Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 15 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 33

Bab 33

“SUF, ibu... ibu...” suara sebak yang terlontar dari bibir Intan Juliana di awal pagi itulah yang membuatkan Yusuf Hakimi bergegas mencapai kunci kereta tanpa sempat menjamah mihun goreng yang terhidang di atas meja.
“Bang! Nak ke mana tergesa-gesa tu?” jeritannya tak diendahkan. Zulaika yang pelik melihatkan kelakuannya yang tergocoh-gocoh setelah mendapat satu panggilan telefon itu, terkejar-kejar mengekorinya. “Bang!” jeritnya lagi. Tapi Yusuf Hakimi sudahpun masuk ke dalam perut keretanya.
Zulaika menyisih ke tepi. Dalam keadaan suaminya yang seolah-olah tidak menyedari kehadirannya itu, dia perlu menyisih ke tepi bimbang kalau-kalau disodok oleh kereta suaminya sendiri.
Yusuf Hakimi memandu laju ke destinasi. Siti Asiah membukakan pintu dan membenarkannya masuk.
“Cik Ju mana?” dia menyoal. Pembantu rumah itu menudingkan jarinya ke tingkat atas. “Katakan padanya saya datang ya.” Dia meminta. Siti Asiah hanya mengangguk.
Seketika kemudian Intan Juliana muncul. Yusuf Hakimi hanya memandang tatkala temannya itu menuruni tangga dan terus meluru ke dalam dakapannya. Air matanya yang hangat hinggap ke dada Yusuf Hakimi.
“Shhh...” desisnya sambil membelai rambut Intan Juliana.
“Suf, I cukup tak sangka bila Uncle Johan telefon I jam lima pagi tadi untuk beritahu I tentang... tentang...” dia tak dapat meneruskan kata-katanya. Tangisannya bergema semula, kali ini dalam dakapan Yusuf Hakimi. “Jantungnya berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Ibu... ibu dah tak ada, Suf! Ibu dah tak ada!”
“Ju, sabarlah. Semua ni dah takdir.” Dia memujuk.

BENGKEK! Itulah yang dirasai oleh Zulaika kalau ada sesiapa yang bertanyakan keadaannya pagi itu. Tapi dia tahu takkan ada sesiapa yang akan bertanya padanya soalan sebegitu rupa kerana dia hanya tinggal sendirian di rumah. Tak ada siapa yang akan melihat mimik wajahnya.
Sejak peristiwa memalukan yang dicipta oleh Fatin Adiba, Yusuf Hakimi seolah-olah hambar dengannya. Puas sudah dia merayu-rayu agar dimaafkan oleh suaminya tapi nampaknya lelaki itu seolah-olah menyimpan dendam dengannya. Kenapa suaminya sanggup memperlakukannya sebegitu rupa?
Kalau dahulu, lelaki itu sering mahu dibelai dan dimanja. Dahulu, Yusuf Hakimi suka menyakatnya; gurau sendanya menghiasi kesunyian rumah besar itu. Tapi kini segala gurau senda dan kemanjaan seorang suami terhadap isterinya bagaikan hanya tinggal memori. Ya, lelaki itu tetap melayannya sebagai seorang isteri tapi ‘semangat cinta yang membara di antara Zulaika dan Yusuf’ bagaikan telah hilang di antara mereka berdua.
“Ya Allah, kembalikanlah semula rasa cinta yang membara itu dalam rumah tanggaku!” dia mengangkat tangannya dengan linangan air mata.
Hanya kepada-Nyalah dia mengadu kerana tiada siapa yang tahu masalah yang sedang melanda hidupnya. Dan dia juga bukanlah seperti sesetengah orang yang kalau ada masalah dengan pasangan akan segera mencari orang lain untuk mengadu hal.

“KAU ni aku tengok makin rapat dengan Intan Juliana tu, ada apa-apa ke?” soal Taufik membuatkan Yusuf Hakimi merenungnya dengan tajam.
“Kenapa? Salahkah kalau aku bersimpati dengannya? Ibunya baru aje meninggal dunia dan dia sedang bersedih.” Dia membela dirinya.
Taufik hanya tersenyum sambil mengangguk perlahan. Simpati? Jawapan yang cukup klise, desis hatinya. Bukan dia tak tahu betapa kerapnya lelaki itu mengunjungi Intan Juliana tak kiralah sama ada di galeri lukisan mahupun di banglonya yang tersergam itu? Dia sebagai lelaki cukup arif betapa rasa simpati bila-bila masa saja akan bertukar menjadi cinta. Apapun Yusuf Hakimi dan Intan Juliana tetap manusia. Dan sebagai manusia berlainan jantina mereka tetap dibekalkan dengan nafsu dan keinginan.
“Baik kau berjaga-jaga, Suf. Kalau kau bujang aku tak kisah, tapi kau dah beristeri. Jangan persiakan isteri kau. Aku bukannya nak jaga tepi kain orang tapi sebagai kawan, aku cuma nak mengingatkan aje...”
“Hey, Taufik! Kau jangan cuba nak berlagak pandai dengan akulah. Kau tu dulu apa kurangnya, sampaikan kekasih aku pun kau sanggup goda!” Yusuf Hakimi melontarkan suaranya dengan agak keras.
Taufik hanya sengih. Dia tahu pasti lelaki itu akan mengungkit kisah silam mereka semasa menuntut di universiti dahulu. Manusia memang sukar menerima kritikan walaupun yang membina.
“Sorrylah kalau kata-kata aku tadi dah menyakitkan hati kau. Okeylah, Suf, I got to go. Kalau lambat nanti merajuk pulak Si Ayu tu.” Taufik segera berlalu meninggalkan Yusuf Hakimi.

“TAK BAIK kita berburuk sangka, bang.” Kata Atika Ayuni. Dia menjadi risau setelah mendengar cerita dari mulut bakal suaminya itu. Wajah Zulaika yang polos terbayang di ruang hatinya. Bagaimana nasib Zulaika kelak kalau benarlah seperti apa yang diceritakan oleh Taufik sebentar tadi? Dia jadi gerun memikirkan segala kemungkinan itu.
“Entahlah, Ayu... abang pun risau sebenarnya. Memang dulu abang ada ramai teman wanita tapi tu sebelum abang berkahwin. Tapi abang ni lelaki juga Ayu, tak boleh nak dabik dada, tak pasal-pasal nanti Tuhan terbalikkan hati kita, habis cerita!” tingkahnya sambil tergelak kecil melihatkan reaksi tunangnya.
“Abang jangan nak ulang sikap playboy abang dulu. Ayu tak rela!” Atika Ayuni mengingatkan.
“Insya-Allah abang takkan ulanginya.”
“Cantik ke perempuan tu, bang?”
“Intan Juliana? Hmmm... cantik!”
“Kalau dibandingkan dia dengan Ika, siapa yang lebih cantik?”
“Kenapa Ayu tanya macam tu?”
Atika Ayuni mengerutkan keningnya yang hitam lebat. “Saja nak tau.” Sahutnya.
“Ika lagi cantik. Lagipun dia masih muda.” Sahut Taufik.
“Hmmm... kalau macam tu, takyah risaulah, bang. Siapa yang lebih cantik, dialah yang menang! Zulaika tu cantik orangnya, bang. Dahlah cantik, baik hati pulak tu. Pompuan tu, dahlah tak cantik, dah tua pulak tu! Bodohlah Abang Yusuf kalau buat hal dengan dia.” Senang dan ringkas saja ulasan yang terkeluar dari mulut Atika Ayuni membuatkan Taufik terkerisin.
“Tapi Ayu kena ingat juga, cinta tak semestinya berputik berdasarkan pada paras rupa.”
“Huh, apa lagi yang kurang pada Ika tu, bang? Bagi Ayu, dia sempurna. Sebagai seorang wanita, dia ada segala-galanya yang patut dimiliki oleh seorang wanita, paras rupa ada... budi pekerti pun ada. Dia pandai memasak, rajin kemas rumah. Walaupun dia tak bekerja pejabat macam orang lain, tapi kalau setakat nak beli coli atau seluar dalam, dia ada pendapatan sendiri yang diperolehinya dari kerjanya sebagai penulis novel. Malah, Ayu yang yang kerja pejabat ni pun pernah sesak dan pinjam duit dari dia tau, bang!” beria-ia dia membela Zulaika.
“Yelah, sayang. Abang tak nafikan kata-kata Ayu tu. Mungkin abang yang tersilap tafsir agaknya. Mungkin memang betul antara Yusuf Hakimi dengan Intan Juliana tu, hanya teman biasa aje. Kita fikir yang baik-baik ajelah ya, Ayu. Hmmm... Ayu kena ingat nasihat abang ni, hal ni habis antara kita berdua aje. Jangan sampai ke telinga Ika pulak.” Taufik mengingatkan tunangnya. Risau juga dia kerana telah terlepas cakap dengan tunangnya tentang hal tersebut.
Atika Ayuni angguk tidak, geleng pun tidak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan