AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 4 September 2014

CERITA KEHIDUPAN- BAB 2




            Azrul  mengangkat kening.  Dia tersenyum bangga.  Jawatan  Ketua Rumah Merah menjadi miliknya.  Dia berpuas hati.   Tidak sia-sia dia melobi dirinya sendiri untuk memenangi permilihan ketua rumah sukan itu.    Rajesh rakan sekelas turut mengucapkan tahniah kepadanya.  Sudah tiga jawatan penting menjadi miliknya.  Ketua darjah, Ketua  Rumah Merah dan Pengerusi Badan Sosial.  Ada beberapa persatuan yang dia masuk masih belum mengadakan pemilihan.  Azrul mengeluh.  Dia mula pasang strategik.
            “Kau mampu ke nak jalankan tugas kau tu, kalau sudah banyak sangat persatuan kau masuk?  Semua persatuan yang kau masuk mesti nak jadi ketua, aku takut kau tak mampu nanti, Azrul,”  kata Rajesh sewaktu mereka melangkah keluar dari dewan sekolah menuju  kantin sekolah.    Azrul  menyengih.
            “Kalau aku nak jadi pemimpin negara, semuanya harus bermula di sekolah.  Lepas itu di universiti.  Baru aku ada peluang.”  Beriya-iya Azrul bercerita.  Rajesh menggelengkan kepala.
            “Jangan tamak sangat Azrul, nanti semua ahli persatuan kau sia-siakan.  Bila sudah pegang jawatan, iya adalah  satu amanah dan tanggungjawab kita sebagai ketua.  Kau berani sungguh.  Aku jadi ahli ini pun sudah terasa berat dan membebankan.  Lebih-lebih lagi tahun ini kita akan ambil SPM.  Nanti pelajaran entah ke mana?  Persatuan berterabur lantaran ketuanya sibuk!”   Rajesh menggelengkan kepala.
            “Kau jangan risau Rajesh, aku tahulan nanti bagaimana hendak membahagi-bahagikan masa.  Apa yang penting dalam Testimoni nanti aku aktif dan pegang banyak jawatan penting.”  Kata Azrul penuh yakin. Rajesh menggelengkan kepala.   Mereka duduk di kantin setelah membeli air sirap sahaja.  Mathialagam yang baru datang dari arah Perpustakaan mendekati mereka berdua.
            “Apa cerita kawan kita yang satu ini?  Dapat jawatan itu ke?”   Mathialagam duduk mengadap kedua-dua rakan sekelasnya.  Dia ada kerja di perpustakaan tadi.  Sebagai Pengawas Perpustakaan banyak kerja dilakukan waktu hari sabtu.  Susun dan kemas kini buku yang telah dipulangkan semula oleh para pelajar Sekolah Sri Pantai itu.
            “Kerja kau dah selesai ke Mathia?  Azrul  meneguk air sirap itu perlahan-lahan.  Hilang dahaga yang dirasainya sejak pagi tadi.  Sewaktu keluar rumah dia tidak bersarapan apa-apa.  Ini sudah tengahari, perutnya sudah mula berkeroncong.  Emaknya hanya memberi RM2.00 sahaja sebagai belanja dan tambang bas. 
            “Kerja aku sudah selesai!    Kevin masih lagi sibuk di sana.  Kerjanya masih belum selesai.”  Mathialagam mengangkat ibu jarinya.  Azrul tersenyum.  Rajesh mengenyitkan mata.  Mereka serentak ketawa.
            “Kau dah makan ke Azrul?  Nak makan? Aku belanja?”  Mathialagam memandang wajah Azrul tidak berkelip.  Dia tahu benar rakannya yang seorang ini.  Dia tahu siapa dan bagaimana kehidupan keluarga Azrul.  Itu sebab Azrul bertungkus-lumus belajar untuk berjaya dalam hidup.  Dia tidak mahu mewarisi kemiskinan keluarganya.  Baginya jika orang tuanya bawa teksi, sekurang-kurangnya dia ada syarikat teksi sendiri.  Besar cita-citanya.
            “Terima kasih sajalah Mathia, selalu sangat kau belanja aku.  Malu  aku,”  Azrul menunduk.  Rajesh menyentuh bahu Azrul.
            “Apa gunanya kawan Azrul, kau kawan kami sudah lima tahun kita bersama.  Kalau setakat seringgit dua kami berdua masih mampu.  Nanti bila kau dah berjaya jadi Perdana Menteri atau Menteri, jangan lupakan kami,”  Mathialagam mengenyitkan mata.  Rajesh menepuk-nepuk bahu Azrul. 
            “Kalau hari Sabtu macam ni, mak cik kantin hanya masak nasi lemak sahaja.  Bolehlah, ya?”   Mathialagam memandang wajah kedua-dua orang kawannya.  Mereka mengangguk serentak.  Mathialagam bingkas bangun dan menuju ke ruang jualan.  Betul tekaannya.  Nasi lemak lauk telur dan ikan bilis.  Cukuplah untuk mengalas perut sementara menunggu Kevin siap dengan tugasannya.  Berapa minit kemudian Mathialagam sudah kembali ke tempat Rajesh dan Azrul duduk.  Talam berisi tiga pinggan nasi lemak diletakkan di atas meja.  Bau haruman daun pandan menyucuk hidung Azrul.  Semakin berbunyi perutnya.  Lapar.  Azrul menjamah nasi lemak yang terhidang.  Walaupun lapar masih menjaga adab ketika makan.  Dia bercita-cita besar, jadi banyak perkara harus dia fikirkan.  Belajar dari sekarang.  Bukan menunggu masa sehingga  sudah layak menjadi calon wakil rakyat baru hendak jaga adab dan tatacara kehidupan sebagai seorang peminpin.
            “Adoi! Penat gilalah.  Sudahlah panas, kerja melambak!”  runggut Kevin yang muncul tiba-tiba.  Mereka yang lain memandang wajah Kevin yang duduk mengadap.  Wajah putih itu merah padam terkena pancaran matahari agaknya.  Kevin memandang pinggan yang telah kosong di hadapannya.
            “Eh, makan tak tunggu aku ke?”  Kevin mencebik.  Kawan-kawan yang lain menyengih.
            “Laparlah, Kevin.  Tunggu kau lambat sangat.”  Azrul tersenyum.  Air sirap dihabiskan sehingga ke titisan yang terakhir.
            “Lepas ini hendak ke mana?  Lupa pula nak tanya, bagaimana pemilihan ketua rumah merah?  YB kita ini dapat je jawatan  itu?”  Kevin mengenyitkan mata.
            “Nanti, nanti…  jangan jawab, biar aku yang jawab.  Tentu dapatkan?  Tahniah kawan, semoga tahun ini rumah merah jadi juara sukan,”  Kevin menghulurkan tangan bersalaman dengan Azrul.  Mereka ketawa serentak berbangga dengan pencapaian rakan sekelas mereka itu. 
            “Jawatan apa lagi kau nak ambil Azrul?  Setakat ini aku rasa adalah tiga, kan?”  Kevin menjunamkan pandangan ke wajah Azrul yang tenang itu. 
            “Aku nak  menjadi calon untuk jawatan Pengerusi Persatuan Kadet Sekolah.  Kalau aku jadi pengerusi, itu menandakan aku sudah cukup kuat. Askar menandakkan kuasa, pemerintahan. Minggu depan baru ada pemilihan Persatuan Kadet Sekolah, kau orang kena hadir tau, sokong aku,”  Azrul memandang wajah kawan-kawannya seorang demi seorang.
            “Kami masuk semua persatuan yang kau masuk, melainkan rumah sukan sebab itu dipilih oleh cikgu, kalau tidak tentu kami juga kena masuk rumah sukan kau,”  Rajesh tersenyum.  Azrul menyengih.
            “Inilah gunanya kawan. Kalau kawan tidak tolong kawan, siapa lagi yang akan tolong aku.”  Azrul  menunduk.  Mathialagam menepuk bahu Azrul.
            “Kau kawan kami sejak tingkatan satu Azrul, sampai bila-bila pun kami akan sokong kau.”  Kevin mengenyitkan mata.
            “Terima kasih semua, kau oranglah sahabat aku.” Azrul tersenyum puas.  Bukan dia tidak suka berkawan dengan  pelajar melayu tetapi mereka bertiga sudah bersama dengannya sejak tingkatan satu lagi.  Walaupun ada yang menyindir dia pekakkan telinga sahaja.  Namun dia tetap baik dengan semua kawan sekelas,  tidak kira bangsa dan agama, sebagai latihan melatih diri untuk menjadi pemimpin yang sebenar nanti.  Bukankah rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.  Kenalah dia menyesuaikan diri, tidak boleh pilih satu bangsa sahaja.  Sebagai pemimpin dia kena adil begitu juga dalam persatuan yang dia bertindak sebagai ketua dan pengerusi.  Dia harus adil dan bertanggungjawab pada ahli di bawahnya.
        “Aku simpati dengan kedua orang tua aku, bertungkus lumus bekerja.  Siang malam membanting tulang.  Ayah aku bercita-cita ingin memiliki rumah sendiri.  Sudah daftar dengan BR1M. Entah dapat entah tidak?”  keluh Azrul.  Mathialagam dan Rajesh saling berpandangan.
      “Sabarlah Azrul.  Kalau mereka tidak mampu sediakan rumah untuk kau orang adik-beradik.  Kau seharusnya berusaha belajar bersungguh-sungguh.  Bila kau sudah berjaya, kaulah yang beli rumah untuk kedua orang tua kau,”  kata Mathialagam.  Azrul tersenyum dan mengangguk.
       “Itulah impian aku Mathia, Rajesh.”  Azrul memandang wajah sahabatnya silih berganti.  Selalu dia mendengar  emak dan ayahnya bercakap tentang memiliki rumah sendiri.  Duit bantuan kerajaan BR1M, sememangnya mereka layak mendapatkannya.  Duit bantuan sekolah adik-adik.  Semua itu bantuan kerajaan pada rakyat  yang hidup susah seperti keluarganya.  Biarpun bantuan tidak seberapa tetapi besar ertinya. 
       “Jangan mudah putus asa Azrul.  Nanti pasti dapat, ya,”  pujuk Rajesh.  Azrul menunduk dan tersenyum. Mathialagam dan Rajesh saling memandang antara satu sama lain.  Mereka ingin membantu tetapi bagaimana. 
            Usai urusan di sekolah Azrul terus pulang ke rumah.  Dia mengeluh.  Keadaan di rumah bukan menyiksakan tetapi menyesakkan fikiran.  Rumah pangsa dua bilik di huni sembilan orang ahli keluarga.  Adik-adik perempuan tidur di dalam bilik, adik-beradik lelaki tidur di ruang tamu.  Sudah macam ikan sardin yang tersepit di dalam tin sahaja. Ruang tamu yang kecil dan sempit.  Kalau dia jadi pemimpin, dia akan sediakan rumah yang selesa untuk rakyatnya nanti.  Biar mereka selesa.  Bagi yang mempunyai anak seorang dua bolehlah merasa selesa.  Bagi keluarganya yang ramai itu tentulah tidak sesuai.  Azrul melangkah masuk ke dalam rumah setelah memberi salam.  Rumah bersepah bagaikan kapal pecah.  Azrul menggelengkan kepala.  Emaknya  tentu sudah masuk tidur berehat setelah bertungkus-lumus buat kuih-muih untuk jualan sejak pagi tadi.
            “Lambat bang ngah balik hari ni?”  Aziz memandang wajah abangnya tidak berkelip.
            “Kenapa tak ke sekolah? Kan ada kokurikulum untuk semua pelajar?” Azrul mengerutkan dahi.  Adiknya yang seorang ini agak pemalas dan hanya tahu bermain sahaja, sedangkan sudah tingkatan dua.  Perangai masih macam budak sekolah rendah.
            “Malaslah, bukan ada untung apa pun!”  tukas Aziz.  Azrul menggelengkan kepala, kesal dengan ungkapan dari adiknya itu. 
            “Siapa kata tidak ada untung?  Dengan berpesatuanlah kita belajar tentang tanggungjawab.  Dalam persatuan banyak perkara yang bukan dalam bidang akademik kita boleh belajar seperti pengakap, belajar cara ikatan, belajar tengok peta, buat kerja berkumpulan,  ruginya di mana?”  soal Azrul.  Aziz mencebik.
            “Kalau abang  ngah suka sangat berpesatuan, itu hak abang.  Jangan paksa Aziz pula?”  Aziz memandang ke arah lain.  Abang keduanya ini suka mendesak dia dan adikp-adik yang lain aktif dalam persatuan sekolah.  Dia tidak minat langsung.  Sukan pun dia tidak suka.  Malas.  Baik duduk rumah tengok televisyen atau berpeleseran dengan kawan-kawan sejirannya dari menghadirkan diri di sekolah pada hari Sabtu.  Hari Rabu pula semua pelajar yang masuk persatuan beruniform wajib  memakain pakaian seragam persatuan yang mereka anggotai.  Kerana terpaksa dia masuk juga Persatuan Palang Merah.  Itu pun selalu sangat dia ponteng dan tidak menghadirkan diri bila ada perjumpaan dan acara yang dijalankan oleh persatuan tersebut.
            “Kenapa bising-bising ni?  Emak nak tidur pun tak boleh. Kau baru balik Azrul?”  Aminah mengerut dahi.  Baru sahaja dia terlelap, di luar sudah riuh rendah bagaikan orang bergaduh.
            “Kenapa emak tak suruh Aziz ke sekolah tadi? Semua pelajar wajib hadir Kokurikulum sekolah pada hari sabtu minggu pertama dan keempat.  Mana boleh ponteng!”  Azrul memandang wajah emaknya yang lusuh, keletihan itu. 
            “Aziz kata tak nak pergi, malas mak nak paksa,”  Aminah ke dapur, membuka peti sejuk dan mengeluarkan sebotol air kosong.  Dia menuangkan ke dalam gelas serta meneguknya.
            “Mak tak boleh macam tu, kalau dibiarkan adik-adik buat keputusan sendiri, nanti naik minyak, mereka tak minat ke sekolah, siapa yang rugi?”  Azrul menjeling tajam ke arah Aziz yang tersenyum.  Banggalah sebab dibela oleh emak mereka. 
            “Ala, setakat berpesatuan di sekolah, tak ke mananya,”  Aminah duduk di sofa.  Tiga orang lagi anak-anaknya sudah tertidur kerana kepenatan bermain sejak dari pagi sampailah ke tengahari, bergumpal dan bergurau tidak ingat orang sekeliling.  Bila sudah letih tidur sahaja di mana yang mereka suka. Aminah menggelengkan kepala.    Azrul mengeluh kesal.  Dia harus bertegas dengan adik-adiknya.  Kalau hendak menjadi pimpin dia harus berjaya memimpin adik-adiknya dahulu baru boleh memimpin orang lain.  Dia tidak mahu adik-adiknya menjadi tidak tentu arah, tidak ada rasa tanggungjawab pada diri sendiri.  Jika dia ingin berjaya, dia juga ingin adik-adiknya turut berkeinginan seperti dirinya.
            “Berpersatuan penting mak, supaya adik-adik tahu tanggungjawab pada diri sendiri dan orang lain.  Belajar bergaul dan bekerja dalam kumpulan.  Tidaklah mereka hanya tahu mementingkan diri sendiri.”  Azrul tidak mahu kalah. 
            “Hish!  Abang ngah ni, orang tak minat janganlah dipaksa,”  Aziz mendengus kasar.
            “Minat boleh dipupuk, Ziz.  Apa yang penting kita  harus mengikut segala yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, pihak jabatan pendidikan dan kementerian pelajaran. Sekarang ini nak masuk universiti mereka tengok sama ada kita aktif atau tidak waktu di sekolah.  Kalau malas mereka tak akan ambil kita walaupun  keputusan kita bagus.  Mereka akan pilih pelajar yang aktif  dalam sukan  dan kokurikulum.” Terang Azrul.  Aminah mendengar sahaja namun tiada reaksi apa-apa.  Azrul kecewa.  Sepatut emak menyokongnya bukan membantah atau buat tidak tahu. 
            “Berpersatuan tidak akan dapat mengisi perut yang kosong,”  Aziz mencebik.  Azrul mengetab bibir.  Geram.
            “Kita pelajar Aziz, bukan kutu rayau.  Ada tanggungjawab masing-masing.  Emak dan ayah cari duit untuk kita ke sekolah.  Kita pula sebagai anak bertanggungjawab belajar sehingga berjaya, bukan malas  dan hanya tahu bermain siang dan malam!” lengking suara Azrul, hilang kesabaran memujuk.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.  Geram dan marah dengan tindakan bodoh dan degil adik ketiganya itu.
            “Apa bising-bising ni?  Rimaslah!  Dari tadi lagi,”  Ainah melangkah keluar dari bilik.  Dia memandang wajah Azrul yang masih berpakaian sekolah.  Matanya memandang jam di dinding.  Sudah hampir pukul 3.00 petang.  Emak sudah tertidur di kusyen.  Aziz pula bermuka selamba.
            “Kak long tak kerja ke?  Kenapa tidak suruh Aziz ke sekolah tadi?”  Azrul menoleh ke arah kakak sulongnya.
            “Cuti, hari-hari kerja penat juga.  Azrul baru balik ke?  Kenapa lambat sangat?”    Ainah membetulkan rambutnya yang kusut masai.  Azrul duduk di kusyen yang masih kosong. 
            “Ada pemilihan jawatan hari ini, itu sebab lambat habis,” cerita Azrul.  Ainah duduk di hujung kaki emaknya.  Wajah emaknya ditenung seketika.  Aziz sudah berada di lantai mula hendak merebahkan diri. Tidur.
            “Hari ini sekolah ke?  Kenapa Aziz tak pergi?”  Ainah menggaru kepala.
            “Tadi pagi Azrul dah pesan dengan emak, entahlah?  Mungkin emak lupa agaknya?”  Azrul menoleh ke arah emaknya yang masih terlelap. 
            “Emak letih sangatlah tu,”  Ainah mengeluh.
            “Aziz malas belajar kak.  Banyak main.  Kerja sekolah selalu tak siap.  Azrul sudah tidak tahu nak nasihat macam mana?  Emak dan ayah bukan nak tegur.  Azrul tak salahkan emak dan ayah.  Iyalah, ayah balik kerja dah pukul berapa?  Emak pula bila dah letih apa pun dia tak peduli.  Azrul risau dia bercampur dengan kawan-kawan yang sama seangkatan dengannya,”  keluh Azrul.  Ainah mendengar dengan penuh minat.  Dia sendiri sibuk sehingga tiada masa memerhatikan adik-adiknya.  Kadang-kadang dia kerja seminggu terus, cari duit  tambahan.  Dia tidak sebijak  Azrul yang memang geliga otaknya dalam pelajaran.  Dia berharap SPM nanti Azrul akan berjaya mendapat  keputusan cemerlang, janganlah jadi seperti dirinya  yang gagal mendapat keputusan yang melayakkan  kaki ke menara gading.  Waktu bersekolah sibuk bercinta sehingga mengabaikan pelajarannya.    Cinta monyetnya tidak berjaya,  teman lelakinya entah ke mana, dia entah ke mana.    Ramai kawan-kawannya sudah pun masuk universiti atau kolej swasta.  Dia juga  yang masih dengan sijil SPM  tidak laku itu. Ainah mengeluh.  Aziz sudah pun berdengkur.
            “Kalau dia tidak pandai akademik mungkin dia pandai dalam kemahiran, siapa tahu.  Azrul kena bimbing dia bukan marah sahaja,”  nasihat Ainah. Azrul mengeluh.  Mungkin dia perlu mengendur sedikit. Tidak boleh terlalu tegas pada  Aziz dan adik-adiknya yang lain.  Jika emak dan ayahnya tidak berkesempatan untuk menasihati adik-adiknya biarlah dia  yang menjadi tulang belakang membantu orang tuanya melihat adik-adiknya.  Sebagai pemimpin untuk masa hadapan dia harus  belajar menjaga keperluan orang bawahannya.  Tidak boleh pilihan kasih atau mudah putus asa.  Setiap orang berlainan kelebihannya dan kelemahannya.  Begitu juga dengan kakak sulongnya.  Sekali gagal tidak bermakna akan gagal lagi.  Entahlah kakaknya bagaikan tidak mahu menyambung pelajarannya semula.  Wajah Ainah ditatap lama.

No comments:

Post a Comment