Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 24 April 2014

INGIN JADI PENULIS?









Salam, selamat pagi dan selamat datang kepada  pembaca blog yang sudi menjengah ke mari.  Selama menjadi ahli dan admin grup penulisan , saya sering dihujani dengan pertanyaan bagaimana hendak menghantar karya ke rumah penerbitan yang ada di Malaysia, tidak kira majalah, atau untuk menghantar manuskrip novel yang sudah siap. 

Pengalaman saya sewaktu mula-mula menulis, saya selongkar atau beli setiap majalah yang ada ruangan  cerpen, saya dapatkan alamat dan terus hantar.  Tidak tahu apa syarat-syarat hantar karya?  Tidak tahu kena jarak atau tidak? Tidak tahu diterima atau tidak.  Berpuluh saya hantar, tiada satupun yang lekat, rupanya salah cara saya menghantar, terlebih muka surat, cerita tak padat, watak tidak jelas, jalan cerita campur aduk. 

Saya mula membeli buku cara menulis dan menghasilkan cerpen. Belajar dari situ.  Atas kesudian seorang editor Utusan yang telah nampak keinginan dan kesungguhan saya untuk menulis, menjemput saya menghadiri kursus menulis cerpen secara pos.  Dr. Wahba ( Wan Hamzah. Waktu itu Internet tidak seperti sekarang. 6 bulan saya belajar menulis, barulah faham apa yang diingini oleh sebuah rumah penerbitan atau pihak majalah.  Barulah karya saya terpilih, lagi dan lagi, semakin ghairah menulis dan menulis.  Timbul dalam hati ingin jadi penulis novel pula. 

Tahun 1999 saya memberanikan diri  menghantar karya ke Alaf 21, waktu itu ilmu tentang dunia penulisan novel memang cetek.  Saya beli karya-karya mereka, cuba selongkar apa yang diinginkan oleh penerbit, waktu itu Alaf 21 tidak segah sekarang  Waktu itu penulis mereka adalah Sharifah Abu Salem, Sri Diah Shaharuddin, Fatilahannas,  antara penulis karya mereka menjadi pilihan saya untuk belajar menulis novel.  Cubaan pertama gagal kerana tidak cukup tebal hanya 160 muka surat.  Waktu itu saya menulis tentang kahwin paksa.  Cerita seperti itu kurang diminati ketika zaman tersebut,  Sekarang  kedebom .  Karya tersebut  ditolak, saya jatuh, kecewa dan hampa.  Ketika itu tiada siapa yang sudi memujuk dan memberi kata semangat.  Hati hancur terus lupakan keinginan untuk menjadi penulis novel.  Hati terubat apabila cerpen demi cerpen yang saya hantar terbit di dada akhbar dan majalah keluaran Utusan. 
Tahun 2000, cuba nasih lagi, karya yang ditolak saya perbaiki dan panjangkan.  Sayangnya rezeki saya masih belum bersama Alaf 21.  Ditolak buat kali kedua, hati dirundum kecewa.  Tidak mahu lagi menghantar karya ke mana-mana rumah penerbitan.  Tidak mahu jadi penulis novel.  Namun dalam masa yang sama saya terus menulis cerpen dan menghantar karya untuk sayembara dan sebagainya.  Ilmu penting rupanya untuk menjadi penulis yang baik.  Tanpa ilmu kita bagaikan ada lampu tetapi tiada minyak untuk menyalakan lampu tersebut.  Berjayalah saya menjadi penulis cerpen sahaja.

Peredaran zaman dan teknologi semakin canggih.  Dunia internet diletupkan dengan  Face Book yang membuka ruang untuk manusia saling berinteraksi, kawan lama bertemu kembali, keluarga  yang sudah lama tidak berhubung, berjumpa kembali.  Kekasih lama datang kembali.  Saya mula membuka akaun FB, bertemu semula dengan kawan-kawan sekolah lama.  Seronok tidak terkata.  Waktu itu tidak tahu tentang grup penulisan yang sudahpun diwujudkan.  Saya mula berfb dengan kawan-kawan yang suka memasak,  menyibukkan diri mengupload resepi dan gambar masakan.  Sehinggalah satu hari saya menghantar cerpen setelah bertahun-tahun saya berhenti menulis kerana kekangan waktu dan masa.    Ingin tahu sama ada masih berbakat atau tidak menulis lagi.  Betullah bakat itu kurniaan ILAHI, tanpa bakat semuanya tidak akan menjadi.  Bakat dan ilmu perlu seiring baru segalanya berjalan lancar dan yang paling penting tidak kenal putus asa. 
Saya mula menguar-uarkan di akaun  FB saya tentang cerpen yang keluar dalam  Majalah Fardhu Ain.  Oh, terasa di hati, aku masih mampu menulis.  Cuma perlu diasah kembali.  Grup penulisan yang pertama saya di add masuk adalah Salam- Karya Siti Rozilah.  Di situ saya mengenali Siti Rozilah  seorang penulis yang ramah dan mesra.  Beliaulah yang memberi semangat untuk saya menulis dan menulis.  Saya mula add rakan-rakan penulis, mula berjimba dan berbual dengan mereka.  Kemudian  mengenali Azilah Wahab, kebetulan saya memang minat membaca, karya-karya mereka, kagum dengan kebolehan mereka.  Waktu itu saya sudah mula menulis sebuah novel yang diberi tajuk SESALAN TIDAK TERUCAP.  Siti Rozilah menggalakkan saya post di wall grup.  Malu dan segan sebenarnya.  Kemudian saya di add masuk ke  GrupHaiza Najwa Cinta Novel Malaysia, Ad Rahman yang dikenali di Grup Salam Karya  mengajak saya ke grup itu kerana di situ karya penulis baru akan dinilai.   Karya saya boleh dibaca di situ. 

Teguran seorang penulis dan pensyarah yang saya kenali tulisannya di dada akhbar dan majalah keluaran Utusan, Ana Balqis mengatakan karya saya kaku dan tidak mesra pembaca.  Saya tidak faham, terus bertanya, beliau memberi tips-tips yang berguna dan mengajar beberapa perenggan untuk membaik pulih mutu penulisan saya.  Rupanya sebuah karya yang baik  apabila dibaca terasa dekat di hati pembaca.  Bukan kaku dan seperti bercerita.  Karya perlu hidup agar pembaca mampu menghayati jalan cerita dan berasa berada di dalamnya. 

Mereka yang menghantar karya di situ diperkenalkan dengan Portal ILHAM yang diwujudkan oleh Puan Sri Diah, saya menghantar karya SESALAN TIDAK TERUCAP ke situ.  Mulalah buat promo ke sana ke sini mengharapkan ada yang sudi membaca, karya yang tidak seberapa itu.  Mula mengenali ramai penulis berbakat besar dan tidak sombong memberi kata semangat dan tunjukajar.  Tetapi tidaklah saya bertanya soalan-soalan remeh yang mampu membuatkan orang marah dan terasa betapa ceteknya fikiran kita.    Perlu bijak mengungkapkan soalan  yang hendak ditanya.  Perlu tahu penggunaaan tanda bacaan dan tatabahasa serta ejaan yang betul dalam berkarya.  Itu semua saya  belajar melalui buku yang dibaca dan  grup penulisan yang ada di FB.   Karya saya lahir bersama portal ILHAM.
Manuskrip SESALAN TIDAK TERUCAP disiapkan dalam masa 4 bulan.  Penghujung bulan Februari 2013 karya itu saya hantar ke tangan editor Alafa 21, Kenapa Alaf 21? Sedangkan syarikat itu sudah berkali-kali menolak karya saya.  Kerana hati saya tertarik dan sejak sekian lama bercita-cita ingin menjadi penulis Alaf 21.  Bukan kerana syarikat tersebut besar, mungkin salah satu sebabnya.  Tetapi kerana hati dan perasaan saya memang sudah lama jatuh cinta dengan karya-karya dari Alaf 21.  Alhamdulillah 2 bulan selepas itu mendapat lampu hijau daripada pihak penerbit mengatakan karya saya terpilih.  Tajuknya ditukar menjadi  AKU TURUT BAHAGIA.  Kisah poligami yang amat digeruni oleh Kaum Hawa. 
Kepada para penulis baru di luar sana.  Galilah ilmu sebanyak-banyaknya sebelum bergelar penulis.  Banyak grup, kumpulan atau individu yang mengadakan kelas penulisan kreatif kepada mereka yang berminat hendak jadi penulis.  Rajin-rajinlah selongkar file grup kerana kadang-kala admin sudi  berkongsi ilmu penulisan di dalamnya.  Banyakkanlah membaca, kerana membaca membuatkan kita menjadi matang bertindak dan berfikir serta soalan yang dilontarkan melambangkan kecerdikan dan kematangan kita.  Belilah kamus, buku atau apa sahaja tentang dunia penulisan.  Selalu juga saya melihat promo tentang buku-buku belajar menulis dan menghasilkan karya kreatif.  Baca dan bacalah, ikutilah bengkel  penulisan  yang diadakan.  Buatlah pelaburan, jangan kedekut.  Dunia penulisan adalah dunia perniagaan.  Untuk mendapatkan hasilnya kenalah keluarkan modal, kadang-kadang sedikit, kadang-kadang banyak.  Jangan risau, hasilnya pasti akan datang kepada anda dan pasti ada keuntungan dari pelaburan yang dibuat.
Bacalah semua karya rumah penerbitan yang terdapat di Malaysia, baru anda tahu apa kehendak rumah terbitan yang ingin anda   diami.  Jadilah penulis yang jujur, ikhlas dan bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa ibunda BAHASA MALAYSIA.  Oleh kerana kita menulis di MALAYSIA, dan menghasilkan karya untuk ORANG MALAYSIA, cubalah menulis sepenuhnya dalam BAHASA MALAYSIA.    Jangan kita jadi perosak  bahasa yang semakin menjadi-jadi di luar sana atas nama bebas berkarya dan menganggap itulah cara orang sekarang bercakap.  SALAH tanggapan kita.  Ramai menjadi perosak bahasa sebelum menjadi bahan untuk para penulis, menulis menggunakan gaya bahasa yang benar-benar salah belaka.  Ditambah pula tajuk yang berbahasa English untuk novel  berbahasa Malaysia.  Kepada pencinta bahasa tentulah mereka kecewa. Kepada para penulis, ala, ada aku kisah! 
Jangan segan belajar atau  beranggapan anda sudah hebat kerana ramai suka karya anda walaupun hanya membacanya di  blog.  Pembaca suka tidak semestinya penerbit  atau editor suka.  Penerbit lebih tahu apa yang disukai oleh para pembaca.  Walaupun saya sudah menghasilkan berbelas cerpen, satu novel namun saya tetap dalam proses belajar dengan penulis-penulis tersohor tanahair.  Masih mengali ilmu kerana masih berasa kekurangan diri, masih menelaah kamus sebab masih banyak perkataan yang tidak saya ketahui, masih kekurangan kosa kata di dalam karya-karya saya.  Jangan anggap apabila kita sudah ada  karya yang berjaya diterbitkan proses belajar akan berhenti, jika itulah anggapan yang ada di dalam fikiran anda, baiklah berhenti jadi penulis  Dunia penulisan bukan dunia glamor tetapi dunia yang penuh tanggungjawab sosial. 
Pernah dengar ungkapan ini MATA PENA LEBIH TAJAM DARI SENJATA!  Memang benar, setiap perkara yang kita hasil dan garapkan ke dalam karya kita akan menjadi santapan dan bacaan mata para pembaca yang minat membaca terutama novel-novel yang kian melambak di pasaran.  Ke mana dan apa sebab kita menulis, tanyalah kepada diri anda sendiri.  Kalau setakat untuk terkenal dan mendapatkan  keuntungan dari penulisan anda itu sebenarnya anda adalah pengedar  yang lebih teruk daripada pengedar dadah.   Anda tidak kisah apa yang anda tulis di dalam karya anda.  Sedangkan anda tahu yang membaca karya-karya tersebut adalah anak-anak muda yang masih rapuh jiwanya. 

 Boleh sahaja kita bercakap, AKU SURUH BACA SAHAJA, BUKAN IKUT! Kalau itu terjadi tepuk dada tanya selera.  Di mana pengakhiran kita nanti?  Mahukah kita menjadi penulis yang karya kita dibaca sehingga 30 tahun lagi sedangkan karya tersebut hanya sesuai di letakkan di telapak kaki.   Jujurlah dengan diri sendiri, hasilkanlah karya yang mampu membina jati diri bangsa dan menjadikan anak muda kita berwawasan dan bercita-cita besar.  Bukan tidak boleh menulis kisah cinta tetapi biarlah cinta  yang mampu membawa pembaca ke alam nyata.  Cuba elakkan kisah cinta yang tiada batasan agama, kita orang melayu ada tatasusilanya.  Cukup, cukuplah apa yang ada di luar sana, hiburan yang tidak bermata, yang merosakkan anak muda kita ke dalam kealpaan dan leka.  Hilang minat belajar lantaran asyik dengan dunia hiburan.
Saya teringat waktu di zaman sekolah, buku yang sering menjadi tatapan mata dan bibir saya untuk membaca adalah  5 SEKAWAN,  NANCY DREW, HARDY BOY’S  yang telah dialih bahasa kerana yang menulis buku itu adalah penulis luar negara.  Hampir kesemua tajuk saya baca. Teringat sehingga kini.  Karya tersebut mematang diri untuk menjadi manusia dan pelajar yang baik.  Kenapa kita tidak mampu menghasilkan karya tersebut?  Kerana kita mengejar kehendak pembaca dan penerbit yang kadang kala lupa tentang tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat di luar sana.
Adik-adik yang benar-benar ingin menjadi penulis.  Isikan diri anda dengan ilmu penulisan.   Janganlah bertanya soalan yang membuatkan orang bertanyapun marah.  Rapuh dan remeh sehingga terasa malasnya hendak layan penulis ini.  Ilmu di hadapan mata hanya perlu rajin dan pandai menggalinya.  

Jika rezeki anda belum ada sekarang, tidak mustahil 10 tahun lagi  rezeki itu akan muncul. Sama seperti  saya, sudah lewat melintasi waktu umur menulis dan diterima sebagai  novelis, namun tidak pernah kenal putus asa dan terus berusaha, bukan setakat menulis tetapi belajar menulis.  Semoga berjaya dengan dunia yang ada pilih dan jadilah penulis yang BERTANGGUNGJAWAB, JUJUR DAN IKHLAS.  Setiap dari kita akan dibalas ALLAH SWT  dengan apa yang kita perbuat.  JANGAN  sampai TANGAN yang mencoret  membuatkan diri  TERHUMBAN ke NERAKA ALLAH SWT. Nau’zubillah….  SALAM SAYANG KEPADA PARA PEMBACA BUDIMAN.