AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 10 March 2014

Kau Pergi Tak Kembali...







Pecah jua takungan  air mata yang tersimpan kemas di tempat dia melihat dunia.  Rasa gugur jantungnya menerima berita yang tidak pernah terduga olehnya.  Malah tidak pernah menyangka perkara itu akan berlaku kepada dirinya sendiri.  Barangan hantaran yang telah ditempah dan sudah siap sepenuhnya tersusun kemas di katil yang bakal menjadi bulan madu terindah dalam hidupnya.  Terasa sebak dan  berat dadanya.  Pakaian nikah dan persandingan tergantung kemas di dalam almari.  Semakin dilihat, semakin pedih   rasa di hati.  Mahu sahaja dia membuangnya jauh-jauh agar tidak kelihatan lagi. 

Masih terngiang-ngiang di telinganya rayuan tunangannya agar membenarkan dia pergi  berkursus ke Beijing.    Pada  hal hanya seminggu sahaja lagi majlis pernikahan dan persandingan mereka akan berlangsung.  Bukan dia tidak izinkan tetapi persiapan semakin sarat harus difikir dan diselesaikan.  Kenapa di saat-saat akhir?  Geram bercampur sebal di hati. 

“Abang gantikan orang, pihak syarikat minta abang pergi.  Kawan abang yang sepatutnya pergi, isterinya  melahirkan jadi dia tidak boleh ikut serta,” mempamerkan wajah mohon simpati.  Ikmal  memaniskan muka.  

“Tak boleh ganti dengan orang lain ke?”  rengek Haniza, mencuka. 
               
 “Hanya ada dua orang yang pakar dalam bidang abang ini. Abang dan kawan abang.  Macam  abang cakap tadi, kawan abang isterinya bersalin, jadi hanya abang yang tinggal.  Dia tidak boleh hadir, abang kenalah gantikan.  Sehari sebelum majlis, abang baliklah.  Masih sempat lagi,”  kata Ikmal meyakinkan.
  “Hish, kalau abang tak balik macam mana?  Tersangkut dengan amoi Beijing ke?  Nanti Hani putih mata aje,”  masih tidak mahu mengizinkan.  Berat benar hatinya hendak melepaskan pemergiaan tunangan tersayang.  Hubungan terjalin sekian lama akhirnya termeterai dengan pertunangan dan  mereka bakal disatukan tidak lama lagi. 

Hati siapa yang tidak riang dan gembira, orang tersayang akan menjadi pasangan hidup.    Mereka akan bersatu dalam majlis yang serba mewah dan meriah.  Perancangan yang telah diatur sejak dua bulan yang lalu.  Setiap hari dia akan meneliti rancangan jadual majlis persandingan dan majlis akad nikah.  Tersenyum sendiri memikirkan  hari berbahagia yang bakal berlangsung itu.

                “Hani!  Tolonglah.  Izinkan abang pergi, ya?” rayu Ikmal.  Wajah penuh mengharap.  Dia tidak boleh menolak kerana ini permintaan tempat dia bekerja.  
                “Nantilah, Hani fikirkan dulu ya,” hanya itu yang mampu diberitahu.  Resah mencengkam hati.  Bimbang menerpa tanpa dipinta.  Risau mengulit diri. 
                “Abang kena beri jawapan segera, mereka hendak tempat tiket kapal terbang, penginapan mana boleh beri keputusan lewat!”  Ikmal  bimbang.  Kenapalah sukar sangat Haniza ingin benarkan dia pergi.  Sepanjang mereka bertunang bukan tidak pernah dia keluar negara, malah kerap juga.   Dia faham mungkin Haniza risau tentang majlis perkahwinan mereka.  Tetapi masih ada waktu untuk dia menguruskannya nanti.  Segala persiapan yang lain sudah selesai. Hanya menunggu harinya sahaja.
                “Tak boleh berkompromi ke syarikat abang itu?  Lepas kahwin ke?”  Haniza cemberut.
                “Tak boleh!  Bengkel itu bukan ditentukan oleh syarikat, tetapi dianjurkan oleh syarikat lain. Syarikat abang cuma  hadir sebagai peserta.  Lagipun bengkel atau kursus ini jarang diadakan.  Bila mendapat tahu dan tawaran, terus sahaja majikan abang menerima.  Bukan abang seorang yang pergi.  Berbelas orang.  Hani jangan bimbang ya,”  masih terus memujuk.  Merayu dan mengharap  Haniza akan bersetuju.
                “Kalau Hani tak benarkan? Abang akan pergi juga?”  bermain dengan teka teki, ingin mengetahui perasaan sayang tunangannya itu terhadap dirinya.
                “Ini soal periuk nasi abang Hani, tempat abang cari makan, tempat abang bekerja.  Selama ini  Hani tidak pernah kisahpun, kenapa kali ini begitu keras dan susah untuk mengizinkan.  Abang boleh aje pergi tanpa beritahu Hani.  Tapia bang masih ada perasaan ingin berkongsi  dengan Hani, cuba faham situasi abang!” Ikmal hampir  hilang sabar.  Sejak setengah jam tadi dia merayu dan mengharap  namun Hani bermain-main pula.  Esok jawapan harus diberi.  Bukan masanya untuk  bergurau senda atau menguji perasaan masing-masing.  Ini bukan soal kesetiaan atau soal ketidakjujuran.  Ini melibatkan soal kerja.  Sebagai bakal isteri Haniza seharusnya memahami keadaannya.  Majlis perkahwinan mereka masih ada ahli keluarga yang  boleh membantu.  Bukan Haniza terpaksa buat sendiri.  

                Wajah Haniza bertukar kelat.  Suara tinggi Ikmal menyentap hatinya.  Sepanjang mereka bersama belum pernah Ikmal meninggikan suara kepadanya.  Marah benar nampaknya. 

                “Pergilah, kalau dah nak sangat!   Jangan sampai tak balik sudahlah!”  rungut Haniza.  Dengan berat hati terpaksa membenarkan.  Dia tidak mahu hubungan  dingin disaat-saat tibanya hari berbahagia mereka berdua. 

                “Izinkanlah dengan redha dan ikhlas, bukan terpaksa atau dipaksa,”  pujuk Ikmal.  Wajahnya melakarkan senyuman. 

                “Yalah, nak buat macam mana?  Nak pergi sangat, Hani izinkanlah,”  mengendurkan perasaan sendiri.  

                “Bila abang akan bertolak?”  Haniza memandang wajah riang Ikmal yang setia di hadapannya. 

                “Lagi dua hari, sempat kita pergi selesaikan apa yang tertangguh,”  Ikmal melemparkan senyuman. 

                Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tenang.  Tidaklah terlalu ramai pengunjung, tidak seperti waktu musim Haji.  Haniza menarik beg pakaian Ikmal sambil tersenyum.  Beberapa rakan sekerja  bakal suaminya turut menumpang mereka.  Saling berbual dan berborak kosong.  Jelas terpancar  keriang di wajah masing-masing.  Ada yang baharu pertama kali menaiki kapal terbang merasa kecut perut.   Haniza tidak lupa memesan cenderhati dari negara tembok besar itu.  Terutama kain suteranya yang cantik dan berkualiti. 
  
                “Sepanjang abang tak ada nanti, jaga diri baik-baik tau. Awak itu berdarah manis, banyak dugaan yang menanti,” pesan Ikmal. 

                “Jangan pandai-pandai nak pujuk kita, awak tu pun sama,  jangan nak main mata dengan amoi di sana.  Ingat, awak tu sudah bertunang dan bakal jadi suami orang,” pesan  Haniza. 

                “Insya-ALLAH, segalanya akan dipermudahkan.    Hani tunggu kepulangan abang ya,”  Ikmal  mengenyitkan mata.  Mereka saling bertatapan dan tersenyum. 

                “Hey, apa nombor pesawat kita?” tanya salah seorang  rakan sekerja Ikmal,” 

           “MH370lah,” jawab Ikmal sambil mengambil beg pakaiannya daripada Haniza.  Mereka sudahpun berada di  bahagian  pendaftaran.    Haniza menunggu di sebelah sewaktu Ikmal mendaftarkan diri serta  beg pakaiannya.  Begitu juga rakan-rakannya yang lain.  Kelihatan penumpang berbaris panjang.  Semuanya menaiki kapal terbang yang sama.  Haniza sempat mengacah seorang bayi yang comel.  Bayi itu tersenyum manis.   

                 “Suka kanak-kanakkan?  Sabarlah…  nanti kita ada anak sendiri,” usik Ikmal. 

                  Laju sahaja tangan Haniza memukul lengan Ikmal.   

 Setelah mendaftar , mereka terus ke ruang menunggu.  Masih sempat untuk berbual panjang.  Masih punya waktu.  Ramai warga cina berbaris panjang di lorong pendaftaran MH370.  Mata Haniza leka memerhati gelagat mereka.  Mungkin baharu selesai melawat Malaysia dan hendak kembali ke tanah air mereka.  Haniza tersenyum sendiri.       

                “Hani…  dalam hati abang hanya ada Hani sahaja.  Abang hanya sayangkan Hani seorang.  Selama-lamanya.  Sehingga ke syurga,”   kata Ikmal meyakinkan Haniza.  Dia tidak pura-pura, dia bersungguh-sungguh dan benar-benar menyintai gadis itu.  Bakal suri hatinya. 

    Haniza menunduk malu.  Diapun mencintai lelaki itu sepenuh hatinya.  Semoga bahagia milik mereka.  Haniza memandang sayu langkah Ikmal melepasi pemeriksaan  Imigrasen.  Tangannya melambai lemah, hatinya diulit pilu dan sayu.  Walaupun  belum lagi berpisah jauh, namun perasaan rindu sudah mula memutik di hati.  Sempat lagi lelaki itu mengucapkan perkataan sayang kepadanya dan melayangkan ciuman  di angin lalu.  Haniza menunggu sehingga kelibat Ikmal menghilang dari pandangannya.  Hari semakin menjauh malam.  Dia mengeluh.  Penat pula terpaksa memandu seorang diri pulang ke rumah.  Tadi adiknya hendak menemani dia tidak benarkan.  Konon ingin berdua-duaan dengan  bakal suaminya, akhirnya ada juga yang menumpang.    Haniza berdoa dalam hati semoga Ikmal selamat pergi dan selamat kembali.
Peristiwa beberapa jam yang lalu bagaikan baharu sahaja  berlaku.  Berita yang  diterima daripada  keluarga tunangnya  hampir mencabut nyawanya. Terlalu terkejut dan tergamam.  Sukar untuk dia mempercayainya.  Dia   yang menghantar tunangnya itu ke lapangang terbang.  Mereka sempat bergurau  dan saling berjanji untuk masa hadapan sendiri.  Tidak mungkin pesawat itu hilang?  Ke mana?  Di mana?  Apa yang berlaku? Pesawat itu mengalami kerosakankah?  Berbagai persoalan bermain di benaknya.  Rasa lemah seluruh tubuhnya.  Kakinya tidak mampu berdiri teguh.  Dadanya sebak sarat dengan kesedihan dan kepiluan menangisi kehilangan orang tersayang.  Menyesal pula mengizinkan Ikmal pergi.    Dia beristighfar berkali-kali.  Takdir ILAHI jangan hendak disanggah.  Semuanya ada hikmah tersendiri.

           Apakah kebimbangan yang bersarang di hatinya beberapa hari yang lalu kerana dia benar-benar akan  kehilangan orang tersayang?    Kebimbangan yang menumbuk sanubarinya kerana sudah terlintas perkara  buruk yang bakal terjadi?  Entah berapa banyak tisu menjadi pengesat air matanya yang mengalir.  Menangis dan menangis.  Tidak tahu apa yang harus dia lakukan.  Menunggu dan mengharap.  Masa terus berlalu.  Orang tersayang masih belum ditemui.  Bukan seorang, malah semua penumpang yang menaiki pesawat tersebut.  Wajah-wajah duka yang menunggu dengan sabar berita tentang pesawat tersebut dipandang satu persatu.  Mereka juga bimbang dan risau, sama seperti dirinya.  Mengharap semua penumpang kembali dengan selamat.  Majlis pernikahannya akan berlangsung seminggu lagi.     

Resah, risau, bimbang, pilu, sedih semuanya bersarang di dada.  Tidak sabar rasanya ingin mengetahui apa yang berlaku dan sudahkah pesawat itu ditemui?  Tiada lagi senyuman yang  terukir di bibirnya.    Hanya air mata teman yang setia sejak tiga hari lalu.   Puas ahli keluarga memujuk dan memberi semangat.  Tetapi semangat itu bagaikan mati bersama kehilangan pesawat yang membawa Ikmal dan kawan-kawannya ke Beijing.  Doa juga dipanjangkan, merayu dan meminta agar semua penumpang selamat  kembali, biar berada di manapun.  Disorok atau di bawa lari tidak kira apapun berlaku biarlah ada jasadnya.  Bukan harapan dia seorang diri tetapi harapan ahli keluarga  penumpang pesawat tersebut.  Mungkin mereka juga sedih seperti dirinya.  Mereka juga bimbang dan risau sama sepertinya.   


Kalaulah dia  benar-benar berkeras tidak mengizinkan Ikmal pergi sudah tentu mereka akan menyulam bahagia .  Kalaulah Ikmal tidak berkeras hendak pergi juga sudah pasti ini mereka masih boleh bergurau senda.  Kalaulah majikan Ikmal tidak memaksa sudah pasti dia masih bersama Ikmal.  Haniza terus beristighfar tidak perlu memarahi takdir yang ditentukan kepadanya dan Ikmal.  Air mata meluncur laju.   Geram juga  mendekati. Marah dengan kedegilan tunangnya itu.  Ya, ALLAH sesungguhnya aku hambaMu yang lemah, bisik hati kecil Haniza sendiri.


Jawapan kepastian masih belum diterima.  Majlis perkahwinannya juga terpaksa ditangguhkan.  Seluruh ahli kelurga kedua belah keluarga sedang berduka.  Bukan keluarganya sahaja malah keluarga penumpang pesawat itu turut bermandi air mata.  Tidak tahu berbuat apa-apa.  Menunggu dan berharap sambil berdoa semoga semuanya selesai segera.    Haniza memandang  gambar Ikmal  digenggaman dengan harapan tinggi tunangannya itu akan kembali.

No comments:

Post a Comment