AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 22 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 5



Mastura mencari keikhlasan di wajah Katrina yang tersenyum manis di hadapannya. Ragu mendatang. Cepat-cepat dihalau pergi. Tidak mahu berburuk sangka apatah lagi dengan wanita yang telah menjadi isteri arwah suaminya. Mungkin juga madunya itu ikhlas mengajaknya duduk bersama di banglo milik keluarga arwah suami. Berat juga hati ingin memenuhi kehendak Katrinan yang datang secara tiba-tiba. Berkerut juga dahi memikirkannya.

Wajah ibunya yang asyik menggelengkan kepala menjadi perhatiannya. Kenapa pula ibunya bersikap begitu? Tidak setujukah dengan cadangan Katrina. Sudah berubahkah  ibu mertuanya? Mahu pula menerima kehadirannya. Benarkah sudah buang rasa benci di hati terhadap menantu bukan pilihan di hati. Bolehkah dia menyesuaikan diri dengan ibu mertua yang langsung dia tidak kenali. Hanya mendengar nama dan sesekali bersua rupa, tetapi tidak mesra. Hanya cacian yang bertapa di bibir. Mana mungkin dia sanggup menghadapinya.

“Jomlah Mas, sunyilah rumah itu. Tinggal Rina dan ibu sahaja. Kalau ada Maria dan Mas, riuhlah sikit.” Matanya bersinar-sinar memandang wajah madunya. Berharap sangat-sangat semoga persetujuan diperolehi.

“Berilah Mas masa untuk berfikir. Jika ada jodoh kita untuk tinggal bersama. Insya-ALLAH pasti dipermudahkan.”

“Jangan menolak pula. Rumah itu rumah Mas juga.” Masih berkata manis demi sebuah keinginan.

“Terima kasihlah Rina. Walaupun kita berkongsi suami, namun Rina masih sudi ke mari.” Senyuman dilemparkan tanda menghargai.

“Rina berasa bersalah kerana merampas arwah daripada Mas. Harap Mas boleh maafkan Rina. Tanda kemaafan adalah Mas tinggal dengan kami. Ibu juga sudah berubah. Menyesal membenci Mas. Ibu juga ingin Mas ke sana. Menebus kembali rasa bersalah di hatinya,” masih berkata manis. Bukan mudah untuk meyakinkan. Apatah lagi dengan orang yang dibenci oleh ibu mertuanya.

“Tak perlu rasa bersalah. Mas juga pernah merampas hak Rina.” Mastura menunduk, dia sedar kehadirannya di dalam keluarga mertua bagaikan melukut di tepi gantang. Dia juga tahu Katrina adalah tunang arwah suaminya sebelum dia menjadi isteri lelaki itu.

“Biarlah, tak usah dikenang cerita lama. Kita buka lembaran baharu. Bina hidup baharu.” Tetap berlembut demi kelangsungan rancangan yang berjela di kotak fikirannya.

“Benar ke, Rina hendak Mas dan Maria tinggal sekali?  Tidak menyusahkan ke?” sampuk Mak Yam yang sejak tadi menjadi pendengar setia. Menunggu waktu yang sesuai untuk berbicara. Dia juga ingin tahu, dalam hati terbit rasa kurang percaya.

“Hish, takkanlah Rina nak berbohong mak cik. Mas dan Maria ahli keluarga kami juga.” Dalam hati terasa juga, kata-kata itu menghiris jiwanya. Bagaikan mereka dapat meneka, apabila terbit soalan berbau syak wasangka. Sabarlah hati.

“Bukan mudah hendak berjumpa madu dengan madu sama baiknya, Rina! Apatah lagi suami telah tiada. Sengketa tentang harta pula punya cerita.” Mak Yam menjeling manja. Senyuman terukir bagi melembutkan hati yang mendengarnya. Nanti kata dia menuduh pula. Sesama manusia janganlah ada sengketa.

“Insya-ALLAH, mak cik. Antara saya dan Mas pasti bahagia bila hidup bersama sama bawah satu bumbung. Lebih-lebih lagi adanya Maria, ibu mertua saya pasti gembira. Bukannya apa, hanya Maria pewaris keluarga.” Memuji penuh bermakna, tidak mahu rahsia terbuka. Nanti habislah rancangannya. Bila tinggal bersama bolehlah dia menjaga semua harta dan gerak geri mereka.

“Tak mengapalah Rina. Biarlah Mas memikirkan hal ini dahulu. Kalau sudah ada jawapannya, jangan lupa telefon segera.” Kalau tak datang lagi baik, terbit dari hatinya yang paling dalam.

“Kalau macam itu, Rina minta diri dahulu. Jangan tak jadi, nanti kecewa ibu mertua kita yang benar-benar mengharap kehadiran Maria dan Mas di sisinya.” Memujuk biar bersungguh-sungguh. Nanti orang tidak percaya melepaskan peluang yang ada.

“Insya-ALLAH jika sudah dapat keputusannya, Mas akan ke sana.” Jawapan tidak boleh diberi segera. Nanti terburu-buru buat keputusan, menuyesal tiada gunanya.

“Kalau begitu, Rina balik dahulu. Jangan lupa beritahu jawapannya ya, Mas. Rina harap sangat.” Tangan Mastura diraih. Dia tersenyum lebar. Manis.

“Baik Rina, berhati-hati di jalanraya.” Pesan sebelum kereta itu berlalu pergi, meninggalkan laman rumah yang sepi itu. Anak-anak jiran entah ke mana, mungkin masih di sekolah mentelaah pelajaran. Hanya lambaian menjawab kata-katanya. Menunggu sehingga kenderaan itu menghilang dari pandangan mata.

