AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 11 July 2014

IMPIAN SEGUNUNG INTAN - ASMAH HASHIM



Karya yang disiarkan dalam majalah  WADAH SISWA bil 16/2014




Aku melangkah bangga.  Terasa diri ini bagaikan berada di awang-awangan.  Dewan yang besar dan luas itu terasa amat akan serinya.   Dadaku berdegup kencang. Bagaikan boleh terdengar di cuping telinga degupannya.  Kerlipan lampu-lampu yang berwarna putih kelihatan seperti berwarni –warni bak pelangi.  Udara sejuk menyegarkan tubuh, bau semburan  pewangi Lavender  mengasyikan.  Deretan manusia yang sebahagiannya amatku kenali menambah rasa bahagia di hati.  Di pentas utama sudah tersusun kerusi berbalutkan kain berwarna putih bereben warna biru untuk barisan tetamu jemputan dan dif kehormat.  Bunyi muzik gamelan menambah rasa bahagia di sanubari.  Dengan jubah berwarna merah hati di tubuh, topi pelengkap acara menambah girang di jiwa.  Di bahagian belakang barisan perjuang-perjuang ilmu duduk megah.  Ibu dan bapa perjuang, menunggu dengan sabar dan penuh bangga.
            Sambil kaki melangkah, aku mencari kelibat seseorang.  Lambaian tangan insan yang amat aku kenali menarik perhatianku, dia sudah berkaca mata, sudah tinggi melebihi diriku.  Cantik manis bertudung litup menutup sebahagian dadanya.  Jubah  dihiasai labuci dan sulaman penghias tubuhnya.  Alangkah bahagianya kurasa.  Insan yang telah banyak berjasa selama ini.  Wajahnya terukir senyuman memandangku.  Berbeza sekali dengan  wajahnya dahulu.  Murung, sugul dan senyuman bagaikan keras di bibirnya.  Ratapan, raungan histerianya yang lalu membingitkan telinga  sewaktu aku mengenalinya lima tahun dahulu.  Senyuman yang amat bererti buatku. Aku membalas lambaiannya.  Dia mengenyitkan mata. Dadaku sebak.  Sayu menghimpit diri.    Dia adalah antara insan teristimewa di lubuk hatiku.  Besar jasanya kepadaku.  Kehadirannya bagaikan rahmat buatku.  Biarpun berkali-kali dia menegaskan bahawa akulah yang memberi kehidupan baru kepadanya.
            Dia semakin tinggi daripadaku, badannya sedikit berisi hadir bersama sejambak bunga ros  di tangan.  Hati ini berlagu riang.  Pelukan semakin erat.  Seerat kasih di hatiku dan hatinya.  Air mata mengalir di tubir matanya dan mataku.  Bukan dibuat-buat, bukan juga air mata lakonan.  Air mata gembira dan terharu. Tiada kata seindah bahasa mampu aku lontarkan kepadanya tanda ucapan terima kasihku kepadanya.  Tiada gambar seindah  lukisan yang mampu aku lakarkan untuknya.  Dia menghulurkan tangan, aku menyambutnya.  Dia menunduk dan menciumnya dengan penuh hormat.  Bertambah terharu hati ini.  Aku bukan sesiapa kepadanya.  Aku hanya insan biasa yang menabur bakti tidak sebesar mana.  Hanya sekecil kuman namun sudah dianggap bagaikan menabur segunung emas untuknya.  Aku benar-benar merasa dihargai, disayangi dan dihormati.
            “Kak Rina…” dia memanggilku.
            “Rahida,” nama itu tetap segar di bibirku.  Bagaimana mungkin aku melupakan semua yang berlaku terhadap dirinya.   Kejadian tersebut menerjah ingatanku kembali.    Waktu itu aku baru sahaja bekerja di Rumah Kebajikan Anak  Yatim Miskin Rokiah.  Aku tersentak, nafasku terasa hendak berhenti.   Suara para pelajar sedang mengaji menjadi halwa telinga, itulah aktiviti mereka di waktu malam sebelum melaburkan mata.  Di blok asrama pula terdengar suara seorang pelajar perempuan terjerit-jerit, meraung dan menangis bagaikan orang hilang arah.  Aku berlari-lari anak menuju ke ruang asrama pelajar perempuan,  meninggalkan  pelajar yang sedang mengaji tadi.  Aku tatap wajahnya yang  sugul.  Matanya bengkak, bibirnya terketar-ketar menahan tangis.  Aku cuba memujuk dan  mendekatinya. Cuba menyelami hatinya, mengenal siapa dirinya. Tangannya kuraih dan kubelai lembut.  Tubir matanya digenangi air. Masih berbukukah lagi hatinya?  Masih kesalkah dengan apa yang terjadi?  Mujur maruahnya tidak tercemar dan tidak tergadai.  Aku mengeluh sendiri.  Jangan ikutkan hati, nanti mati.

         “Perkara sudah terjadi, Rahida tidak boleh berterusan begini?  Sampai bila hendak bermuram durja?  Menangisi nasib diri?  Biar buruk di pandangan manusia namun ALLAH mengetahui apa yang terjadi.”Nasihatku kepadanya. 

           
Dia tidak berkutik.  Masih berwajah kelat, masih membisu.  Bagaikan mulutnya sudah terkunci tidak mampu bersuara lagi. Puas dipujuk oleh puan pengurus rumah anak yatim tersebut namun tidak dilayannya.  Rakan-rakan pula menjuihkan bibir dan menjeling sinis kepadanya.  Dia menarik muka mencuka dan kelihatan kecewa.  Aku cuba memahami beban yang sedang ditanggungnya.  Menyelami diri mereka yang telah dicabul secara paksa seperti dirinya, bolehkah aku selami hatinya jika aku sendiri tidak pernah mengalaminya.
            Ah! Bukan orang lain yang melakukannya tetapi rakan-rakan sekolah menengahnya sendiri yang terkenal dengan nakalnya.  Dia telah melakukan kesilapan dengan mengikut mereka pulang ke rumah salah seorang  rakan mereka.  Dia tidak mensyaki apa-apa kerana mengenali mereka semua. Aku melihat sendiri rakaman yang telah dibuat.  Dia ditarik berbaring di atas lantai beralaskan karpet.  Sungguh keji perbuatan mereka.  Tangan mereka merayap disetiap inci tubuhnya.  Dia meraung dan merayu langsung tidak dipedulikan.   Dengan bantuan jiran sebelah rumah yang mendengar jeritannya telah menyelamatkan dirinya.    Jiran tersebut telah memanggil pihak polis. 
Dia selamat tetapi  kejadian itu sudah disebarkan oleh salah seorang pelajar yang terlibat dengan menggunakan telefon bimbit yang turut mengambil gambar  kejadian itu.   Daripada seorang pelajar ke seorang pelajar kejadian itu terus merebak sehingga hampir ke semua mengetahuinya.  Dia menanggung malu.  Di sekolah dia dikeji dan dihina oleh mereka yang menganggap  sebagai sudah rosak diri, sudah hilang kegadisannya.  Pada hakikatnya tiada apa yang  berlaku kerana aku sendiri telah membawanya  ke hospital untuk pemeriksaan doktor.    Alhamdulillah  harga dirinya masih terpelihara.  Namun rakan-rakan sekolah  terus menerus menghina dan mencaci dirinya.  Setiap hari itulah aku melayan walangnya.  Bahuku menjadi tempat dia meluahkan apa yang dirasa.  Menangislah sepuas hatimu, detik hati kecilku.  Bebanan yang ada biar kita sama-sama menanggungnya.  Lama kelamaan dia semakin erat denganku.  Sudah mula mahu dan berani membuka hatinya untukku, bercerita tentang apa yang dirasa.
            Gelora di jiwa terubat sedikit demi sedikit beransur berlalu.  Syukur Alhamdullilah.  Beberapa hari kemudian aku dengan senang hati  pulang ke kampung untuk menziarahi keluargaku yang sudah lama tidak aku kunjungi dan ingin menghilangkan rasa rindu di kalbu.
            Semasa ketiadaanku, aku fikir mampu memberi ruang yang banyak untuk dia berfikir tentang diri dan perjalanan hidupnya.    Perkara itu tidak terjadi, khabarnya dia bagaikan orang hilang arah, mencari tempat berpaut, melepaskan rasa sakit dan dendam di jiwa.  Aku dipanggil  pulang segera oleh Puan Pengurus Rumah Kebajikan Anak Yatim Rokiah melalui telefon bimbitku.  Terdiam aku tidak terkata apa-apa.  Baru beberapa waktu bersama keluarga untuk menghabiskan cuti tahunanku sudah dipanggil pulang kembali.  Bagaimanapun, aku tetap akur kerana di situlah tempat aku mencari rezeki untuk menambah kewangan keluarga agar adik-adikku seramai tujuh orang dari usia 16 hingga 7 tahun dapat menyambung pelajaran.  Huh, asal mereka jangan jadi sepertiku, belajar  hanya sekerat jalan lantaran pendapatan keluarga yang tidak cukup makan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang!
            “Kenapa Kak Rina pergi?  Tinggal Rahida sendiri?”   Marahnya kepadaku waktu aku  melawatnya di asrama.
Aku mengeluh sendiri,  mataku memerhati sekeliling, tiada siapa di situ. Para pelajar yang lain berada di surau sedang mengaji .    Hari semakin mendekati malam.    Hujung minggu mereka hanya mengulangkaji pelajaran atau bebas dengan aktiviti sendiri.  Aku memandangnya semula.  Beratnya beban insan yang menjadi mangsa seksual terpaksa dan dipaksa. Hilang keyakinan diri lantaran rakan sekeliling terlalu muda dan serba naïf tentang perkara  itu untuk memahami.  Kalaulah aku seorang juri sudah tentu aku akan mengenakan hukuman berat,  sudah tentu sebatan.  Sekurang-kurangnya 10 kali.  Penjara 25 tahun.   Biar menjadi iktibar kepada mereka yang lain agar tidak melakukan perkara yang sama terhadap rakan sebaya atau sesiapa sahaja.  Aku tidak menyalahkan  pelajar itu sepenuhnya.  Bukankah pendidikan bermula di rumah?  Ibu dan ayah zaman  ini hanya tahu mengejar kesenangan hidup dan memenuhi keperluan material anak-anak sehingga mengabaikan keperluan rohani.   Lihatkan apa yang telah terjadi.   Ada anak seusia pelajar sekolah rendah sudah berani merogol rakan sebaya.  Sungguh sedih mendengarnya.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku turut menghukum kedua orang tua mereka.  Biar mereka sedar bahawa kegagalan mererka mendidik anak-anak mereka.
“Kenapa Rahida?” tanyaku dengan mesra  biar apapun yang bergelora di dalam dadaku.
 Dia memandangku dengan mata yang berkaca.  Aku seperti melihat  air terjun Niagara yang tidak berhenti mengalir.  Bawah matanya menggelap lebam seakan tidak cukup rehat,  fikir hatiku.  Itulah yang aku alami apabila emak dan ayah tidak membenarkan aku meneruskan persekolahan semasa di tingkatan 4.  Hancur lebur hatiku, jiwaku kosong, geram, marah saling bercampur.  Kepada siapa harus aku lempiaskan rasa kecewa ini?  Kepada siapa harus aku lepaskan rasa marah yang mula berapi-api. Hanya air mata pengubat dukaku yang lara.  Air mata bagiku teman setia.   Demi adik-adik aku mengorbankan impian dan cita-citaku.    Aku menjunamkan pandangan ke wajah gadis itu semula.
“Setiap hari Rahida dihina oleh kawan-kawan.  Kononnya Rahida bohsia menjual maruah diri. Malu Kak Rina! Pedih hati ini! Rahida masih ada maruah dan harga diri!  Kenapa mereka sanggup menghina begini? “ luahnya, apa yang dia rasakan ketika itu.
“Bukankah itu dirimu, Rahida?” sindir seorang rakan yang tiba-tiba  berada di dalam asrama itu. 
Mataku dan matanya memandang ke arah pelajar tersebut.  Pelajar itu mencebik.    Mendadak dia meraung sekuat hati. Bagaikan hendak mati.  Meronta-ronta, menendang-nendang apa sahaja yang berada di hadapan dan sisinya.  Aku terkejut dan cemas melihat keadaannya.  Hiba benar bunyinya.  Aku sebak.  Dia bagaikan orang terkena hysteria, dia terus menjerit dan menangis.  Beberapa rakannya yang berumur 13 tahun, seusia dengannyan. Terganggu dengan  jeritannya bergegas datang dan mula mengumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh perasaan.  Aku memeluknya erat.  Beberapa orang lain rakan-rakannya di rumah anak yatim itu menjuihkan bibir.  Aku menjegilkan mata ke arah mereka.  Tekanan yang keterlaluan membuatkan dirinya tidak tentu arah.    Sakit benar hatiku melihat perilaku mereka.    Aku bingkas bangun dan meleraikan pelukanku.  Aku mengejar rakan-rakannya dengan rotan di tangan.  Mereka harus diajar agar menghormati orang lain.  Aku benar-benar marah.  Rakan mereka dalam kesusahan ditambah dengan penghinaan, bagaikan orang tiada perasaan.  Perbuatanku  membuatkan dia berhenti meraung.  Dia memerhatikanku.  Dahiku berkerut.

“Kalian jangan tahu menghina! Bayangkan diri kalian berada di tempatnya? Apakah  mahu juga dihina seperti ini?  Sebagai rakan dan kawan sepatutnya memberi perangsang dan membantu memulihkan semangatnya semula.  Bukan menjadi penghasut dan penfitnah!” jerkahku kepada mereka. Wajahku  masam mencuka, mataku membuntang memandang mereka.    Rasa mahu   telan seorang demi  seorang.
“Cepat minta maaf kepada Rahida!”  arahku tegas.
  Masing-masing yang berpenampilan  berpakaian lengkap bertelekung bagi pelajar perempuan.  Berbaju melayu bagi pelajar lelaki.  Mereka menunduk  ketakutan bagaikan melihat singa di hadapan mereka.  Tidak langsung berani memandangku.  Mereka akur.    Seorang demi seorang menghadirkan diri memohon maaf kepada Rahida.  Rahida terkejut dengan tindakan rakan-rakannya.  Dia cuba bertenang.  Benarkah  apa yang dia lihat?  Mereka mahu meminta maaf  kepadanya.  Dia benar-benar terharu.  Biarpun terpaksa, asalkan mereka akur.
“Mulai malam ini, Kak Rina tidak mahu dengar lagi kalian menghina, menyindir  atau mengusiknya.  Faham!  Kalian di sini bagaikan adik-beradik.  Hormatilah antara satu sama lain!” tegasku.
            “Maafkan kami Kak Rina,” kata salah seorang pelajar.
            “Kami berjanji akan menjaga Rahida seperti adik kami!  Perkara yang berlaku tidak akan terjadi lagi,” sampuk  yang lain pula.
            Aku tersenyum bangga.  Merekalah adik-adikku.  Aku tidak mahu mereka menjadi seperti anjing dan kucing, asyik bercekau sahaja.  Pagi itu aku ke sekolah.  Pihak sekolah harus aku temui.  Aku tidak mahu  nasib Rahida terus dihambat kecewa.  Aku tidak mahu nasib Rahida seperti aku yang tidak berpendidikan lantaran tidak mahu ke sekolah.   Biarlah tebal muka, asalkan Rahida terpelihara maruah dan harga dirinya.  Dia tidak bersalah lantaran khilafnya dia mengikut sahaja apabila diajak oleh kawan-kawan ke rumah tanpa syak apa-apa.  Siapa sangka kawan disangka kawan sanggup berlaku durjana?    Rahida menjadi mangsa manusia yang tidak bertanggungjawab dan tidak jujur.    Dia bukan penjenayah, dia adalah mangsa keadaan.  Sepatutnya dirinya dibantu bukan terus dihina dan diperlekehkan.  Tidaklah mereka sedar betapa ruginya apabila seorang pelajar  secemerlang otak Rahida yang kini sudah ternyata tidak mahu ke sekolah lagi.   Tidak mahu  ke sekolah  lantaran malu dengan apa yang berlaki dan sikap rakan-rakan sekolah yang asyik mencari salahnya.  Dirinya merasa terpinggir.

            “Saya  mohon sangat-sangat kepada cikgu, tolonglah buat sesuatu.  Rahida bukan sengaja hendak mengikut, dia ingatkan niat mereka baik, mana tahu mereka berhati syaitan.  Walaupun usia masih muda  sudah pandai ingin merosakkan rakan sendiri.”  Aku merayu.
            “Baiklah Cik Rina, saya akan memanggil pelajar yang sering mengejek dan mengusik Rahida.  Awak jangan bimbang.  Pihak sekolah tahu Rahida tidak bersalah.  Dia menjadi manga kerakusan rakan sebaya yang tidak tahu mengenal dosa dan neraka.”  Kata PKHEM  Cikgu Zahir, cuba meyakinkan aku, sambil mengangguk tanda memahi.  Menurut PKHEM itu lagi pelajar yang terlibat sudahpun ditahan dan kini  sedang menjalani hukuman sebagai penyenayah juvana.  Mereka ditempatkan di sekolah  kanak-kanak dan remaja nakal.
            Usai selesai urusanku di sekolah tempat Rahida belajar, aku terus melangkah pulang ke Rumah Kebajikan Anak  Yatim Miskin Rokiah.  Kepada Rahida aku khabarkan berita, bahawa cikgu sekolahnya akan bertindak terhadap mereka yang mengejek dan mengusiknya.  Dia tersenyum gembira kelegaan lalu memelukku dengan erat.  Ternyata gembira sungguh dia.   Kemudiaannya rakan-rakan di asrama sudah mampu bergurau dan menemaninya.  Dia sudah mahu berbual mesra.  Aku bangga dengan perubahan sikapnya sangat-sangat.
            Suatu hari semasa aku sedang  mengemas kawasan laman rumah kebajikan itu, dia duduk memandang wajahku yang sedang tekun mencabut rumput di sekeliling pokok bunga kertas yang tumbuh subur.    Aku mengerutkan dahi.  Dia tersenyum.  Aku meneruskan kerjaku sambil ditemaninya.  Semakin  hari semakin rapat hubunganku dengannya.  Dia juga sudah berani ke sekolah dan diterima baik oleh rakan-rakan di sekolah. Jika ada yang mengusik pasti rakan-rakan di asrama akan membantunya.  Dia berkeyakinan kembali.  Aku gembira dan bersyukur dengan apa yang berlaku.
“Kenapa Kak Rina tidak sambung belajar? Kenapa hendak bekerja di rumah anak yatim ini?” tanyanya kepadaku.
“Kenapa akak tidak sambung belajar?  Ah, jika ada rezeki nanti, akan akak sambung.  Kenapa hendak bekerja di rumah anak yatim ini?  Wah, tidakkah dapat kamu teka?  Tidakkah dapat kamu teka wahai adikku yang tersayang?  Hah, jawapannya mudah; kalau bukan kerana akak sayang semua adik-adik akak di sini, kerana apa lagi?” jawabku sambil tersenyum mendengar kata-katanya.
 Siapa yang tidak mahu sambung belajar?  Impian dan cita-citaku adalah untuk mengenggam skrol ijazah.  Namun  apakan daya, aku terpaksa berhenti sekolah ketika di tingkatan 4 lantaran memberi peluang kepada adik-adik meneruskan persekolahan mereka.   Mungkin sudah takdir diriku tidak mampu menyambung pelajaran lagi.  Dengan pertolongan kawan emak aku berjaya mendapatkan pekerjaan di rumah anak yatim itu.  Dengan pendapatan yang tidak seberapa itulah aku membantu emak dan ayah di kampung.   Kerana itulah aku kurang berbelanja dengan wang gajiku.  Biarlah aku berkorban asalkan adik-adik tidak menjadi sepertiku.  Melihatnya, hilang rasa rindu kepada adik-adik di kampung.
“Terima kasih Kak Rina, walaupun masih terasa kotor dan tidak mampu melupakan apa yang berlaku, namun Rahida bersyukur kerana ada Kak Rina dan kawan-kawan yang memberi semangat untuk Rahida meneruskan hidup ini.” Katanya tersenyum gembira.

         Aku turut tersenyum sambil tanganku memicit bahunya.   Mereka hampir meragut maruah dan mahkota dirinya. 
            Hujung minggu adalah hari santai untuk kami semua.  Aku sibuk melayan adik-adik dengan kerja sekolah masing-masing.  Hari itu kami menerima tetamu.   Kehadiran sepasang suami isteri yang sudah berumur berpenampilan menarik, berbaju kemeja  batik, yang wanitanya berbaju kurung juga menggunakan kain batik sutera, bergaya  sungguh mereka membuatkan aku, para karyawan dan penghuni rumah anak-anak yatim terkejut.  Mereka saling berpandangan sesama sendiri.  Saling bercakap antara satu sama lain.  Wajah   penuh tandatanya.  Apatah lagi melihat kenderaan yang digunakan oleh pasangan tersebut.  Mercedez 4 siri.  Berwarna hitam dan berkilat, bersih.    Bukan kerana tidak pernah ada  tetamu yang hadir tetapi kali ini berlainan sekali.  Kian terkejut apabila mereka memperkenalkan diri. 
            “Itu datuk dan nenek Rahida!” kata Rahida.  Dia menerpa mendekati pasangan tersebut.
 Aku memandang wajahnya, kehairanan.  Aku sangkakan dia tidak mempunyai keluar setelah kedua orangtuanya meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya.  Aku mengucapkan syukur sekurang-kurangnya dia masih ada keluarga.  Kehadiran mereka adalah hendak mengeluarkan Rahida dari rumah anak yatim itu.    Aku berasa sedih akan kehilangan dia, tapi aku bahagia bagi pihak dia kerana akan kembali ke pangkuan keluarga tercinta.  Dia sudah kuanggap seperti adikku sendiri.  Rupanya keluarga Rahida sebelah ayahnya bukan orang biasa-biasa.  Beruntung sungguh Rahida dilahirkan di dalam keluarga yang sangat-sangat berharta dan berada.
            Selang beberapa minggu kemudian, aku dipanggil puan pengurus rumah anak-anak yatim itu.  Riak muka puan pengurus serius sahaja.  Risau pula aku melihatnya.  Adakah kerana kesalahanku pagi tadi terlewat mengejutkan para pelajar  bangun untuk solat subuh, atau kesalahanku mengajak beberapa orang pelajar keluar ke kedai berhampiran.    Puan pengerus menyerahkan sepucut surat kepadaku.  Semakin kuat debar di dadaku.  Adakah aku dikenakan apa-apa tindakan atas kesalahan yang telah aku lakukan?  Tanganku terketar-ketar mengambil surat tersebut.  Pernafasanku jadi tidak menentu, terlalu takut dan bimbang.   Aku terus membuka surat tersebut.  Bertambah seram sejuk tanganku apabila melihat  surat tersebut datangnya dari pejabat peguam.  Ya ALLAH, kesalahan apakah yang telah aku lakukan sehingga mendapat surat dari pejabat peguam?  
            Aku  membuka surat itu perlahan-lahan.  Gugup aku seketika.  Wajah puan pengurus langsung tidak beraniku pandang.    Biasiswa?  Aku terkejut.  Dalam surat itu tertulis  bahawa  pejabat peguam itu adalah wakil  daripada  datuk Rahida. Isi kandungan itutentang biasiswa bagi membolehkan aku melanjutkan pendidikan sehingga setinggi yang aku mampu.  Benarkah apa yang aku baca.  Berulang-ulang  kali aku melihat dan membacanya.  Subhana-ALLAH hanya perkataan itu lahir di bibirku.  Jika ada Rahida berada di hadapanku sekarang sudah tentu aku akan peluknya dengan erat.   Pasti Rahida telah mengadu tentang apa yang berlaku kepadaku, kepada datuk dan  neneknya.  Tentu  mereka sudah menyiasat latar pendidikkanku.  Pasti inilah cara mereka membalas budiku!  Puan Pengurus rumah anak yatim yang duduk memandangku turut bersama merasa gembira.  Malah aku diberi peluang untuk bercuti ketika perlu.
***
Lima tahun sudah berlalu, dia, gadis itu sudah besar panjang dan bakal mendaki ke puncak menara gading. Aku bangga dengan dirinya. Dalam kekecewaan dia bangun, bangkit kembali. Kini dia tinggal bersama-sama datuk dan neneknya. Dia melihat kejayaaku. Dia melihat kesungguhanku. Dia bersungguh-sungguh meyakinkan datuk dan neneknya untuk menyara diriku sehingga aku berjaya. Sepenuhnya aku menerima bantuan dari keluarganya. Tidak terbalas jasa mereka kepadaku. Bukan besar mana jasaku kepadanya. Namun dibalas dengan penuh bererti buatku dan keluargaku jua.
  Walaupun aku sudah menyambungkan pelajaranku, aku ada juga melawat ke rumah anak-anak  yatim itu.   Kebetulan  universiti tempat aku menyambung pelajaran tidak berapa jauh dari rumah anak yatim tersebut.   Setiap hujung minggu aku akan menghabiskan masa bersama-sama dengan adik-adik itu.    Seminggu sekali aku dan beberapa rakan sekuliahku akan memberi kelas tambahan percuma kepada mereka.  Aku juga ingin melihat mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.
           Bunyi alunan irama gamelan menarik hatiku ke duniaku sekarang.  Dewan yang tadi hanya ada beberapa orang kini sudah penuh. Wajah-wajah riang jelas terpancar di sana-sini.  Paluan gendang reban ubi mula kedengaran bergema memenuhi dewan itu.  Sedetik itu sebarisan manusia berpakaian serba indah, lengkap bersamping bersama cokmar melangkah masuk. Diiringi dif-dif kehormat dan tetamu jemputan yang juga berpakaian serba mewah lagi anggun.  Semakin berdebar hatiku.  Semakin seram sejuk tangan dan kakiku. Saat-saat yang aku tunggu dan nanti-nantikan.  Lima tahun bergelumang dengan nota, tesis dan buku, akhirnya berjaya juga mengenggami impian segunung intan, mengapai cita-cita selautan mutiara.  Bertambah bahagia apabila ditemani insan-insan tersayang.  Walaupun bukan semua yang boleh melangkah masuk ke dalam dewan namun kehadiran mereka sudah cukup untuk memberi semangat dan meraikan kejayaan bersama.  Kejayaan yang penuh bererti di dalam hidup ini.
            Aku berbaju kurung lengkap berjubah yang dipinjamkan oleh pihak universiti.  Kami berbaris melangkah masuk ke dalam dewan dan  mengambil tempat masing-masing. Setiap kerusi sudah bertanda.  Namaku dipanggil.  Aku mengatur langkah dengan penuh sopan mengikut irama lagu yang sedang berkumandang.  Letak kaki mengikur irama gamelan yang sedang dimainkan.  Aku melemparkan senyuman. Ijazah  milikku bertukar tangan. Aku menahan sebak di dada.  Tidak mahu menangis di hadapan dif-dif kehormat.  Ucapan tahniah kuterima bertalu-talu lantaran aku pelajar cemerlang kebanggaan mereka.
            Di luar dewan sudah menanti sanak  saudara begitu juga dirinya  terus menerpa sebaik sahaja ternampak kelibatku.  Jambangan bunga besar menjadi milikku.  Ciuman bertalu-talu dihadiahkan untukku.  Datuk dan neneknya hadir bersama begitu juga kedua orangtuaku yang turut berbangga dengan pencapaianku.         
            “Terima kasih atuk, nenek. Rahida juga.”    Aku memeluknya lagi.
            Mereka memandangku dengan rasa bangga. Kedua orangtuaku tersenyum gembira.  Ijazahku bertukar tangan.  Biar menjadi tatapan ayah dan emak.  Inilah anak mereka yang bercita-cita besar  walaupun diriku kecil sahaja. Impian menjadi kenyataan ketentuan ILAHI  jua.



No comments:

Post a Comment