Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 29 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 8



Solat Isyak selesai ditunaikan. Dia masih menunggu di sejadah. Berzikir dan mengingati Penciptanya. Hanya kepada Yang Esa dia bebas berbicara, meluahkan apa yang dirasa. Dalam masa yang sama tidak lupa mendoakan kesejahteraan arwah suami tercinta. Hanya itu yang mampu dilakukan untuk insan tersayang.
Perut sudah terasa pedihnya. Tidak ada sesiapakah di rumah? Sunyi dan sepi. Mastura mengerut dahi, asyik berkerut sahaja nanti cepat kerepot sebelum masanya. Kain telekung ditanggal. Dia membuka pintu. Dapur gelap gelita. Lampu dipasang. Mastura ke ruang tamu. Tiada bayang sesiapa. Bagaikan tiada penghuni.  Ke mana mereka pergi? Perut yang lapar minta di isi. Tentu Maria juga lapar. Apa susah, restoran bersepah di kawasan Bangi.  Sedap dengan tidak sahaja. Susah sangat telefon sahaja Pizza Hut, Mcd atau KFC. Mastura kembali ke dalam biliknya.
“Maria, lapar tak? Kalau lapar kita keluar makan, nak tak?” Mastura membelai lembut rambut Maria.
“Lapar sikit aje.” Maria menyengih. Baharu berumur 5 tahun tetapi petah berkata-kata.
“Kalau macam itu, kita keluar makan. Nanti sudah kenyang baru boleh tidur lena.” Dia menukar pakaian. Maria sudah bersedia. Hendak ke mana lagi. KFClah jawabnya.
Malam yang panjang dan panas membuatkan kedua beranak itu tidur dalam keadaan tidak selesa. Beberapa kali Maria terjaga. Puas dia mengipas anaknya dengan suratkhabar. Dirinya sendiri berpeluh. Hendak tidur di luar nanti apa pula kata ibu mertuanya. Mahu tidak mahu terpaksalah dia bertahan untuk malam itu.
Mata yang mengantuk membuatkan dia tidak melayan sangat keadaan panas yang memenuhi ruang biliknya. Sesekali terjaga pun kerana rengekan Maria yang tidak selesa. Berpeluh tubuh anaknya. Bilik itu hanya ada tingkap nako yang kecil sahaja. Kalau buka luas pun tiada angin yang menerjah masuk.
Azan subuh dari masjid berhampiran mengamit Mastura segera bangun. Peluh didahi dilap dengan tuala di tangan.  Lampu dibiar terpasang. Maria juga berpeluh. Cuaca panas sangat sangat malam tadi. Namun, syukurlah sekurang-kurangnya dia masih dapat melelapkan mata.  Mastura bingkas bangun menuju ke bilik air. Usai mandi dan mengambil wuduk terus dia menunaikan solat subuh.  Membaca mathurat dan Yassin untuk mendapatkan ketenangan diri. Dia juga berdoa semoga arwah suaminya di tempatkan bersama orang-orang beriman.
Dia membiarkan Maria tidur, malam tadi lenanya terganggu kerana panas. Mastura melangkah ke dapur yang gelap gelita. Lampu di pasang. Cahaya mentari masih belum merembas keluar. Bunyi kokokan ayam bersahut-sahutan memeriahkan suasana nyaman di waktu dinihari.
Apa yang harus dia lakukan?  Buat sarapan pagi? Apa salahnya dia memasak? Mungkin mertuanya tidak akan marah, malah dia ingin mertuanya merasa masakan air tangannya sendiri. Manalah tahu dengan memasak dapat memikat hati ibu mertuanya itu.
Melihat barang-barang mentah di dapur membuatkan dia bercadang hendak menggoreng bihun sahaja. Sayur sawi, kobis, udang dan ayam dibawa keluar dan dipotong. Udang dibuang kulitnya agar mudah makan. Bihun telah siap direndam. Dia menghidupkan cerek eletrik untuk masak air. Apa agaknya minuman kegemaran ibu mertuanya. Ada kopi, teh dan milo. Mungkin mereka minum ketiga-tiga minuman tersebut. Mastura membancuh seteko kecil air milo. Maria suka minum milo.
Usai masak, dia menghidangkan makanan tersebut di meja makan. Dia tersenyum gembira. Rasa sempurna masakannya itu. Mastura masuk semula ke dalam biliknya. Maria sudah terjaga rupanya.
“Maria, jom mandi. Lepas itu kita bersarapan ya.” Mastura mendukung Maria dan membawanya ke bilik air. Dia tersenyum sambil memeluk Maria. Wajah Maria yang tak tumpah wajah suaminya membuatkan hatinya terusik. Rindu menerpa tiba-tiba. Bagaikan masuk terbayang wajah itu tersenyum dan memanggil namanya. Kenapa cepat sangat suaminya meninggalkan dia. Mastura beristighfar, dia tidak boleh mempersoalkan takdir ILAHI. Sudah sampai ajal suaminya.
Menunggu seketika di meja makan. Terjengah-jengah menanti kehadiran ibu mertua dan madunya. Takkan mereka masih tidur lagi. Sudah jam 8.00 pagi. Mastura mendengus.
“Maria tunggu sini, mak pergi cari nenek dan mak uda.” Mastura berjalan menuju ke tingkat atas rumah tersebut. Dia memerhati keadaan di tingkat tersebut. Hiasanya lebih cantik, lebih mewah dan indah. Terdapat beberapa buah pintu. Entah mana satu bilik ibu mertua dan madunya.
 Teringat rumahnya sendiri. Rumah teres dua tingkat lot tepi yang dibeli oleh suaminya telah diubah suai sepenuhnya. Cukup mewah untuk insan seperti dia yang berasal tiada apa-apa. Dia bersyukur dengan pemberian ALLAH SWT kepadanya. Namun dia tidak pernah menggunakan kekayaan suaminya untuk kepentingan diri dan keluarganya. Di rumah itulah terbina syurganya dan suami. Kini syurga itu telah tiada. Kenangan bersama suaminya juga sudah lebur bersama percikan api yang telah membahang rumah tersebut sehingga menjadi abu. Musnah segala-galanya. Pada hari itu jugalah suaminya menghilangkan diri. Dia fikirkan ke mana, rupanya bernikah lagi.
“Cari apa?” tegur satu suara.
Mastura menoleh. Wajah ibu mertua yang masih berbaju tidur dipandang sekali imbas. Dia melemparkan senyuman.
“Hendak jemput ibu sarapan bersama. Mas sudah siapkan sarapan.” Hatinya berbunga riang jika ibu mertuanya sudi menjamah masakannya.
“Rajinnya kau. Kejap lagi aku turun.” Halijah melangkah masuk ke dalam biliknya semula.
Mastura turun semula ke tingkat bawah. Rumah agam itu benar-benar terasa sunyi. Bagaimanalah ibu mertuanya boleh tinggal sendirian. Rina baharu sahaja datang tinggal di situ setelah berkahwin dengan arwah suaminya.
Mastura meletakkan dua biji cawan dan sepasang pinggan di meja. Sambil itu dia menyuap Maria yang berselera sekali menjamah bee hon goreng yang dimasaknya tadi. Cili kicap juga disediakan.
“Rajinnya.” Katrina mengenyitkan mata ke arah ibu mertuanya yang sudah pun mengambil tempat di meja makan.
“Kalau malas tak payah jadi menantu aku.” Halijah menjeling.
Mastura hanya tersenyum.
“Malam ini kami ada buat jamuan. Aku hendak kau yangn memasak. Jemputan dalam 100 orang. Kawan, saudara-mara dan kenalan aku,” kata Halijah tanpa memandang langsung wajah Mastura.
“Mas hendak masak apa, ibu? Manalah Mas biasa masak sebanyak itu?” Manalah dia pernah memasak untuk 100 orang. 10 orang pun sudah kira ramai. Biar betul? Apakah ibu mertuanya hanya bergurau dengannya.
“Hey, pandai-pandailah kau! Aku cuma sediakan barang-barang yang kau perlu masak, takkan hendak membantah pula?” Halijah menjeling tajam.
Mastura terdiam.
“Ala, buat sahajalah Mas, itu penghormatan untuk awak.” Katrina tersenyum manis.
Mastura serba salah. Memang benar dia tidak pernah memasak untuk 100 orang. Menu apa yang hendak dia masak? Bukannya pandai sangat. Masak untuk arwah suaminya bolehlah. Belum pernah dia memasak untuk tetamu yang sebegitu ramai. Kalau suaminya hendak buat rumah terbuka atau kenduri doa selamat, mereka akan menempahnya pada katering.
“Jangan bagi alasan, aku tahu siap sahaja.” Halijah menghabiskan air milonya dan berlalu meninggalkan ruang makan itu.
Katrina hanya tersenyum sinis.
Mastura tidak terkata apa-apa. Dia terpaksa akur kehendak ibu mertuanya. Nanti dikatakan suka melawan pula. Baiklah ikut sahaja rentak mereka. Usai mengemas meja makan, Mastura masuk semula ke biliknya. Maria perlu ditidurkan seketika. Wajah kantuk anaknya ditatap seketika.
“Ibu! Siapa ada pesan perabut dan barangan eletrik ini!” laung Katrina dari ruang tamu. Jenuh dia bertengkar dengan pemandu lori berbangsa India yang menghantar barang-barang tersebut.
“Mana saya ada pesan perabut? Begitu juga barang eletrik!” Dahi Halijah berkerut seribu. Dia kehairanan. Set bilik tidur, penghawa dingin dan kipas. Televisyenpun ada. Bertambah kehairanan menghenyak fikirannya.
“Mak cik saya datang hendak pasang astro,” beritahu seorang lelaki, yang muncul tiba-tiba.
“Astro? Bukankah rumah ini sudah ada Astro?” Katrina sendiri bingung seketika.
“Mahu pasang satu lagi,” kata lelaki berbangsa cina itu.
“Maaf… Mas yang pesan. Awak boleh bawa masuk ikut pintu dapur, bilik di belakang ya. Astro pun di bilik belakang juga,” terang Mastura. Wajah mereka yang memandangnya dengan penuh tandatanya langsung tidak dihiraukan.
“Dia… Dia beli perabut baharu? Pasang Astro pula.” Mendidih darah Halijah mendengar dan melihatnya. Dia sengaja menyediakan bilik yang tidak selesa untuk menantunya itu.
“Macam mana ini ibu? Dia lebih bijak daripada kita.” Katrina mengetap bibir. Sakit juga hatinya. Dia ingatkan Mastura akan merasa terdera dan terseksa, rupanya tidak. Perempuan itu lebih pandai. Menempah perabut untuk keselesaan sendiri. Pandai-pandai sahaja dia membuat keputusan tanpa bertanya. Lain yang diharapkan, lain pula terjadi.
“Biarkan dia, kita masih banyak peluang lagi.” Halijah tidak mahu cepat mengaku kalah. Dia menghenyakkan tubuh di sofa. Malam ini dia ada rancangannya tersendiri. Perempuan itu ingat dia bijak. Halijah mengetap bibir menahan rasa marah di hati.
Katrina berfikir panjang. Apa yang tidak kena dengan rancangan mereka. Bilik yang sempit dan perabut yang buruk tidak sedikit pun menganggu perasaan Mastura. Malah dia lebih bijak mengatur. Perabut baharu ditempah sendiri tanpa pengetahuan mereka. Banyak pula duitnya?
Mastura tersenyum panjang apabila semua perabut dan barang eletrik sudah sampai. Penghawa dingin juga sudah siap terpasang. Kipas juga dibeli, tak mungkinlah dia akan memasang penghawa dingin sepanjang hari. Nanti melambung pula bil eletrik rumah itu. Kain langsir juga sudah ditukar baharu. Peti televisyen sudah pun dipasang bersama siaran Astro untuk anaknya Maria. Tidaklah sunyi sangat. Biarlah ibu mertua dan madunya hendak berkata apa-apapun. Dia hanya inginkan keselesaan untuk anaknya sahaja. Bukan dirinya.
Maria kelihatan amat gembira, agaknya sudah merasa selesa dengan suasana baru bilik tersebut. Lebih nyaman. Mastura memeluk Maria penuh rasa sayang di hati.


Ahad, 28 September 2014

HARI INI DALAM SEJARAH GRUP MARI MENULIS




Petikan berita SINAR HARIAN pada 28/9/2014
Wartawan:
NOR ATIEYAH YUSOFF

SABAN
hari, dunia penulisan novel semakin mendapat tempat di hati pembaca. Seiring dengan perkembangan ini, semakin banyak juga novel dan novelis dilahirkan menerusi Grup Buku Karangkraf; Alaf 21 dan Buku Prima.
Atas sambutan luar biasa ini juga, lahirnya pelbagai persatuan peminat, termasuklah Grup Mari Menulis (GMM) yang dicetuskan menerusi online.

Lebih bermakna kumpulan ini turut meluangkan masa mendekati sendiri pembikinan sesebuah novel bermula daripada penulisan sehingga ke bahagian percetakan di Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Khamis lalu.

Dihadiri lebih 20 ahli, lawatan ini pastinya memberikan pengalaman bermakna buat grup ini.

Sedikit mengenai GMM, kumpulan ini mempunyai 3,395 ahli yang berasal daripada pelbagai latar belakang dan usia menyertai GMM sejak ia ditubuhkan pada dua tahun lalu.

Menurut penyelaras GMM, Asmah Hashim, pada mulanya ia hanya dianggotai sembilan ahli sahaja.

Katanya, tanpa disangka, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Kami bersyukur kerana setiap hari ahli kami bertambah. Setiap ilmu yang kami curahkan kepada ahli adalah percuma," katanya.

Sedikit mengenai sejarah penubuhan GMM ini, ianya diilhamkan oleh Ad Rahman iaitu seorang penulis prolifik dan pengkarya dari Singapura.

Menurut Asmah, pada awalnya aktiviti kumpulan hanyalah untuk berkongsi idea dan pandangan tentang dunia penulisan. Sambutan yang diterima akhirnya mencetuskan idea agar grup itu dibuka kepada umum.

"Terutamanya untuk mereka yang benar-benar ingin menjadi belajar dan menambah ilmu dalam dunia penulisan.

"Anggota admin pula terdiri daripada kalangan mereka yang sudah berpengalaman luas dalam dunia penulisan," katanya.

Selain ahli panel yang sedia ada, dia amat mengalu-alukan kehadiran penulis yang sudah berjaya dalam dunia penulisan bagi memeriahkan lagi kumpulan itu.

Katanya, penambahan ahli setiap hari memerlukan mereka untuk memeriksa hampir ratusan karya daripada ahli kumpulan itu.


Gilap penulis baharu

Seiring dengan penambahan ahli kumpulan, Asmah berkata, mereka banyak mengadakan bengkel penulisan dan lawatan ke syarikat penerbitan.

Bukan sahaja dapat menguatkan lagi semangat penulis baharu, grup ini juga bertujuan untuk melatih diri dalam bidang penulisan dan seterusnya menggilap bakat yang ada.

"Demi memantapkan penulisan, pelapis baharu digalakkan menulis apa sahaja dalam bentuk cerita, panjang atau pun pendek. Tetapi setiap tulisan harus menggunakan bahasa yang wajar.

"Sebagai penulis, memartabatkan bahasa adalah satu amanah dan tanggungjawab," katanya.

Menurutnya, setiap penulis harus menepati syarat-syarat yang dihendaki admin sekiranya mahu karya mereka dipilih untuk ke syarikat penerbitan tempatan.

"Istilah di BELASAH (Bedah, Belajar, Asah) akan digunakan oleh para admin dan komuniti kumpulan ini bagi setiap karya yang dinilai.

"Penulis pula harus menerima setiap kritikan dengan berlapang dada dan fikiran terbuka selepas karya mereka dibedah siasat oleh kami," katanya.

PERKONGSIAN MURNI - USTAZAH TIYAH RAHMAN.

TAZKIRAH: USAH BERSEDIH
1. Andaikata kamu dikhianati atau dilukai oleh mereka yg mempunyai talian kekeluargaan dgn kamu, usah bersedih. Ingatlah peristiwa Yusuf as, yg dikhianati oleh saudara2nya...
2. Andaikata ibubapa kamu, atau mereka yg kamu kasihi, menentang kamu ketika kamu berjalan di atas jalan kebenaran, usah bersedih. Ingatlah peristiwa Ibrahim as, yg dihumban ke dalam api oleh ayahandanya..
3. Andaikata kamu buntu di dalam permasalahan dan tidak nmpk jalan keluar, usah bersedih. Ingatilah kisah Yunus as, yg terperangkap di dlm perut ikan.
4. Andaikata kamu didatangi penyakit, dan seluruh anggota badan kamu di landa kesakitan, usah bersedih. Ingatilah kisah Ayub as, yg ditimpa kesakitan dan pelbagai penyakit, disamping kehilangan ahli keluarganya.
5. Andaikata kamu melihat akan adanya kekurangan atau kelemahan pada diri kamu, usah bersedih. Ingatlah kisah Musa as, yg tidak dapat bertutur dgn sempurna.
6. Andaikata kamu difitnah dan dicaci oleh manusia di sekelilingmu, usah bersedih. Ingatilah kisah Aisyah ra, yg sabar setelah difitnah sehingga satu kota memperkatakannya.
7. Andaikata kamu rasa kesunyian dan keseorangan serta tiada yg membantu, usah bersedih. Ingatilah kisah Adam as, yg diturunkan ke muka bumi bersendirian seblm bertemu kembali Hawa.
8. Andaikata kamu rasakan tidak ada kewajaran akan apa yg perlu kamu lakukan, serta detikan hati tertanya mengapa ianya terjadi, usah bersedih. Ingatilah kisah Nuh as, yg tanpa keluh dan tanpa tahu sebabnya, terus membina bahtera yg besar tanpa soal.
9. Andaikata kamu diherdik dan dicerca oleh saudara mara kamu sendiri lantaran kamu memilih agama dan kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia, usah bersedih. Ingatilah kisah Muhammad saw, yg dipulaukan dan diperangi oleh keluarganya yg terdekat
Subhanallah... Masyaallah.. Allahuakbar...
Allah mewujudkan personaliti yg hebat2 ini sebelum kita, dan mendatangi mereka dgn pelbagai ujian dan cabaran, dgn tujuan agar satu hari nanti, manusia spt saya dan kamu, bilamana brrhadapan dgn sebarang musibah dan tribulasi, tidak perlu berkata "KENAPA AKU?"...
ALHAMDULILLAH UTK SEGALA2NYA YA RAHMAN..

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 7





Berdebar-debar hati Katrina menunggu kehadiran madunya atau bekas madu. Suami mereka sudah tiada, sekarang akan tinggal bersama di bawah satu bumbung. Tidak perlu ada rasa cemburu kerana suami milik mereka sudah pergi meninggalkan hati mereka sepi. Matanya asyik memandang ke arah pagar. Bagaikan menyambut bakal suami sahaja. Katrina mula mundar-mandir. Jari jemari bermain sesama sendiri. Degupan jantung berdegup kencang.
Halijah gelisah di dalam bilik. Hatinya benci, namun terpaksa. Rancangan menantu kedua ada baiknya. Sudah lama sakit di hati. Sudah lama memendam rasa. Sengketa yang bersarang di dada menumbuk sehingga ke jantung hati.  Dia membetulkan baju, langkah di atur menuju ke ruang tamu. Wajah menantu keduanya ditatap sekali imbas. Wajah itu juga bagaikan membungkus seribu masalah yang tidak selesai.
“Mereka masih tidak sampai lagi, Rina?” Halijah duduk di sofa kulit yang masih kelihatan baharu, bukan ada sesiapa yang hendak lanyak.
“Belum ibu. Entah kenapa lambat pula mereka sampai?” Katrina mendekati ibu mertuanya. Dia melabuhkan punggung di sebelah. Mata mereka saling bertemu.
“Bagaimana rancangan kita? Sudah diatur seperti yang dirancang?” Halijah bertanya bagaikan seorang pengurus.
“Sudah tentulah ibu. Perempuan itu harus menerima balasan. Kerana dialah Abang Ashraf meninggal. Belum sempat kami bersama, duka sudah memanggil, sakit hati Rina. Sudahlah dia merampas Abang Ashraf daripada Rina!” mengapi-apikan perasaan ibu mertuanya. Tidak akan dibenarkan hubungan madunya bersambung rasa dengan ibu mertuanya. Biar mereka menjadi musuh selamanya sehingga ke akhirat.  Dendam tetap membara dan membakar, menyala-nyala.
Kereta Myvi dipandu masuk ke laman rumah agam itu. Mastura melangkah keluar, Maria didukung dan dibawa masuk.  Rumah yang begitu asing bagi mereka berdua. Buat hatinya berdebar-debar. Mampukah dia berlama di rumah itu. Rumah yang penghuninya bersengketa dengan diri. Wajah Maria yang tenang dipandang sekali imbas. Semoga ada bahagia buat anaknya di sini. Abang Ashraf, semoga kehilangan abang ada hikmahnya, detik hati kecil Mastura. Semakin hampir dengan pintu semakin seram sejuk tubuhnya. Lututnya terasa lemah dan lambat sekali kakinya melangkah.
Berdiri di muka pintu berwarna perang tua itu bagaikan berdiri di pintu menuju ke neraka. Jauh pula anggapannya. Kalau sudah takut menerjah diri itulah jadinya. Daun pintu diketuk perlahan. Memberi salam dan menunggu dengan sabar. Daun pintu dibuka daripada dalam. Dua wajah yang dikenali memandang dengan wajah manis. Benarkah itu? Ibu mertuanya melemparkan senyuman manis menyambut kehadirannya.
Katrina menerpa menyambut Mastura dengan senyuman terukir di bibir. Wajah pucat Mastura dipandang dengan kerutan di dahi. Apakah wanita itu takut hendak ke mari? Kenapa harus takut? Adakah sudah dapat meneka apa yang bakal berlaku? Katrina menarik tangan Mastura masuk ke dalam rumah.
Halijah menarik tangan Maria turut dibawa masuk.
“Mas, selamat datang ke teratak Villa Cinta Bahagia,” sambut Katrina.
Mastura mengangkat kening. Cantiknya nama Villa Cinta Bahagia, harap penghuni di dalamnya mampu memberi kebahagiaan.
“Ibu gembira, Mas sudi tinggal di sini.” Halijah melemparkan senyuman. Maria yang di sebelah dibelai manja. Biarpun hanya pura-pura, biar tampak nyata dan tidak kelihatan pura-pura.  Sesekali memandang wajah Katrina juga menjalankan aksi yang sama. Bagus sungguh menantu keduanya berlakon, layak menjadi pelakon filem. Dia tersenyum bangga.
“Terima kasih kerana sudi menerima kehadiran Mas di sini.” Mastura masih berdiri kakinya bagaikan tidak memijak lantai. Terlalu bimbang dan takut agaknya. Berbagai rasa bermain di benaknya.
“Okey, bilik Mas di belakang. Mudah untuk bergerak, lagipun Maria tidak sesuai turun naik tangga.” Katrina membawa Mastura menuju ke bilik tempatnya menginap selama berada di rumah itu. Bilik yang terletak hampir dengan dapur.
Berkerut wajah Mastura. Bukan masalah bilik tetapi apa yang bermain difikirannya kenapa di dapur?
“Maaaflah walaupun rumah ini besar, namun bilik tidaklah banyak. Tidak kisahkan duduk di sini?” Katrina membuka pintu bilik.
Bilik yang besarnya 10 kaki x 10 kaki. Terdapat sebuah katil bujang, dan sebuah almari. Langsirnya begitu usang dan buruk. Kata rumah orang kaya dan berada, kenapa keadaan bilik itu begitu daif kelihatannya. Kipas pun tiada. Mahu mandi peluh dia dua beranak.
Mastura melangkah masuk. Dia membuka tingkap. Habuk di sana-sini. Dia tidak boleh merungut. Duduk sahajalah di mana di tempatkan. Asalkan ada tempat untuk merehatkan mata sudah cukup buatnya. Untuk sementara.
Maria duduk di birai katil sambil merenung wajah Mastura. Katrina entah ke mana menghilang. Bayang mertuanya juga tidak kelihatan. Tiba-tiba mereka menghilang.
“Kenapa kita tinggal di bilik ini mak?” Maria mula bersuara.
“Jangan merungut. Esok kita ubah semuanya.” Mastura merngerling manja.
Maria mengangguk bagaikan mengerti maksud emaknya.
Mastura terus membersihkan apa yang patut.  Tidak mungkin dia tidur di dalam keadaan berabuk dan kotor begitu. Katil pun sudah hampir roboh. Sebelah dari pintu almari sudah hampir tertanggal. Mastura menarik nafas panjang. Banyak kerja yang harus dia lakukan. Kalau hendak selesa kenalah usaha sendiri. Biar rumah orang, kenapa tidak buat seperti rumah sendiri. Keselesaan untuk diri sendiri juga. Telefon dicapai, nombor didail. Menelefon seseorang.
Katrina mundar-mandir di dalam bilik ibu mertuanya. Dia telah mengatur rancangan bagaimana hendak memalukan madunya itu. Pertama sekali bagi madunya tinggal di bilik pembantu rumah. Bukan tiada bilik lain, sengaja mereka atur begitu, biar Mastura tahu tahap dia hanya seorang pembantu rumah. Anak kampung berangan hendak jadi orang kaya, perasan. Jangan harap. Katrina mencebik.  Rancangannya pasti berjaya dengan kerjasama ibu mertuanya yang begitu membenci madunya itu. Katrina ketawa di dalam hati. Nanti ketawa kuat-kuat apa pula kata mertuanya nanti. Sudah hilang akal agaknya.
“Ibu tengoklah nanti. Bila kita bagi dia duduk dalam keadaan tidak selesa, pasti dia akan memberontak.  Melawan. Masa itu bolehlah ibu nak maki kata dia anak durhaka. Kuat melawan.”  Katrina tersenyum riang. Halijah turut tersenyum.
“Betul kata Rina. Lebih-lebih lagi kalau ibu marah depan orang. Ibu akan buat dia malu.” Semakin lebar senyuman Halijah membayangkan bagaimana dia hendak memalukan  Mastura.
“Apa pula dia sedang buat di bilik itu agaknya ya, ibu?” Katrina membayangkan keadaan Mastura yang tidak selesa, tinggal di bilik sempit, perabut yang rosak. Katil dan tilam yang hanya sesuai dibuang sahaja. Puas hati dia dapat mempermainkan madunya itu.
“Biarkan dia, ibu nak tengok berapa lama dia tahan tinggal di sini!” Halijah mengetap bibir. Selama ini arwah anaknya terlalu menyayangi isterinya itu. Sanggup mengenepikan perasaannya sebagai seorang ibu demi cinta. Bertahun-tahun anaknya tidak pulang berjumpa dengan dia. Pasti Mastura telah menghasut anaknya itu. Dia tidak akan dapat menerima keadaan itu.
Dalam sibuk kedua anak menantu itu berbincang. Mastura sudah pun pulang. Walaupun dia baharu sahaja berada di kawasan perumahan itu namun tidaklah susah hendak keluar mencari barang-barang keperluan. Bangi sahaja pun. Banyak rumah kedai, dan banyak juga kedai perabut. Apa yang penting duitnya. Mastura tersenyum sendiri.
“Mak, laparlah.” Sambil mengusap perutnya.
“Jom, kita ke dapur. Tengok apa yang ada.” Tangan Maria digapai. Terlupa pula hendak membeli makanan waktu keluar tadi. 
Mastura mengerutkan dahi. Apa yang dia hendak masak? Apa yang ada di rumah itu. Ke mana perginya ibu mertua dan madunya itu. Pembantu rumahpun tiada. Rumah besar tetapi tiada pembantu rumah? Mastura mengeluh sendiri. Dia membuka peti sejuk, banyak bahan mentah di dalamnya. Ada telur. Badan masih letih, takkan dia hendak masak pula. Nanti tersalah masak marah pula tuan punya rumah. Dia membuka almari mencari beras. Nasi juga belum dimasak. Sudah hampir menjelang asar.  Takkan ibu mertunya dan madunya tidak makan malam. Atau mereka ada rancangan untuk bawa dia makan di luar. Maklumlah perkara biasa meraikan tetamu yang pertama kali berada di rumah itu. Perkara biasa bagi orang melayu dan Islam. Kehadiran tetamu membawa rezeki.
Dia mengambil sebiji telur dan sebungkus maggi. Hanya itu buat mengalas perut sementara menunggu makan malam.  Bau tumisan maggi mengamit rasa lapar. Mastura melemparkan senyuman kepada Maria yang setia menunggu.
“Kita makan maggi dahulu, malam nanti baharu kita makan nasi,” pujuk Mastura.
Maria mencebik.
Mastura mengusap rambut ikal Maria. Persis rambut arwah suaminya. Bila terkenangkan arwah buat hatinya sayu. Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat dia menerima kasih dan sayang. Semoga kehadiran dia dan anaknya benar-benar diterima.