Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 3 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA - BAB 17


Bab 17

DIA menoleh ketika merasakan bahunya ditepuk oleh seseorang. Taufik tersengih di belakangnya, dan tanpa menunggu dipelawa jejaka kacak itu terus menarik kerusi dan duduk di hadapannya.
“Tak sangka terserempak dengan kau kat sini, Suf!” tingkah Taufik sambil melambaikan tangannya ke arah seorang waiter yang bertugas di hotel tiga bintang itu.
Yusuf Hakimi sengih.
“Aku tengah tunggu client kat sini. Lambat pulak dia ni sampai. Kau pula?”
“Sekali-sekala aku memang suka singgah makan kat sini. Nasi goreng nanasnya superb! Kau cubalah.” Cadang Taufik.
“Selalu makan dengan siapa?” korek Yusuf Hakimi. Entahlah! Kadangkala di hatinya masih bersisa ‘bengkek’ dengan Taufik. Nostalgia silam di mana kekasih pertamanya yang pernah digoda oleh lelaki itu sesekali tetap mencengkam perasaan.
“Kadang-kadang dengan kawan. Selalunya sendirian.” sahut Taufik sambil berkata sesuatu ke arah waiter yang menhulurkan menu ke arahnya.
“Dah bawa Atika Ayuni kemari?”
Taufik geleng kepala. “Tengoklah esok lusa.” Sahutnya sambil berdekah. “Kenapa kau tengok aku macam nak telan, Suf? Kau tak percaya yang aku dah berubah?” soalnya tiba-tiba.
“Bukan tugas aku nak mempertikaikan sama ada sikap don juan kau dah berubah ataupun belum. Tapi Fik, Atika Ayuni tu kawan baik isteri aku!”
“Aku faham, Suf. Aku tahu kau masih tak percaya dengan aku. Aku akui yang Ayu tu gadis baik dan insya-Allah aku tak akan buat apa-apa yang boleh memudaratkan dia.” Taufik seolah-olah berjanji.
Kata-kata Taufik yang menyebut perkataan ‘insya-Allah’ seketika tadi berjaya melenturkan hati Yusuf Hakimi. Maknanya, jejaka itu masih berpaksikan pada Tuhan Yang Maha Esa. Dan orang yang di hatinya masih berpaksikan Tuhan akan lebih menjaga tingkahlakunya.
“Jadi maksud kau Aliza bukan gadis yang baik?” entah mengapa mulutnya mengungkit kisah yang telah bertahun-tahun ditinggalkan.
Wajah Taufik nyata berubah sebaik sahaja mendengar nama Aliza muncul dari bibir lelaki di hadapannya; lelaki yang pernah menjadi teman baiknya ketika bergelar mahasiswa dahulu. Lelaki yang pernah dicalarkan hatinya dengan sebuah pengkhianatan.
“Suf, aku betul-betul minta maaf dengan kau. Aku tak sangka setelah kau kini bahagia dengan isteri kau, kau masih simpan dendam pada aku.” Tukas Taufik.
Yusuf Hakimi tergeleng-geleng.
“Kata orang, tempat jatuh lagikan dikenang, Fik. Aku ni belum tua pikun lagi nak lupa segala kenangan pahit tu. Aku akui yang aku kini bahagia dengan Ika tapi kenangan lalu yang menyaksikan hati aku dihancurkan oleh dua orang manusia yang aku percaya iaitu kau dan Aliza, bukan senang nak dikikis!” sahut Yusuf Hakimi dengan nada tegas.
“Demi Allah aku dah berubah, Suf!”
“Fik, lidah kau jangan mudah bermain-main dengan sumpah!” Yusuf Hakimi mengingatkan. Taufik segera memekup tangan ke mulutnya.
“Aku... aku...”
Yusuf Hakimi senyum.
“Sudahlah, Fik. Walaupun kadang-kadang aku masih lagi teringat kisah silam tapi aku tengok kau memang dah berubah, atau cuba berubah. Tu memang bagus, Fik. Setiap manusia harus berubah ke arah kebaikan. Aku harap kau kini berpijak di landasan yang betul.”
“Terima kasih, kawan. Macam mana aku nak terangkan pada kau yang aku cukup menyesal tentang hal Aliza tu.”
“Dah bukan jodoh aku dengan dia, Fik. Mungkin jodoh aku dah ditetapkan dengan Ika. Aku bahagia dengan dia sekarang. Aliza hanyalah sebuah memori yang tiba-tiba muncul apabila aku bertemu dengan kau semula.” Tukas Yusuf Hakimi dengan wajah yang tenang. Bukankah jelas bahawa jodoh Yusuf adalah dengan Zulaika?
“Aku gembira melihat kau senang menikmati kebahagiaan dengan isteri kau sekarang. Kau beruntung dapat isteri yang muda, cantik dan baik budi pekertinya macam Ika tu. Kau dianugerahkan dengan perempuan yang seribu kali lebih baik daripada bekas kekasih kau dulu.” Komen Taufik.
Yusuf Hakimi mencerlangkan matanya.
“Jadi, kau menuduh Aliza bukanlah gadis yang baik sehingga kau sanggup menggodanya?” nada yang tadinya telah melembut, bertukar garangs emula.
“Bukan... bukan tu maksud aku, Suf!” Taufik benar-benar terperangkap.
“Kenapa kau pilih dia sebagai sasaran kau setelah kau cukup tahu dia telah punya kekasih?”
“Err...”
Yusuf Hakimi geleng kepala.
“Dahlah, Fik. Baik kita jangan ungkit lagi kisah silam yang menyakitkan hati tu. Kau kini dah insaf dan aku dah bahagia dengan Ika. Tu yang penting.” Desisnya membuatkan pemuda di hadapannya menarik nafas lega. “Tapi kadang-kadang aku tertanya-tanya juga di mana Aliza sekarang ya? Dan bagaimanakah kehidupannya?”
“Kau tak pernah cari dia selama ni?”
“Untuk apa aku cari perempuan yang dah lukakan hati aku? Dahlah, Fik, aku malaslah nak panjang-panjangkan isu ni. Kita bincang pasal hal lain ajelah ya.” Tingkahnya ketika waiter yang bertugas menghantar makanan dan minuman yang telah dipesan. “Hmmm... memang sedap nasi goreng nanas ni! Bolehlah aku bawa orang rumah kemari.” Pujinya.
Taufik gelak. “Kan aku dah cakap. Aku pun ingat nak bawa Ayu kemarilah!” dia merancang.
“Kau baik ingat kata-kata aku ni, Fik, kalau kau benar-benar sukakan dia tu, buat betul-betul. Jangan main-mainkan perasaan dia nanti penumbuk aku singgah kat muka kau!”
“Yelah, aku tahulah!” sahut Taufik pantas.
Telefon bimbitnya berbunyi tiba-tiba. Dia segera memekapkannya ke telinga.
“Ya, Ju! Apa khabar?” soalnya pada teman yang menelefon nun jauh dari kota London. Taufik di hadapannya menoleh. “Hujung minggu ni you nak balik kemari? Go ahead! I tak kisah, you nak balik ke, tak nak balik ke... you bukannya bini I!” dia berlawak di hujung talian.
Dia hanya menyengih pada Taufik setelah perbualannya dengan Intan Juliana tamat. Mereka meneruskan acara makan tanpa banyak cerita.

INTAN JULIANA membuang pandang ke luar tingkap. Yusuf Hakimi; kadangkala berlawak nyata mengguris perasaannya. “I tak kisah, you nak balik ke, tak nak balik ke... you bukannya bini I!” Kata-kata itu benar-benar menyentap emosinya. Dia rasa seperti orang asing yang tak penting satu sen pun dalam hidup Yusuf Hakimi.
Kenapa kau harus penting dalam hidupnya, Intan Juliana? Memang benar apa yang dituturkannya. Kau bukannya sesiapa pada Yusuf Hakimi untuk dikisahkan. Kau hanyalah seorang teman – teman yang silih berganti. Teman yang boleh datang dan pergi sesuka hati. Lainlah kalau kau kekasihnya ataupun isterinya yang tak boleh diperlakukan sesuka hati!
Jadi kenapa kau perlu bersedih, Ju?
Intan Juliana menarik nafas dalam-dalam. Kenapa dalam ramai-ramai kenalanku, aku menyimpan rasa yang istimewa terhadap Yusuf Hakimi, desis hatinya. Bukankah dia telah beristeri? Dan aku sebagai seorang wanita, sanggupkah menghancurkan hati wanita lain hanya kerana cinta?
Intan Juliana mengeluh.
“Apa yang dimenungkan tu, Ju?” soal seorang lelaki.
Intan Juliana menoleh ke arah Datuk Johan, lelaki yang telah dianggapnya sebagai pengganti ayahnya. Lelaki yang sanggup memberikan kasih sayang seorang ayah yang tak pernah dimilikinya selama ini.
“Nothinglah uncle.” Sahutnya pantas dan berusaha untuk memaniskan wajahnya.
“Jangan tipu unclelah. Ni mesti teringatkan somebody special kat KL. Ju rindukan Yusuf ya?”
“Uncle... nak buat apa Ju rindukan suami orang?” luahnya.
“Zaman sekarang ni, mana ada border lagi dalam sesebuah hubungan? Menjalinkan hubungan dengan suami orang atau lebih tepat lagi uncle katakan, isu poligami ni dah jadi lumrah dalam masyarakat kita. Lainlah orang putih yang mengamalkan asas monogami. Tapi dia orang simpan perempuan dan kunjungi rumah-rumah pelacuran, semuanya tak jadi hal dah!”
“Hesy, uncle ni! Tak pernah terfikir di benak Ju ni nak rampas laki oranglah, uncle.” Intan Juliana terpekik.
Datuk Johan sengih.
“Apa nak dimalukan, Ju? Seorang lelaki muslim boleh kahwin lebih daripada satu tau, asalkan dia mampu dan sanggup berlaku adil!” Datuk Johan terus-menerus mengusik. Dia ingin menerbak jauh ke dalam hati wanita di hadapannya yang telah lama membujang itu. Kalau betullah Intan Juliana benar-benar menaruh hati pada Yusuf Hakimi, tak menjadi kesalahan padanya walaupun lelaki itu telah beristeri.
“Biar betul, uncle! Uncle fikir, nak ke Yusuf tu pilih Ju dan menduakan isterinya yang begitu muda? Bayangkan uncle, she’s just twenty one, still too young untuk dimadukan. Dan Ju rasa uncle pun dah tengok perempuan tu. She’s very pretty, uncle!”
Datuk Johan mengangguk.
“Ya, she’s too young yet too pretty untuk bergelar isteri tua. Tapi kalau hati Yusuf terbuka untuk terima Ju, apa salahnya? Jangan tipu uncle, Ju. Uncle tahu Ju dah lama jatuh hati dengan dia kan? Tapi Ju tak berani luahkannya di hadapan Yusuf Hakimi. Dan jangan sesekali pandang rendah pada diri Ju sebab Ju lebih berusia daripada Zulaika. Ju kata isteri Yusuf tu, cantik, memang tu uncle tak nafikan. Tapi siapa yang berani kata Ju tak cantik? Bawa dia sini, biar uncle bagi penampar kat muka dia!”
Intan Juliana tergelak kecil.
“Ju, bila kita dah tua nanti semua yang cantik tu akan hilang. Masa tu baru kita akan sedar ianya hanyalah lapisan kulit di tubuh kita. Dan setelah kita mati nanti, setiap manusia semuanya sama. Yang tinggal hanyalah tulang-belulang semata!” tegas Datuk Johan. “Jadi, jangan sesekali pandang rendah pada diri kita. Mungkin ada kelebihan pada diri Ju yang tak dimiliki oleh Zulaika...”
“Cukup, uncle! Ju rasa baik kita berhenti saja dari bincangkan hal ni!” Intan Juliana merasa muak berbincang tentang hal yang sama sekali tak mungkin menjadi kenyataan itu.
Mustahil! Mustahil dia dan Yusuf Hakimi bakal berpadu. Bukankah jodoh Yusuf adalah dengan Zulaika? Dan jodoh mereka berdua telah ditakdirkan sejak azali lagi?
Mustahil Intan Juliana bakal mencelah. Mustahil!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan