AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 12 July 2014

Petikan dari Novel TOLONG CARI SUAMIKU!




Bila pula arwah suaminya tukar wasiat tersebut? Takkan sebelum meninggal? Hisy, bila? Katrina mengetap bibir. Rasa mahu digigit lidahnya biar putus. Janji sudah dibuat dengan kedua-dua orang tuanya untuk memberi beberapa ratusan ribu ringgit. Dalam keadaan begini bukan ratusan ribu, ratusan ringgitpun belum tentu.
“Puan hajah... Puan Katrina. Inilah yang telah ditulis oleh arwah sebelum dia menemui ajal pada hari yang sama. Harap puan hajah dan Katrina terima dengan hati yang terbuka. Kerja saya sudah selesai. Puan Mastura tolong tandatangan di sini tanda penyerahan harta ini kepada puan sebagai pemegang amanah kepada Maria, anak puan yang merupakan waris tunggal harta-harta ini,” kata Haji Arshad.
Mastura terdiam. Segala keputusan arwah suaminya pasti disanggah oleh kedua-dua insan yang berada di hadapannya. Api kebencian sedang marak menyala di mata masing-masing. Kalau mereka harimau atau binatang buas sudah pasti dia dan Maria ditelan hidup-hidup tidak tunggu lagi. Biar lenyap di muka bumi.
“Dia tidak berhak dapat harta ini!” jerkah Halijah.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa, puan hajah. Tidak boleh ada pemindahan. Kalau itu berlaku, semua orang tidak akan dapat apa-apa. Itulah yang telah tertulis di dalam wasiat ini,” terang Haji Arshad.
“Apa dah kau buat, Ashraf?!” jerit Halijah seperti orang hilang akal. Wajah Mastura ditenung dengan kejam. “Apa yang kau bagi anak aku makan, hah?! Sampai semua harta dia beri kepada kau dan anak kau aje?” Melengking suaranya bagaikan halilintar memecah bumi. Kalah kilat jika terdengar pancaran suara Halijah itu.
“Mas mana ada buat apa-apa?” Mastura membela diri. Dia tidak akan mendiamkan diri jika dihina. Bukan dia gila harta. Bukan dia mengemis dengan suaminya. Itu adalah hak Maria, anaknya.
“Berani kau jawab, ya?!” Halijah mengangkat tangan, namun pantas ditahan oleh Haji Arshad.
“Puan Hajah Halijah! Mastura menantu awak. Mulai sekarang dialah yang menguruskan segala ke
perluan puan. Lagi satu, puan tidak boleh menghalau dia dari rumah ini. Kalau dia keluar dari rumah ini, puan dan Katrina tidak akan dapat apa-apa,” terang Haji Arshad. Kecewa dengan sikap wanita yang sudah berumur itu.
“Semua ini tipu! Bohong!” Macam orang hilang akal, Halijah tidak tentu arah. Bagaimana mungkin semua hartanya jatuh ke tangan menantu yang dibencinya itu? Kenapa Ashraf sekejam itu, sanggup menyerahkan harta kepada isteri tuanya? Dia dan Katrina gigit jari?
Dia mundar-mandir mencari jalan. Wajah Haji Arshad dipandang dengan berang. Kalau Gunung Berapi Kelud meledak hebat, lebih hebat letusan hatinya ketika itu.
“Puan hajah,wasiat ini ditulis sendiri oleh arwah. Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Tugas saya sudah selesai. Saya mohon diri dahulu. Jika ada sebarang masalah datanglah ke pejabat.” Haji Arshad menunduk hormat. Beg bimbit dicapai terus berlalu keluar. Tidak mahu berlama, nanti lain jadinya. Biarlah mereka mengamuk sesama sendiri. Kerjanya hanya menyampaikan kehendak pelanggannya. Walaupun sudah lama menjadi peguam keluarga itu, sikap wanita itu tidak pernah berubah. Suka mengarah dan memberontak. Menyerang tanpa berfikir diri itu sudah cukup tua untuk mengamuk bagaikan orang muda.
Halijah mengetap bibir. Wajah Mastura yang duduk di hadapannya terasa bagaikan kecil sahaja. Mahu sahaja dia menerpa dan bergomol dengan menantunya itu.
“Ibu! Apa Abang Ashraf dah buat? Semua harta diserahkan kepada Mastura! Apa semuanya ni? Sia-sia aje kahwin dengan Abang Ashraf, habuk aje yang tinggal!” amuk Katrina.
“Suti!” panggil Mastura.
“Ya, puan?” Suti berlari anak mendekati majikannya.
“Bawa Maria masuk bilik. Buka televisyen untuknya,” arah Mastura.
Suti akur. Dia mendukung Maria dan masuk ke dalam bilik. Dia keluar semula untuk menjalankan kerja di dapur.
Mastura memandang wajah kedua-dua insan yang menjadi teman serumahnya itu. Teman serumah? Mahu tergelak pun ada. Seorang madu dan seorang lagi ibu mertua.  Entah apa ujian yang bakal dihadapinya nanti. Kenapalah arwah meninggalkan semua harta di bawah seliannya? Boleh pusing kepala 360 darjah. Duit simpanan dan saham syarikat yang diletakkan atas namanya sejak dia berkahwin dengan arwah suami sudah jauh lebih daripada cukup. Aduhai, bagaimana dia hendak menghadapi dua insan yang sedang memandangnya bagaikan singa lapar? Bila-bila masa sahaja mereka akan menerkam. Dirinya bagaikan mangsa sahaja di mata mereka.

No comments:

Post a Comment