Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 31 Ogos 2014

KEBUDAYAAN MALAYSIA

Dalam keghairahan kita bercakap tentang kemerdekaan, tentang makanan tradisional.  Cara kehidupan orang Melayu, Cina dan India, dan etnik lain yang menjadi sebahagian dari Malaysian, adakah kita ingat tentang budaya kita  yang satu ini.  TARIAN TRADISIONAL MALAYSIA.  Sudah jarang kita nikmati dan tontoni di kaca televisyen.  Saya kagum dengan Sabri Yunus yang  berusaha mengekalkan  DIKIR BARAT agar terus dihargai dan diminati oleh masyarakat Malaysia.  Tetapi bagaimana dengan tarian-tarian lain?  Adakah sudah dilupakan?  Sudah hilang ditelan zaman?  Adakah masih diperkenalkan di sekolah-sekolah?  Di pusat pengajian tinggi?  Hari ini satu konsert tersiar di televisyen di tv1, sekumpulan penyanyi muda menyanyikan lagu yang senikatanya lebih kurang begini  31 OGOS, MERDEKA, kita tidak dijajah! Melihat mereka menyanyi stail hip hop, buat saya tersenyum sendiri.  Hip Hop bukan budaya MALAYSIA, budaya asing.  Memang kita tidak diperintah, tetapi kita dijajah  oleh budaya asing yang sedang meresap, mengalir dalam diri anak-anak kita.  Kita tidak sedar itu.  Kita tidak nampak atau kita buat-buat tidak  nampak.
Mungkin orang akan kata, ala…  siapa yang hendak menarikan lagi tarian Melayu?  Lagu-lagu asli?  Siapa yang hendak dengar lagu yang mendayu-dayu…  lagu yang sesuai untuk orang-orang tua, mungkin itulah anggapan anak-anak muda hari ini.  Tetapi jangan kita lupa, di situlah juga letaknya  patriotik dalam diri dengan menyayangi dan menyanjung tinggi BUDAYA  sendiri.  Joget, Inang, Zapin, Tarian klasik India, Tarian Kipas, setiap negeri pula ada tarian etnik mereka sendiri.  Dari Perlis sehingga ke Sabah, semua ada tarian tradisional mereka sendiri, Tarian Semazau,  Tarian Lilin, Ayam Didik,  Trinai, Asyik, Gamelan, semuanya sudah pasti tidak lagi kita ingati.  Mengenali budaya setiap etnik adalah sesuatu yang indah dan menarik.  Bercakap tentang kelembutan penarinya, riang dan asyik rentaknya.  Melodi yang indah dan membuat langkah diayun dengan lenggoknya.  Bukan mudah menarikkannya. 

Ada ketika sakitnya hati, apabila ada sesuatu rancangan yang memaparkan untuk  muda mudi menari tarian-tarian ini sudah  pasti ada yang tidak tahu, bagaimana kita hendak perkenalkan tarian,  muzik dan budaya kita ini kepada pelancung asing sedangkan kebanyakkan kita tidak mengetahui maklumat tentang kebudayaan dan keseniaan tarian dan muzik kita sendiri.  Alangkah malangnya kita jika lebih hebat bercerita tentang muzik hip hop dari bercerita tentang ghazal dan mak yong.  Alangkah malangnya kita jika kita mampu bercerita tentang tarian breakdance dari bercerita tentang tarian joget.  Apabila Aznil Nawawi menjadi penaung satu rancangan tarian di tv Astro untuk anak-anak remaja dan pelajar sekolah, di mana mereka juga diminta menarikan tarian-tarian tradisional, ini adalah satu tindakan yang baik agar anak-anak ini tahu budaya sendiri, muzik dan irama bangsa sendiri.  Kalau kita sebagai orang Melayu, India dan Cina atau bangsa dan etnik lain tidak terus memperkenalkan dan mengekalkan muzik ini dan sering diperdengarkan pada umum, pelajar, pusat pengajian tinggi, takut-takut nanti akan hilang ditelan zaman.   

Tarian Melayu  indah sekali,
Iramanya asyik  dan menarik jiwa
Jangan dilupa budaya sendiri
Takut nanti hilang begitu sahaja

Sayangilah budaya sendiri, kenalilah muzik kita sendiri, walaupun tidak pandai menarikannya, sekurang-kurangnya tahu, apa itu muzik inang, joget dan zapin, apa itu tarian klasik India dan budaya bangsa lain, sedikit sebanyak kita mampu menerangkannya  pada pelancung yang datang.  Bukankah tahun ini  TAHUN MELAWAT MALAYSIA.  Muzik moden kita ikutkan, muzik sendiri dilupa jangan.  Hargailah apa yang ada, jangan hilang identiti diri semata-mata ingin dikatakan mengikut peredaran zaman.  Zaman boleh berubah tetapi jati diri harus bertahan.  Begitu jugalah Irama, muzik dan budaya rakyat Malaysia.  Harus terus dikekalkan, jangan dibiarkan terus hilang dan dilupakan.  Semoga Kemerdekaan ke 57 ini membuatkan kita semakin sayangkan Negara kita, budaya kita.  Biar betapa majunya kita, namun budaya kita jangan dibiarkan terpinggit dan dilupakan. 

Sabtu, 30 Ogos 2014

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA - ASMAH HASHIM



Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan

( korus )
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini

Betapa...
Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki

Aku...
Bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri

Demi cinta ini
Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan

Warisan
Dato' Sudirman Haji Arshad

Di sinilah lahirnya kita, menjadi manusia, membesar dan hidup bahagia di negara yang aman damai, tenteram, aman sentosa.  Di sinilah lahirnya anak-anak kita, cucu-cucu kita.  Jika kita dibuang, dihalau, atau negara ini lenyap kerana sikap rakus sesetengah manusia yang sudah tiada lagi menghayati rasa cinta kepada negara dan tanah airnya sendiri.  Ke mana kita akan pergi?  Adakah tempat lain yang lebih indah, cantik dan yang mahu menerima kehadiran kita?  Lihatlah di luar sana, bagaimana mangsa peperangan terpaksa merempat di negara orang lain, ada yang ditolak untuk tinggal di negara  lain.  Tanyalah diri kita sendiri.  Kalaulah kita tidak menjaga negara ini dengan baik, terikut-ikut sikap sesetangah orang yang gila kuasa, gila pangkat, maka tidak mustahil negara ini juga terjual satu hari nanti.

Bangunlah anak bangsaku!  Hanya ini sahaja yang kita ada, hanya ini sahaja milik kita, untuk kita tinggalkan kepada anak-anak kita.  Cucu-cucu kita.  Tiada lagi tempat lain yang lebih indah  dan cantik dari negara kita ini.  Hujan emas di negara  orang, hujan batu negara sendiri, lebih baiklah negara sendiri.  Bagaikan tinggal di rumah orang, adakah kita selesa?  Biar buruk rumah kita namun di situlah segala kenangan, buruk dan baik berkumpul yang menjadi perkara yang terindah dalam hidup kita.  Biar tercabut papannya, biar berbunyi lantainya, namun rumah kita juga yang cantik.  Itulah juga negara kita ini.  Jangan biarkan anasir dalam dan luar, yang bakal meranapkan kebahagian kita ini menjalar, menganggu keamanan yang ada.  Hargailah negara kita ini.  Lindungilah, peliharalah kemerdekaan ini. 

Selamat Menyambut Kemerdekaan ke 57...




Jumaat, 29 Ogos 2014

JALANI HIDUP SIHAT- Asmah Hashim


Mengikut kajian yang akak buat sendiri, dan hanya R&D akak mengikut pengalaman sendiri, memakan sayur dan ulam-ulaman sejak kecil mengelak dari simptom-simpton 3 serangkai apabila usia menjangkau 40-an ke atas.  Makan sayur awal di usia muda, bersenam dan mengawal pengambilan makanan berkolesterol tinggi mampu membuatkan tubuh anda sihat sentiasa.  Ikut pengalaman keluarga akak sendiri.  Keluarga suami akak orang laut maknanya mereka tinggal berhampiran laut, arwah bapa mertua mencari pendapatan sebagai nelayan, jadi setiap  hari udang, sotong dan ketam adalah menu utama mereka.    Bagi kita yang mendengar  tentu berasa seronoknya.  Makanan segar dari laut, masih terasa manisnya, sedap gitu. 

Masa terus berlalu, amalan pemakanan tidak berubah, makanan laut itulah yang menjadi kegemaran mereka, sehinggalah waktunya tiba.  Apabila berumur 40-an penyakit mula menyinggah.  Ramai antara kita suka makanan berkolesterol tinggi ini seperti udang, sotong dan ketam.  Sebenarnya pengambilan yang keterlaluan dan dalam jumlah yang banyak serta  berterusan boleh mengundang padah tanpa kita sedar.  Itulah menu utama keluarga suami akak ya.  Kalau balik ke kampung di Kuala Perlis, sebakul ketam dihadap sekali lalu sahaja.  Murah dik, siapa tak teruja lagi pun masih segar, isinya berkeping-keping. Kalau makan memang tak sedar.

Pengambilan ubat-ubat juga harus dikawal, jangan ambil sebarangan tanpa nasihat doktor. Pengambilan beraneka jenis ubat-ubatan terutama yang jenis akar kayu boleh menyebabkan kerosakan hati.  Jadi berhati-hatilah.  Jangan ikut hendak beli sahaja.

Suami akak disahkan kolesterol tinggi dalam darah, hatinya rosak akibat pengambilan terlalu banyak ubat-ubatan.  Kurang makan sayur.  Terlalu banyak pengambilan makanan berkolesterol tinggi menyebabkan penyakit-penyakit ini menyerang.

Adik ipar kedua akak, strok kerana darah tinggi yang dihidapinya sejak  berusia 30-an akhirnya sampai ke puncak. Terpaksa berhenti kerja kerana kakinya tidak mampu dan tidak kuat digerakkan akibat dari strok tadi.  Suka makanan berlemak, kurang makan sayur, hisap rokok kuat, dan kuat makan maggi, kandungan magginya pula wajib ada udang dan sotong, pendek kata memang sedaplah. 

Adik ipar ketiga.  Dalam usia 20-an lagi sudah disahkan menghidap kencing manis, gout dan darah tinggi kerana dia memang langsung tak suka makan sayur, kalau ada sayur dalam goreng mee, bee hon atau kuew teow pasti dibuang.  Akibatnya dalam usia muda sudah dilanda berbagai penyakit.

Jadi ajarlah anak-anak mula makan ulam-ulaman dan sayur-sayuran.  Amalkan hidup sihat, bersenamlah, Mulakan langkah dari sekarang.  Kesannya memang ada. Jangan beli ubat-ubatan sebarangan,  kerana kesannya ada ya.

Sekarang ini, suami akak sudah mula bersenam, kurangkan pengambilan makanan berkolesterol dan mengurangkan pengambilan ubat-ubatan.

Jadi nasihat akak kepada adik-adik, makanlah ikan , kurangkan makanan berlemak, makanan segera dan banyakkan minum air, ulam-ulaman serta sayur-sayuran.  Minum air secukupnya. dan yang paling penting BERSENAM.  Akak setiap pagi bersenam di laman rumah akak yang luas ini  1 ekar dik, bayangkan kena sapu laman yang dipenuhi daun-daun kering.  Berpeluh satu badan.  Jadi mulakan langkah untuk terus kekal sihat sehingga ke penghujung nyawa.  Jika diuji dengan sakit itu adalah ujian daripada ALLAH SWT.  Apa yang penting sekali, hati kena bersih.  Jangan ada hasad dengki dengan orang lain.  Banyakkan ibadah, berdoa dan jalanilah hidup yang sihat baik fizikal dan  rohani agar kita tetap sihat selamanya.  Kita tidak tahu keadaan kita di masa hadapan, kita tidak tahu apa bakal jadi kepada kehidupan kita di masa hadaopan jadi mulakan hari anda dengan sebaik-baiknya dan sentiasa buat baik dengan orang lain, makan makanan yang halal dan baik, bersih dari syubaha dan yang penting dari hasil yang halal.  Semoga ALLAH SWT merahmati dan memberkati apa sahaja yang dikurniakan kepada kita. 

Selasa, 26 Ogos 2014

SESALAN TIDAK TERUCAP - ASMAH HASHIM




Zaiton mengeluh kesal,  apa yang sedang berlaku?  Dia sangkakan rumah tangga Amir Hudzaifa, Ummi Khadeeja dan Syifa Umaira sudah berbunga bahagia, tiada lagi sengketa antara mereka.  Rupanya dia silap.  Belah menunggu retak antara Syifa Umaira dan Amir Hudzaifa.  Sudah bertahun-tahun mereka tidak bertemu, hanya mendengar cerita dari kejauhan.  Panggilan telefon daripada  Ummi Khadeeja membuatkan hatinya diulit resah.
“Pergilah…  mungkin awak boleh bantu sesuatu?”  suruh Haji Salleh.
Zaiton menoleh ke arah suaminya.  Dia hanya melemparkan senyuman. 
Dalam kenderaan   mereka hanya mengisi kebisuan dengan mendengar lagu-lagu qasidah yang sedang berkumandang di radio.
 “Maafkan Eja kerana mengajak Ton!  Abang Amir yang suruh jumpa Mai, pujuk agar dia tidak menfailkan saman penceraian!” adu Ummi Khadeeja dengan mata berkaca.
 “Kenapa Ton?  Kenapa tak ajak orang lain?”  Zaiton memandang wajah  Ummi Khadeeja tidak berkelip.  Sahabat yang sudah lama tidak ditemui, berpisah lantaran tuntutan kerja dan waktu yang terbatas, menguruskan rumah tangga dan anak-anak, lebih-lebih lagi suaminya Haji Salleh sudah berniaga sendiri.  Jadi banyak masanya dihabiskan dengan kerja-kerja sendiri.

“Terima kasih kerana mempercayai Ton, Eja…”  Zaiton menepuk bahu sahabatnya. 
Suasana di laman rumah banglo dua tingkat  berwarna putih itu suram dan muram. Tiada kelihatan hiasan di laman rumah.  Tiada pokok renek menghiasi laman tersebut.  Rumput mula memanjang menghiasi laman tersebut. Langkah diayun mendekati pintu utama.  Salam diberi, pintu diketuk perlahan.  Terpacul di muka pintu wajah yang sudah lama tidak ditemui.   Mereka di pelawa masuk.
“Kak Eja!  Ada apa hal datang ni?  Kak Ton pun ada?”  Tiada senyuman terukir di bibir itu.
“Pasal kes mahkamah yang Mai buat terhadap  Abang Amir!” tegas suara Ummi Khadeeja.
Setelah berbincang, nampaknya  dia dan suami terpaksa juga menyelesaikan masalah yang baharu sahaja bertandang.  Tiada  ribut, tiada hujan, tahu-tahu banjir melanda.  Manalah tidak mengelabah jadinya, hendak angkat yang mana dahulu? Sofa mahal atau dokumen penting dahulu.  Zaiton mengeluh kesal.  Tiada mampu dibuat apa lagi.  Nasi sudah hangit, nak telan pun tidak mampu, bau hangitnya memeritkan tekak dan hidungnya sahaja. 

Ummi Khadeja pula malas hendak memaksa.  Kalau orang  sudah tak sudi, buat apa merayu?  Kalau tidak kerana pujukan suaminya, rela terpaksa dia melakukannya.  Kalau ikutkan hati, tidak kuasa dia  hendak mencemar duli.  Bukan sombong diri, tetapi manusia yang tidak ada hati seperti Syifa’Umaira, layakkah dihormati?


***
Sekali lafaz dilepaskan, terburailah segalanya.  Hubungan yang bercantum selama 9 tahun akhirnya putus jua.   Wajah selamba Syifa’ Umaira ditatap lama.  Langsung tiada rasa bersalah di wajahnya itu.  Malah senyuman terukir bangga.  Itulah manusia, paksa diri bermadu selepas itu buat onar dan tingkahlaku bak pelesit betina yang baharu dapat mangsa terbaharu.
Tuntutan bukan calang-calang, 50 gram emas, RM3,000 untuk anak-anak, duit kereta, duit rumah, dan duit sekolah,bayaran pembantu rumah,  semua tanggungan Amir Hudzaifa!  Kerana sayang Amir Hudzaifa turutkan sahaja.  Rela terpaksa menceraikan Syifa’ Umaira.  Kalau sudah isteri meminta, tidak diberi banyak pula songehnya.   Amir Hudzaifa tidak marah, hati Zaiton pula geram  bak tertelan lada.  Ummi Khadeeja hanya mampu mengeluh kesah.  Hendak bercakap dan melarang, bibirnya bak dikunci dengan kunci emas yang hilang anaknya.
Masa berlalu ingatkan sudah selesai satu masalah tidak akan ada gangguan mendatang, rupanya  dia silap, kalau sudah namanya syaitan, agaknya asyik suka menghasut dan menganggu.  Langsung tidak benarkan hidup orang lain tenang, ada sahaja ingauannya.  Kalau tidak pasal anak, mengamuk konon duit yang diberi tidak cukup.  Kalau tidak pasal duit, melenting sebab Amir Hudzaifa tidak datang  menjenguk anak-anak.  Kepala yang pusing 360 darjah siapa lagi kalau bukan Ummi Khadeeja.

Di pagi yang  dingin setelah semalaman hujang membasahi bumi, Ummi Khadeeja menghampiri rumah Zaiton dan  Haji Salleh.    Bagaikan menyerang orang yang salah pula.  Memanglah dia dan suami  berada di mahkamah waktu penceraian Amir Hudzaifa dan Syifa’ Umaira
tetapi bukan dia yang menentukan semuanya dan Amir Hudzaifa  yang melayan kehendak Syifa’ Umaira.  Dia hendak buat apa?  Begitu juga suaminya, mereka hanya membantu apa yang patut.
“Kenapa si Mai tu, Ton?  Abang Amir sudah bagi semuanya, tidak cukupkah lagi?”  marah Ummi Khadeeja yang ziarah Zaiton beberapa hari yang lalu. 
Hanya bahu yang berbicara, tidak tahu apa yang hendak dikata.  Siapa salah sebenarnya?  Amir Hudzaifa pun tahu, bekas isteri keduanya itu tidak mahu dimadukan.  Kenapa menambah masalah?  Tahu-tahu kahwin kali ketiga.  Ummi Khadeeja tidak marah kerana sudah berasa beratnya dan kelatkan kehidupan poligami. Syifa’ Umaira pula berasa tercabar, suami cari orang lain, siapa yang tidak marah!
“Eja bersabarlah ya…  mungkin masalah akan  selesai nanti!”  pujuk Zaiton, walaupun tahu  Syifa’ Umaira tidak akan berubah. Kalau dia hendak berubah, ketika 9 tahun dahulu.  Hati manusia jenis apa agaknya dia?
Terkejar-kejar Zaiton mengikut langkah besar Ummi Khadeeja menuju ke rumah Syifa’ Umaira, aduhai!  Janganlah mereka tarik rambut pula, kes naya ini!
“Eja… sabarlah!” pujuk Zaiton sambil menyambar tangan  Ummi Khadeeja. 
Ummi Khadeeja lebih rela, bekas madunya itu berpisah terus daripada suaminya.  Buat menghabiskan beras sahaja bela manusia yang tiada hati dan belas ehsan kepada suami sendiri.  Siap tuduh lagi, kononnya dipukul dan ada laporan polis pula itu!
“Siapa yang boleh bersabar?  Ton tahukan, dia buat laporan polis!  Lepas tu ajak Eja buat laporan polis sebab Abang Amir berkahwin lagi tidak memberitahu kami! Dia ingat, Eja segila dia agaknya!”  berapi-api marah Ummi Khadeeja.  Tidak tahan dengan sikap kurang ajar bekas madunya itu.
“Tak tahulah Ton nak cakap apa,” kata Zaiton.  Dia sendiri marah!  Bukan Ummi Khadeeja sahaja.  Semakin marah dengan sikap menunduk Amir Hudzaifa.  Apa yang ditakutkan dengan Syifa’ Umaira?  Bimbang keterlaluan kehilangan  anak-anaknya. 
“Ton tahu tak!  Beli televisyen LCD, telefon, Tab…  aduhai!  Duit yang Abang Amir bagi itu, untuk anak-anak, bukan menghabiskannya  sesuka hati!” marah lagi. 
Zaiton menelan air liur. Alamak!  Teruknya.  Lepas berpisah lagi teruk jadinya? Memang hilang akal atau balas dendam.
“Yang Ustaz Amir bernikah lagi itu kenapa? Dah tahu sah-sah   Mai tak setuju!  Sekarang dah berpisah, anak-anak pula jadi mangsa!  Mai pula tahu, ustaz sayang sangat anak-anak, lagilah mudah kerja dia,”  menambah perisa.  Aduhai, tak pasal-pasal dapat dosa mengumpat saudara sesama Islam.
“Itu Eja tak tahu!  Malas nak bertanya,”  Ummi Khadeeja mengendur, nada suaranya bertukar suram.   Air yang terhidang diteguk menghilangkan dahaga dan kering tekaknya.
“Untunglah dia, tak perlu bekerja!  Semuanya sudah tersedia.  Tak perlu melayan suami dan uruskan  makan minum Abang Amir, tapi duit dia hendak!  Sanggup gunakan anak pula itu!”  Melambak kembali rasa geramnya.  Ummi Khadeeja mendengus kasar.
Zaiton hanya mampu menggelengkan kesal. Kecewa dengan apa yang berlaku.  Sikap prihatin dan bertanggungjawab Amir Hudzaifa dipergunakan sebaik mungkin oleh Syifa’ Umaira.  Bijak, bijak, memang bijak!
“Abang Amir terlalu baik, kalau dia berkahwin lagi siapalah kita hendak menghalangnya!  Bukankah dengan izin ALLAH jua, Eja harap, anak-anak akan diserahkan kepada Abang Amir satu hari nanti!”  harap Ummi Khadeeja.

“Semoga Mai akan insaf, Eja…”  Itu juga harapan Zaiton.  Lirih hatinya melihat masalah sahabatnya itu tidak pernah padam.  Tidak tahukah Ustaz Amir Hudzaifa  bahawa isteri-isterinya sudah tidak redha dia berkahwin lagi?  Sehingga berlaku penceraian yang tidak dirancang.  Syifa’ Umaira sudah  jelas-jelas tidak mahu dimadukan!  Ummi Khadeeja akur dalam kepaksaan.  Sekarang siapa yang menjadi mangsa?  Isteri ketiga pula bukan hendak mendamaikan, malah memeritkan lagi kehidupan mereka berempat.   Zaiton menggeleng kesal.  Dia tidak mahu lagi mencampuri urusan rumah tangga sahabatnya itu. Biarlah mereka urus dan selesaikan sendiri.

***
Ummi Khadeeja mencengkam tangan Syifa’ Umaira kuat.  Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja penampar naik ke muka bekas madunya itu.  Tergamak buat fitnah, tergamak mengugut, tergamak menghina lelaki yang pernah menjadi suaminya.  Siap guna anak-anaknya pula!  Hati siapa yang boleh tahan, boleh bersabar?  Luarannya penuhlah lembut sampai peguam pun percaya tetapi hati macam ketua iblis, langsung tidak ada tolak ansur.  Zaiton pula sudah tidak mahu membantunya.  Kenalah dia bertindak sendiri.
“Lepaslah kak Eja… sakit tau!”  Tangannya direntap kuat sehingga terlepas dari genggaman Ummi Khadeeja.
“Kau memang dasar muka tak malu, kan?  Sudahlah minta cerai! Minta lagi itu, ini! Ini kau ugut pula Abang Amir!  Kau ni manusia atau syaitan, hah!” lengking suara Ummi Khadeeja yang semakin hilang sabarnya.  Suaminya sampai tidak dapat menumpukan perhatian kepada kuliah dan maahad, kalau dah asyik diganggu dengan sms daripada Syifa’ Umaira. 

“Akak sibuk buat apa?  Abang Amir tak jadi masalah pun!”  lawan Syifa’ Umaira.
“Tak ada masalah?  Kau ganggu dia siang dan malam dengan sms kau yang kurang ajar itu!  Kau ugut tak bagi dia jumpa anak-anak! Kau ugut nak kahwin lain! Heh! Kahwinlah… siapa larang?  Kau ingat kau hebat sangat?  Masak tak pandai, urus rumah tangga tak tahu, anak tak pandai jaga!  Rumah bersepah!  Harap pembantu rumah yang ada, beri makan anak-anak kau dan mengemas! Kalau harapkan kau… makan nasi dengan kicap ajelah budak-budak itu!”  jerkah Ummi Khadeeja.  Cepat-cepat dia beristighfar.  Itulah hakikatnya Syifa’ Umaira yang perasan hebat itu.  Setiap hari dia tahu suaminya terpaksa membeli lauk yang sudah siap di kedai, atas alasan tak sempat hendak memasak  oleh bekas madunya itu.  Rumah pula langsung tidak berkemas, atas alasan yang sama.  Syifa’ Umaira tidak bekerja?  Apa yang dia buat di rumah?  Anak kalau ramai dan kecil-kecil sekalipun takkan tak punya ruang waktu untuk mengemas rumah?  Dasar pemalas dan lembap buat kerja.  Untung bersuamikan suaminya, yang boleh bertolak ansur kalau lelaki lain agaknya sudah lama tangan naik ke badan.

“Selagi hati saya tidak hilang sakitnya!  Selagi itulah kehidupan akak dan isteri ketiga  Abang Amir tidak akan aman!  Saya  haramkan perempuan itu sentuh anak-anak saya!” 

“Hoi! Itu anak-anak Abang Amir juga tau!  Abang Amir berhak bagi kepada sesiapa sahaja untuk menjaga anak-anaknya!”  bebel Ummi Khadeeja.
“Peduli apa saya!  Ini perjanjian antara saya dengan Abang Amir.  Akak jangan masuk campur!”  marah Syifa’Umaira.

“Kau ingat, akak akan biarkan kau terus menganggu kebahagian kami, Mai!  Akak akan pastikan hak penjagaan anak akan jatuh ke tangan Abang Amir!  Biar kau mati kering sendiri!”  ugut Ummi Khadeeja.  Jika bekas madunya itu pandai mengugut, dia juga tahu.   Dia mengetap bibir.
“Padan muka akak di madukan lagi!  Saya dah bebas sekarang!”  kata Syifa’ Umaira bangga.
“Hoi! Sedar diri sikitlah, kau tu janda anak lima, ada ke orang mahu?” sindir Ummi Khadeeja. 
“Main kasar nampak!” Syifa’ Umaira mencekak pinggang.
“Kau sahaja yang berani dan kuat?  Kau ingat akak takut?” 
“Akak jangan  cuba naikkan darah saya!  Kang saya hilang pertimbangan, teruk akak saya kerjakan!”
“Ala, badan kurus melidi!   Ada hati nak ganyang akak! Kau ingat kau seorang sahaja yang berani?”  Ummi Khadeeja mula menyising lengan baju jubahnya.  Perasaan marah yang membara di hati membuatkan dia hilang pertimbangan akal yang waras.  Hilang keayuannya sebagai muslimat dan wanita Melayu.  Inilah akibatnya kalau sudah terlalu marah.
“Eja, Mai!” jerit seseorang. 
Kedua-duanya menoleh.
Amir Hudzaifa dan isteri ketiganya datang menghampiri Syifa’ Umaira dan Ummi Khadeeja.
“Kenapa ini? Kalian hendak malukan abang?”  kata Amir Hudzaifa, tegas.
“Ini, isteri tua abang, ganggu di laman rumah saya!  Datang tak bagi salam, terus maki hamun saya! Saya boleh buat laporan polis kerana kak Eja serang saya!”  ugut lagi.
“Kau!” Ummi Khadeeja mencebik.  Hatinya berbunga benci terhadap bekas madunya itu.  Sejak dahulu, kini dan selamanya.  Tiada aura antara mereka untuk saling kasih mengasihi.  Tidak mungkin wujud keharmonian antara mereka.
“Akak, Mai, kenapa macam ini?  Malu jika didengari oleh jiran-jiran. Kita masih boleh berbincang”  sampuk Nani, isteri ketiga Amir Hudzaifa.
“Kaulah punca segalanya!  Kau rampas  Abang Amir!  Kau memang perempuan tidak tahu malu! Ambil laki orang!”  jerit Syifa’ Umaira, geram, marah, benci, meluat semua ada bagaikan rojak.  Kalau rojak sedap juga di makan.
“Mai tak ambil laki orangkah?” sinis sekali, Ummi Khadeeja mengangkat kening.
Terdiam Syifa’ Umaira.
Ummi Khadeeja memandang madunya yang baharu. Ini pun satu hal juga.  Tahu-tahu sudah bernikah.  Untung dia tidak segila Syifa’ Umaira kalau tidak boleh botak kepala suaminya.  Wajah resah Amir Hudzaifa dipandang sekali imbas.  Kalau ikutkan sakit hatinya, entahlah…  boleh hilang rasa hormatnya kepada suami yang amat disayangi itu.   Kejamkah suaminya berkahwin lagi tanpa meminta izin darinya terlebih dahulu?  Layakkah dia berkecil hati atau membenci suaminya itu?  Hatinya terluka berkali-kali, tiada ruang yang tidak bertampal agar tidak berdarah kembali. Berhati-hati agar hatinya tidak mati lantaran dihunus pisau yang tajam oleh suaminya yang lansung tidak mahu memahami dan cuba mengerti perasaannya.  Lain di mulut, lain di hati, itulah situasi kini. 

“Sudahlah!  Jom balik, jangan buat kecoh di sini lagi.  Mai bukan isteri abang lagi!”  ajak Amir Hudzaifa.
“Abang hendak lepaskan sahaja dia?  Tak cukupkah lagi dia menganggu kebahagian kita?  Mai… akak akan pastikan anak-anak akan menjadi milik Abang Amir!  Biarkau pula putih mata!”  ugut Ummu Khadeeja.  Bukan niat di hati ingin memisahkan seorang ibu dengan anak-anak, tetapi bekas madunya itu sanggup buat apa sahaja demi menghancurkan rumah tangga dia dan keluarganya.  Tidak mungkin dia mendiamkan diri.  Lawan tetap lawan.  Di Mahkamah mereka akan berjumpa!

“Dia bukan isteri abang lagi.  Abang akan dapatkan hak penjagaan anak-anak.  Mai keterlaluan.  Abang pun ada maruah dan harga diri.  Jangan ugut abang lagi, jangan hina abang lagi, anak-anak kini di bawah jagaan Mai, jagalah mereka dengan baik dan asuhlah mereka dengan didikan agama.  Kalau Mai bertemu jodoh, abang doakan Mai bahagia.  Jangan ganggu rumah tangga abang lagi.  Binalah hidup baharu, berubahlah menjadi manusia yang tahu menghormati orang lain, semoga Mai bertemu dengan lelaki yang mampu membahagiakan Mai.  Abang hanya manusia biasa.  Maafkan abang jika selama menjadi suami Mai, abang tidak mampu membahagia dan membimbing Mai menjadi muslimat dan isteri solehah,”  kata Amir Hudzaifa sebelum  berlalu dari  rumah Syifa’ Umaira bersama kedua-dua isterinya.

Syifa’ Umaira termanggu sendiri.  Terdiam dan tidak berkutik.  Wajah tenang Amir Hudzaifa membuatkan hatinya parah.  Luka dan berdarah.  Kini bekas suaminya sudah ada pengganti dirinya.  Mungkin jauh lebih baik dari dirinya.  Air mata berguguran di pipinya yang cengkung.  Dibiarkan sahaja di situ.

Amir Hudzaifa diulit resah, jiwanya kacau dengan sikap isteri-isteri dan bekas isterinya.    Dalam hati dia tetap berdoa, agar ALLAH SWT memberinya kebahagian dunia dan akhirat.
Ummi Khadeeja berwajah kelat.  Menyesal dia setuju suaminya berkahwin lagi.  Payung emas entah ke mana, dosa sahaja mengiringi hidupnya lantaran hatinya tidak redha sepenuhnya.  Makan hati berulam jantung, jiwa kacau, hidung dirundung resah yang sering berkunjung.    Wajah madunya yang tenang dipandang sekali imbas.  Nasib badanlah agaknya, sudah ditakdirkan dia akan berkongsi suami.  Kepada ALLAH dia berserah, semoga ada kebahagian di penghujung kehidupannya dan keluarga.

Ahad, 24 Ogos 2014

ULASAN SIAPA TAK SAYANG BINI



SIAPA TAK SAYANG BINI
NUR INSYIRAH
ALAF 21
2014
RM21.00
M/S 503
                Pernah tak jatuh cinta dengan abang kawan baik sendiri?  Saya pernahlah, tapi tiada jodoh antara kami sebab, dia pergi dahulu dijemput ILAHI, semoga rohnya dicucuri rahmat dan tenang di alam sana.

                Emili gadis berbangsa cina yang  diasuh oleh  Mak Diah sewaktu kecilnya.  Membesar bersama-sama anak Mak Diah sehingga gadis itu sebati dalam hidup keluarga tersebut.  Mak Diah mempunyai tiga orang anak.  Dua perempuan dan seorang lelaki.  Emili berkawan baik dengan anak Mak Diah Maira.  Dalam diam Emili menaruh hati kepada abang Maira, Fahim.  Emili sanggup menukar agamanya demi cintanya yang mendalam terhadap abang sahabat baiknya itu.  Sanggup menghadapi apa sahaja ujian dan dugaan asalkan dia bersatu dengan Fahim.
                Dalam usia yang muda Emili mengajak Fahim berkahwin.  Dengan nama Nur Amili Abdullah, dia meneruskan juga rancangannya walaupun  ayahnya telah menghalaukan keluar dari rumah. 

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang agama, buang saudara,
Kerana kasih Amili turutkan.

                Dia dihalau keluar oleh ayahnya lantaran kecewa dengan penukaran agama dan berkahwin  dengan lelaki berbangsa lain.  Emili hampa namun dia kuatkan semangat dengan harapan Fahim mampu membahagiakannya.
               
                Rasa cinta dan pengorbanan Emili menyebabkan Fahim akhirnya bersetuju mengahwini gadis yang  dia cintai itu hanya suam-suam kuku, bukan sepenuh hatinya.  Setelah menikah, Emili mengikut Fahim ke Newcastle.  Emili mengharapkan perhatian dan belaian manja.  Fahim pula yang masih belajar terpaksalah bekerja untuk menyara kehidupan mereka berdua.  Fahim juga merahsiakan kepada Emili yang dia bekerja di sebuah restoran demi menyara hidup mereka bersama.  Akhirnya…  diharapkan matahari memancar terang di siang hari, rupanya hujan turun tanpa diduga.  Emili merajuk hati hanya kerana sebuah dairi.  Tahulah dirinya bahawa Fahim hanya mempermainkan perasaannya.  Emili jauh hati sehingga membawa diri pulang ke tanah air.  Rajuk sehingga sanggup berpisah walaupun cinta membara di hati.
               
                Fahim pula rupanya mengalami tekanan jiwa lantaran kehilangan arwah ayahnya. Perasaan itu hadir semula apabila ditinggalkan Emili.  Dia sengsara sehinggalah dia dibantu untuk bangun kembali, mencapai impian dan cita-citanya.  Akhirnya dia berjaya dan kembali ke tanah air.

                Emili punya cerita sendiri, keguguran tetapi merahsiakan daripada Fahim.  Sambung belajar di Universiti tempat Fahim mengajar dan mengambil kos yang dia tidak pandai dan suka.  Pilihannya membuatkan dia sering gagal dalam kelas,  kemunculan Fahim tanpa diberitahu kepadanya membuatkan hatinya sebal dan kenangan lama kembali bertandang.  Walaupun dia tahu, Fahim masih lagi suaminya. 
                Fahim pula mencari ruang bagaimana hendak berbaik dengan Emili,  itulah harapan Mak Diah agar Fahim membaca Emili kembali ke rumah sebagai menantunya.  Fahim akur demi memujuk kembali keluarganya. 
                Dalam diam ada saingan Emili, pensyarahnya sendiri.  Namun hati Fahim hanya untuk Emili yang rajuknya sukar hendak dipujuk.   Apa terjadi seterusnya?  Mahukah Emili menerima Fahim kembali dalam hidupnya setelah dirinya dibuang seperti sampah?  Terpujukkah hati Mak Diah dan adik-adik Fahim dengan perbuatan Fahim yang telah menyentap hati mereka?  Adakah Fahim pulih sepenuhnya dari tekanan perasaan yang dia alami?  Kalau hendak tahu kisah seterusnya?  Jom dapatkan SIAPA TAK SAYANG BINI!