AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 24 October 2014

BANTUAN


Setiap kali pergi dan pulang dari kerja, mataku pasti singgah di sebuah rumah buruk yang terletak beberapa meter dari tepi jalan menuju ke taman tempat tinggalku. Entah kenapa rumah papan setingkat, bercompang camping dengan zink dan papan mengamit mata dan hatiku untuk menatap dan memikirkannya.  Bagaimana agaknya penghuni rumah itu?  Siapakah yang tinggal di dalamnya.  Perkara itu sering bermain di fikiran sehingga aku mengajukan pertanyaan itu kepada suamiku.
“Siapalah yang tinggal di rumah buruk itu, kan bang?”  kataku, sambil mata melekat ke wajah suamiku yang leka memandu.  Dia menoleh sekali dan mengangkat bahu.
“Biarlah, bukan urusan kita pun,” katanya.
“Hish, mana boleh macam itu bang. Manalah tahu jika penghuninya memerlukan pertolongan kita,  cuba abang fikir, dalam keadaan rumah yang daif macam itu, tentu makan pun susah,” ngomelku lagi.
“Kenapa sibuk sangat?  Adalah pihak  yang membantu,”  kata suamiku.
“Abang ni tak prihatin langsung,”  aku menjeling.  Kurang selesa dengan jawapan suamiku.  Seperti orang tidak kisah dengan kesusahan orang lain.
Kalau sudah rumah buruk seperti itu, pasti kehidupan penghuninya daif dan memerlukan pertolongan.  Entah makan, entah tidak.    Mungkin menyelongkar tong sampah?  Mungkin juga berhari-hari makan nasi dengan garam.  Manalah tahu.
“Awak masih fikirkan tentang rumah itu ke?” tanya suamiku. 
Dahinya berkerut.
Aku menggelengkan kepala. Malas hendak bertekak dengan suamiku. 
Di pejabat aku menceritakan tentang rumah buruk yang selalu aku lihat.  Kawan-kawan juga berasa simpati.  Maka kami memberitahu perkara itu kepada majikan kami.  Majikan kami Haji Samsudin memang seorang yang dermawan, pantang dengar cerita tentang orang susah dan anak yatim.  Pasti cepat sahaja dia ingin membantu. 
“Saya sedia menyumbang, berapa kalian perlukan nanti beritahu ya,”  katanya bersungguh-sungguh.
Aku sungguh teruja.  Aku tidak mampu membantu, apa salahnya jika ada orang yang ingin membantu aku yang menguruskannya.  Riang tidak terhingga di dalam hati.  Dapat memperbaiki rumah itu pun sudah cukup baik.  Tidaklah penghuni tinggal di dalam keadaan daif seperti itu. 
Aku mula berbincang dengan beberapa orang rakan sekerja dan kami telah mengatur satu program bagi membantu penghuni rumah tersebut.  Aku beria-ia untuk melakukannya.  Demi perikemanusiaan.  Mungkin penghuninya beragama Islam sepertiku, sebangsa denganku.  Dalam keadaan dunia yang serba membangun dan moden, masih adakah penghuni seperti itu?  Mungkin masih ada, kerana tidak semua orang bernasib baik sepertiku dan seperti rakan-rakanku.

***

Di rumah aku memberitahu suami akan rancanganku dan rakan-rakan.  Terkejut suamiku.
“Abang tak sangka, sayang benar-benar ingin membantu?  Ingatkan main-main,”  Dia menggeleng.  Mungkin kurang  setuju dengan rancanganku. 
“Bukan guna duit sayang, duit Tuan Haji Samsudin.  Kalau kita bantu seratus dua pun bukannya luak pun duit kita,” getusku.
“Abang harap, apa yang sayang buat ini adalah betul.  Manalah tahu penghuninya tidak susah pun,”  wajah suamiku cemberut.
“Kalau sudah rumah seperti itu, dah nak roboh menyembah bumi, nanti rebahnya sahaja, abang kata tak susah?”  tempelakku.
“Sayang, kadang-kadang ada manusia yang suka tinggal seperti itu, mungkin dia senang dan gembira berkeadaan rumah seperti itu, manalah kita tahu, kan?”  dia menyengih. 
“Hish, mana boleh fikir macam itu bang!  Orang kalau dah  senang takkan nak tunjuk susah?  Untuk apa?  Nak bagi orang simpati, begitu?”  aku mendengus kasar.
“Ikut suka awaklah, saya tak larang.  Jika itu dapat memuaskan hati awak.  Tapi hati-hati ya.  Orang sekarang ini macam-macam,” nasihat suaminya.
Aku mengangguk tanda faham.  Penipuan di mana-mana.  Ada sahaja bencana pasti ada yang menangguk di air keruh.  Mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.  Tidak tahu malu sungguh.  Makan  rezeki haram.  Tidak takut agaknya dibakar api neraka?  Ingat hidup selepas mati ini hanya sebutan atau dibaca dalam  buku?  Di mana akal diberi ALLAH untuk membezakan baik dan buruk.  Entah apa yang ada dalam fikiran mereka.  Tidak kira lagi dengan menyuruh budak-budak mengutip derma, tidak kira siang dan malam.  Benarkah?  Betullkah kutipan itu untuk tempat pengajian mereka?  Tidak ada rasa bersalahkah dalam hati para petugas sehingga tergamak buat begitu? Hish, membebel tak kena waktu.  Aku segera menyelesaikan kerja-kerja rumah yang terbengkalai. 

Hujung minggu seperti yang telah aku dan rakan-rakan sepakat, dua biji kereta penuh dengan barang makanan dan sejumlah wang yang disumbang oleh majikanku telah siap sedia untuk kuserahkan kepada penghuni rumah buruk itu. Aku memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah tersebut.  Kami memberi salam.  Kehadiran kami disambut oleh seorang perempuan tua yang  berbaju kurung, bertudung litup  dan tersenyum kepada kami.   
“Ada apa nak?” tanyanya lembut. 
Tangan dihulur bersambut mesra.  Mata kami saling memandang.   Dia sendiri terjengah-jengah melihat kami yang ramai.  Ada rasa cuak di  wajahnya.
“Kami datang ini ada hajat dan ingin menghantar sedikit sumbangan kepada mak cik,” kataku sebagai ketua rombongan. 
“Bantuan?”  tanya mak cik itu kehairanan.
“Eh, lupa nak pelawa, mari masuk semua,” pelawanya.
Kami pun melangkah masuk.    Mata kami semua liar memerhati keadaan rumah mak cik tua itu.  Mahu pengsan rasanya ketika itu juga.  Boleh luruh jantungku.  Hendak menangis atau meraung.  Kawan-kawan memandang ke arahku dengan perasaan marah. Aku mengetap bibir.  Tidak tahu harus berbuat apa.  Wajah mak cik itu yang kehairanan juga menjadi tatapan mataku.  Tajam menikam mataku.  Rasa hendak menangis di situ juga.
***
Suamiku ketawa terbahak-bahak mendengar ceritaku.  Sebal sungguh perasaanku.  Tidak kira lagi dengan bebelan kawan-kawanku.  Tidak lagi dengan rasa marah mereka terhadapku.  Mahu hancur perasaanku ketika itu juga.  Aku tahulah aku bersalah, tidak usul periksa sebelum membuat keputusan untuk membantu.  Malu sendiri.  Barang-barang yang sudah dibeli  untuk mak cik itu kami tinggalkan juga.  Cuma duitnya sahaja kami bawa balik dan diberi kepada mereka yang memerlukan.  Hendak tahu apa terjadi?  Jom terus membaca ya…

Aku dan kawan-kawanku duduk di sofa yang kemas tersusun di ruang tamu.  Dinding rumah dihias dengan kertas warna bercorak bunga  kekwa kecil.  Lantai dibuat dari lantai lamina, kemas dan bersih.    Perabut berjenama Stanzo collection?  Boleh hancur hatiku.  Aku sendiri tidak mampu membeli perabut seperti itu.   Ruang dapurnya, bilik, bilik air, semuanya mewah.  Di luar rumah papan, di dalamnya penuh dengan kemewahan.  Aku tersalah pertimbangankah?  Kenapa mak cik itu berbuat demikian?  Jika di dalam dia mampu membeli perabut mahal, kenapa di luar rumah dia membiarkan kelihatan buruk dan miskin?  Pening aku memikirkannya.    Apakah dia mendapat duit dengan mengemis?  Jahatnya fikiranku, menuduh tanpa memikirkan kesannya. 
“Mak cik tinggal sendiri, tapak rumah ini milik mak cik.  Sudah lama mak cik tinggal di sini.  Mak cik ada lima orang anak, semuanya sudah bekerja.  Mereka duduk jauh, ada yang tinggal di luar Negara.  Jadi mereka tidak mahu orang jahat menceroboh rumah mak cik.  Jadi mereka kekalkan keadaan di luar rumah, namun di dalamnya, anak-anak tengoklah sendiri,” cerita mak cik itu. 
Aku menepuk dahi sendiri, orang seperti ini pun ada di dunia ini.  Tetapi benarlah katanya itu.  Dia tinggal sendirian.  Jika rumah itu buruk siapa pula yang hendak merompak, kan?  Aku tersenyum sendiri.  Sebelum mengambil tahu sesuatu perkara, biarpun memandang dengan mata sendiri, selidikilah terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment