AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 1 October 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 9

9
S
olat isyak selesai ditunaikan. Dia masih berteleku di atas sejadah. Berzikir dan mengingati Penciptanya. Hanya kepada Yang Esa dia bebas berbicara, meluahkan apa yang dirasa. Dalam masa yang sama tidak lupa mendoakan kesejahteraan arwah suami tercinta. Hanya itu yang mampu dilakukan untuk insan tersayang.
Perut sudah terasa pedihnya. Tidak ada sesiapakah di rumah? Sunyi dan sepi. Mastura mengerut dahi. Kain telekung ditanggal lalu menuju ke dapur. Dapur gelap-gelita. Lampu dipasang. Dia ke ruang tamu. Tiada bayang sesiapa bagaikan rumah itu tiada penghuni. Ke mana mereka pergi? Perut yang lapar minta diisi. Tentu Maria juga lapar. Apa susah? Restoran bersepah di kawasan Bangi. Sedap dengan tidak sahaja. Susah sangat, telefon sahaja Pizza Hut, McD atau KFC. Dia kembali ke dalam biliknya.
“Maria lapar tak? Kalau lapar, kita keluar makan, nak tak?” Mastura membelai lembut rambut Maria.
“Lapar sikit aje.” Maria menyengih. Baru berumur lima tahun tetapi petah berkata-kata.
“Kalau macam tu, kita keluar makan. Nanti dah kenyang baru boleh tidur lena.” Mastura menukar pakaian. Maria sudah bersedia. Hendak ke mana lagi. KFClah jawabnya.

Malam yang panjang dan panas membuatkan kedua-dua beranak itu tidur dalam keadaan tidak selesa. Beberapa kali Maria terjaga. Puas dia mengipas anaknya dengan surat khabar. Dirinya sendiri berpeluh. Hendak tidur di luar, apa pula kata ibu mertuanya? Mahu tidak mahu, terpaksalah dia bertahan untuk malam itu.
Mata yang mengantuk membuatkan dia tidak melayan sangat keadaan panas yang memenuhi ruang biliknya. Sesekali dia terjaga kerana rengekan Maria yang tidak selesa. Berpeluh tubuh anaknya. Bilik itu hanya ada tingkap nako yang kecil. Kalau buka luas pun tiada angin yang menerjah masuk.

Azan subuh dari masjid berhampiran menggamit Mastura segera bangun. Peluh didahi dilap dengan tuala. Lampu dibiar terpasang. Maria juga berpeluh. Cuaca panas sangat sangat malam tadi. Namun, syukurlah sekurang-kurangnya dia masih dapat melelapkan mata. Mastura bingkas bangun menuju ke bilik air.
Usai mandi dan mengambil wuduk, dia menunaikan solat subuh. Membaca mathurat dan Yasin untuk mendapatkan ketenangan diri. Dia juga berdoa semoga arwah suaminya di tempatkan bersama orang-orang beriman.
Dia membiarkan Maria tidur. Malam tadi lenanya terganggu kerana panas. Dia melangkah ke dapur yang gelap-gelita. Lampu dipasang. Cahaya mentari masih belum merembes keluar. Bunyi kokokan ayam bersahut-sahutan memeriahkan suasana nyaman pada waktu dinihari.
Apa yang harus dia lakukan? Buat sarapan? Apa salahnya dia memasak? Mungkin mertuanya tidak akan marah, malah dia ingin mertuanya merasai masakan air tangannya sendiri. Manalah tahu dengan memasak, dapat memikat hati ibu mertuanya itu.
Melihat barang-barang mentah di dapur membuatkan dia bercadang hendak menggoreng bihun sahaja. Sayur sawi, kubis, udang dan ayam dibawa keluar dan dipotong. Udang dibuang kulitnya. Bihun telah siap direndam. Dia menghidupkan cerek elektrik untuk memasak air. Apa agaknya minuman kegemaran ibu mertuanya? Ada kopi, teh dan Milo. Mungkin mereka minum ketiga-tiga minuman tersebut. Mastura membancuh seteko kecil air Milo. Maria suka minum Milo.
Usai masak, dia menghidangkan makanan tersebut di atas meja makan. Dia tersenyum gembira. Rasa sempurna masakannya itu. Dia masuk semula ke dalam biliknya. Maria sudah terjaga rupanya.
“Maria, jom mandi. Lepas tu, kita bersarapan ya?” Mastura mendukung Maria dan membawanya ke bilik air. Dia tersenyum sambil memeluk Maria. Wajah Maria yang tak tumpah wajah suaminya membuatkan hatinya terusik. Rindu menerpa tiba-tiba. Bagaikan masuk terbayang wajah itu tersenyum dan memanggil namanya. Kenapa cepat sangat suaminya meninggalkan dia. Dia beristighfar. Dia tidak boleh mempersoalkan takdir ILAHI. Sudah sampai ajal suaminya.
Menunggu seketika di meja makan. Terjengah-jengah menanti kehadiran ibu mertua dan madunya. Takkan mereka masih tidur lagi. Sudah jam 8.00 pagi.
“Maria tunggu sini, mak pergi cari nenek dan mak uda.” Mastura melangkah menuju ke tingkat atas rumah tersebut. Dia memerhati keadaan di tingkat tersebut. Hiasannya lebih cantik, lebih mewah dan indah. Terdapat beberapa buah pintu. Entah mana satu bilik ibu mertua dan madunya.
 Teringat rumahnya sendiri. Rumah teres dua tingkat lot tepi yang dibeli oleh suaminya telah diubah suai sepenuhnya. Cukup mewah untuk insan seperti dia yang berasal tiada apa-apa. Dia bersyukur dengan pemberian ALLAH S.W.T kepadanya. Namun dia tidak pernah menggunakan kekayaan suaminya untuk kepentingan diri dan keluarganya. Di rumah itulah terbina Syurganya dan suami. Kini Syurga itu telah tiada. Kenangan bersama suaminya juga sudah lebur bersama percikan api yang telah membahang rumah tersebut sehingga menjadi abu. Musnah segala-galanya. Pada hari itu jugalah suaminya menghilangkan diri. Dia fikirkan ke mana. Rupa-rupanya bernikah lagi.
“Cari apa?” tegur satu suara.
Mastura menoleh. Wajah ibu mertua yang masih berbaju tidur dipandang sekali imbas. Dia melemparkan senyuman.
“Nak jemput ibu sarapan bersama. Mas dah siapkan sarapan.” Hatinya berbunga riang jika ibu mertuanya sudi menjamah masakannya.
“Rajinnya kau. Kejap lagi aku turun.” Halijah melangkah masuk ke dalam biliknya semula.
Mastura turun semula ke tingkat bawah. Rumah agam itu benar-benar terasa sunyi. Bagaimanalah ibu mertuanya boleh tinggal sendirian? Katrina baru sahaja datang dan tinggal di situ setelah berkahwin dengan arwah suaminya.
Dia meletakkan dua biji cawan dan pinggan di atas meja. Sambil itu dia menyuap Maria yang berselera sekali menjamah bihun goreng yang dimasaknya tadi. Cili kicap juga disediakan.

“Rajinnya...” Katrina mengenyitkan mata ke arah ibu mertuanya yang sudah pun mengambil tempat di meja makan.
“Kalau malas, tak payah jadi menantu aku.” Halijah menjeling.
Mastura hanya tersenyum.
“Malam ini kami ada buat jamuan. Aku nak kau yang masak. Jemputan dalam seratus orang. Kawan, saudara-mara dan kenalan aku,” kata Halijah tanpa memandang langsung wajah Mastura.
“Mas nak masak apa, ibu? Manalah Mas biasa masak sebanyak tu?” tanya Mastura. Manalah dia pernah memasak untuk 100 orang? 10 orang pun sudah kira ramai. Biar betul? Adakah ibu mertuanya hanya bergurau dengannya?
“Hei, pandai-pandailah kau! Aku cuma sediakan barang-barang yang kau perlu masak. Takkan nak bantah pula?” Halijah menjeling tajam.
Mastura terdiam.
“Alah... buat ajelah, Mas. Itu penghormatan untuk awak.” Katrina tersenyum manis.
Mastura serba salah. Memang benar dia tidak pernah memasak untuk 100 orang. Menu apa yang hendak dia masak? Bukannya pandai sangat. Masak untuk arwah suaminya bolehlah. Belum pernah dia memasak untuk tetamu yang sebegitu ramai. Kalau suaminya hendak buat rumah terbuka atau kenduri doa selamat, mereka akan menempahnya pada katering.
“Jangan bagi alasan. aku tahu siap aje.” Halijah menghabiskan air Milonya dan berlalu meninggalkan ruang makan itu.
Katrina hanya tersenyum sinis.
Mastura tidak terkata apa-apa. Dia terpaksa akur kehendak ibu mertuanya. Nanti dikatakan suka melawan pula. Baiklah ikut sahaja rentak mereka.
Usai mengemas meja makan, Mastura masuk semula ke biliknya. Maria perlu ditidurkan seketika. Wajah kantuk anaknya ditatap seketika.

“Ibu! Siapa ada pesan perabot dan barangan elektrik ni?!” laung Katrina dari luar pintu utama. Jenuh dia bertengkar dengan pemandu lori berbangsa India yang menghantar barang-barang tersebut.
Halijah bergegas mendapatkan menantunya. “Mana saya ada pesan perabot dan barang elektrik!” Dahinya berkerut seribu. Dia kehairanan. Set bilik tidur, penghawa dingin dan kipas. Televisyen pun ada. Bertambah kehairanan menghenyak fikirannya.
“Mak cik saya datang nak pasang Astro,” beritahu seorang lelaki yang muncul tiba-tiba.
“Astro? Bukan ke rumah ni dah ada Astro?” Katrina sendiri bingung seketika.
“Mahu pasang satu lagi,” kata lelaki berbangsa Cina itu.
Mastura muncul sebaik terdengar kekecohan yang berlaku. “Maaf... Mas yang pesan. Err... awak boleh bawa masuk ikut pintu dapur. Bilik di belakang, ya? Astro pun di bilik belakang juga,” arahnya. Wajah mereka yang memandangnya dengan penuh tanda tanya langsung tidak dihiraukan. Dia terus beredar ke belakang.
Membuntang mata Katrina dan Halijah.
“Dia... Dia beli perabot baru? Pasang Astro pula tu.” Mendidih darah Halijah mendengar dan melihat situasi tadi. Dia sengaja menyediakan bilik yang tidak selesa untuk menantunya itu. Alih-alih menantunya menjadikan bilik itu lagi selesa dengan barangan yang dibeli.
“Macam mana ni, ibu? Dia lebih bijak daripada kita.” Katrina merengus kasar. Sakit juga hatinya. Dia ingatkan Mastura akan berasa terdera dan terseksa, rupa-rupanya tidak. Perempuan itu lebih pandai. Menempah perabot untuk keselesaan sendiri. Pandai-pandai sahaja dia membuat keputusan tanpa bertanya. Lain yang diharapkan, lain pula yang terjadi.
“Biarkan dia. Kita masih banyak peluang lagi.” Halijah tidak mahu cepat mengaku kalah. Dia menghenyakkan tubuh di sofa. Malam ini dia ada rancangannya tersendiri. Perempuan itu ingat dia bijak. Halijah mengetap bibir menahan rasa marah di hati.
Katrina berfikir panjang. Apa yang tidak kena dengan rancangan mereka? Bilik yang sempit dan perabot yang buruk tidak sedikit pun mengganggu perasaan Mastura. Malah dia lebih bijak mengatur. Perabot baharu ditempah sendiri tanpa pengetahuan mereka. Banyak pula duitnya?

DI DALAM bilik, Mastura senyum panjang apabila semua perabot dan barang elektrik sudah sampai. Penghawa dingin juga sudah siap terpasang. Kipas juga dibeli. tak mungkinlah dia akan memasang penghawa dingin sepanjang hari. Nanti melambung pula bil elektrik rumah itu. Kain langsir juga sudah ditukar baharu. Peti televisyen sudah pun dipasang bersama siaran Astro untuk anaknya. Tidaklah sunyi sangat. Biarlah ibu mertua dan madunya hendak berkata apa-apa pun. Dia hanya inginkan keselesaan untuk anaknya. Bukan dirinya.
Maria kelihatan amat gembira dengan suasana baharu bilik tersebut. Lebih nyaman.

1 comment: