AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 5 September 2014

CERITA KEHIDUPAN- BAB 3






BAB 3
            Adi mengeluh, sejak keluar awal pagi lagi dia masih belum mendapat seorang pelanggan pun.  Penumpang semakin kurang lantaran berbagai kes kejadian jenayah yang dilakukan oleh pemandu teksi terpampang di dada akhbar.  Orang lain yang makan  nangka orang lain yang terkena getahnya.  Ditambah pula ada pemandu teksi wanita, maka ramailah wanita-wanita di luar sana memilih untuk menaiki teksi yang dipandu oleh kaum sejenis mereka.  Adi mendengus kasar.  Di stesyen LRT dan pasaraya sudah berbaris panjang teksi-teksi lain menanti penumpang.  Kalau menunggu tentu tidak kurang dari sejam dia terpaksa menunggu sehingga sampai gilirannya. 
            Adi memandu masuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.  Awak pagi begini mana ada penumpang yang hendak pulang ke rumah mereka setelah membeli belah.  Lot-lot kedai pun masih belum dibuka. Adi terus ke Puduraya, ada hentian menunggu untuk teksi bandaraya seperti teksinya.  Dia sudah penat berpusing di sekitar pusat bandar.  Buat habis minyak sahaja.  Akhirnya dia berhenti di hadapan bangunan Menara Maybank.  Berbaris bersama-sama teksi lain.  Biar pun panjang asalkan sampai juga gilirannya nanti.  Matanya terasa mengantuk.  Dia menutup enjin teksi dan menutup matanya.  Mukanya ditutup denga topi yang dipakainya.  Masih lama lagi baru sampai gilirannya.
            Belum pun sampai lima minit melelapkan mata, cermin tingkapnya diketuk orang.  Dia membuka mata, terpandangkan wajah Ranjit, Adi melemparkan senyuman.  Lelaki berbangsa singh itu mengamitnya keluar.  Adi mengangguk.  Dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar.
            “Awal hari ini Adi?  Biasanya kau keluar tengahari?”  tanya Ranjit.  Mereka berjalan seiringan mendekati ke arah kumpulan pemandu teksi berkumpul.  Mereka saling bersalaman. 
            “Cari duit lebih sikit Ranjit.  Tapi sejak pagi tadi seorang penumpang pun aku tak dapat lagi,” keluh Adi.  Ranjit menepuk bahu kenalannya itu.
            “Biasalah Adi, saingan sedang banyak ini,”  pujuk Ranjit.  Dia sendiri pun senasib dengan Adi, sejak pagi keluar masih belum dapat penumpang.
            “Orang sudah malas naik teksi, asyik kena rompak sahaja,”  kata Adi.  Ranjit mengangguk.
            “Orang lain yang buat kita terkena tempiasnya,”  Ranjit mengeluh.  Adi mengangguk.
            “Adi, Ranjit!  Awal pagi ini?”  sapa seseorang.  Ranjit dan Adi  menoleh.  Rahmah rakan mereka juga datang mendekati. 
            “Kami terlalu awal, atau kau yang terlewat,”  usik Ranjit yang fasih berbahasa melayu.
            “Kau dah pergi ambil tayar yang diberi subsidi oleh kerajaan tu?”  tanya Rahman sebelum melabuhkan punggung di sebelah Adi.  Berkerut dahi Adi.  Sudah berminggu-minggu dia tidak menonton televisyen, kalau buka radio pun hanya jika ada penumpang.  Suratkhabar pun dia tidak beli, berjimat-cermat.  Duit yang ada perlu disimpan untuk keperluan yang lebih mustahak.
            “Ambil di mana?”  tanya Adi.
            “Kerajaan bagi baucar melalui persatuan teksi, kita boleh ambil di persatuan kitalah,”  sambung Ranjit.  Adi mengangguk. 
            “Bulan ini pendapatan aku teruk sangatlah, masih tak cukup untuk jelaslan sewa rumah dan bil-bil yang ada,”  keluh Adi.  Ranjit dan Rahman saling berpandangan.
            “Samalah dengan aku, tapi nasib baik isteri aku bekerja.  Dapatlah dia membantu.  Anak pula tak ramai macam kau Adi, masih boleh bernafaslah lagi,”  Rahman tersenyum. 
Adi mengangguk.  Isterinya tidak bekerja tetapi membantu dia menambah pendapatan dengan buat kuih-muih dan dihantar  pada jiran yang berniaga goreng pisang di kaki lima jalan masuk ke kawasan perumahan mereka.
“Aku ada pencen, pandu teksi ini pun sekadar untuk menambah pendapatan,” kata Ranjit bekas penjawat awam yang baru sahaja pencen.  Masih bertenaga dan kuat takkan hendak duduk di rumah sahaja.
“Kau orang beruntunglah, aku ni memandu teksi dari muda sampai ke tua, anak pula ramai.  Isteri tak bekerja.  Itu pun nasib baik mahu juga dia membantu aku menambah pendapatan.  Kalau aku seorang sahaja yang mencari rezeki, tak tahulah aku nak buat macam mana?  Anak sulong aku sudah bekerja, dia ada juga membantu sedikit.  Gajinya sebagai pembantu kedai makan berapalah sangat,”  Adi menunduk.  Ranjit memicit belakang kenalannya.  Sedih juga mendengar masalah Adi. 
“Rezeki sikit banyak tidak penting, Adi, yang penting berkat,”  kata Rahman.  Adi mengangguk.  Satu demi satu teksi  berlalu pergi apabila sudah mendapat penumpang.  Masih ada lima buah  lagi baru sampai gilirannya.  Adi memandang ke  arah jalan yang sesak itu.  Tidak kira masa jalan raya di Kuala Lumpur ini selalu sesak.  Kadang-kadang duit bayaran dari penumpang tidak mampu menampung duit minyak pun.  Adi meraup wajahnya.  Ranjit sudah lama berlalu.  Begitu juga Rahman, tidak lama lagi gilirannya pula.  Dia tersenyum.
Adi sampai di rumah agak lewat malam.  Anak-anak sudah pun terlena.   Televisyen yang diambil dari kedai diletakkan di atas meja khas meletak  televisyen.  Alhamdulillah nasib baik masih boleh diperbaiki jika tidak dari manalah dia hendak ambil duit untuk beli  televisyen yang baru.  Aminah yang masih lagi di dapur tersenyum melihat suaminya pulang bersama televisyen yang sudah diperbaiki.
“Abang nak makan?”  Aminah mendekati suaminya dengan segelas air sejuk.
“Sudah, tadi Ranjit belanja makan, dia dapat duit pencen,”  Adi membuka baju putih yang sering dipakai waktu membawa teksi. 
“Awak tak habis lagi buat kuih ke?”  tanya Adi.  Simpati juga dengan isterinya yang asyik bekerja siang dan malam kerana membantunya.  Dia amat berterima kasih.  Sampaikan diri sendiri tidak terurus.  Rambut hanya disanggul.  Pakaian pula hanya baju kurung kedah yang sudah lusuh, kain batik yang dipakai sudah bertukar warna.  Mereka hanya mampu membeli pakaian  setahun sekali itu punn waktu hari raya sahaja.  Nasib baik anak-anak tidak mengeluh.  Seadanya asalkan ada baju baru.  Demi anak-anak dia dan isterinya tidak bertukar pun tidak mengapa. 
“Sikit lagi, bang,”  Aminah menguap.  Mengantuk sangat matanya tetapi kerjanya belum selesai. 
Adi memandang wajah Azrul, Aziz, Ahmad dan Azman yang lena tidur mereka.  Bergelimpangan mereka tidur di ruang tamu lantaran bilik tidak cukup.    Rumah sewa di sekitar Kuala Lumpur agak mahal.  Bilik sahaja  dua ratus ringgit.  Adi mengeluh.   Seminggu sekali dia beli barang-barang untuk isteri dia buat kuih-muih untuk jualan.  Tidak perlulah isterinya ke kedai pula. Nasib baik kuih-muih itu diambil sendiri oleh penjual kuih tersebut kebetulan jiran mereka juga.  Adi mengeluh lagi.  Ada kalanya dia merasa sedih kerana tidak mampu memberi kemewahan kepada anak-anak dan isterinya.  Dia tidak berkelulusan tinggi.  Hendak  berniaga tiada modal dan pengalaman.    Hanya memandu teksi sahajalah yang dia tahu.  Dia tidak akan berputus asa untuk terus mencari rezeki bagi menyara keluarganya dengan rezeki yang halal dan diberkati ALLAH SWT.  Cuma kelemahan dirinya yang selalu culas waktu solat.  Selalu ditinggalkan semata-mata mengejar penumpang.  Anak-anak juga kurang diberi pendidikan agama.  Pelajaran dunia pun kadang-kadang tidak sempat hendak ambil tahu lantaran kesibukannya mencari rezeki.  Pandai-pandailah anak-anaknya jika mahu berjaya.
“Ainah dah balik ke?”  tanya Adi lagi.
“Sudah bang, dah tidur pun, balik lewat juga tadi, ambil kerja lebih masa katanya,”  Aminah mengemas dapur dan menutup lampu dapur.  Dia mendekati suaminya. 
“Pergilah mandi, hari ini sehari suntuk abang bekerja.  Bukan tak boleh bekerja bang, tapi kesihatan diri kenalah jaga juga.”  Aminah memicit belakang suaminya. 
“Maafkan abang kerana  tidak mampu memberi kemewahan pada Minah dan anak-anak.”  Adi memandang wajah Aminah  tidak berkelip.  Wajah yang tidak sempat diurus dengan baik.  Sibuk dengan anak-anak dan menguruskan rumah tangga.  Setiap hari dia berjumpa dengan pelbagai orang.  Ramai perempuan yang cantik-cantik di luar sana.  Biar tidak terurus sekali pun dia tetap sayangkan isterinya yang telah banyak berkorban untuk dirinya dan anak-anak.
“Tak apalah bang, asalkan kita bahagia sudahlah.  Abang setia dengan Minah, sayang anak-anak. Itu sudah cukup bagi Minah,” Aminah tersenyum.  Adi tersenyum, namun hambar.



2 comments: