AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 6 September 2014

CERITA KEHIDUPAN - BAB 4



BAB 4
            Aziz melangkah lemah ke sekolah.  Dua hari cuti membuatkan dia tidak bersemangat untuk ke sekolah, ditambah dengan kerja rumah yang tidak siap.  Pasti dia akan dimarahi lagi hari ini.  Seperti biasa dan selalu.  Aziz mengeluh.
            “Ziz!” panggil seseorang.  Aziz menoleh.  Beberapa rakan sekelas mendekatinya.
         “Kau dah buat kerja sekolah tak?  Kalau belum jom kita ponteng, aku pun tak siap kerja lagilah.  Pasti hari ini kena denda lagi,”  kata rakan sekelasnya itu.
            “Iyalah Aziz, aku dan Radzi bercadang nak ke Cyber Café dekat jalan depan tu, jomlah sebelum  sesiapa nampak!”   kata seorang lagi.  Dahi Aziz ligat berfikir.  Kalau ponteng apa kesan pada dirinya, paling kuat pun surat amaran.  Kalau dia pergi sekolah tentu dia akan didenda berdiri dalam kelas atau pun dipukul oleh cikgunya.  Aziz mengherotkan bibirnya.
            “Aku belanja!” kata Radzi.  Aziz mengangkat kening. 
            “Jomlah…”  ajak seorang lagi. 
            “Jomlah,” jawab Aziz tanpa berfikir panjang lagi.  Tiga orang serentak ponteng kelas  hari itu.  Dalam hati Aziz terbit rasa takut juga, namun  membiarkan dirinya didenda tidak sama sekali.  Perit mendengar kata-kata hinaan dari cikgu kelasnya itu.
            Sampai di Cyber Café rupanya bukan mereka sahaja yang ponteng malah sudah ramai yang berada di dalam  pusat tersebut.  Aziz menyapa mereka yang dikenalinya.  Pelajar tingkatan satu pun ada. Sejam mereka menghabiskan masa di Cyber Café tersebut.
            “Kita nak ke mana?”  tanya Aziz.  Radzi memeluk bahu Aziz dan berjalan seiringan.
            “Ini,”  Radzi mengeluarkan satu bekas dari dalam beg.  Satu tin kecil,  Gam?  Aziz mengerutkan dahi.
            “Baik untuk hilangkan tekanan dan kebosanan,” kata Radzi.  Karim mengangguk-anggukkan kepala. 
            “Hish!  Tidak bahaya ke?”  tanya Aziz.  Radzi ketawa.  Begitu juga Karim.
            “Khayal di awangan sekejap,”  kata Karim.  Mereka berjalan ke belakang sebuah bangunan yang agak tersorok.  Aziz mengikut sahaja.  Dia belum pernah lagi ponteng sekolah, kalau ponteng pun hanya duduk di rumah.  Tidak pula pernah merayap seperti sekarang ini.  Radzi dan Karim duduk di bawah sebuah tangga dan mengeluarkan gam tersebut.  Mereka masukkan sedikit ke dalam beg plastik kecil.  Masing-masing menarik nafas dan mula menghidu.  Aziz memerhatikan sahaja.
            “Hoi!  Cubalah, takkan  tengok je,”  Karim menghulurkan satu plastik pada Aziz.  Teragak-agak Aziz mengambilnya.  Dia masih ragu-ragu.  Ada dia tengok dalam televisyen benda itu bahaya pada otak manusia. 
            “Aku pernah tengok dalam televisyen, tak elok hidu gam ini.  Boleh merosakkan otak, orang yang ketagih hidu gam boleh mati otaknya dan boleh juga membawa maut,  tak naklah. Kalau emak dan ayah aku tahu, mati aku kena marah nanti.  Lebih-lebih lagi abang aku tu,”  kata Aziz menolak melakukan perkara tersebut.  Karim dan  Radzi yang sudah mula khayal hanya tersenyum sahaja.  Entah faham, entah tidak.  Aziz menggelengkan kepala.  Dia memang malas  dan tidak  berminat belajar tetapi tidaklah sampai merosakkan dirinya sendiri.  Aziz melangkah pergi meninggalkan kawan-kawannya itu.  Buruk-buruk perangai dia, tak mungkin dia akan lakukan kerja menjahanamkan dirinya dan memalukan keluarga.  Aziz mengeluh.  Belum sempat dia pergi jauh tangannya telah direntap dengan kasar.  Cikgu Ahmad memandangnya dengan tajam.  Terasa menyusuk jantung hatinya. Cikgu Ahmad, guru disiplin di sekolahnya.  Beberapa rakan sekolah sudah dibawa pergi oleh beberapa lagi orang cikgu sekolahnya.  Nampaknya hari ini ada operasi membenteras pelajar-pelajar yang ponteng.
            “Mana Karim dan Radzi?”  tanya Cik Ahmad garang.  Matanya liar memerhati sekeliling seperti mencari sesuatu.  Aziz serba-salah, sama ada hendak memberitahu atau mendiamkan diri. Dia mengetap bibir.  Kalau bagi tahu pasti kawan-kawannya akan ‘ menyerangnya’ nanti.  Kalau dia mendiamkan diri bagaimana dengan  keadaan kawan-kawannya itu.  Sudah jelas mereka sedang merosakkan diri sendiri dan menghampakan perasaan pihak sekolah dan keluarga mereka. 
            “Tak tahu cikgu,”  jawab Aziz.  Biarlah mereka selesaikan masalah mereka sendiri.  Dia tidak perlu mencemarkan diri menjadi orang baik pula sedangkan dia sendiri melakukan kesalahan yang sudah cukup untuk memalukan keluarganya.  Sudah tentu orang tuanya juga akan kecewa dan  hampa apabila tahu dia ponteng  sekolah.  Dia dibawa kembali ke sekolah. Tidak sempat pun dia hendak ponteng  lama baru beberapa jam sudah ditangkap semula. 
            Denda yang dikenakan padanya adalah di suruh membersihkan kawasan sekolah selama seminggu begitu juga  para pelajar yang ditangkap waktu sedang leka  bermain di Cyber Café tadi.  Aziz mengeluh.
            “Awak semua ini, hendak jadi apa?  Sudahlah tak pandai, malas pula tu.  Eh!  Ponteng sekolah pula.  Tak kasihan ke pada orang tua kalian yang sibuk mencari rezeki untuk menyekolahkan kalian,”  nasihat cikgu Ahmad.  Para pelajar yang ditangkap tadi hanya mendengar, tidak kurang juga tersenyum sinis.
            “Emak dan ayah kami tidak pernah risau pun cikgu.  Malah dalam kelas pun bukan ada cikgu-cikgu yang sudi mengajar kami anak-anak murid kelas ketiga ni,”  kata salah seorang dari pelajar itu.  Aziz memandang wajah pelajar tersebut.  Benar kata pelajar itu.  Guru-guru yang masuk mengajar di kelas yang paling corot hanya masuk sekadar memenuhi waktu mengajar mereka sahaja.  Tidak bersungguh-sungguh seperti mana mereka mengajar kelas yang pandai dan para pelajarnya cerdik serta bijak.
            “Salah kalian juga, cuba tunjukkan kesungguhan, takkanlah guru-guru kalian hendak pandang sepi,”  kata Cikgu Ahmad lagi.
            “Tiada maknanya cikgu, ada guru yang sanggup kata kami ini tiada masa depan, jadi buat apa kami ke sekolah?  Baik melepak di Cyber Café terhibur juga hati kami,”  sampuk seorang lagi pelajar.  Cikgu Ahmd mengeluh.  Adakah guru seperti itu di sekolah ini.  Dia menggelengkan kepala.
            “Siapa guru tersebut?”  tanya Cikgu Ahmad ingin tahu.  Dia perlu siasat perkara ini.  Dia tidak mahu ada guru yang melayan pelajarnya berat sebelah.  Ini soal tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa  biar pun sekolah itu ada pelbagai  bangsa dan agama namun tetap Anak Malaysia.  Jika guru sudah hilang minat mengajar mereka yang kurang pandai, siapa pula yang hendak mengajar para pelajar yang lemah ini.  Siapa yang hendak mengubah prinsip dan membawa mereka menuju ke arah kejayaan.  Bukankah mereka semua ini bakal menjadi pemimpian masa depan negara ini.
            “Kalau cikgu tahu pun tiada gunanya, silap haribulan kami semua di boikot dan dimarahi oleh guru tersebut.  Cikgu siasatlah sendiri,”  kata seorang lagi.  Aziz hanya mendengar sahaja.  Kata-kata kawan sekolahnya ada kebenarannya.  Di kelasnya juga menerima nasib yang sama.  Mungkin mereka memperkatakan tentang guru yang sama juga.  Walaupun bukan semua guru bersikap seperti itu.  Bila seorang guru buat perangai seperti itu, maka para pelajar pun menganggap semua  guru seperti itu juga.
            “Baiklah, saya akan siasat perkara ini.  Saya berharap kalian tidak ponteng lagi.  Cubalah pandang ke hadapan, para pelajar bangsa lain berlumba-lumba belajar dan mencari ilmu tapi kalian banyak bermain dan ponteng kelas.  Aziz, awak kenapa tiba-tiba ponteng kelas pula ni?  Abang Azrul awak seorang pelajar yang rajin dan cemerlang serta aktif, awak pula berani ponteng kelas.”  Cikgu Ahmad memandang wajah Aziz tidak  berkelip.  Dia kenal abang Aziz sebab Azrul juga bekas anak muridnya waktu dalam tingkatan dua. 
            “Saya tak siapkan kerja rumah cikgu,” jawab Aziz jujur.  Cikgu Ahmad menggelengkan kepala.
            “Hanya kerana tidak siapkan kerja rumah yang diberi, awak ponteng sekolah?”  Cikgu Ahmad mengeluh.
            “Alasan yang sangat lemah dah tidak sepatutnya Aziz, dua hari awak bercuti takkan tak buat langsung?  Awak buat apa?” Cikgu Ahmad masib boleh bertolak ansur.  Dia akan cuba menasihati para pelajarnya jika perlu.  Mereka yang ditahan akan dirujuk pada Guru Kaunseling pula agar mereka boleh berubah dan menjadi pelajar cemerlang.  Belakang parang lama-lama diasah pasti akan tajam juga begitu juga dengan akal dan otak manusia. ALLAH SWT menjadikan manusia ada yang kuat, pandai, lemah dan bodoh bukan untuk menghina atau dihina.  Semuanya ada hikmahnya tersendiri.  Manusia akan jadi lengkap melengkapi kerana perbezaan itu,  Mereka yang kuat akan melindungi mereka yang lemah bukan menindas.  Mereka yang  pandai akang membantu yang bodoh bukan menghina.  Begitu jugalah sebaliknya.  Cuma manusia harus pandai mencari kekuatan yang ada dalam diri sendiri.  Setiap manusia dijadikan ada kelebihan dan kekurangan.  Cikgu Ahmad mengeluh lagi.
            “Sudah solat Zohor ke belum?”  tanya Cikgu Ahmad.  Hampir sepuluh  orang pelajar yang ditahan.  Walaupun tidak ramai namun jika dibiarkan akan menjadi sekam dalam padi akan terbakar semuanya nanti tiada gunanya waktu ketika itu.  Sebelum merebak membakar yang lain lain baiklah dipadam.
            “Belum cikgu,”  kata seorang pelajar.  Cikgu Ahmad bingkas bangun.
            “Bersiap, masih sempat untuk solat Zohor, lepas tu tunggu di surau sampai solat Asar,”  pesan  Cikgu Ahmad.  Para pelajar menunduk.  Waktu Zohor dan Asar menjadi amalan wajib yang harus mereka lakukan bila tiba waktunya.  Semua para pelajar dan guru wajib bersolat bersama-sama kecuali pelajar berlainan agama dan bangsa.    Setiap hari Jumaat pula para pelajar akan membaca Yassin sebelum kelas bermula.  Sengaja pihak sekolah menerapkan nilai-nilai agama dalam diri setiap pelajar agar mereka menjadi insan yang berilmu dan beriman. 
            “Ini amaran terakhir dari pihak sekolah, jika masih terdapat  diantara kalian yang masih ponteng tindakan gantung dari sekolah akan diambil. Jika masih lakukan juga, tindakan buang sekolah pula akan dilakukan, faham semua!”  tegas.  Cikgu Ahmad memandang seorang demi seorang. 
            “Faham cikgu!” Kata mereka serentak.
            “Usai solat Asar, semua masuk ke kelas masing-masing!” perintak Cikgu Ahmad lagi.  Aziz mencebik.  Masuk kelas.  Dia mengeluh.  Entah apalah nasib dirinya, baru pertama kali ponteng kelas sudah tertangkap.  Sudah pasti dia akan dimarahi oleh guru yang mengajar beberapa mata pelajaran yang telah memberi kerja rumah namun dia tidak membuatnya.  Aziz mendengus kasar.  Menyesal pun ada juga.  Sepatutnya dia membiarkan dirinya didenda dari dihukum dan tertangkap begitu tentu akan masuk dalam rekod pelajar sebagai anak murid yang tidak berdisiplin, malas dan tiada masa depan.  Benci dia mendengar perkataan ‘Tiada Masa depan’. 
            Betul tekaan Aziz, dia dimarahi dan didenda lagi.  Kali ini berdiri di luar kelas oleh guru yang mengajar.  Aziz menunduk, beberapa pelajar yang lalu lalang di luar kelas memerhatikannya sambil tersenyum sinis.  Dia mencebik.  Macamlah mereka itu baik sangat. Detik hati kecilnya.  Harap-harap tiada ahli keluarganya yang tahu tentang perkara ini.  Kalau tidak tentu dia terpaksa bersoal jawab dengan kedua orang tuanya terutama abangnya.  Entah bagaimana keadaan Radzi dan Karim, waktu dia meninggalkan mereka berada dalam keadaan khayal akibat kesan menghidu gam tersebut.
 Ramai anak bangsanya rosak kerana perbuatan menghidu gam tersebut.  Biar pun tidak termasuk dalam dadah merbahaya namun kesannya dikatakan lebih bahaya dari mengambil  dadah yang lain.  Takut juga Aziz mendengarnya.  Di tempat tinggalnya ada juga penagih-penagih dadah mereka berpelesaran di kawasan  flatnya. Keadaan yang tidak terurus dan kata emaknya ‘Mayat Hidup’ yang tidak mahu mati-mati.  Kejam sungguh ayat emak tetapi mungkin ada benarnya juga.  Sekali mencuba pasti kesannya sampai ke mati agaknya.  Nakal-nakalnya tidak mungkin dia akan mencuba, tidak sama sekali.  Aziz mengeluh kesal.  Kenapa dia tidak sepandai abang ngahnya?   Tidak serajin abang ngahnya?   Tidak seaktif abang ngahnya?  Pada hal mereka dilahirkan dari rahim yang sama, ibu dan ayah yang sama.  Kakaknya juga bukan seorang pelajar yang pandai, buktinya SPM kakaknya teruk sehingga tiada peluang melanjutkan pelajaran.  Kakaknya hanya mampu bekerja sebagai pembantu kedai sahaja.  Kata kakaknya itulah  yang sesuai bagi orang yang malas seperti dirinya.  Aziz tersenyum sendiri.  Dendanya berakhir apabila pelajaran bertukar dan gurunya juga bertukar, untung guru yang masuk selepas itu tidak ada memberi apa-apa kerja rumah.  Dia mampu duduk dan belajar semula.  Aziz menarik nafas lega.

No comments:

Post a Comment