AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 24 October 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 14




bump!
‘Aduh! Habislah kereta! Siapa pula yang langgar? Tak nampak agaknya lampu merah!’ Mastura memicit dahi sendiri. Dia mematikan enjin kereta. Sudahlah dilanggar berhampiran lampu isyarat, kenderaan semakin banyak pula itu. Dia melangkah keluar menuju ke arah belakang keretanya. Tidaklah teruk tetapi lampu belakang pecah. Dia mengeluh.
“Maaf, saya tak perasan tadi. Ingatkan lampu dah bertukar hijau,” kata seorang lelaki yang berdiri berhampiran keretanya. Jalan mula sesak apabila para pemandu ingin melihat apa yang berlaku.
“Kita ke tepi jalan. Kalau kita tunggu di sini, ganggu kenderaan lain pula,” saran Mastura. Kurang selesa apabila diri menjadi perhatian secara tiba-tiba. Dia sudah cuak. Baru bercadang hendak ke syarikat milik arwah suaminya, sudah jadi begini pula. Nasib baik tidak bawa Maria bersama. Harap dia selesa tinggal bersama pembantu rumah yang digaji untuk menjaga Maria.
“Kita ke bengkel teruslah. Bengkel tu saya dah biasa,” cadang lelaki itu tanpa memperkenalkan diri. Wajahnya berkerut seribu.
“Baiklah,” jawab Mastura, tidak banyak bertanya. Mereka masuk ke dalam kenderaan masing-masing dan berlalu meninggalkan kawasan tersebut.

“Ini Chong, tuan punya bengkel. Kawan saya. Biar dia baiki kerosakan kenderaan awak. Saya bayar. Saya yang salah,” ujar lelaki itu, tetap lembut dan penuh kerisauan.
“Tak apa sikit aje.” Mastura serba salah pula. Tidak henti-henti lelaki itu meminta maaf. Sekali cukuplah. Nampak mengada-ngadalah pula. Aduhai, tidak baik buruk sangka.
“Macam mana kau boleh langgar belakang kereta ni, Rian? Lain kali, hati-hatilah,” kata Chong sambil memeriksa kereta Mastura.
“Tak nampaklah, Chong.” Adrian menyengih.
“Nasib baik lampu yang pecah, senang sikit mahu baiki. Tunggu ya, puan,” kata Chong sebelum memanggil pekerjanya menukar lampu belakang yang pecah.
Mastura menjauh sedikit daripada keretanya.
“Saya Adrian.” Lelaki itu memperkenalkan diri.
“Mastura.” Mastura hanya menundukkan kepala. Huluran tangan Adrian tidak bersambut. Haram bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram.
Adrin menepuk dahi sendiri. Dia tersenyum. Malu pun ada. “Sementara kita tunggu kereta awak repair, apa kata kita pergi minum dulu?” pelawanya.
Mastura serba salah. Tidak manis dia keluar minum dengan seorang lelaki. Dia masih dalam idah.
“Maaflah, saya tak haus lagi. Saya tunggu di sini aje.” Mastura menolak dengan baik. Bukan sombong, tetapi kurang selesa. Apatah lagi lelaki itu baru sahaja dikenali. Keluar minum? Hisy, bukan buruk sangka tetapi berhati-hati. Manalah tahu lelaki itu ada niat jahat? Dia sendirian. Bukan kuat mana pun. Tengok badanlah. Sudahlah kurus, kering pula itu. Dia senyum sendiri, apa punya kes, kutuk diri sendiri. Lebih baik kutuk dari puji diri sendiri.
“Janganlah macam tu. Saya nak mohon maaf atas kesalahan saya tadi. Takkan awak takut? Ramai orang di restoran tu. Saya tak buat apa-apa kat awak.” Adrian memujuk lagi.
Mastura memandang wajah itu sekali imbas. Kacak juga. Macam hero Hindustan pun ada. Ah! Tak penting. Jangan tergoda dengan paras rupa. Lelaki seperti ini banyak di luar sana yang menggoda dan merayu wanita yang kesepian.
“Lain kalilah, Encik Adrian. Kereta saya pun dah nak siap. Terima kasih atas pelawaan awak tu.” Dia mendekati Chong yang sedang memeriksa lampu keretanya. Sudah siap terpasang. Beberapa kali diuji untuk memastikan pemasangannya betul.
“Tak apalah, orang tak sudi, nak buat macam mana,” rajuk Adrian.
‘Merajuk pula? Macam budak-budak. Ingat aku akan terpengaruh? Maaflah. Ini Mastura tidak layan rajuk-majuk ni. Dulu mungkin tapi hanya arwah suami aku.’
“Lain kali, okey. Saya minta diri dahulu, rasanya bil pembaikan awak yang perlu jelaskan. Sebab awak yang langgar saya.” Dia tersenyum manis.
“Ya, saya yang bayar,” ujar Adrian dengan wajah kecewa.
“Janganlah buat muka tak sudah, Encik Adrian. Saya ada sebab tersendiri kenapa saya tolak. Jumpa lagi.” Mastura masuk ke dalam kereta, Dia menghidungkan enjin.
“Ini kad saya. Kalau ada apa-apa masalah, sila hubungi saya.” Adrian menyerahkan kad bisnesnya kepada wanita itu.
Mastura menyambut sebagai menghormati orang yang baru dikenali. Jangan ada sengketa. Nanti timbul rasa sakit di hati. Dia menekan pedal minyak dan berlalu meninggalkan kawasan tersebut.
“Wah, Ah Moi baru ya, Rian? Mangsa ke berapa?” usik Chong.
“Apalah kau cakap tu macam, Chong? Itu lubuk emas tahu!” kata Adrian lalu ketawa.          
Chong mengerutkan dahi, kurang mengerti tetapi faham benar dengan sikap lelaki di hadapannya. Tukar teman wanita bagaikan tukar baju. Setiap hari ada sahaja wanita baharu di sisi lelaki hidung belang itu. Perempuan tadi entah mangsa yang ke berapa?
“Itu dua biji lampu, RM200” kata Chong sambil menghulurkan tangan.
“Kenapa mahal? Kuranglah sikit?” Adrian mengerut dahi.
“Harga untuk lu punya pelaburan, nanti untung banyakkan?” sindir Chong.
Adrian mencebik. Ewah, ewah, ada niat permainkan dia rupanya! Duit bertukar tangan. Senyuman terukir di bibir. Ini baru langkah pertama. Tunggulah langkah seterusnya.
“Kenapa lu suka rosakkan orang lain? Cubalah lu cari seorang perempuan yang baik, jadi lu punya bini, hidup bahagia sampai matilah. Kalau lu buat ini macam, hidup tarak selamat,” nasihat Chong dengan loghat Cina-Melayunya.
“Itu aku punya sukalah! Kau apa tahu? Itu minyak dengan gris lu tahulah kan, Chong?” sindir Adrian. Dia meninggalkan bengkel itu dengan hati berbunga riang. Semoga dia dapat mendekati Mastura. Jinak-jinak merpati, tak mengapa. Dia akan berusaha sehingga berjaya.

No comments:

Post a Comment