AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 29 October 2014

SIAPA BERSALAH?


Pak Mail hanya mampu melepaskan keluhan.  Hancur sudah impiannya.  Tidak mampu berkata apa-apa.  Malu dengan jiran sekampung.  Malu dengan dirinya sendiri.  Hilang sudah rasa bangga dalam diri.  Rasa kesal yang menebal dalam hati tidak mampu dibuang pergi.  Kenapa semua ini terjadi? Di mana kata janji manis yang pernah melengkar di bibir?    Sudah lupakah semua kata manis yang pernah terluah di bibir mongel  itu? 

Air mata pun tidak mahu mengalir lagi.  Agaknya sudah puas menangis sebelum ini, sehingga tidak mampu terbit lagi.  Dia memandang tanah sekangkang kera itu dengan mata berkaca.  Hanya tanah itu sahaja yang dia ada. Harta warisan daripada orang tuanya.  Kini tanah itu sudah tiada lagi.   Dia sudah gadaikan dengan harapan akan dapat ditebut semula.  Bukannya lama hanya beberapa tahun.  Nanti jika anaknya itu sudah bekerja, bolehlah ditebus semula.  Itulah harapannya. 
Kini harapan itu hanya tinggal harapan.  Tidak mampu berbuat apa-apa lagi.  Perjuangan yang sia-sia, itulah yang mampu dia katakan.  Bukan menyalahkan anaknya tetapi di mana fikirannya yang sihat  ketika pertama kali melangkah ke puncak menara gading?  Di mana sudah ditinggalkan harapan kedua orang tua ini? 
“Sudah, sudahlah termenung bang, bawalah naik ke rumah, mandi dan solat,”  tegur Mak Timah yang baru sahaja selesai memasak untuk makan tengahari.  Hanya lauk kampung yang pasti membuka selera.
“Kenapa dia buat kita macam ini, Timah?  Apa salah kita?  Apa lebihnya orang itu?”  tanya Pak Mail sambil matanya menyorot wajah tua isterinya. 
“Sabarlah bang, anak kita itu masih muda.   Jiwa orang muda memang begitu,”  kata Mak Timah, memujuk.
“Orang muda perlukan tunjuk ajar mereka yang lebih tua, kalau yang tua mengajar yang salah, maka salahlah jadinya.  Saya tak kata berpolitik itu tidak baik, tapi tunggulah masanya.  Habiskan belajar dahulu!  Kenapa sukar benar dia hendak memahaminya?  Sudah berkali-kali saya ingat, tugas seorang pelajar adalah belajar!  Itu sahaja, bukan mencampuri urusan yang tidak-tidak, bukan urusan dia pun!  Dia mampu buat apa?  Selain terpekik- terlolong di tepi jalan!  Akhirnya siapa yang rugi?  Kita juga yang rugi?  Tanah tergadai, semata-mata ingin melihat dia berjaya, saya ingatkan bila dia sudah habis belajar, sudah bekerja, bolehlah bayar sedikit demi sedikit untuk tebus semual tanah itu…”  Pak Mail mengeluh keras.  Kehampaan semakin menjadi-jadi.  Geram pun ada.  Mahu sahaja dia mengetup kepala anaknya yang tidak mendengar kata itu.  Cakap orang sudi pula diikut dan didengar.
“Nanti kita pergi lawat dia, ya bang?” ajak Mak Timah.
“Untuk apa?  Untuk menyakitkan hati saya?”  Pak Mail mendengus kasar. Marah benar dia dengan sikap anak tunggalnya itu.  Sudahlah anak seorang, ingatkan boleh tumpang senang, ini tidak, menyusahkan sahaja.
Orang politik apa tahu masalah orang kampung seperti dia?  Mereka hanya tahu mempengaruhi anak-anak muda seperti anaknya.  Ditabur dengan pelbagai gula-gula, garam dan cuka, disuruh makan sampai kenyang, sedap atau tidak disuruh juga telan.  Kalau mati sekalipun apa mereka peduli?  Bukan anak mereka.  Kalau tidak berjaya, apa mereka susah?  Bukan anak mereka.  Apa yang mereka fikirkan adalah kejayaan untuk diri sendiri.  Kalau benar hati mereka baik,mereka pandulah anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh, senangkan hati orang tua yang telah berjasa melahir, membesar dan memberi pelajaran.  Balas jasa orang tua kembali, bukan suruh berdemontrasi!  Suruh masuk politik!  Bukan suruh menyusahkan orang lain!   Kalau ikutkan hati  marahnya mahu sahaja dia bertemu pemimpin yang bertanggungjawab menyusahkan hidup anaknya. Tapi bila difikirkan kembali, anaknyalah yang salah, terpengaruh dengan perkara yang bukan urusannya.  Urusannya adalah belajar!  Kenapa tidak mahu memahami? 

“Masuklah bang,” rayu Mak Timah. Dia tahu benar suaminya kecewa.  Setiap petang mereka akan bersembang di anjung rumah sambil menikmati angin petang melihat bendang yang luas saujana mata memandang itu.  Ditemani dengan secangkir kopi dan sepiring kuih-muih yang dibuat Mak Timah.  Mereka akan berbual tentang masa hadapan anak tunggal mereka. Harapan dan ingin melihat Bujang berjaya.
“Entahlah Timah, sukar benar hati saya hendak sejuk, semakin difikir, semakin bernanah perasaan saya ini,”  Pak Mail menunduk, duka di dalam siapa  yang tahu.  Anaknya juga tidak tahu, isterinya sendiri tidak boleh menyelami impiannya di hati. 
“Bawalah bersabar, ini ujian untuk kita,” kata Mak Timah cuba meyakinkan agar suaminya dapat menerima takdir yang berlaku.
“Ujian, ujian juga, kalau ujian datang dari kealpaan manusia dan kebodohan diri sendiri, siapa yang tidak marah, Timah!”  Agak tinggi nada suaranya ditambah dengan hati yang sedang berduka, bertambah-tambahlah kecewa.
“Apa kita nak buat lagi bang, nasi sudah menjadi bubur, bubur hangit pula itu!,”  Mak Timah pula mengeluh.
“Kalau bubur masih boleh dimakan, ini nasi basi, siapa hendak rasa dan  jamah?” Pak Mail mengeluh kesal.  Sesalan yang tidak mahu diucap dengan kata-kata.  Di mana otak anaknya ketika itu?  Di mana letaknya diri mereka di dalam hati anaknya itu?  Semakin difikir, semakin menebal rasa marah di hati.  Dia bukan orang senang?  Dia juga bukan ramai anak?  Hanya itu sahajalah satu-satu zuriat kurniaan ILAHI, apa masalah orang politik, sehingga anaknya yang masih mentah tentang hidup disuruh lakukan itu dan ini?  Di mana akal mereka yang matang dan dewasa?  Perjuangan apa yang mereka ingin tegakkan?  Individu atau Negara?  Kalau Negara tunggulah sehingga anaknya itu habis belajar, ajak masuk parti, berjuanglah untuk rakyat dan Negara.  Bukan sekarang! Ketika mereka masih mencari ilmu, masih perlu mengisi dada yang kosong dengan ilmu yang bermanfaat.  Dia yang tidak bersekolah tinggi masih boleh berfikir dengan waras, dia yang tidak perlu masuk universiti atau mempunyai PHD juga boleh  membezakan mana perlu didahulukan.
“Bila kita nak tengok anak kita di penjara, bang?” tanya Mak Timah, nada sedih terpancar keluar dari mulutnya. 
“Tengok anak yang tidak mengenang kita sebagai orang tuanya?  Untuk apa?  Biarlah pemimpin yang dia perjuangkan itu melawat dan menziarahi dia, kita ini siapa?  Kita orang tua yang tidak berguna, tidak perlu dibela dan dikenang. Biar saya bekerja di bendang sehingga ke akhir hayat, biar reput  tulang belulang!” jawab Pak Mail, nada marah dan duka mengalir keluar.  Luahan rasa seorang tua sepertinya yang mengharapkan anaknya pulang ke sisi dengan membawa segulung ijazah untuk mengubah nasib diri.  Mencari pelajaran dan ilmu itulah yang wajib bagi anaknya, bukan suruh mmemperjuangkan nasib orang lain yang belum tentu betulnya.  Kalau pemimpin itu manusia yang baik, dia tidak akan mempengaruhi anaknya melakukan perkara itu.  Malah sepatutnya menasihati anaknya agar belajar dan belajar, menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan Negara. Kalau hendak berpolitik ada waktunya, ada masanya, akan tiba juga waktu dan masa itu.  Kenapa sukar untuk ditanam di minda mereka? 
Rakyat yang nasib sepertinya yang harus dibela, bukan dengan wang ringgit atau hanya rasa simpati tetapi semangat untuk memajukan diri, tunjuk ajar bagaimana hendak menjadi petani moden yang berjaya, menambah hasil tanaman, memperbaiki mutu tanaman.  Banyak lagi rakyat di luar sana yang memerlukan perhatian, bukan  mempertahankan pemimpin yang hanya tahu mempergunakan anaknya.  Kini anaknya di penjara, siapa yang membantu?  Mana dia pemimpin yang konon katanya memperjuangkan nasib anak bangsa? Mana dia pemimpin yang kononnya berbuat itu dan ini untuk Negara?   Kenapa anaknya tidak dibela?  Sudahlah dibuang dari universiti, siapa yang harus menanggungnya?  Siapa yang harus membantu?  Ke mana perginya orang-orang politik yang anaknya perjuangkan itu?  Ke mana mereka? Kalaulah dia mampu berjuang, menghunus senjata melawan musuh Negara yang bercambah di luar sana.  Kalaulah dia mampu berjuang, akan dibawa bala tentera menjaga kesucian agamanya.  Kalaulah dia boleh berjuang akan dibela nasib rakyat yang susah dan miskin di kampung-kampung dan memperbaiki mutu ekonomi mereka. 

“Bang, itu anak kita!”  Mak Timah kurang senang dengan sikap suaminya.  Marah bagaimana sekalipun, tidak mampu mengubah apa-apa.  Semoga anaknya insaf dan sedar diri.  Matlamat utama masuk ke universiti adalah belajar, belajar, belajar. Dia mengeluh lagi.
“Anak yang tidak mengenang kita!  Untuk apa?  Saya marah, Timah! Marah!”  Pak Mail menghentak penumbuk di lantai pangkin yang menjadi tempat duduk mereka.
“Saya tahu…  tapi apa nak buat lagi, anak kita tak boleh dah sambung belajar di mana-mana, dah jadi kes polis, dia pergi bakar gambar Perdana Menteri! Malah ugut bunuh lagi!  Apa kita nak buat, bang!”  Air mata akhirnya mengalir juga, sudah puas ditahannya.
“Sudah! Jangan disebut lagi.  Sakit benar hati saya!”  Pak Mail mengenggam penumbuk.  Bergetar dadanya.  Berdegup kencang jantungnya. 

“Mana akal anak kita?  Mana rasa belas kasihnya kepada kita?    Mana diletaknya harapan kita sebagai orang tua dia?   Mana perginya janji-janji dia hendak menyenangkan kita di waktu tulang belulang kita mereput di tubuh?  Mana, mana, mana!”  jerit Pak Mail geram bercambah-cambah, tumbuh meliar di tangkai hati.
“Abang!”  Mak Timah lemah menyandar tubuhnya di sisi Pak Mail.  Dia turut berasa sedih.  Hatinya turut hancur bagaikan dihentak ke batu, berderai.
“Biarlah dia di dalam itu, biar dia fikirkan nasib dirinya, perjuangan yang bodoh dan sia-sia.  Saya nak tengok sampai mana pemimpin yang dia perjuangkan itu membantu dia,membantu kita ini!  Saya nak tengok!”  jerkah Pak Mail, bagaikan   pemimpin itu ada di hadapannya.  Bagaikan anaknya mendengar setiap tutur katanya.  Hatinya dipahat duka, hatinya yang disimbah racun yang berbisa.    Diakah yang bersalah, kerana tidak mengajar anaknya agar jangan mencampuri urusan orang lain?  Diakah yang bersalah kerana tidak mengajar anaknya agar tidak  melakukan perjuangan yang sia-sia?  Diakah yang bersalah?

No comments:

Post a Comment