AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 16 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 3




Mastura memandang sepi kenderaan milik suaminya berlalu meninggalkan laman rumah emaknya. Luka hatinya berdarah selambak. Tidak mudah ditutup dengan pujuk dan rayu. Janji manis ibu mertuanya bolehkah diguna pakai? Dia tidak percaya janji manis ibu mertuanya itu.

Mak Yam di sisi hanya menepuk bahu anaknya tanpa berkata apa-apa. Dia tidak mahu memaksa anaknya. Biarlah mereka sama-sama membuat keputusan sendiri.
Maria pula masih menangis kerana ingin mengikut ayahnya.
Mastura menarik tangan Maria dan cuba memujuk.
                    “Nanti ayah baliklah, kejap lagi kita ke kedai, beli ais krim. Maria suka ais krimkan?” pujuk Mastura. Hatinya masih marah. Masih geram, apa yang terjadi benar-benar mencabar kesabarannya. Dia tahu benar sikap ibu mertuanya. Tidak berkenan dia menjadi menantu. Sejak awal lagi hubungan dia dan suaminya tidak disukai. Namun mereka degil. Tetap juga ingin berkahwin. Natijahnya sehingga ke hari ini kehadirannya dengan Maria tidak direstui. Dia redha. Buat apa paksa orang yang tidak menyukai dirinya. Biarlah.
“Kenapa tak ikut Ashraf balik tadi?” tanya Mak Yam.
Mastura memandang wajah emaknya.
“Balik ke mana mak? Rumah kamikan sudah tidak ada lagi, dah hangus menjadi abu!” Mastura sebak. Sudahlah kehilangan rumah dan harta benda, kini dia kehilangan suami pula. Musibah yang bertimpa-timpa. Dia tidak boleh menyerah kalah. Dia perlu bersabar dengan apa yang terjadi. Semoga ada hikmah disebalik kejadian yang terjadi kepadanya.
“Jadi, apa cadangan, Mas?” Mak Yam mengusap lembut rambut Maria yang sudah pun lena di pangkuan Mastura.
“Masih tidak fikir apa-apa lagi mak. Otak ini dah kosong, tak tahu nak fikir apa lagi. Masalah yang datang buat fikiran Mas buntu,” keluh Mastura. Mak Yam mengeluh.
“Sabarlah Mas,” hanya itu sahaja yang mampu dia perkatakan.
Mastura mengeluh kesal. Kalaulah suaminya menolak untuk berkahwin lagi, apalah salahnya. Selama ini pun ibu mertuanya tidak pernah suka kepadanya. Ada dia kisah. Selama mereka berkahwin tidak pernah sekalipun dia pulang menjenguk ibu mertuanya. Amaran orangtua itu sendiri. Jijik benar dirinya. Maria, anaknya langsung tidak pernah tengok neneknya di sebelah suami. Hanya Maria tahu Mak Yam sahajalah neneknya. Mastura mengesat air mata yang mula menitis di pipinya.
Dia sedar siapa dirinya. Gadis kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Kalau tidak kerana permintaan pak longnya tidak mungkin dia sanggup menjadi menantu Halijah. Tidak mungkin dia memikat suaminya. Semuanya kerana rancangan pak longnya. Mastura mengeluh panjang. Bukan kesal dengan jodoh yang dirancang namun itulah ketentuan ILAHI. Rancangan pak longnya hanya sebab pertemuan jodoh antaranya dengan suaminya. Hati benar-benar tertawan dengan kebaikan Ashraf yang jauh berbeza dengan ibu mertuanya. Tapi hari ini dia dikecewakan oleh lelaki yang sama. Lantaran mendengar pujuk rayu ibu mertuanya.
Dia benar-benar kecewa dengan suaminya. Mudah sahaja menerima cadangan ibu mertuanya. Sanggup berkahwin lagi atas alasan supaya ibu mertuanya menerima kehadirannya. Benarkah? Sampai sekarang tiada langsung orangtua itu menelefon bertanyakan khabarnya. Terimakah itu? Sengaja ingin memisahkan dia dan suaminya. Lelaki, kata mulut tidak, dalam hati mahu. Mastura mendengus kasar. Sebal rasa di hati. Geram rasa di jiwa. Ketenangannya dirampas dengan begitu mudah sahaja. Semuanya kerana suaminya yang gatal ingin bernikah lagi. Bila disuakan oleh ibu mertuanya terus setuju. Dasar lelaki, tidak tahu diuntung. Mastura mengomel sendiri.

***
Dia keluar dari rumah emak mertuanya, sudah lewat petang. Ashraf terbayangkan wajah Mastura yang lesu dan marah. Tiada langsung senyuman di bibir isterinya. Dia tahu dia bersalah. Tidak mahukah Mastura diterima oleh mamanya. Maria diakui cucunya. Sukar sangatkah hendak berkongsi kasih dengan perempuan lain? Orang perempuan selalu tamak. Ashraf mendengus sendiri.
Susah betul hendak menjaga hati seorang wanita. Ada sahaja rajuknya. Kalau tidak kerana hal besar, hal kecil-kecil pun mereka ambil kira.  Entah berapa lama Mastura hendak merajuk. Entah berapa lama Mastura harus ambil masa untuk bertenang dan menerima perkahwinan keduanya. Biarlah… biar berapa lamapun. Mastura berhak. Jangan sampai mereka berpisah sudahlah.
Bunyi deringan telefon, Ashraf terus menjawabnya. Suara perempuan disebalik sana amat dikenalinya.
“Ada apa ibu?”
“Kau di mana?”
“Dalam perjalanan balik ibu.”
“Kau pergi jumpa Mastura?” suara mamanya kedengaran agak kasar.
“Yalah ibu. Dia kan isteri Ashraf juga.”
“Kalau aku tidak suka, sampai bila pun aku tak suka!”
“Ibu! Bukankah ibu sudah berjanji akan terima Mastura sebagai menantu, jika Ashraf kahwin dengan pilihan ibu!” Ashraf benar-benar terkejut. Ibunya sanggup menipu dirinya.
“Kalau ibu tak buat seperti itu, adakah Ashraf akan setuju?”
“Sampai hati ibu!” Ashraf sedih mendengar kata-kata ibunya.
“Kau lupakan sahaja isteri kau itu. Baik kau layan isteri baharu kau yang setia menunggu di rumah ibu ini.”
“Ibu kejam! Kejam!” Ashraf mematikan panggilan tersebut. Dia menghentak-hentak stereng kereta. Geramnya hati hanya ALLAH yang tahu. Bagaimana mungkin dia melupakan Mastura dan anaknya, Maria. Apa yang ada di dalam fikiran ibunya. Ashraf kesal. Dia terlalu mempercayai ibunya. Dia ingatkan ibunya benar-benar telah berubah. Ibunya sudah mahu menerima kehadiran Mastura, itu sebab dia bersetuju berkahwin lagi. Rupanya ini hanya sandiwara ibunya sahaja.  Kepalanya berat. Dia pening secara tiba-tiba. Jantungnya berdegup kencang. Padel brek ditekan kuat namun tidak berfungsi. Ashraf panik. Dia tidak tahu apa harus di buat. Kereta di kiri dan kanan bersimpan siur. Dia masih lagi cuba mengawal stereng agar tidak terbabas. Bimbang dan takut silih berganti. Tidak henti-henti dia berdoa agar dirinya selamat dan tidak ditimpa bala bencana. Tiba-tiba…
***
Mastura hampir pengsan apabila menerima panggilan telefon bahawa suaminya sudah meninggal dalam kemalangan. Air matanya laju mengalir. Musibah lagi. Aduhai, nasib badan. Mak Yam memeluk erat anak perempuannya. Dia sendiri sedih dengan apa yang berlaku. Tidak disangka sama sekali. Pertemuannya dengan menantunya siang tadi adalah yang terakhir. Maria masih enak dibuai mimpi. Bagaimanalah nanti reaksi anaknya apabila terjaga nanti.
“Mak, Abang Ashraf sudah tinggalkan Mas!” Mastura menangis sayu di bahu Mak Yam.
“Sabarlah, Mas,” pujuk Mak Yam. Dia sendiri tidak mampu menahan sedih. Kehilangan menantu secara tiba-tiba.  Masih terasa kehangatan bibir menantunya bersalaman dengannya tadi. Pergi tanpa pesan, membawa terus hati yang lara. Mak Yam hanya mampu mengeluh.
“Mas hendak ziarah jenazah Ashrafkah?” tanya Mak Yam perlahan. Mastura memandang wajah emaknya tidak berkutik. Dia termenung jauh. Haruskah dia pergi? Dia tidak berani berhadapan dengan keluarga mertuanya. Kalau dia tidak pergi…

Mastura melangkah perlahan. Dia masih berkira-kira sama ada hendak masuk atau tidak ke dalam rumah itu. Rumah di mana jenazah suaminya masih ada. Dia isteri, itu suaminya. Dia berhak menziarahi suaminya. Mastura memberanikan diri. Dia ingin melihat wajah suaminya buat kali terakhir.
“Buat apa kau datang ke sini? Kerana kaulah anak aku mati!” jerit Halijah sebaik sahaja melihat kelibat Mastura. Mak Yam yang turut bersama Mastura memandang wajah besannya dengan penuh tandatanya. Kenapa begitu benci besannya terhadap anak perempuannya itu?
“Ibu!” seorang wanita muda menahan Halijah. Mastura memandang wajah itu tidak berpaling lagi. Tentu isteri muda arwah suaminya.
“Masuklah Mas,” pelawa perempuan muda itu Mastura mengangguk lemah. Air mata berjujuran mengalir.
“Kenapa kau benarkan dia masuk, Rina? Dia pembawa malang!” jerkah Halijah.
“Ibu, Mastura tetap isteri Abang Ashraf. Biarlah Mastura melihat arwah buat kali terakhir. Jangan bising-bising macam ini, malu didengar oleh orang lain,” nasihat Katrina. Puan Halijah menjeling tajam.
“Kau pun hendak menentang aku, Rina?” lengking suara Halijah. Tidak menghiraukan kehadiran para tetamu yang datang menziarahi. Dia benar-benar membenci menantunya itu. Langsung tiada sedikit pun perasaan sayang atau kasih. Kerana Masturalah Ashraf langsung tidak balik menjengahnya bertahun-tahun.
“Ibu!” Rina menarik tangan Halijah jauh dari situ.
“Lepaskan ibu, biar ibu marah perempuan itu puas-puas!”
“Kenapa dengan ibu ni? Mastura itukan isteri arwah Abang Ashraf. Kalau kejam sekalipun janganlah sampai tak beri peluang langsung Mastura melihat arwah.” Katrina mengeluh kesal.
. Halijah memeluk tubuh. Dia mendengus kasar. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Daun pintu ditutup kuat.
Katrina kembali ke ruang tamu. Para tetamu masuk dan pergi, seorang demi seorang menziarahi jenazah. Mastura dan Mak Yam masih berteleku di hadapan jenazah. Maria menangis sedih di sisi emaknya. Katrina menghampiri.
“Mas, saya Rina… isteri muda arwah Abang Ashraf. Maafkan ibu, ya. Terima kasih kerana sudi datang.” Katrina menghulurkan tangan ingin bersalaman. Mastura menghulurkan tangan. Mereka saling berkenalan. Mastura menatap seketika wajah madunya. Cantik, memang sesuai dengan suaminya yang kacak.  Mastura menunggu sehingga jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Selama itulah juga ibu mertuanya tidak keluar dari bilik. Hiba benar hatinya. Hancur lulur jiwanya dengan sikap ibu mertuanya. Buruk sangatkah dia sehingga begitu sekali kebencian ibu mertuanya terhadap dirinya.
“Jomlah kita balik, Mas. Orang tak suka kita berlama di sini. Tiada gunanya lagi kau di sini,” ajak Mak Yam. Sebal hatinya dengan sikap besannya. Membenci sehingga ke tulang hitam agaknya.
“Janganlah mak cik, tunggu sehingga majlis tahlil malamini.”pelawa Katrina. Mak Yam tersenyum.
“Tidak mengapalah Rina. Dapat melihat arwah buat kali terakhir pun sudah cukup buat kami. Terima kasih kerana melayan kami dengan baik,” kata Mastura. Katrina mengeluh. Kenapalah ibu mertuanya keras hati sangat. Tentu arwah tidak tenang di alam sana. Sudahlah arwah anak tunggal. Dia pula baharu sahaja berkahwin dengan arwah.  Mereka belum dapat bersama. Marialah satu-satunya zuriat arwah suaminya. Tidak mahukah ibu mertuanya memeluk satu-satunya pewaris keturunannya.
“Mas, jangan ambil hati dengan sikap ibu ya, sesekali bawalah Maria ke mari. Hanya dia sahajalah anak arwah,” Katrina menunduk. Sememangnya arwah bukanlah jodohnya. Baharu sahaja berkahwin arwah pergi buat selama-lamanya.
“Insya-ALLAH, Rina. Mas balik dahulu. Rina jemputlah datang ke rumah Mas ya, ini nombor telefon dan alamat Mas.  Semoga hubungan kita terus kekal selama-lamanya.” Mastura menghulurkan sekeping kertas yang tercatat nombor telefon dan alamat rumah emaknya. Biarlah arwah suaminya bersemadi dengan aman. Biar bagaimana buruk pandangan ibu mertuanya terhadap dirinya, dia akan tetap menghormatinya. Mastura berlalu dari rumah tersebut dengan hati yang tenang, Semadilah abang dengan tenang ya, detik hati kecilnya. Air mata mengalir lajukeluar. Semua kenangan bersama arwah akan tersimpan kemas di hatinya.

No comments:

Post a Comment