AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 31 May 2014

JADILAH PENULIS YANG BAIK




Sejak jadi penulis, kenal ramai penulis, bergaul dengan para penulis dan mengenali ramai adik-adik yang berminat hendak  jadi penulis.  Membuatkan akak bertanya kepada diri sendiri, seronokkah jadi penulis?  Seronok pun ada, tidak pun ada.  Seronoknya kerana dapat ramai kawan.  Tidak seronoknya bila karya tidak laku di pasaran.  Positif sahajalah ya.

 Untuk menjadi penulis yang  baik langkah yang diatur harus bijak dan tepat.  Ilmu harus digali, bukan hanya berharap ada orang membantu untuk mencapai kejayaan yang ada,  Usaha perlu, bagaimana terserah kepada diri sendiri.  Kalau tiada ilmu, panjangkan langkah pergilah belajar. Adik-adik adalah penulis yang bertuah.  Zaman serba canggih ini berbagai peluang datang tanpa dipinta.  Cuma perlu tahu bagaimana untuk menggunakan peluang yang ada.  Belajar menulis secara online ada, menggunakan e-book pun ada.  Kalau segan atau malas dan berasakan diri sudah cukup hebat tidak perlu menambah ilmu... BERHENTI!  jangan jadi penulis.  Walaupun sudah berbelas cerpen keluar di dalam majalah, karya diterima DBP, karya kedua bakal terbit, tapi jangan tak tahu, akak masih lagi belajar menulis, belajar dan belajar, melabur dan melabur.  Jangan anggap sudah lahir sebuah buku, kita sudah jadi penulis hebat!  Sudah ada karya kita sudah boleh mendabik dada!  Maaf cakap!  Itu penulis yang mudah lupa diri, sombong dan berlagak besar. Sudah berkali-kali diingatkan.  Pembelajaran sebagai penulis tidak pernah berhenti.  Hari ini kita tahu 2, ada lapan lagi kita tidak tahu.  itulah yang saya rasa, itu sebab masih belajar dan belajar.

Setelah menulis puisi, kita hendak menulis cerpen pula. Perlu tahu teknik dan caranya.  Bila sudah ada cerpen hendak pula jadi penulis novel, kenalah belajar juga bagaimana caranya mengarap cerita sehingga ratusan muka surat supaya pembaca tidak bosan dan menyampah hendak membacanya.  Sudah ada novel hendak belajar buat skrip pula, memandangkan ledakan adaptasi sekarang ini, penulis digalakkan belajar menulis skrip  pula.  Buat masa ini tidak terfikir lagi.  Masih cuba mencari tapak yang kukuh dalam dunia penulisan novel.  Jadi faham tak maksud akak bahawa belajar menulis tidak pernah putus dan berhenti. 

Melangkahkah dengan yakin bahawa kita memang dilahirkan sebagai penulis.  Seperti pernah akak beritahu dahulu, menjadi penulis bukan  acara atau program mengejar glamor, Kalau nak popular jadilah artis rakaman atau pelakon.  BUKAN PENULIS!  kalau popular itu adalah bonus  untuk kita.  Menjadi penulis ada tanggungjawab yang terpikul di bahu kita.  Disandang dan dikandar perlu  berhati-hati, jangan tumpah mengotorkan lantai.  Jangan berselerak sehingga menyemakkan mata memandang.

Menjadi penulis tiada perkataan BERHENTI, sudah melangkah tidak boleh berpatah semula.  Jadi belajarlah dan galilah ilmu sebanyak mungkin.  Beranilah melangkah menjadi penulis kerana ada yang ingin kita kongsikan dengan masyarakat di luar sana.  Bukan menulis cerita cinta murahan berpegang-pegangan lelaki dan perempuan tanpa ada batasan agama.  Bersekedudukan tanpa mengenal erti nilai ketimuran kehidupan kita.  Bawalah cerita yang punya nilai murni yang mampu dijadikan panduan untuk 10 tahun lagi atau lebih dari itu. Jangan sesekali jadi penulis bacul berasakan apa yang kita tulis hanya sekadar hiburan waktu senggang. 

Kalau hendak hiburan akak rasa baik baca komik.  Garaplah cerita masyarakat yang banyak di luar sana.  Kisah anak yatim terbiar, kisah orang kaya kedekut, kisah penjawat awam menerima rasuah, kisah kehidupan si penyapu sampah di jalan raya dan banyak lagi,  Mungkin  pembaca akan cakap buat apa cerita seperti itu?  Hah! itulah tanggungjawab kita sebagai penulis membawa pembaca meneroka kehidupan orang-orang ini.  Penjawat awam makan rasuah, apa terjadi dengan kehidupan dia.  Mewahkah?  bahagiakah?  Apa kesan dari perbuatannya tadi.  Masyarakat perlu tahu dan dibuka minda mereka akan kesan-kesan perbuatan tadi.  Si Penyapu sampah...  kenapa dia bekerja  sebagai penyapu sampah?    mungkin waktu zaman kecilnya dia tidak bersekolah, kenapa?  mungkin juga keluarganya susah, maka dia tidak ke sekolah atau kemalasan membalut diri?  fikir-fikirkanlah.  usahlah ditaburkan dengan cerita cinta yang memualkan dan melalaikan.  kembalikanlah tanggungjawab sebenar seorang penulis.  Menulis untuk masyarakat, membaca cerita yang mampu mengubah minda masyarakat ke arah positif.  Penulis yang baik mampu menjana minda pembacanya menjadi lebih baik dari hari semalam.  SELAMAT MENULIS DAN JADI PENULIS.

2 comments:

  1. Assalamualaikum, salam perkenalan dan salam penulisan.

    Satu perkongsian pengalaman yang menarik. Banyak yang saya dapat kutip dalam entri ini. Apa yang penting untuk menjadi penulis perlukan kesungguhan dan ketekunan untuk menukangi karya.

    Jemput bertandang juga ke blog saya ya.

    P/S: Sudahkah membaca buku saya? Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM 2014. Jika berminat boleh dapatkan daripada saya. Maklumat lanjut boleh baca di blog saya. Sekian, terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Wasalam... Insya-ALLAH dan terima kasih sudi singgah.

    ReplyDelete