawa balik buku-buku tersebut. 
Sebenarnya saya ingin bercerita tentang buku. Tidak kisahlah buku apa, novel, majalah, novel popular tidak popular.
Buku bagaimana pilihan saya?  Selalunya saya akan beli buku terbitan Alaf 21, bukan kerana saya penulis  syarikat tersebut tetapi memang sejak dahulu lagi saya beli buku keluaran syarikat tersebut.  Cuma apabila Syarikat penerbitan Kaki Novel dan Karya Seni tiba-tiba meletup dengan karya-karya mereka, saya beli juga tetapi pilih-pilih sahaja.  Saya minat cara penulisan Hanni Ramsul.  Tidak banyak karya  dari syarikat tersebut menjadi koleksi saya sebab saya ini pelik sedikit, kalau sudah suka dengan yang  satu itu,  itulah yang menjadi pilihan.  Saya juga memilih buku terbitan PTS, kenapa saya memilih dua buah syarikat ini sebagai bahan bacaan saya? Sebab gaya bahasa, pilihan pertama saya dalam memilih bahan bacaan.  Jalan cerita  pilihan kedua.    Kalau baca buku PTS terasa seperti baca buku sekolah, tetapi saya suka, kerana syarikat tersebut memartabatkan Bahasa kebangsaan.  Saya bangga memiliki buku keluaran syarikat tersebut.   Begitu juga Alaf 21.    Saya harap mereka kekalkan imej mereka. 
Kenapa bahasa?  Bukan jalan cerita?    Kerana bagi saya penulis yang baik mampu menarik pembacanya untuk membaca karyanya.  Penulis yang baik akan menghasilkan garapan bahasa yang cantik di dalamnya ada cerita yang menarik.  Bahasa bagaimana yang dikatakan menarik?  Bahasa yang membuai rasa dan mesra pembaca, bukan sekadar memberitahu tetapi bercerita tentang apa yang berlaku.    Bahasa yang cantik mampu membawa pembacanya bersama-sama ke dalam cerita, merasai susah, senang, suka, duka watak yang ada.  Menghayati jalan cerita sehingga ke akhir. Mampu ketawa, menangis dan tersenyum bersama-sama watak.  Tidak lompat katak waktu membaca.  Saya suka yang santai tetapi tidak terlalu ringan sehingga tidak mampu menjanah fikiran.  Suka karya yang mampu membina jati diri, membina sahsiah diri.  Mampu mengajak manusia membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan.    Tingginya permintaan saya, kan.  Saya punya hak memilih sebab saya pembaca dan melabur untuk buku tersebut tetapi jika saya tidak suka sesuatu  karya itu tidaklah sampai saya mengeji mereka MELAINKAN ada 18 SX.  Maaflah cakap, saya akan hentam buku tersebut.   Lain orang lain cara. Lain orang lain pula minatnya.
Sekarang ini rumah penerbitan  tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan. Para penulis juga begitu.  Lahir bagaikan disirami hujan, tumbuh melata, subur dan menghijau.  Tahniah kepada mereka.    Semoga mereka menghasilkan buku-buku yang bermutu dan mampu menjadi khazanah bahasa dan bangsa.  Jangan hanya cantik di luar tetapi buruk di dalam.  Selamat menulis dan menghasilkan karya terbaik buat pembaca seperti saya.

BAGAIMANA BOLEH MENULIS



Bagaimana saya boleh terjebak dalam dunia penulisan?  Bermula apabila saya mendapat sebuah mesin taip.  Berketak, berketuklah saya di atas mesin taip tersebut.  Mesin taip Olyampus, sekejap sahaja inknya habis, tidak sampai 30 muka suratpun.  Akhirnya suami saya beli komputer melalui tempat kerjanya.  Semakin ligatlah saya menulis.   Entah apa yang saya tulis, saya sendiri main hentam sahaja.  Kebetulan suami kenal seorang penulis muda yang ketika itu masih belajar di UUM.  Rusman Nordin, pernah memenangi Peraduan Menulis Novel Remaja anjuran DBP.  Dia kata saya ada bakat menulis, iya ke?  aduhai.  Percaya sahajalah.  Sejak itu berangan-anganlah, tanpa panduan atau tunjuk ajar sesiapa, saya terus menulis dan menulis.  Hantarlah cerpen ke majalah dan akhbar perdana, syarikat pilihan saya dan berani untuk saya melangkah adalah UTUSAN.  Di situlah saya mula bertapak.  Entah berapa banyak karya saya dibuang dalam tong sampah.  Sahaja teka.  Kalau tidak tersiar setelah dihantar itulah anggapan kebanyakkan orang, kan?  Entah bagaimana suatu hari, saya menerima sekeping surat.  Bukan surat cinta tetapi surat mengajak saya mengikuti kelas bimbingan menulis melalui pos.  Waktu itu saya sekeluarga tinggal di Kedah.  Yurannya murah sahaja.  RM30.00 selama 6 bulan.  Saya bersetuju.  Akhirnya jadilah saya anak didik Dr. Wahba atau Dr. Wan Hamzah bekas ketua editor majalah UTUSAN.    Karya saya dibedah mengikut kehendak majalah.  Dengan beliaulah saya  mula belajar menulis karya untuk diterbitkan.  Cerpen pertama RAHSIA MALAM PENGANTIN  keluar dalam  WANITA keluaran   UTUSAN KARYA.  Bulan yang sama satu lagi karya KALAU SUDAH JODOH , dalam URTV. 
Baiknya kita belajar menulis cerpen dahulu adalah kita mampu mengarap sebuah cerita yang padat dan berisi.  Begitu juga dengan gaya bahasa.  Kalau di dalam akhbar atau majalah arus perdana penggunaan Bahasa Melayu Tinggi amat dititik beratkan.  Kalau yang ringan-ringan dan santai masih terpelihara bahasanya.   Pernah menghantar karya ke ALAF 21 tetapi ditolak, adalah alasan-alasannya yang saya terima, dan mengaku ketika itu saya agak lemah  dalam menghasilkan cerita yang baik. Tidak pernah mengikut bengkel penulisan novel jadi tidak tahu bagaimana teknik yang sebenar dalam dunia penulisan novel.  Ketika inilah saya membeli karya terbitan ALAF 21,   Fatillah Anas, Sri Diah Shaharudin, Sharifah Abu Salem, Nurhayati Berahim, Aisyah Sofea  nama-nama penulis yang karya mereka menjadi pilihan untuk saya baca dan belajar cara mereka menulis dalam novel.  Karya beratpun menjadi pilihan saya,  karya Usman Awang, Shahnom Ahmad, A. Samad Said. Khatijah Hashim, Zahara Nawawi, Azmah Nordin,  Siti Jasmian Ibrahim, antara nama yang menjadi idola saya.   Dua kali saya hantar karya ke ALAF21.  Kali pertama ditolak kerana tidak cukup panjang.  Manalah saya tahu menulis novel kena tebal 300++ ke atas.  Saya buat 100 muka surat  sahaja.  Hantar kali kedua, jalan cerita tidak begitu padat dan menarik.  Akur sahaja, masih belum rezeki saya.
Saya terus putus asa, dan tidak lagi menuli novel.  Susah sangat hendak cari idea dan mengarapnya menjadi   beratus-ratus muka surat.    Saya hanya menulis cerpen bila waktu terluang.  Sekadar suka-suka, hantar sahaja karya keluar.  Alhamdulillah.  Tahun 2003 mula kurang menulis sebab ketika itu saya mengandungkan anak bongsu dan mabuk teruk, kebetulan idea tepu.  Akhirnya agak lamalah saya berhenti menulis.  2012 anak bongsu sudah  besar, idea pula berjalan lancar, apa lagi mulalah berketak-ketik kembali di laptop.  Mencuba menulis cerpen semula.  Masih adakah skil dan bakat menulis.  Setelah siap cerpen pertama setelah rehat bertahun-tahun.  Cerpen tersebut tersiar dalam majalah FARDHU AIN dengan tajuk DOA DAN AIR MATA.  Keyakinan diri melonjak naik.  Masih berbakat diri ini.   Ketika saya sibuk dan mula mengenali dunia FB, saya buka grup masakan awalnya.  Mulalah pos gambar masakan yang telah saya belajar daripada kawan-kawan dalam grup.  Berbakat jugalah dalam bidang masakan ini, tapi untuk diri sendiri dan keluarga sahajalah.
Saya pernah  hantar manuskrip saya ke sebuah syarikat penerbitan di Bangi.  Namun ditolak atas alasan tidak sesuai dengan khalayak pembaca  mereka.  Saya terima, tetapi saya tidak baiki karya tersebut. Saya biarkan sahaja.  Saya ada FB akauan dan sentiasalah masuk untuk mencari kawan dan belajar memasak. Bila sudah asyik bersembang, kenal orang sana, kenal orang sini.  Saya masuklah pula satu grup buku dan sastera.  Mula masuk GRUP SASTERA MELAYU, kemudian SALAM KARYA-SITI ROZILAH, di situlah saya mula menghantar mss saya yang telah ditolak itu  untuk dibedah.  Dengan tajuk  SESALAN TIDAK TERUCAP.  Saya mula berkawan dengan ramai penulis yang sebelum ini saya tidak menyangka mahu berkawan dengan saya.   Mereka ramah sekali.  Banyak membantu saya.    Satu hari saya pos karya saya di grup CINTA NOVEL MALAYSIA adminya seorang penulis juga.  Di situlah karya saya di  bedah kaw-kaw.  Ana Balqis telah menegur cara penulisan saya yang dirasakan hambar dan tidak mesra pembaca.  Saya ubah cara, akhirnya ramai yang senang cara garapan baharu saya itu. 
Di dalam CNM diwar-warkan bahawa karya yang dihantar di situ akan dinilai oleh pihak penerbit da nada rezeki akan diterbitkan.  Saya paling suka dan terujalah, sehingga bab 25 saya masukkan ke grup itu sehinggalah diumumkan sebuah portal anjuran pihak Grup Buku Karangkraf dirasmikan dan dibuka kepada penulis-penulis baharu dan lama. Saya mencuba nasib.  Saya masukkan sehingga  bab 35 SESALAN TIDAK TERUCAP.  Ramailah yang membaca apabila karya itu dipromo ke semua grup  yang saya masuk kecuali grup masakan.  Setelah siap manuskrip itu akhirnya saya hantar ke rumah penerbitan Alaf 21.  Empat bulan masa saya ambil untuk menyiapkan karya tersebut.  Bercengkang mata, dibedal dan dihentam. Malah tidak kurang yang suka.   Ada juga kawan-kawan beritahu, penerbit tidak suka  kisah poligami, saya tidak kisah dan tidak menulis manuskrip baharu.  Saya ingin mencuba juga.  Akhirnya setelah siap sepenuhnya saya hantar ke Alaf 21.  Dua bulan selepas itu saya menerima berita gembira bahawa karya saya akan diterbitkan, namun tajuknya telah ditukar.  Tidak kisahlah asalkan karya itu diterbitkan.  Akhirnya lahirlah ‘bayi’ pertama saya AKU TURUT BAHAGIA  di bawah logo ALAF 21, cita-cita dan impian yang menjadi kenyataan.     Kini sahlah saya telah menjadi penulis novel.  Angan-angan menjadi reality.  Siapa yang tidak gembira dan suka.  Alhamdulillah.