AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 3 September 2014

CERITA KEHIDUPAN- BAB 1





             Suara  riuh-rendah di ruang tamu mengejutkan Ainah dari tidur yang panjang. Dia mengeluh kasar, matanya masih terasa berpasir, lantaran terlalu lewat dia sampai di rumah malam tadi.  Van majikannya yang mengangkut para pekerja Restoran Warisan Zaman rosak di tengah jalan. Sejam mereka tersadai di tepi jalan. Hampir pukul 2.00 pagi baru dia sampai di rumah.   Ainah mencapai tuala mandi di atas penyidai terus keluar dan menuju ke bilik air.  Dia hanya mampu menggelengkan kepala melihat rumahnya berantakan.  Emaknya di dapur sedang memasak kuih-muih untuk dihantar pada penjual kuih petang nanti.  Apa adik-adiknya buat dan lakukan di ruang tamu tidak pernah emaknya ambil kisah.  Kerja yang sedang emak lakukan lebih penting.
            “Lambat balik semalam?”  Aminah memandang wajah anak sulongnya tidak berkelip.  Ainah membalas pandangan emaknya dengan keluhan.
            “Van rosak,”  jawab Ainah dan berlalu kembali ke biliknya.  Adik-adiknya masih lagi bergaduh sesama sendiri, riuh rendah ruang tamu.   Bantal kusyen bersepah dan tidak lagi di tempatnya.  Buku-buku sekolah adik-adiknya bersepah di lantai tidak berkemas.  Badannya yang sedia letih bertambah letih melihat situasi rumahnya yang bagaikan kapal pecah.  Dia melangkah masuk ke dalam bilik.  Memakai T-shirt dan kain batik dia kembali keluar. 
            “Hoi! Sudahlah, pergi mandi!” jerit  Ainah kasar, namun tidak diendahkan oleh adik-adiknya.  Hilang sabar dia dengan sikap adik-adik yang tidak mendengar cakap.  Dia sendiri tidak tahan dengan kerenah adik-adiknya.  Bagaimana emaknya boleh sabar dengan adik-adiknya dia sendiri tidak tahu.  Apa yang dia lihat emak hanya membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh adik-adiknya. 
            “Kak Long ni, kacau kami nak main sahaja!”  kata Aziz adik ketiganya.  Ainah menarik telinga Aziz, walaupun sudah berumur empat belas tahun tetapi perangai Aziz bagaikan budak tadika.  Dialah yang selalu mengajak adik-adiknya bergumpal dan bergusti di dalam rumah. 
            “Rumah macam  tong pecah, riuh-rendah, kau kata main!”  marah Ainah.   Wajah Aziz berkerut menahan sakit.  Dia menolak tangan  Ainah dari terus menarik telinganya.
            “Apa  kak long ni?  Main kasar pula,”  Aziz mencebik dan menjauh dari Ainah.
            “Baik kau kemas balik ruang tamu ni, kalau tidak kak long  potong telinga kau!” lengking suara Ainah.
            “Apa tu Ainah!  Bising mak dengar, terjerit-jerit.  Malu didengar oleh jiran tetangga kita, awak tu anak dara, jaga sikit suara tu,”  tegur Aminah dari dapur. Aminah menjengah dari ruang dapur yang berada tidak jauh dari dapur.  Ainah memandang wajah emaknya tidak berkelip.  Padanlah adik-adik tidak mendengar cakap sebab emak selalu memenangkan apa sahaja yang mereka lakukan walaupun benda itu terang-terang menganggu ketenteraman rumah.  Mungkin emaknya suka dengan suara bingit adik-adiknya.
            “Adik-adik buat sepah dan bising emak boleh diam je,”  Ainah memuncungkan bibir.
            “Biarlah mereka bermain dalam rumah, biar rumah bersepah pun asalkan mereka tak keluar sampai mak tak tahu mana mereka pergi,”  Aminah mengeluh.  Bukan dia suka rumahnya bersepah dan suara anak-anaknya menjerit dalam rumah bagaikan tarzan.  Dia malas melarang.  Kalau dilarang pasti anak-anaknya akan keluar bermain di luar rumah.  Lagilah dia bimbang.  Lebih-lebih lagi bermacam-macam cerita yang dia dengar.  Budak kena culiklah.  Ada yang terlibat dengan kecurian, rompakan dan tidak kurang juga penagihan dadah.  Anak keduanya pagi-pagi lagi sudah keluar.  Katanya ada kokurikulum di sekolah.  Dia mengiyakan sahajalah.  Harap-harap anak keduanya itu tidak menipu.
            “Ainah tak kerja ke hari ini?”  Aminah memandang  anak sulongnya dari hujung rambut ke hujung kaki.  Selalunya pagi-pagi lagi Ainah sudah keluar ke tempat kerja. 
            “Tak, cuti.”  Ainah  mengemas kembali bantal kusyen yang bersepah sambil mengarahkan adik-adiknya mengemas buku-buku yang bersepah.  Mereka menurut kerana Ainah seorang kakak yang garang.  Aziz duduk di kusyen sambil mendengus kasar.  Hendak buat apa duduk di rumah kalau tiada apa yang hendak di buat.  Lebih-lebih lagi cuti sekolah hujung minggu.  Bosan.   Aziz mengeluh pula.  Adik-adik yang lain sudah mengendur.  Mereka turut sama duduk di kusyen memerhatikan Ainah mengemas.
            “Ewah-ewah,  kau orang yang buat sepah,  lepas tu tengok saja kak long kemas, ya?”  Ainah menjegilkan mata pada kelima-lima adik-beradiknya.  Azuan menyengih menampakkan gigi susunya yang hilang satu demi satu.
            “Kami tengah mainlah kak long!”  Aziz mencebik lagi.  Ainah mencampak bantal kusyen dan tepat  muka Aziz yang tidak sempat mengelak.
            “Boleh main, tapi jangan bersepah!”  lengking Ainah.  Aminah hanya menggelengkan kepala melihat anak sulongnya memarahi adik-adiknya.  Dia sendiri tidak suka rumahnya bersepah tetapi apalah dayanya.  Hanya itu sahajalah permainan anak-anaknya untuk menghilangkan bosan ketika di rumah. 
            “Televisyen bila boleh ambil mak?  Dah seminggu di kedai,”  Ainah menapak ke dapur.  Baru beberapa saat adik-adiknya bermain semula.  Dia menjeling ke arah mereka sebelum melepasi pintu dapur.  Emaknya masih tekun membuat kuih-muih yang akan dijual petang nanti.
            “Kata ayah kau hari ni, entahlah.  Emak pun tak tahu.  Apa agaknya yang rosak.  Kesian dengan adik-adik tidak boleh tengok televisyen.  Itu yang mereka bising  sahaja seminggu ini.”  Aminah mengeluh.  Hendak beli televisyen baru mana mungkin.  Pendapatan suaminya sebagai pemandu teksi bukanlah banyak sangat.  Saingan semakin banyak. Orang ramai sudah mempunyai kenderaan sendiri, kenderaan awam  pula semakin moden,  ada monorel dan LRT.  Rata-rata penumpang ramai mula takut naik teksi disebabkan  pelbagai kes yang berlaku.  Rogol dan samun oleh pemandu teksi.  Malah ada yang menyamun pemandu teksi.  Walaupun suaminya belum pernah menghadapi keadaan itu namun selalu dia berpesan pada suaminya agar berhati-hati dan jangan buat kerja tidak baik.
            “Mak masak apa hari ni?”  Ainah memandang meja makan empat segi sama itu penuh dengan kuih-muih yang telah siap di masak.  Selalunya emaknya memasak kuih-muih itu bermula jam lapan pagi membawa ke tengah hari.  Tujuh jenis semuanya.  Kuih ketayap, karipap, kuih lapis, seri muka, donut, pau dan kuih koci.  Kuih-muih yang menjadi kegemaran pelanggan warung Mak Jah di tepi jalan simpang   masuk ke rumah pangsa tempat tinggal mereka itu.
            “Mak buat sambal ikan  dan sayur sawi masak tumis air sahaja,”  Aminah memandang wajah Ainah yang mencebik.  Jemu agaknya dengan lauk yang disebutnya tadi.  Itu  sahaja yang mampu disajikan untuk anak-anaknya.  Pendapatan dia pun bukannya banyak, untung buat kuih bukan berapa sen pun, cukuplah untuk belanja dapur dan belanja sekolah anak-anaknya.  Setiap bulan bukan ratusan ringgit yang terpaksa dikeluarkan untuk pembelanjaan isi rumah tetapi ribuan.  Duit  belanja sekolah, duit bas sekolah, duit  sewaan teksi, sewa rumah, bil air, bil letrik, dan macam-macam lagi.  Semuanya harus di bereskan menjelang  hujung bulan.  Jika tidak mereka sendiri yang  terpaksa menanggung susahnya jika ada bil-bil yang tidak dijelaskan atau dibayar.  Aminah mengeluh.
            Aminah memandang wajah emaknya yang keletihan.  Bekerja siang malam menguruskan rumah dan membuat kuih untuk menampung perbelanjaan dapur.  Emaknya bukanlah tua sangat, awal 40-an.  Tetapi kemiskinan menuakan diri emaknya lantaran kesibukan bekerja sehingga tiada masa untuk melawa atau mendandan diri. Seadanyalah.  Mana mampu nak beli barang-barang kecantikan yang melambak di pasaran.  Kalau harga barang-barang tersebut setakat RM5.00 hingga RM10.00  mungkin emaknya mampu beli.  Harga barangan kecantikan  mahal.  Emak pula tidak pernah ambil kisah akan dirinya.  Kain batik yang semakin lusuh itu masih tetap dipakai. Baju kurung kedah yang sudah bertukar warna juga masih utuh di badan. Kadang-kadang rasa hiba di hati melihat keadaan emaknya.  Surirumah beranak tujuh itu bukan tidak cantik tetapi keadaan membuatkan dirinya tidak sempat mendandan diri.  Kalaulah emaknya terdiri dari orang yang berpelajaran, ada kerjaya yang bagus, berkemampuan pasti emaknya antara wanita yang bergaya.    Keadaan membuatkan seseorang itu berada di dalam situasi yang kurang menyenangkan.  Apa pun senyuman sentiasa terukir di wajah emaknya walaupun tidak semanis kurma.  Bila malam menjelang tidur emaknya begitu nyenyak sekali, mungkin terlalu letih setelah bekerja teruk di siang hari.  Ainah mengeluh.
Di waktu hari raya emak hanya membeli  kain ela yang berharga paling murah untuk diri sendiri dan untuk adik-adiknya.  Jangan haraplah  jika hendak memakai yang mahal sedikit.  Upah sahaja sudah makan puluhan ringgit.  Kadang-kadang baju raya pun tidak berganti, pakai sahajalah apa yang ada.  Mereka bukanlah miskin sangat tetapi tidak senang lantaran  pendapatan yang kecil.  Gajinya juga bukan besar sangat sebagai pembantu kedai.  Dengan kelulusan SPM yang tidak berapa cemerlang pekerjaan apa yang boleh dia lakukan.  Menaip dan komputer juga tidak pandai sangat.  Rumahnya mana ada komputer.  Kalau dia  pandai guna pun sebab belajar di sekolah.  Hendak bekerja di pejabat kena tahu komputer dan ada sijil.  Dia ada sijil apa?  Hanya PMR dan SPM.    Kerja kilang emak dan ayah tidak benarkan.  Pening juga kepalanya.  Akhirnya dia bekerja di Restoran Warisan Zaman.  Sudah tiga bulan dia bekerja di restoran tersebut.  Gaji yang  diterima cukuplah untuk dirinya sendiri  dan membantu   emak  serta ayahnya.
“Angah ke mana mak?  Tak nampak pun?”  Dahi Ainah berkerut.  Dia mencapai dua biji karipap dan  sebiji kuih ketayap untuk mengalas perut.  Itulah sarapan paginya.  Kadang-kadang sahaja emak masak sarapan pagi itu pun jika ayahnya ada di rumah.  Jika tidak makan sahajalah kuih yang telah siap dimasak.
“Katanya ke sekolah,”  jawab Aminah acuh tak acuh.  Kuih Lapis yang telah sejuk dipotong dengan berhati-hati agar cantik dan kemas. 
“Mak buat kuih, rumah janganlah biar bersepah sangat.  Nanti tak ada siapa nak beli kuih muih mak ini,”  Ainah memandang dapur yang agak bersepah.  Aminah memandang wajah Ainah.  Sejak bekerja di restoran anaknya itu sudah boleh membezakan bersih dan kotor, jika tidak mana pernah Ainah ambil peduli jika rumah mereka bersepah atau bersih sekali pun.
“Iya, mak tahu,”  Aminah menyudahkan kerjanya.  Pulut  kukus masih di atas dapur. Inti kelapa  dan daun pisang sudah siap menunggu.  Ainah tahu emaknya cekap di dapur.  Kalau dia tentulah dia tidak mampu melakukan semua kerja-kerja itu.  Ainah mengigit karipap sardin yang rapuh dan sedap itu.  Terasa sardinnya walaupun emaknya hanya menggunakan sardin  yang tiada jenama, asalkan ada rasa sardin dan harganya tidaklah mahal sangat emaknya akan beli sahaja. 
“Ayah keluar awal hari ini mak,”  Ainah terus bersembang dengan emaknya  Bukan selalu dia mendapat ruang seperti itu.  Dia bekerja enam hari seminggu.  Cutinya tidak menentu.  Adik-adiknya  mula  berlari dan bergurau semula.  Malas hendak menegah.  Bukan mereka ambil peduli pun tegahannya itu. 
“Ha ah, nak cari duit lebih katanya.  Sekarang ni susah betul nak cari penumpang.  Kes jenayah yang dilakukan oleh pemandu teksi semakin menjadi-jadi.  Pelanggan pun takut nak naik teksi.  Pendapatan ayah bulan ini kurang sangat.  Takut ada bil yang tertunggak nanti,”  keluh Aminah. 
“Persaingan dengan teksi lain, kenderaan awam yang semakin canggih.  Kenderaan sendiri, macam mana nak cari makan, mak,”  tambah Ainah. 
“Mak pun tak tahu nak buat apa?  Ingat nak tambah kuih sikit lagi, boleh tak letak di restoran tempat Ainah kerja?”  Aminah memandang wajah anak sulongnya, mengharap. Ainah memandang wajah emaknya semula.
“Nanti Ainah tanyakan pada majikan Ainah.”  Ainah menghabiskan karipap sardin itu sehingga ke gigitan yang terakhir.  Perutnya merasa kenyang.  Air teh o  suam diteguk perlahan.
“Bilalah agaknya kita akan merasa hidup senang?”  Mata Ainah memandang emaknya membungkus pulut inti di dalam daun pisang.  Cekap sekali.  Dia ada juga membantu tetapi tidak sekemas  yang dibuat oleh emaknya.
“Susah atau senang, itu semua kurniaan ALLAH. Sabar sahajalah.  Kita sudah berusaha, kalau tidak dapat juga apa yang kita inginkan, apakan daya kita.”  Aminah tersenyum.  Ainah mengeluh.  Dia bingkas bangun meninggalkan emaknya sendirian di ruang dapur yang sempit itu. Di ruang tamu bersepah semula.  Adik-adiknya masih lagi bermain sesama sendiri.  Lantaklah.  Tidak larat menghalang.  Lagi dimarah, lagi bising pula mereka.  Dia melangkah keluar di karidor rumah pangsa tersebut.  Matanya memandang jauh ke hadapan.  Dari atas dapat melihat betapa dekatnya bangunan yang terletak di hujung jalan, tetapi apabila berada di bawah jauh juga jika berjalan kaki.  Ainah mengeluh.  Begitu juga dengan kehidupan, berkata dan mengucapkan untuk hidup senang, kaya dan tidak ada masalah memang mudah.  Tetapi untuk mengapainya bukan begitu mudah. 
Menyesal pula dia tidak belajar bersungguh-sungguh dahulu.  Sudah dapat keputusan baru hendak menyesal.  Tiada guna hendak menangis dan menyesal sekarang.  Untuk sambung belajar tidak mungkin.  Manalah dia mampu.  Kalau belajar sendiri tentu dia terpaksa pergi ke kelas tusyen pula.  Duit juga.  Masa lagi.  Sudahlah dia bekerja bila pula dia hendak mencuri masa belajar.  Hendak belajar di rumah?  Tidak mungkin, kerana tengoklah keadaan di dalam rumahnya yang sempit dan menyesakkan itu.  Bagaimana hendak belajar dengan keadaan riuh-rendah mengalahkan pasar borong.  Ainah mengeluh dan menggelengkan kepala.  Sesekali terdengar jeritan adik bongsunya diusik oleh adik-beradik yang lain.  Bagaimana dia hendak menjadi kaya kalau tidak berpelajaran dan hanya ada SPM, itu pun teruk.  Kata orang berniaga boleh cepat kaya?  Tengok keadaan majikannya  yang telah bertahun-tahun buka restoran, tidak juga kaya, senang itu adalah.  Mana dia ada modal dan pengalaman untuk buka restoran.  Memasak pun tidak pandai.  Kalau emaknya tentulah boleh.  Emaknya memang pandai memasak.  Tengok sahajalah kuih-muih yang emaknya buat, semuanya sedap-sedap belaka.  Ainah meraup wajahnya dengan tangan kiri.  Matanya masih lagi memandang ke arah bangunan yang berada jauh di hadapannya.  Duduk di tingkat enam sudah cukup tinggi dirasakannya. Pandang ke bawah bagaikan semut sahaja orang-orang yang berada di bawah bangunan rumah pangsa tersebut.  Terbit juga keinginan di hati hendak duduk di rumah teres yang cantik dan tersergam indah itu.  Manalah ayahnya mampu.  Sewa rumah seperti itu tentu mahal. Sewa pun tidak mampu apatah lagi hendak membeli.  Rumah pangsa ini pun hanya sewa sahaja.  Pendapatan ayahnya tidak memungkinkan mereka memiliki rumah sendiri.  Nampaknya sampai ke tualah duduk di rumah sewa.  Ainah mengeluh kesal.  Kesal kerana lahir dalam keluarga miskin, kesal kerana tidak akan merasa hidup senang seperti kawan-kawan yang dia kenal sewaktu minggu pertukaran pelajar selepas  habis peperiksaan SPM.  Para pelajar dari  Sekolah Menengah Perempuan Batu 2, terdiri dari anak-anak orang kaya yang berpendapatan lumayan.  Beg sekolah, kasut dan baju pun dari yang berkualiti tinggi.  Tidak sepertinya hanya beli baju, kasut sekolah, beg  di Kedai 1Malaysia atau Mydin.  Kalau bercerita dengan kawan-kawan pun malu.  Ada juga kawan-kawan di sekolah yang terdiri dari mereka yang berada.  Cara mereka bercakap seperti tiada masalah.  Mintalah apa sahaja pasti ditunaikan oleh kedua orang tua mereka.  Tidak seperti dirinya.  Jangan haraplah.  Alasan emak dan ayah sama sahaja.  ‘Kasihan adik-adik tengok’.  ‘Emak dan ayah mana mampu’.  Itulah yang selalu menjadi halwa telinganya.  Dari sekolah rendah sehinggalah sekarang.  Bila agaknya hendak berubah hidup yang sedang dia dan keluarga  lalui ini. 
“Hish!  Bila nak diam ni?  Peninglah kepala kakak, tahu!”  Jerkah Ainah yang melangkah masuk ke dalam rumah.  Aziz yang  menjadi ketua pada adik-adiknya menyengih.  Ainah mengetap bibir, dia mengangkat bantal kusyen di hujung kaki dan mencampakkannya ke  arah Aziz yang sedang bergumpal dengan Ahmad.  Dia mendengus kasar dan menggelengkan kepala.  Ainah melangkah masuk ke dalam rumah.  Bosan pula bila tidak bekerja.  Ingatkan boleh berehat namun hampa.  Melihat keadaan adik-adiknya yang riuh rendah membantutkan keinginannya untuk bersantai di rumah.

No comments:

Post a Comment