AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 16 September 2014

CERITA KEHIDUPAN- BAB 8



BAB 8
            Azrul meneliti nama-nama ahli Kelab Matematik dan Sains yang akan terlibat dengan  kuiz  hujung minggu ini.  Dia tersenyum puas.  Ahli yang terpilih memang hebat-hebat belaka.  Rajesh turut membantu  begitu juga Kevin dan Mathialagam. Hadiah untuk pertandingan itu juga sudah dibalut kemas oleh pelajar perempuan.  Kevin diberi amanah untuk memastikan hadiah dari tempat pertama sehingga ke sagu hati sudah siap semuanya.  Nanti tidaklah terkejar-kejar atau ada tertinggal.  Rajesh ditugaskan  hiasan dewan dan para peserta.  Mathialagam pula menjaga para peserta yang terlibat.
            “Ini projek pertama kelab Matematik dan Sains, harap semuanya berjalan lancar.  Kau memang hebatlah Azrul, baru dilantik sudah buat aktiviti,”  puji Rajesh.  Malah guru bimbingan pun memberi kebebasan pada Azrul membuat keputusan agar  kelab tersebut aktif dan ahli-ahli tidak terasa membuang masa menganggotai kelab tersebut.
            “Betullah Azrul, kau memang hebat,”  puji Mathialagam pula.
            “Kalau tiada ahli dan tiada AJK yang membantu pasti tidak berjaya juga Rajesh, Mathia.  Sepatutnya aku berterima kasih pada kalian bertiga kerana rajin membantu dan memberi kerjasama dengan aku.  Susah senang kalian bertiga pasti bersama aku.  Aku benar-benar terharu.”  Azrul memandang wajah ketiga orang sahabat baiknya itu.  Sejak tingkatan satu mereka berkawan sehinggalah sekarang.  Sudah lima tahun.  Dia sudah faham dengan perangai dan sikap ketiga orang sahabatnya itu.
            “Kitakan Malaysian,” jawab Kevin sambil menepuk dada.  Rajesh, Mathialagam dan Azrul ketawa.
            “Iyalah, kita rakyat Malaysia, mestilah bersatu hati, ini tanah air kita, di sini tumpahnya darah kita,”  kata Rajesh pula.  Walaupun nenek moyangnya berasal dari India, menurut kata nenek  sebelah ayahnya.  Tetapi nenek dan ayahnya lahir di Malaysia, begitu juga dirinya.  Jadi inilah negaranya, inilah tempat tinggalnya.  Bukan India.
 Rajesh tersenyum bangga.  Bangga jadi rakya Malaysia, biar pun dia, Kevin, Mathialagam dan Azrul berlainan bangsa dan agama namun mereka mampu hidup aman bersama.  Mampu melakukan perkara yang mereka suka bersama.  Kalau hendak dibandingkan dengan sesetengah negara yang kacau bilau, biarlah negara sendiri, bak kata pepatah, Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baiklah negara sendiri.  Kalau ikut pepatah itu tentulah pelik tetapi maksudnya jelas.  Biar bagaimana cantik dan indah pun tempat orang atau negara orang, buruk-buruk negara sendiri pun adalah yang terbaik.  Umpama rumah orang dengan rumah sendiri.  Rumah sendirilah yang lebih baik, selesa dan aman.  Biarlah sempit dan tidak mewah namun itulah hak sendiri.
“Betul, buat apa bergaduh dan bertengkar hanya kerana kita berbeza pendapat, berbeza agama dan berbeza budaya.  Semua orang mahu hidup aman damai dan tenteram.  Aku tidak suka ada pergaduhan dan demontrasi jalanan.  Untuk apa?  Buang masa dan tenaga sahaja.  Baik kita fikirkan bagaimana hendak memajukan diri sendiri, negara dan keluarga.”  Kevin mendepakan tangan.  Azrul menepuk bahu sahabatnya.
“Betul, perbezaan ideologi jangan sampai merosakkan hubungan baik yang ada.  Kita punya pendapat masing-masing tetapi janganlah sampai bermusuh, bergaduh dan berkelahi bagaikan anak kecil sahaja.  Apa salahnya bersikap terbuka, perbezaan pendapat bukan membuatkan kita saling menjauh tetapi sepatutnya semakin dekat dan saling memahami.  Macam kita,”  kata Azrul pula sambil ketawa. 
“Betul,betul,betul… .”  Rajesh menyampuk.  Dewan sudah siap sedia  Pertandingan Kuiz Matematik dan Sains pada hari  Sabtu ini.  Kerusi untuk tetamu VIP dan guru-guru serta para pelajar sudah siap tersusun kemas.  Pentas utama sudah siap dengan kerusi meja untuk para peserta mengikut tingkatan. 
“Wah, sibuk sungguh Pengerusi Kelab Matematik dan Sains bekerja ya?  Dewan pun sudah siap berhias dan semuanya sudah cukup sempurna.”  Cikgu Lim mendekati Azrul sambil memerhati sekeliling  dewan.  Dia tersenyum bangga.
“Selamat tengahari cikgu,” kata mereka serentak. 
“Selamat tengahari,” 
“Semua sudah siap cikgu, tunggu harinya sahaja,”  kata Kevin.  Cikgu Lima mengangguk.  Dia nampak semuanya sudah siap. 
“Saya bangga dengan awak berempat.  Rajin dan sering bekerja sama.  Inilah yang sepatutnya kita lakukan sebagai sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum, budaya dan bangsa.”  Puji Cikgu Lim lagi.
“Kita rakyat Malaysia cikgu,”  kata Rajesh. 
“Betul, jika kalian bertiga simpan itu dalam hati pasti negara kita aman untuk selamanya, tenteram dan damai bagi generasi yang akan datang, untuk anak cucu kita, kita akan warisikan negara yang aman ini untuk keturunan kita juga, kan?  Jadi sama-samalah kita jaga keharmonian ini, ya,”  nasihat Cikgu Lim.
“Baik cikgu, kami akan ingat pesan cikgu biar di mana sahaja kami berada,”  Azrul mengangguk.  Kevin, Mathialagam dan Rajesh juga begitu.
“Wah, cantik dewan ini?  Siapa yang menghiasinya?”  Cikgu Linda antara guru penasihat Kelab  Matematik dan Sains melangkah masuk, matanya memerhati dewan sekolah yang sudah siap dihias.
“Mereka berempat, dan dibantu oleh ahli-ahli kelab yang lain,”  beritahu Cikgu Lim bangga.
“Awak Azrul, tidak sia-sia dilantik jadi Pengerusi Kelab.  Baru sahaja mesyuarat agung dilantik, tidak tunggu-tunggu lagi terus bekerja.  Ini soalan  dan jawapan untuk kuiz esok.  Simpan baik-baik jangan tinggal di mana-mana pula,” pesan Cikgu Linda.
“Terima kasih cikgu, saya hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberi.”
“Semua persatuan yang awak jadi pengerusinya  selalunya aktif dan  produktif.  Mana ada pelajar yang tidak menolak jika awak di calonkan.  Jika awak kekalkan sikap  kepimpinan ini pasti suatu hari nanti awak akan berjaya,”  Cikgu Lim menepuk bahu Azrul.
“Iyalah cikgu, kami juga yang teruk, setiap persatuan  Azrul jadi pengerusi, kami wajib masuk, turut jadi ahli .”  Kevin  mengusik.  Azrul menyengih.
“Inilah gunanya sahabat, kan cikgu, sentiasa membantu antara satu sama lain, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  Muafakat membawa berkat.  Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,”  kata Azrul.  Cikgu Lim tersenyum. 
“Bagus, bagus, walaupun berpersatuan dan aktif dalam kelab, jangan lupa untuk belajar pula.  SPM juga penting untuk masa depan kalian bertiga.  Cikgu bukan sahaja ingin melihat kalian berjaya dalam mengendalikan persatuan malah berjaya dalam pelajaran,”  kata Cikgu Linda lagi.  Azrul, Kevin, Mathilagam dan Rajesh merupakan pelajar kelasnya.  Sebagai guru kelas dia bangga dengan pencapaian anak-anak muridnya.  Motivasi diri sentiasa diterapkan agar anak-anak muridnya ada keinginan untuk berjaya dalam hidup.
“Kami ingat cikgu.  Kami pun ingin berjaya dalam pelajaran dan sampai masuk universiti,”  Kevin tersenyum.
“Kalian harus ingat, belajar bukan hanya untuk lulus periksa sahaja, tetapi belajar untuk mencari ilmu dan menambah pengetahuan.  Mungkin ilmu yang kita belajar ini tidak digunakan sekarang, tetapi suatu masa nanti pasti berguna juga.  Jadi jangan pernah jemu untuk belajar dan terus belajar biar apa pun bidang yang akan diceburi kelak.  Jangan pula belajar buat kerja-kerja haram seperti mengedar dadah, mencuri, merompak dan perkara-perkara negatif yang memang akan merosakan diri sendiri dan juga negara,”  nasihat Cikgu Linda panjang lebar.
“Betul kata Cikgu Linda.  Ilmu pengetahuan adalah pembimbing dari yang gelap kepada yang terang.”  Cikgu Lim memandang keempat-empat pelajar itu silih berganti.
“Tanpa ilmu pengetahuan kita tidak akan dihormati oleh orang lain.   Tanpa ilmu pengetahuan kita tidak akan dapat mengubah nasib diri kita.  Tanpa ilmu pengetahuan kita tidak akan mampu memajukan negara.  Tanpa ilmu pengetahuan kita tidak akan dapat menjadi pemimpin yang jujur, ikhlas dan bertanggungjawab.  Jadi pupuklah rasa minat untuk membaca dan belajar itu sejak dari sekolah lagi.  Orang yang berilmu pengetahuan, dia akan menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi dan ada cita-cita ingin berjaya,” kata Cikgu Linda menasihati anak-anak muridnya.
“Kami akan ingat cikgu, itu sebab saya memilih menjadi pengawas perpustakaan, supaya saya sering dekat dengan buku,” kata Kevin.  Azrul menampar belakang  Kevin.
“Ala, sudah Cikgu Hasriah pilih tidak boleh menolak. Terpaksa cikgu!”  usik Azrul.  Kevin mencebik.  Rajesh dan Mathialagam ketawa.  Cikgu Lim dan Cikgu Linda turut ketawa.
“Okeylah, selesaikan kerja kalian, jangan berlama di sekolah.  Balik rumah bantu emak dan ayah pula.”  Pesan Cikgu Lim sebelum berlalu meninggalkan ketiga-tiga pelajar itu.
“Soalan itu simpan baik-baik  Azrul, esok jangan lupa bawa.  Guru Besar sudah memberi persetujuan untuk hadir merasmikannya.  Terima kasih kerana banyak membantu saya dan Cikgu Lim dalam  menjalankan aktiviti kelab.”  Cikgu Linda tersenyum manis.  Azrul dan kawan-kawannya turut tersenyum.
“Oh ya, cikgu.  Sebelum saya terlupa.  Ini ada surat ucapan terima kasih kepada suami cikgu yang banyak menyumbang hadiah untuk  aktiviti esok.”  Surat tersebut bertukar tangan.  Cikgu Linda tersenyum lagi.
“Suami saya pun minta maaf kerana tidak dapat hadir.  Dia berdoa agar majlis tersebut berjalan lancar.  Terima kasihlah, siap buat surat pula.”  Cikgu Linda berlalu meninggalkan pelajar-pelajarnya. 
“Okey, semuanya sudah selesai.  Jomlah balik.  Dewan ini kita kunci dahululah.  Esok aku cuba datang awal,”  Kevin memberi cadangan.  Azrul mengangguk.  Majlis dijangka bermula dalam pukul 8.30 pagi. 
“Aku laparlah, jom pergi makan dahulu,”  ajak Kevin sambil mengusap perutnya yang  sudah berbunyi.
“Kau ini asyik ingat hendak makan sahaja,”  usik Mathialagam.  Kevin menyengih.
“Maaflah,” kata Azrul.  Kevin dan Rajesh saling berpandangan.  Mereka serentak memeluk bahu Azrul.
“Ada banyak kita makan sama-sama, ada sedikit pun kita makan sama-sama,”  Kevin mengangkat kening.
“Malu aku dengan kau Kevin, Mathia, hampir setiap hari  kalian bergilir-gilir belanja aku makan.  Bagaimana aku nak balas jasa kalian pada aku selama ini,”  Azrul sayu.  Dia tidak meminta duit yang banyak pada emaknya, cukuplah untuk dia membeli sebiji roti dan air sirap atau air kosong.  Paling penting duit tambang bas, dia juga menolak untuk menaiki bas yang dibayar bulanan.  Dia tidak mahu membebankan kedua orang tuanya.  Cukuplah mereka menyediakan kemudahan tersebut untuk adik-adiknya.  Dia tidak mahu menyusahkan emaknya.  Biarlah adik-adiknya yang diberi belanja lebih sebabnya mereka belum faham bagaimana hendak menahan lapar dan dahaga melainkan bulan puasa.
“Inilah gunanya sahabat Azrul, bukan ketika senang sahaja kita bersama.  Waktu susah juga wajib bersama,”  Rajesh memandang wajah Azrul.  Begitu juga Mathialagam dan Kevin.  Mereka serentak memeluk Azrul.
“Iyalah, Azrul. Ini masa kau, masa aku belum tahu lagi bagaimana.  Lagi pun aku mampu belanja kau.  Sudahlah, lagi tunggu lama di sini, lagi hebat lagu yang dimainkan oleh perut aku ini,”  Kevin menarik tangan Azrul menuju ke kantin.  Setelah Rajesh  dan Mathialagam menutup dan mengunci pintu dewan mereka terus menapak ke kantin sekolah.  Azrul tersenyum walaupun dalam hatinya terselit rasa malu dan hiba.  Malu kerana dia tidak pernah belanja kawan-kawannya.   Hiba kerana mereka tidak pernah lokek dan kedekut dengannya.  Ayah Kevin mempunyai perniagaan sendiri, kedai emas dan restoran.  Malah Kevin datang ke sekolah pun dengan motosikal sendiri.  Kevin ada lesen memandu kelas B. Azrul mengeluh.  Dia apa lesen pun tiada.  Jangankan hendak  beli motosikal, beli basikal pun belum tentu dia mampu.  Kadang-kadang dia cemburu dengan Kevin kerana sahabatnya itu ada semuanya.  Azrul mendengus kasar. Rajesh pula ayahnya ada ladang ternakan lembu dan kambing sendiri.  Mathialagam pula ayahnya seorang peguam.  Ayahnya pula hanya pemandu teksi.  Dia tidak mahu dengan pekerjaan orang tuanya. 

2 comments: