AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 19 June 2014

AWEKKU KEMBAR- SITI ROZILAH

AWEKKU KEMBAR
SITI ROZILAH
BUKU PRIMA
2014
627
RM25.90
                Annesa dan Adeela, adik kembar seiras.  Sangat rapat.  Terpaksa berpisah akibat perpisahan kedua orang tua.  Annesa mengikut ayah, Adeela setia bersama mama dan adiknya Aleeya.  Perpisahan membuatkan diri mereka saling rindu merindui. Adeela sering bertengkar dengan mamanya lantaran perpisahan yang berlaku.  Dia akhirnya keluar dari rumah dan terus menghilangkan diri.  Kehilangannya menjadi tanda tanya, baik keluarga mahu pun pihak berkuasa.  Namun Annesa tidak pernah berputus asa.  Dia yakin adik kembarnya itu masih hidup.  Annesa menyelongkar misteri kehilangan kembarnya  melalui Tengku Najib, lelaki yang memujanya. Dia mempergunakan lelaki itu untuk mendekati teman lama mamanya yang dirasakan ada bersangkut paut dengan kehilangan adik kembarnya itu.  Mimpi dan igauan yang menganggu membuatkan dia benar-benar pasti adik kembarnya masih hidup. 
                Pertemuan Annesa dengan Tengku Amirul merungkai misteri kehilangan  adik kembarnya.  Akhirnya Adeela ditemui juga.  Mereka sekeluarga benar-benar bersyukur.  Tengku Amirul telah dipenjara akibat perbuatan jenayah yang telah dilakukan terhadap Adeela.  Lantaran perkara itu hubungan Annesa dan Tengku Najib tidak direstui keluarga kedua belah pihak.  Mereka terpaksa memendam rasa demi perasaan keluarga masing-masing. 
                Adeela mula berasa rendah diri dengan keadaan dirinya yang tidak sehebat  kakak kembarnya.  Perasaan cemburu dan iri hati terhadap Annesa merayap dalam diri, biarpun cuba dibuang perasaan itu namun sukar untuk dinyah dengan mudah. 
                Idris lelaki yang telah menjumpai  Adeela menaruh hati terhadap gadis itu, namun ditolak mentah-mentah, sehingga lelaki itu kecewa dan  membawa hatinya  yang patah.   Adeela rasa dia tidak layak untuk Idris, seorang yang berpelajaran dan baik, lebih sesuai untuk kakaknya Annesa. Namun hati Annesa  hanya untuk Tengku Najib. 
                Annesa mencintai  Tengku Najib.  Keadaan membuatkan dia menafikan perasaannya sendiri.  Masa terus berlalu.  Adeela berjaya menjadi seorang model  yang popular dan dikenali ramai.  Annesa pula berjaya mencapai impiannya untuk menjadi seorang wartawan.  Atas nama tugas akhirnya dia bertemu kembali dengan Tengku Najib.  Dalam waktu  yang sama Adeela berura-ura ingin memikat lelaki itu.  Namun segalanya gagal, kemarahannya terhadap Annesa semakin membuak.
                Apa terjadi seterusnya?  Bagaimana hubungan Tengku Najib dan Annesa?  Adakah cinta mereka  akan ke jinjang pelamin?  Siapa pula yang berjaya mencuri hati Adeela?  Atau Adeela terpaksa  bersendirian sedangkan Annesa menyulam bahagia.  Adakah hubungan Annesa dan Tengku Najib direstui keluarga setelah apa yang berlaku sebelum ini? 

Kalau hendak tahu kenalah dapatkan karya ini.

Jalan cerita yang menarik, kisah sebuah keluarga yang berantakan terpaksa berpisah  kerana hati sudah lagi tidak sehaluan.  Kisah pasangan kembar yang tetap mempunyai perasaan cemburu sesama sendiri.  Sama tetapi tidak serupa, itulah hakikatnya.  Plot cerita yang  diselang seli dengan imbas semula.  Gaya bahasa yang menarik, perlukisan watak dan tempat juga menarik dan jelas.   Terdapat di muka surat 315  latar tempat yang cantik dan membuatkan kita terbayangkan keindahan tempat itu.  Seorang penulis yang baik mampu membawa pembacanya meneroka latar tempat dan perasaan watak.    Kepada para peminat dan pembaca novel Buku Prima atau peminat Siti Rozilah. Bolehlah dapatkan karya ini.  Tahniah kepada sahabat saya. Semoga akan menghasilkan karya yang menarik di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment