AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 31 August 2014

KEBUDAYAAN MALAYSIA

Dalam keghairahan kita bercakap tentang kemerdekaan, tentang makanan tradisional.  Cara kehidupan orang Melayu, Cina dan India, dan etnik lain yang menjadi sebahagian dari Malaysian, adakah kita ingat tentang budaya kita  yang satu ini.  TARIAN TRADISIONAL MALAYSIA.  Sudah jarang kita nikmati dan tontoni di kaca televisyen.  Saya kagum dengan Sabri Yunus yang  berusaha mengekalkan  DIKIR BARAT agar terus dihargai dan diminati oleh masyarakat Malaysia.  Tetapi bagaimana dengan tarian-tarian lain?  Adakah sudah dilupakan?  Sudah hilang ditelan zaman?  Adakah masih diperkenalkan di sekolah-sekolah?  Di pusat pengajian tinggi?  Hari ini satu konsert tersiar di televisyen di tv1, sekumpulan penyanyi muda menyanyikan lagu yang senikatanya lebih kurang begini  31 OGOS, MERDEKA, kita tidak dijajah! Melihat mereka menyanyi stail hip hop, buat saya tersenyum sendiri.  Hip Hop bukan budaya MALAYSIA, budaya asing.  Memang kita tidak diperintah, tetapi kita dijajah  oleh budaya asing yang sedang meresap, mengalir dalam diri anak-anak kita.  Kita tidak sedar itu.  Kita tidak nampak atau kita buat-buat tidak  nampak.
Mungkin orang akan kata, ala…  siapa yang hendak menarikan lagi tarian Melayu?  Lagu-lagu asli?  Siapa yang hendak dengar lagu yang mendayu-dayu…  lagu yang sesuai untuk orang-orang tua, mungkin itulah anggapan anak-anak muda hari ini.  Tetapi jangan kita lupa, di situlah juga letaknya  patriotik dalam diri dengan menyayangi dan menyanjung tinggi BUDAYA  sendiri.  Joget, Inang, Zapin, Tarian klasik India, Tarian Kipas, setiap negeri pula ada tarian etnik mereka sendiri.  Dari Perlis sehingga ke Sabah, semua ada tarian tradisional mereka sendiri, Tarian Semazau,  Tarian Lilin, Ayam Didik,  Trinai, Asyik, Gamelan, semuanya sudah pasti tidak lagi kita ingati.  Mengenali budaya setiap etnik adalah sesuatu yang indah dan menarik.  Bercakap tentang kelembutan penarinya, riang dan asyik rentaknya.  Melodi yang indah dan membuat langkah diayun dengan lenggoknya.  Bukan mudah menarikkannya. 

Ada ketika sakitnya hati, apabila ada sesuatu rancangan yang memaparkan untuk  muda mudi menari tarian-tarian ini sudah  pasti ada yang tidak tahu, bagaimana kita hendak perkenalkan tarian,  muzik dan budaya kita ini kepada pelancung asing sedangkan kebanyakkan kita tidak mengetahui maklumat tentang kebudayaan dan keseniaan tarian dan muzik kita sendiri.  Alangkah malangnya kita jika lebih hebat bercerita tentang muzik hip hop dari bercerita tentang ghazal dan mak yong.  Alangkah malangnya kita jika kita mampu bercerita tentang tarian breakdance dari bercerita tentang tarian joget.  Apabila Aznil Nawawi menjadi penaung satu rancangan tarian di tv Astro untuk anak-anak remaja dan pelajar sekolah, di mana mereka juga diminta menarikan tarian-tarian tradisional, ini adalah satu tindakan yang baik agar anak-anak ini tahu budaya sendiri, muzik dan irama bangsa sendiri.  Kalau kita sebagai orang Melayu, India dan Cina atau bangsa dan etnik lain tidak terus memperkenalkan dan mengekalkan muzik ini dan sering diperdengarkan pada umum, pelajar, pusat pengajian tinggi, takut-takut nanti akan hilang ditelan zaman.   

Tarian Melayu  indah sekali,
Iramanya asyik  dan menarik jiwa
Jangan dilupa budaya sendiri
Takut nanti hilang begitu sahaja

Sayangilah budaya sendiri, kenalilah muzik kita sendiri, walaupun tidak pandai menarikannya, sekurang-kurangnya tahu, apa itu muzik inang, joget dan zapin, apa itu tarian klasik India dan budaya bangsa lain, sedikit sebanyak kita mampu menerangkannya  pada pelancung yang datang.  Bukankah tahun ini  TAHUN MELAWAT MALAYSIA.  Muzik moden kita ikutkan, muzik sendiri dilupa jangan.  Hargailah apa yang ada, jangan hilang identiti diri semata-mata ingin dikatakan mengikut peredaran zaman.  Zaman boleh berubah tetapi jati diri harus bertahan.  Begitu jugalah Irama, muzik dan budaya rakyat Malaysia.  Harus terus dikekalkan, jangan dibiarkan terus hilang dan dilupakan.  Semoga Kemerdekaan ke 57 ini membuatkan kita semakin sayangkan Negara kita, budaya kita.  Biar betapa majunya kita, namun budaya kita jangan dibiarkan terpinggit dan dilupakan. 

No comments:

Post a Comment