AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 21 October 2014

GAJAH DAN HUTAN


Berkeliaran matanya, keletihan, lelah mendaki bukit yang sudah terang benderang.  Mana pergi tempat bermain, mana menghilang tempat menyandar.  Tidak lagi kelihatan kehijauan.   Suara burung berkicau riang, juga ghaib menghilang. Hanya terdengar sayup-sayup, di mana?  Tidak kelihatan langsung kelibat rakan-rakannya.

Menapak lagi, mencari lagi.  Namun hampa. Tiada apa di situ. Tiada jejak yang tinggal.  Hanya terdapat bongkah-bongkah kayu, dedahan patah, daun-daun yang lalu, kering menyembah bumi.  Ke mana ahli keluarganya?  Ke mana saudara sepapatnya?  Resah yang menampar di jiwa dibiar bertapak. Ketakutan pula sudi-sudi pula bertamu.

Melangkah dan melangkah, mencari jalan pulang ke tempat tinggalnya.  Kenapa sudah tiada?  Ke mana perginya?  Siapa yang menebang semua pokok-pokok hutan itu?  Siapa yang merampas tanah tempat tinggalnya? Ia semakin bimbang.  Sudah berkali-kali merantau meninggalkan tempat tinggal dan kampung halamannya sendiri. Harap di sini tiada sesiapa yang berani teroka.  Tebal dan berbukit, tiada apa yang mampu dilakukan di tanah itu.  Harapan hanya tinggal harapan. Kerakusan dan ketamakan mereka yang tiada hati dan perasaan. 

Semakin berjalan, semakin hampir dengan satu kawasan, banyak pokok! Bersih dan kemas pula itu.  Langkahnya diatur, matanya meliar.  Memandang kiri dan kanan. Perut yang lapar minta diisi.  Terlihat makanan yang terhidang di hadapan mata.  Tidak tunggu lagi.  Dikopaknya satu persatu, ditelan dan dikunyah perlahan.  Mana pula airnya?  Kalau sudah makan, tentu perlu minuman. Nanti tercekik, susah pula jadinya.

Merayau lagi.  Kali ini kenalah cari air pula.  Di mana ada sungai?   Langkahnya semakin cepat.  Hari semakin menampakkan mataharinya. Hampir semalamam berjalan.  Langsung tidak berehat.  Sebenarnya mencari ahli keluarga yang lain. Tidak kelihatan, sedangkan sudah berjalan agak jauh dari tempat tinggal yang lama.  Ke mana menghilang?  Bingung memikirkan.

“Mak… ayah!  Gajah masuk kebun!” jerit satu suara. 

Cepat-cepat menoleh.  Manusia?  Aku di mana? Detik hati kecilnya.  Semakin  bingung. 

“Apa? Gajah?  Rudi!  Balik! Kang kena pijak dengan gajah pula! Balik!” kata satu suara yang lain. 

Mana pula nak pergi ni?  Ke kiri tidak boleh, ke kanan ada pagar.  Ketakutan mula menghantuinya.  Suara manusia semakin dekat menghampiri.  Ramai pula itu.  Habislah!  Adakah  ia masuk ke dalam kawasan kampung?  Ini kampungkah? Bukan hutan tempat tinggalnya yang telah diterokai oleh manusia yang tidak ada hati perut dan tidak berperasaan.  Ia berjalan meninggalkan kawasan kampung dan masuk semula ke kawasan hutan yang telah diterokai dan dibersihkan itu.  Tidak  tahu hendak ke mana.

***

Ketua Kampung  Hulu duduk menghadap penduduk Kampung Hulu yang kegelisahan.  Ketakutan apabila mengetahui ada gajah terlepas masuk ke dalam kawasan kampung.  Mereka mahu tindakan segera.  Belum pernah ada gajah menyinggah masuk.  Kenapa tiba-tiba gajah itu berani melangkah masuk.  Tersesatkah. Pelbagai soalan bermain di fikiran mereka, agaknya.
“Macam mana ni tok? Macam mana kalau gajah itu serang anak-anak kita yang hendak ke sekolah, yang sedang bermain di laman. Isteri kita yang berada di rumah, bahaya tok!” kata salah seorang penduduk kampung. 
Suara lain ikut meriuh.  Riuh rendah jadinya. 
“Diam semua!  Kita akan buat aduan kepada pihak perhilitan.  Biar mereka  yang menangkap gajah itu.  Mungkin gajah dari hutan sebelah yang telah diterokai.  Habitatnya diganggu tentulah, ia merayau mencari tempat berteduh dan makanan.  Cuba kalian tengok, tiada apa yang tinggal.  Digondol sepenuhnya… tidak salah jika gajah itu merayau sampai ke sini.  Kita akan usahakan agar gajah itu segera ditangkap dan dipindahkan ke tempat lain,”  kata Tok Ketua.  Dia mengeluh kesal.   Kalau binatang tidak tahu berfikir, bagaimana dengan manusia?  Kalau sudah hutan yang menjadi tempat tinggal binatang buas diganggu-gugat, ke mana lagi semua binatang itu hendak pergi?   Ke kampung-kampunglah binatang itu tuju.
“Bila pihak perhilitan akan datang tok?  Jangan lama sangat! Takut kami,”  sampuk salah seorang penduduk yang masih lagi berasa tidak puas hati.
“Hari ini juga mereka akan datang.  Pagi-pagi lagi saya sudah hubungi pihak tersebut.  Jangan bimbang ya,” jelas Tok Ketua lagi.  Dia sendiri bimbang.  Gajah itu bukan kenal manusia itu baik atau jahat.  Kalau sudah naik minyak habis diamuknya nanti.   Sebelum perkara itu berlaku baiklah dia segera ambil tindakan.
“Selagi tidak ditangkap, jangan sesiapa biarkan anak-anak bermain  di luar rumah.  Kalau hendak bermain juga, diharap ada orang tua yang pantau.”  Tok Ketua memandang wajah-wajah penduduk Kampung Hulu yang amat dikenalinya.  Dia sendiri berasal dari kampung tersebut, dilahirkan dan membesar di situ.

“Baik, tok!” jeritnya mereka serentak.
Hari itu tiada siapa berani bermain di laman rumah.  Begitu juga di sungai, tiada lagi anak-anak bermain dan mandi-manda.  Semua takut gajah itu mengamuk dan masuk ke kampung mereka.
***

Aduh! sakitnya... darah mengalir keluar dari luka akibat tertikam kayu yang patah dan tajam.  Ia tidak tahu hendak ke mana.  Kalau kembali ke kampung semalam pasti ia akan diburu dan dibunuh.  Perutnya lapar, tiada makanan yang ada di kawasan hutan yang telah dibotakkan itu.  Ia pasrah. jika sudah takdirnya mati di situ.  Tubuhnya sudah letih, mencari kumpulannya.  Ke mana semuanya pergi?   Tidak mungkin mendaki Banjaran yang tinggi itu?  Mata ia meliar memerhati dan mencari.  Sudah seharian tidak makan dan minum.  Tinggal sendirian pasti ketakutan menyinggah.

Suara orang menjerit membuatkan ia berasa takut.  Tidak tahu hendak lari ke mana.  Hah!  itu... binatang yang sama jenis denganku, detik hati kecilnya.  Baiklah menyerah dari melawan.  Tidak kisahlah hidup atau mati, sama sahaja.  Mana pula datangnya gajah-gajah itu?  Mungkin gajah peliharaan agaknya, kelihatan amat jinak dan manja.  Tidak seperti ia, gajah liar yang menakutkan sesiapa sahaja yang melihatnya.  Dia menyerah dan pasrah.  Di situ tidak selamat lagi untuknya lagi.  Tidak kisahlah ke mana pun ia akan dibawa, janji ia akan terus hidup dan bernyawa. 

***

Tengahari itu sepasukan pasukan dari perhilitan hadir bersama dua ekor gajah. Sebagai umpan untuk menangkap gajah liar.  Penduduk kampung tidak dibenarkan keluar.   Mereka akan menangkap gajah tersebut dan membawanya ke hutan simpan yang lain.   Binatang tersebut jarang dibunuh kecuali jika bersikap agresif dan tidak terkawal.  Tok Ketua mengikut kumpulan itu.  Dia harus memastikan gajah itu tertangkap.  Bukan ada niat untuk membunuh binatang liar tersebut,  demi keselamatan pendudukan kampung. 
Tok Ketua hanya mampu mengeluh melihat hutan yang botak  dikerjakan oleh pihak yang telah membeli tanah tersebut.  Bagaimanalah tanah itu boleh terjual? Bukankah hutan itu adalah hutan simpan juga.    Dia hanya mampu menggeleng kesal.  Memerhati dengan perasaan hiba.  Dia tahulah pembangunan itu penting, namun sampai tidak meninggalkan sedikit ruang untuk binatang-binatang  ini meneruskan hidup.  Ke mana langkah hendak diatur jika tempat binatang-binatang itu mencari makan dan beranak pinak sudah tiada lagi.  Tidak bolehlah salahkan binatang yang tidak berakal, jika manusia yang diberi akal tidak memikirkan keperluan binatang-binatang ini.  Hidup di dunia ini bukan sahaja berkongsi sesama manusia juga dengan makhluk lain.  Terutama binatang liar ini.  Kalaulah manusia terus rakus  begini, tiada lagi keindahan di dunia ini. 
Lama juga kumpulan itu meredah kawasan hutan yang telah botak itu.  Mencari dan mencari.  Ke mana pula perginya gajah seekor ini.  
“Ke mana pula perginya gajah ini?”  kata Tok Ketua.  Leher yang berpeluh akibat pancaran panas matahari diseka dengan tuala kecil yang tersemat di leher.  Penat berjalan mereka berhenti seketika. Mata masing-masing meliar memerhati.
“Hendak dibuat apa dengan tanah ini Tok Ketua?”  tanya Pegawai Perhilitan yang duduk berehat di sebelah Tok Ketua.
“Entahlah, saya sendiri tak tahu.  Tahu-tahu sudah dipunggah sehingga botak.  Habis tanah merah di bukit itu, ditara sehingga rata,”  adu Tok Ketua.
“Lama kelamaan tiada lagi kehijauan di Negara kita ini…  Banjaran  Titiwangsa hanya akan tinggal nama… Masih banyak lagi tanah rata di  tempat lain, kenapalah kawasan hutan dan hijau ini juga yang dijadikan mangsa,” kata Pegawai Perhilitan itu pula, jelas kekecewaan di wajahnya.
“Susah nak cakap, tuan…  sepatutnya kita belajar dari Negara luar yang masih terpelihara alam sekitarnya.  Kehijauan hutan mereka masih terpelihara.  Kita yang ada sekangkang kera ini kalau boleh hendak digondolkan.” Tok Ketua mengeluh.
“Tok, tuan… gajah itu ada di hujung sana. Kelihatan amat  lemah mungkin kelaparan!” jerit salah seorang pekerja perhilitan yang turut serta. 
Mereka serentak menuju ke arah hujung hutan tersebut.  Gajah itu seperti kesakitan.  Ada luka di kakinya.  Mungkin terkena kayu yang runcing.  Ia juga tidak bergerak ke mana-mana.  Malah tidak bergerak ketika terlihat kumpulan tersebut.  Hanya bergerak ke kiri dan ke kanan.  Mudah  sahaja gajah itu di tangkap.  Bahaya sebenarnya jika menangkap binatang liar yang tercedera, silap haribulan boleh serang  sesiapa sahaja.   Akhirnya tugas para pekerja perhilitan itu selesai.
Tok Ketua menarik nafas lega, namun rasa sedih tetap terpahat di hati.  Tiada lagi keindahan di kawasan menuju ke kampungnya.  Walaupun hanya kehijauan dan pokok-pokok hutan namun itulah keaslian yang menarik  di hati.  Rasa tenang dan damai.  Kicauan burung  yang bersarang di kawasan hutan tersebut tidak lagi kedengaran.  Rasa nyaman dan sejuk  sebelum ini juga sudah semakin tidak terasa.  Dia melangkah pulang setelah gajah liar  yang tersesat masuk ke kampungnya dibawa pergi.  Semoga gajah tersebut bahagia di tempat barunya nanti.  Manusia tetap dengan sikap kemanusiannya yang hanya mementingkan diri sendiri.   Tok Ketua balik dengan  hati yang sebal. 

No comments:

Post a Comment