AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 14 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 2


 
               Matanya tidak berkelip memandang kesatu arah.  Maria yang sedang bermain di laman rumah langsung tidak dihiraukan. Sejak dia sampai di rumah emaknya, hanya air mata menjadi teman setia. Siang bagaikan malam baginya, malam begitu sepi menghimpit diri. Sudah seminggu dia berada di rumah itu. Bayang suaminya masih tidak kelihatan. Hendak menelefon ibu mertuanya terasa malu di hati apatah lagi mendapat tahu suaminya sudah berkahwin lagi.
Kenapa? Apa salahnya? Apa yang kurang dengan dirinya? Dia sendiri tidak faham. Selama ini tidak pula dia melihat apa-apa perubahan pada diri suaminya. Biasa-biasa sahaja. Ah! Orang lelaki pandai menyorokkan diri. Kalau hati sedang sakit seluruh tubuh merasa pedihnya.
“Mas… sudah, sudahlah bawa termenung. Cuba telefon Ashraf. Dapatkan penjelasan,” nasihat Mak Yam. Dia mengeluh sendiri. Sedih melihat nasib anaknya yang tiba-tiba sahaja dimadukan.  Dia sendiri tidak faham. Selama ini rumah tangga anak menantunya baik-baik sahaja. Tidak pula ada pertelingkahan atau salah faham. Kalau setakat sikit-sikit itu, biasalah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
“Kenapa mak? Kenapa?” soal Mastura. Air mata masih berembas keluar.
“Sabarlah, bawa mengucap. Ini ketentuan takdir Mas. Jangan fikirkan sangat!” terus memujuk.
“Siapa yang tak fikir, mak?  Sudahlah rumah hangus terbakar. Suami pula tiba-tiba menghilangkan diri. Tidak tahu di mana? Eh! Dengar-dengar sudah kahwin lagi. Hati siapa yang tidak sedih.”
“Semua ini ujian, nak!” Mak Yam mengusap belakang Mastura. Ditariknya anak itu ke dalam pelukan. Sedih juga mengenang nasib anaknya itu.
“Mas tak boleh terima, mak!” tangis Mastura, sayu.
“Mak tahu, mana perempuan yang boleh terima. Mak faham sangat-sangat.”
“Tak sangka Mas, mak. Tak pernah terfikir Abang Ashraf sanggup menduakan Mas. Tergamak dia, mak!” pelukan semakin erat.
“Mak… Mak!” panggil Maria. Dia melangkah mendekati emaknya yang sedang memeluk neneknya.
Mastura menoleh, pelukan dileraikan.
“Maria,” semakin sayu hati Mastura apabila terpandangkan wajah anaknya itu. Dia mengamit Maria mendekat. Dia memeluk Maria sepenuh hati. Dicium anak itu berkali-kali.
“Ayah,” kata Maria. Mastura mengerutkan dahi. Dia melangkah bangun mendekati tingkap. Berdiri di laman rumah dengan muka serba salah. Mastura mengetap bibir, menahan geram dan marah.
“Kau nak apa, hah? Kenapa ke mari?” tanya Mastura, kasar. Geram benar hatinya. Biar terhambur segala kemarahan yang berbuku di hati.
“Mas,” perlahan. Mastura menjeling tajam. Ashraf melangkah naik.
“Jangan naik! Pergilah balik ke rumah bini muda kau!”jerit Mastura bagaikan orang hilang akal.
“Mastura,” Ashraf cuba menenangkan isterinya. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.
“Duduk Ashraf,” pelawa Mak Yam.

Mstura tetap berdiri di tepi tingkap sambil mencekak pinggang.
Maria menerpa memeluk Ashraf.

“Mak, Mas.. maafkan abang.” Ashraf duduk sambil memandang wajah isteri dan emak mertuanya silih berganti.

Maria duduk di atas pangkuan Ashraf. Jelas terpancar kerinduan di wajah anak itu.
“Apa yang terjadi Ashraf? Kenapa? Macam mana boleh berlaku?” bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Mak Yam.
“Maafkan Ashraf, mak.” Ashraf mengeluh kasar. Semuanya salah dirinya sendiri. Dia meraup muka. Mengeluh lagi.
“Hah, mengeluh, mengeluhlah sampai keluar anak tekak awak tu!” jerkah Mastura. Panas benar hatinya. Kalau letak air pasti menggelegak.
Ashraf memutarkan ingatannya kepada peristiwa di malam kebakaran berlaku. Ketika itu dia sedang bersiap-siap hendak ke rumah emaknya di Bangi.
Mastura dan Maria yang tidur di sisi ditenung lama. Hiba pula hatinya. Namun keputusan sudah dibuat. Dia sudah berjanji. Kata putus sudah di ambil. Kedua belah pihak sudah setuju. Hanya menunggu hari langsungnya sahaja.  Semua sudah diatur. Dia cuma perlu menghadirkan diri. Maafkan abang, Mas, detik hati kecilnya.
Pesanan emaknya agar pulang ke Bangi malam itu juga telah membuatkan dia pendek akal. Meninggalkan isteri dan anaknya tanpa memberitahu sepatah dua kata.  Ugutan demi ugutan daripada emaknya membuatkan dia tidak mampu berfikir apa. Baginya restu emaknya mengatasi segala. Keinginan orangtua tunggak utama. Dia tidak memberitahu perkara sebenar kepada Mastura kerana dia tahu isterinya tidak akan mengizinkannya. Ashraf mencapai beg pakaian. Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalamnya.
Setelah mengisi pakaian ke dalam beg, dia terus keluar dari rumah. Daun pintu dikuak perlahan, tidak mahu menganggu lena anak dan isterinya. Kereta yang diletakkan di luar rumah dihidupkan enjinnya. Dia memandu perlahan. Nanti abang akan terangkan kepada Mastura, kenapa abang ambil tindakan ini, bisik hati kecilnya. Ashraf mencari telefon bimbitnya. Tiada? Ya ALLAH, tertinggal di rumah. Dia berpatah semula. Meletakkan keretanya jauh sedikit dari rumah.  Dia menapak kembali ke rumahnya semula. Daun pintu dibuka perlahan. Isterinya masih enak dibuai mimpi. Bau hangit menerpa hidungnya. Suara orang menjerit membuatkan dia berasa hairan. Ashraf menyelak kain langsir. Ashraf membuka tingkap bilik ingin tahu apa yang berbau. Asap tebal menendang masuk. Api yang sedang marak menerangkan kawasan taman tersebut. Kenapa tadi dia tidak perasan pun.
Api! Katanya dalam hati. Ashraf cepat-cepat mengejutkan Mastura dan Maria. Nyalaan api semakin menghampiri rumahnya. Nasib baik dia berpatah semula, kalau tidak dia hanya akan melihat mayat anak dan isterinya sahaja.
“Mas! Mas!” jerit Ashraf. Mastura yang nyenyak tidur, terpisat-pisat terjaga.
“Kenapa bang?” hanya itu pertanyaan yang menerjah di bibir Mastura.
“Rumah terbakar!” kata Ashraf. Maria diangkat dalam dukungan.  Api sudah mula menjamah sebahagian dinding rumah mereka. Pelik. Rumahnya berdindingkan batu, kenapa mudah terbakar? Pertanyaan yang tidak sempat dijawab. Perlu selamatkan diri dahulu.
“Macam mana ini bang! Api tu!” jerit Mastura, ketakutan.
“Tak payah ambil apa-apa, jom keluar!” arah Ashraf. Mastura akur. Nyawa lebih penting dari harta yang tinggal. Selamatkan diri dahulu.  Ashraf menarik tangan Mastura menuju ke jalan besar. Hanya di situ kawasan yang masih selamat. Api marak dengan cepat. Walaupun rumah di kawasan itu adalah rumah batu. Kenapa begitu mudah merebak? Ashraf cuak.
Suara penghuni taman itu riuh rendah, ada yang menjerit mencari ahli keluarga. Ada juga yang cuba menyelamatkan barang-barang milik mereka. Ashraf hanya mampu memandang rumahnya hangus terbakar. Mastura dan Maria keluar sehelai sepinggang. Langsung tidak dapat mengambil apa-apa hatta dokumen penting. Jiran tetangga dan jiran di taman sebelah sudah mula berkumpul di bahu jalan. Mata masing-masing melekat ke arah kawasan tragedi. Bunyi letupan kecil juga kedengaran.
“Habis tempat tinggal kita musnah, Ashraf,” sayu kedengaran suara itu. Lelaki itu muram, wajahnya kelat, matanya sayu merenung nyalaan api membakar setiap inci bangunan tersebut.
“Sudah ketentuan ILAHI, Pak Ayob,” kata Ashraf.
 Pak Ayob mengangguk. Dia hanya mampu mengurut dada. Anak isteri Pak Ayob turut sedih dengan apa yang berlaku.  Pak Ayob sempat juga menyelamatkan beberapa barang penting miliknya. Rumahnya terletak di hujung sekali.

Api yang marak mengambil masa sejam untuk memadamkannya. Ashraf diulit gelisah. Masa semakin berlalu pergi. Dia sudah terlambat. Bunyi deringan telefon membuatkan hatinya tersentak. Sudah pasti panggilan daripada ibunya.
Mastura memandang ke arah rumahnya dengan hati hampa dan kecewa. Semuanya sudah menjadi abu.
“Semua mangsa kebakaran taman ini diminta ke Dewan Seroja. Semua penduduk diminta ke Dewan Seroja!” jerit seseorang.
Ashraf mengeluh. Dewan Seroja satu kilometer dari kawasan tersebut. Dia harus menghantar  Mastura dan anaknya ke sana. Barulah dia bergerak ke Bangi, rumah keluarganya.
Ashraf mengeluh. Dewan Seroja terletak satu kilometer dari kawasan perumahan tersebut. Dia harus menghantar Mastura dan Maria ke sana dahulu. Kemudian dia akan bertolak ke Bangi.
“Jom ke kereta!” ajak Ashraf agak tergesa-gesa. Mastura memandang wajah suaminya.
“Kenapa kereta ada di sini? Bukan ada di hadapan rumah petang tadi?”  Mastura kehairanan atau dia tersilap pandang. Ashraf tidak menjawab pertanyaan isterinya. Dia terus sahaja memandu. Mastura tidak bertanya lanjut. Badannya masih menggigil, ketakutan. Terkejut dengan apa yang sedang berlaku.
Mereka melangkah masuk ke dalam dewan yang sudah pun dipenuhi oleh penduduk taman itu. Ada yang menangis. Ada juga saling bercerita apa yang terjadi. Anak-anak kecil ada yang mula bermain, tidak kurang juga yang sudah tidur, keletihan. 
Ashraf mencari ruang untuk menempatkan Mastura dan anaknya. Dia harus segera bergerak. Kejamnya dia meninggalkan isterinya dalam keadaan seperti itu. 
“Tunggu sini, rehat di sini. Nanti abang datang balik!” suruh Ashraf.
Mastura hanya mengangguk.
Ashraf bingkas bangun. Dia menelefon seseorang. Jawapan yang diterima cukup  mengecewakan hatinya. Dia tidak mahu jadi anak durhaka. Anak dan isterinya telah pun selamat. Dari kejauhan dia melihat Mastura bercakap dengan seseorang. Dia terus melangkah keluar dari dewan tersebut. Dengan hati yang berat dan terpaksa, Ashraf memandu keretanya menuju ke Bangi.

Dia sampai di rumah ibunya setengah jam kemudian. Ibunya sudah pun menunggu kehadirannya. Tiada saudara mara yang menemani. Ibunya selalu berkata, dia tiada sesiapa di dunia ini melainkan dia dan ibunya sahaja. Arwah ayah tirinya sudah beberapa tahun meninggal dunia. Dia tidak pernah bertanya lanjut tentang asal usul ibunya. Kata ibunya, itu semua tidak penting. Tinggalkan masa silam, hadapi masa hadapan. Dia akur. Kononnya ingin menjadi anak yang taat.
“Macam mana dengan Mastura? Dia tak syak ke?” tanya Halijah.

“Tidak ibu. Ashraf tinggalkan dia begitu saja.” Ashraf melabuhkan punggung di sofa kulit buatan Itali itu.
“Kalau Ashraf hendak ibu menerima kehadiran Mastura, Ashraf ikutlah cakap ibu!” Halijah mencebik.
“Okey Ashraf ikut cakap ibu. Tapi… ibu kena berpegang dengan janji ibu untuk menerima Mastura sebagai menantu ibu, surat tukar milik harta warisan Ayah Din sudah pun Ashraf tandatangan. Kalau ibu bertukar fikiran, Ashraf tidak teragak-agak tukar kembali wasiat itu, ibu dengar tak?  Tak mustahil Ashraf letak nama Mastura dan Maria sebagai pewaris harta ini. Bukan niat mengugut ibu tetapi Ashraf nak ibu berpegang pada janji yang ibu sendiri katakana,” Ashraf memandang wajah ibunya dengan mata berkaca.
Halijah terkedu mendengarnya. Anaknya sedang bermain api. Sengaja hendak membakar dirinya yang telah disirami minyak, hanya tunggu terbakar sahaja. Dia tidak akan membiarkan harta itu jatuh ke tangan menantu dan cucu yang dibenci.
“Ashraf jangan bimbang, ibu tetap berpegang pada janji.” Halijah masih bermuka manis. Kata-kata Ashraf tadi ditolak ke tepi.  Kalau dari dahulu Ashraf berkahwin dengan gadis pilihannya pasti hubungannya dengan anaknya itu berjalan lancar. Ashraf pasti tinggal bersamanya tidaklah berjauhan seperti sekarang. Sudahlah semua harta milik arwah suaminya telah dinamakan dengan nama Ashraf. Salah dia juga terburu-buru buat keputusan. Kononnya untuk menjaga agar harta warisan itu kekal milik anaknya. Sedangkan kalau ikutkan Ashraf tidak layak menerimanya. Kerana dia hanya anak tiri arwah suaminya.
Majlis sudah dirancang sebulan yang lalu. Itu pun puas dia memujuk Ashraf menerima cadangannya itu. Akad nikah dilakukan di rumahnya begitu juga kenduri kendara. Kedua orangtua perempuan masih di luar negara.  Dialah yang menguruskan semuanya. Tidak mungkin dia menangguhkannya hanya kerana musibah yang menimpah keluarga anaknya itu.  Hanya senyuman terukir di hati apabila diberitahu oleh Ashraf bahawa rumahnya telah hangus terbakar. Dia sudah sedia maklum apa yang berlaku.
Dia tidak peduli apa yang terjadi kepada anak dan isteri Ashraf. Segala persiapan telah dibuat, tak mungkin dia membatalkannya. Buat malu sahaja. Biarlah Mastura selesaikan sendiri masalahnya. Nanti usai majlis perkahwinan itu jika Ashraf hendak pulang menjengah anak isterinya dipersilakan. Wah, baiknya hati dia. Jangan harap! Dia tidak akan membenarkan Ashraf ke sana lagi. Dia akan mengikat kaki dan tangan Ashraf di sini.  Bodoh betul anaknya, lurus bendul. Ingat senang dia hendak menerima kehadiran Mastura?
Lagipun dia ada rancangannya sendiri. Harta warisan arwah suaminya akan dirampas kembali. Surat peralihan kuasa dan penukaran pemilik semua harta tersebut telah pun siap. Cuma tunggu tandatangan anak lelakinya itu sahaja.
Majlis berjalan lancar. Senyuman bahagia terukir di bibir Halijah. Harapan dan impiannya sudah tertunai.
Ashraf cuba berlagak riang. Namun hati dan fikirannya asyik teringkatkan anak dan isteri yang ditinggalkan sehelai sepinggang.
Malam pertama bagaikan tidak bererti, badannya di situ, hatinya entah ke mana pergi.  Resah dan gelisah.  Isteri yang jelita, seksi dan mampu meruntuhkan perasaan kelelakiannya tidak langsung mengamit rasa. Malam berlalu tanpa suara. Tanpa rasa. Hiba menghimpit bagaikan menyesak nafasnya.
“Abang kenapa? Muram sepanjang masa. Sepatah Rina tanya. Sepatah abang jawab. Apa yang tidak kena? Apakah kehadiran Rina tidak menyenangkan hati abang,” lembut isteri barunya bersuara.
Ashraf menoleh sambil mendengus kasar.
“Maafkan abang Rina, ada masalah yang menghenyak kalbu. Abang sebenarnya sudah beristeri dan sudah mempunyai seorang anak. Sebelum abang ke mari, musibah menimpa. Rumah kami hangus terbakar. Demi janji, abang ke mari juga,” cerita Ashraf. Dia tidak mahu menipu sesiapa. Hatta isteri sendiri, namun terpaksa.
“Innalillah… jadi anak isteri abang bagaimana?” tanya Katrina, ingin tahu. Terkejut dia mendengar berita itu. Walaupun hatinya tidaklah baik sangat tetapi jika seseorang menimpa musibah tidaklah perlu ketawa riang. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah rasa simpati.
“Mereka selamat, cuma tidak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang,” luah Ashraf lagi.
“Rina dah tahu abang ada isteri dan anak. Rina setuju berkahwin dengan abang pun sebab hati dan perasaan Rina terhadap abang tidak pernah berubah. Walaupun abang pernah kecewakan Rina tapi apa boleh buat, waktu itu kita tidak ada jodoh. Rina tidak kisah jadi isteri kedua asalkan abang berlaku adil.” Lembutnya gigi dari lidah waktu mengungkapkan kata.  Bermanis muka di hadapan suami, konon baiknya hati. Hidup perlu bijak jika inginkan sesuatu yang berharga.
Ashraf terkejut mendengarnya.
“Rina!”rasa terharu datang bertandang. Bekas tunangannya itu masih menyimpan perasaan terhadapnya. Padahal perkara itu sudah lama berlalu. Masing-masing sudah lama tidak bertemu.  Panggilan telefon daripada ibunya sebulan yang lalu menemukan mereka kembali dalam suasana yang jauh berbeza. Katrina masih seperti dahulu, seksi dan manja. Dia pula sudah beristeri dan mempunyai seorang anak.
“Abang, pergilah balik, tengok keadaan isteri abang. Rina akan tunggu kepulangan abang,” suruh Katrina. Ala, tidak rugi sesen pun berlagak baik. Biar tertanam di hati suaminya, baiknya isteri keduaku. Katrina ketawa sendiri.
“Tapi?” Ashraf ragu-ragu. Benarkah yang berdiri di hadapannya Katrina tunangannya dahulu. Lain sungguh kata-kata dan tingkahlaku.
“Pergilah bang. Rina tidak apa-apa. Sudah ambil hak orang, kenalah pandai-pandai bawa diri. Lebih-lebih lagi keadaan isteri abang tidak tahu bagaimana.  Uruskan hal mereka sehingga selesai. Abang jangan bimbangkan Rina. Terangkan kepadanya yang abang sudah mempunyai seorang lagi isteri. Kalau dia dapat menerimanya, Alhamdulillah. Jika tidak, pandai-pandailah abang memujuknya.”
“Terima kasih Rina.” Ashraf memeluk isteri baharunya. Hatinya berbunga bahagia. Masalah ini selesai, masalah di sana belum tahu bagaimana.
Seminggu masa di ambil untuk dia memberanikan diri bersemuka dengan Mastura. Ashraf menunduk. Wajah Mastura yang masam mencuka tidak mampu ditenung lama. Dia tahu dia bersalah. Tetapi demi restu ibunya, dia terpaksa.
“Mas kena faham, kenapa abang buat begini, itulah syarat ibu. Dia nak abang berkahwin dengan gadis pilihannya, barulah dia dapat menerima kehadiran Mas sebagai isteri abang, anak kita sebagai cucunya.”
“Ibu abang kejam. Siap telefon emak, beritahu abang sudah bernikah lagi. Abang tinggalkan Mas dan Maria sehelai sepinggang. Rumah hangus, abang pergi begitu sahaja. Apa yang ada dalam hati abang? Kerana janji ibu abang, entahkan benar, entahkan bohong abang lupakan kami?” Mastura mengetap bibir. Kelat wajahnya, sekelat hatinya sekarang untuk menerima kehadiran orang lain dalam hidupnya dan Ashraf. Jika perempuan itu boleh menerima dia sebagai madu, belum tentu dia dapat menerima orang ketiga dalam hidupnya dan Ashraf.
“Jangan cakap macam itu, Mas,” tegur Mak Yam. Walaupun dia kesal dengan apa yang berlaku. Mungkin ada hikmahnya yang terbaik untuk anak menantunya.
“Pergilah abang balik ke rumah isteri muda abang. Biar Mas di rumah emak. Hati Mas masih belum dapat menerima apa yang berlaku. Selama ini hidup Mas bahagia sahaja walaupun tanpa restu ibu abang. Bergembiralah dia dengan menantu baharunya itu.  Abang boleh sahaja menolak, kalau abang hendak. Tapi… lelakikan? Orang sudah tawarkan diri, kenapa hendak ditolak?” kata Mastura geram.
Ashraf terdiam.
“Abang tidak akan sia-siakan, Mas. Abang akan cuba berlaku adil antara Mas dan isteri baharu abang. Maafkan abang kerana merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Mas dan keluarga. Maafkan saya mak!”  Ashraf menghulurkan tangan bersalaman dengan emak mertuanya.
Tiada kata secubit pun keluar dari bibir Mak Yam. Sudah kehendak ILAHI anaknya akan hidup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Suka atau tidak, itulah takdir yang telah tertulis.
Ashraf berharap Mastura akan terbuka hatinya. Dia ingin membahagiakan kedua-dua orang isterinya. Dia hanya ingin membahagiakan semua orang. Terutama ibu tersayang. Salahkah tindakannya itu?
Mastura tidak mahu bertekak lagi dengan suaminya. Segalanya sudah terjawab. Segalanya sudah berlaku. Dia perlukan masa. Dia perlu menenangkan fikiran. Di manakah suami aku? Hatinya sudah bercabang, hilang bersama orang lain. Mastura menutup mata, setitis air jernih mengalir keluar tanpa dipinta.

No comments:

Post a Comment