Mak Yam menarik tangan Mastura. Dia terjengah-jengah. Bagaikan ingin menyampaikan satu rahsia.

“Mak ini kenapa? Tak ada siapa-siapa di luar sana. Tetamupun sudah pulang.” Gelenggan semakin laju, pelik memikirkan sikap emaknya, bagaikan takut orang tahu sesuatu. Apa yang rahsia sangat itu.

“Mak tak setuju kau ke sana, Mas. Macam ada satu rahsia. Mungkin mereka terfikir hendak membalas dendam. Siapa tahu hati mereka. Rasa hati emak tidak sedap. Kau harus berhati-hati.” Nasihat diberi agar anaknya sedar diri. Kalau sekali orang benci. Susah perasaan suka terbit di hati. Lebih-lebih lagi mertua sendiri.

“Hish, mak ini. Tidak baik berburuk sangka. Mungkin benar ibu mertua Mas sudah berubah. Kehilangan seseorang atau sesuatu kadang-kadang boleh mengubah manusia. Siapa yang tahu, mak.” Rasa mahu ketawa terbit di bibir, namun tidak mahu emaknya tersinggung pula. Dipendam ketawa dalam hati.

“Itulah rancangan di televisyen tak mahu tengok langsung. Cuba tengok dan kaji. Apa yang dipaparkan bukan sebarangan. Pesan emak tolonglah kau dengar, Mas. Mak tak nak kau dipermainkan demi dendam kesumat yang bermaharajalela di hati mereka. Benci tetap benci. Takkan secepat itu mereka suka. Pelik memang pelik.” Asyik memikir dari tadi. Baharu sahaja beberapa hari arwah meninggalkan dua orang isteri dan seorang ibu serta seorang anak. Dia tahu anak perempuanya tidak disenangi oleh mertu sendiri kerana darjat, apa lagi. Kalau tidak kerana antara mereka ada rancangan tersendiri sudah pasti dia tidak akan mengizinkan Mastura berkahwin dengan arwah menantunya.

“Mak jangan terpedaya, tidak semua yang dipaparkan di televisyen adalah benar belaka.” Senyuman terukir lagi.

“Bukan terpedaya, tapi kebimbangan daripada hati seorang tua, Mas. Emak lebih dahulu merasa sejuknya air, panasnya mentari dan masinnya garam.”  Dia bercakap perkara yang benar, boleh pula dipersendakan. Dia cuma bimbang anak gadisnya menjadi mangsa dendam. Sedangkan mereka juga berdendam. Apa bezanya. Mak Yam mendengus kasar.

“Mas tahulah jaga diri mak. Terima kasih kerana masih mengambil berat.” Tubuh Mak Yam yang sedikit berisi dipeluk erat.  Aura sayang tidak pernah luput.

“Mak tidak mahu kau kecewa lagi Mas. Ini melibatkan Maria juga.” Semakin erat pelukan.  Dia perempuan, anaknya juga perempuan. Dia pernah jadi menantu dan sekarang mertua. Sedikit sebanyak sudah faham hati seorang ibu mertua. Walaupun bukan semua mertua berlaku kejam dengan anak menantu namun masih ada yang bersikap begitu.

“Insya-ALLAH mak, tahulah Mas jaga diri. Mungkin ini jalan terbaik untuk Mas memperbaiki hubungan dengan mertua Mas. Mana tahu jika duduk serumah kami boleh menyelami hati masing-masing, sambil itu kita jalankan misi pak long. Mak dah lupa ke?” harapan tinggi seorang menantu terhadap mertua yang begitu membencinya. Dia mengharapkan kehadirannya nanti mampu memperbaiki hubungan mereka yang retak sejak dari mula. Dalam masa yang sama ada misi yang ingin dijalankan terhadap ibu mertuanya.

“Itu jugalah harapan emak, Mas. Mak teringin sangat melihat hubungan kalian berdua mampu bersatu, demi Maria. Puan Halijah bukan orang lain dengan Maria, nenek dia juga. Kalau hubungan mereka jauh, Maria bagaikan tiada keluarga di sebelah arwah ayahnya. Pasal pak long kau tu, pandai-pandailah kau berbincang nanti dengan dia.” Mak Yam menepuk lengan Mastura.

“Entahlah mak… itu jugalah harapan Mas. Abang Ashraf sudah tiada, takkanlah ibu mertua Mas masih menyimpan dendam.” Hatinya terguris, luka.  Orang lain ada mertua, dia langsung tidak boleh menumpang kasih lantaran perkahwinan tidak direstui. Dahulu ada suami bolehlah bertukar cerita, sekarang dia ditinggal pergi sepi sendiri.

Hatinya masih menganyam harapan terhadap ibu arwah suaminya. Biarlah dia diterima demi anaknya. Hanya Maria satu-satunya zuriat dan penyambung warisan keluarga arwah. Biarlah Maria menikmati kasih sayang seorang nenek. Apakah kehadiran Katrina mampu mengubah segalanya. Harapan tinggi seorang menantu yang kehilangan kasih suami. Mata ditutup serapat-rapatnya biarlah derita berlalu, bahagia mengamit datang. Itulah harapannya.

Dendam ibu mertuanya satu hal. Dendam di hati juga satu bab lain yang perlu dirungkai. Dia tidak akan berpeluk tubuh melihat sahaja. Dalam kepala masih tercari rancangan yang sesuai. Semoga berjalan lancar.

2 comments: