AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 24 November 2014

AKU TURUT BAHAGIA - BAB 5


            Usai makan malam, Ummi Khadeeja menghidangkan pula Kek Coklat Moist hasil air tangannya.  Waktu makan malam tadi  emak, ayah dan mentuanya makan nasi bertambah-tambah.  Sengaja dia masak makanan kegemaran mereka.  Ayahnya, Haji Naim begitu suka makan Kari Kepala Ikan Merah  Emaknya pula suka Sambal Tumis Udang.  Ayah mentuanya amat suka makan Peria Sumbat isi ikan yang dimasak kukus  Ibu mentuanya pula suka Sotong Masak Kunyit.  Semua lauk kegemaran kedua-dua orang tuanya disediakan.  Sudah lama mereka tidak menikmati masakannya.  Sudah terlanjur mereka di sini apalah salah sesekali masak lauk istimewa dan yang menjadi kegemaran orang tua dan mentuanya.
           Ummi Khadeejah memotong Kek Coklat Moist dan meletakkannya ke dalam pinggan.  Dihidangkan bersama teh hijau,  air minuman kesukaan suaminya.  Dia menghidangkannya di ruang tamu di mana mereka semua berkumpul.  Mentua dan orang tuanya sedang rancak berbual bersama suaminya.  Sudah berbulan-bulan tidak bertemu tentu banyak perkara  yang ingin mereka sembangkan.  Ummi Khadeejah sengaja menjemput kedua orang tua   dan mentuanya datang ke rumah.  Dia ingin menyelesaikan masalah yang dia dan suaminya sedang hadapi.  Biarlah masalah ini selesai segera.  Dia tidak mahu lagi menangguh keputusan yang telah dibuat. Sudah berbulan-bulan perkara itu difikirkannya.   Tidak  sanggup dia melihat  wajah kusut suaminya.  Semakin cepat perkara itu selesai, semakin tenang hatinya nanti, Insya-ALLAH.
           Ummi Khadeeja duduk di sebelah emaknya, Hajah Rahimah.   Amir Hudzaifa mencuri pandang ke arahnya.  Dia buat tidak  nampak.  Ummi Khadeeja melemparkan senyuman kepada emaknya apabila sahaja bahunya disentuh.  Dadanya berdebar-debar, dia tidak dapat bayangkan reaksi keluarganya nanti dengan keputusan yang telah diambilnya.  Semoga mereka faham dan redha dengan keputusannya.  Ummi Khadeeja mengangkat kening memberi isyarat agar suaminya memulakan bicara.  Amir Hudzaifa mengangguk lemah.  Selemah hatinya sekarang melihat keadaan Ummi Khadeeja yang tidak bermaya bagaikan orang sakit.  Mungkin tidak sakit fizikal tetapi sedang merana dalam hati.  Amir Hudzaifa mengeluh.
            “Maafkan kami kerana menyusahkan emak dan ayah sampai  terpaksa  datang ke mari.”  Amir Hudzaifa mula berbicara.
            “Tak apalah.  Tak jadi masalah pun.  Boleh juga kami berjalan-jalan.  Lagi pun dah lama tak datang ke mari.  Kali terakhir  kalau tak salah mak, rasa-rasanya tahun lepas,”  kata Hajah Rahimah sambil tersenyum.  Ummi Khadeeja  yang duduk di sebelahnya dipeluk mesra.
            “Iyalah, kami pun dah lama tak berjumpa.  Kali terakhir  waktu kenduri Rafeah kan?” Sampuk Hajah Faridah.  Ummi Khadeeja tersenyum.  Memang lama dia tidak bertemu mentua dan orang tuanya.  Kesibukan menguruskan maahad dan mengikut suaminya keluar daerah membataskan waktu untuk di menziarahi mereka.  Rafeah  adalah adik bongsu suaminya, merangkap adik iparnya.  Ummi Khadeeja memandang kedua orang tuanya yang kelihatan gembira dapat bertemu dengan besan dan menantunya.  Amir Hudzaifa menantu kebanggaan kedua orang tuanya.  Dada Ummi Khadeeja sebak tiba-tiba.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.  Semoga dia mempunyai kekuatan untuk menyatakan keputusannya.
            “Asyik berbual terlupa tujuan asal.  Apa halnya yang beriya-iya mengajak kami ke sini? Macam ada perkara besar je?”  Hajah Faridah memandang anak menantunya.  Wajah Ummi Khadeeja muram dan pucat.  Mengandung pula ke?  Ke situ pula fikiran Hajah Faridah.  Kalau ada bersyukurlah sangat-sangat.  Rezeki dari ALLAH SWT  jangan ditolak.  Amir Hudzaifa pula muram macam orang ada masalah, berkerut dahi Hajah Faridah memandang Amir Hudzaifa, anak sulongnya dari empat beradik.
            “Tak ada apalah mak.  Dah lama tak jumpa emak dan ayah itu sebab kami panggil datang ziarah kami ni.”  Amir Hudzaifah tersenyum.   Ummi Khadeeja  turut tersenyum.  Dia tahu senyumannya itu dibuat-buat  bagi menyedapkan hatinya sendiri dan orang di sekelilingnya.  Dia tidak mahu orang tuanya tahu dia dalam kesedihan.
            “Mak, ayah…  sebenarnya ada perkara yang ingin Ija dan abang Amir beritahu.  Ija harap emak, ayah, dapat menerima dengan hati yang terbuka.  Berlapang dada.  Apa sahaja yang Ija cakap datangnya dari hati Ija sendiri.  Bukan paksaan dari sesiapa,”  kata Ummi Khadeeja memulakan kata-kata.  Dia cuba menahan perasaannya.  Dia tidak mahu menangis lagi. Sudah cukuplah air mata ini mengalir mengenangkan apa yang terjadi antara dia dan Amir Hudzaifa. Suami yang amat dicintai dan amat disayanginya itu.
            “Lain macam je bunyi cakap kau, Ija?  Ada masalah ke kau dengan Amir?”  Haji Ishak mula tidak sedap hati.  Kata-kata menantunya bagaikan ada perkara besar yang ingin mereka sampaikan kepadanya dan kepada besannya.  Budak-budak ini ada masalah ke?  Fikir Haji Ishak.
            “Kau orang berdua ni kenapa?  Risau emak dan ayah dibuatnya.  Macam nak cakap sesuatu yang besar?”  Hajah Rahmah pula menyampuk.  Keadaan mula riuh-rendah dengan suara emak dan ayahnya saling bercakap sesama mereka.  Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja, isterinya menundukkan muka tidak mahu bertentang mata dengannya.  Amir Hudzaifa mengeluh.  Abang rindukan senyumanmu sayang, bisik hati kecil Amir Hudzaifa.  Namun senyuman yang diterima daripada  Ummi Khadeeja adalah senyuman  tanpa nyawa.  Muram dan suram.
            “Eee!  Main teka-teki pula dengan kami?  Cakap je lah apa yang kau orang nak cakapkan.”  Haji Naim memandang wajah anak dan menantunya silih berganti.  Seorang macam mati bini, yang seorang lagi macam mati laki.   Kasar bunyinya.  Tetapi itulah hakikat.  Lemah bagaikan tidak bermaya.  Haji Naim mengeluh.
            “Saya nak menikah lagi, mak… ayah!”  Kata Amir Hudzaifa berterus-terang.  Ummi Khadeeja tetap menunduk. Dia tidak mahu memandang wajah suaminya ketika melafazkan ayat tersebut. ‘saya ingin menikah lagi’ bagaikan menarik duri dalam daging begitulah sakitnya hatinya ketika itu.  Tetapi apakan daya.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa.
            “Apa?   Nikah lagi?   Untuk apa ?  Dengan siapa?  Ya  ALLAH,  Amir! Kenapa semua ini terjadi?”  Soalan yang bertubi-tubi keluar dari mulut Haji Ishak.  Tersandar dia di sofa mendengar kata-kata anaknya itu.  Hajah Rahmah mula resah.  Haji Naim terdiam tidak terkata apa-apa.  Hajah Faridah menggelengkan kepala.  Mereka tidak percaya.  Mereka terkejut
mendengarnya.  Apakah rumah tangga anak-menantunya tidak bahagia?  Apakah Ummi Khadeeja ada berbuat salah sehingga terpaksa dimadukan?
            “Mak dan ayah janganlah marah pada abang Amir.  Ija yang setuju abang bernikah lagi.” Ummi Khadeeja memandang wajah mentua dan orang tuanya.  Dia mengharapkan mereka memahami situasinya.  Dia berharap mereka akan menjadi orang yang mampu menyejukkan hatinya yang sedang sakit  ini.  Gelisah.  Resah.  Risau.  Bimbang silih berganti.
            “Kau dah gila ya, Ija?  Kau ingat senang hidup berkongsi suami dengan perempuan lain?”  Marah Hajah Faridah.   Dia seperti tidak percaya menantunya mengizinkan anaknya berkahwin lagi.  Apa kekurangan menantunya itu sehingga tergamak anaknya ingin bernikah lagi.  Sukar untuk dia mempercayai apa yang sedang berlaku.
            “Betul kata Kak Faridah!  Jangan buat kerja gila?  Mak tak setuju Amir.  Apa dosa anak emak, kau buat begini?  Kalau dah tak suka, hantar aje pulang pada emak!  Tak payah kau siksa hati dan perasaan dia. Apa yang kurang lagi? Atau kau teringin nak dapatkan anak perempuan pula?  Ija… kau  dah tak boleh mengandung ke?”  Lengking suara  Hajah Rahmah.  Keadaan menjadi tegang.  Ummi Khadeeja  serba salah.  Dia memanggil mentua dan orang tuanya adalah untuk menyelesaikan masalah.  Bukan menambah masalah.  Amir Hudzaifa meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya.  Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya.
            “Mak, Amir tak bermaksud nak lukakan hati dan perasaan Ija.  Amir buat semua ini demi masa depan maahad dan dakwah.   Amir nak ada orang yang menjaga maahad waktu Amir keluar daerah.   Amir tidak mahu berterusan membebankan Ija. Sekurang-kurangnya isteri muda Amir nanti boleh membantu Ija menguruskan maahad ini.  Hanya itu sebabnya mak, ayah.  Amir harap sangat emak dan ayah faham dengan keadaan Amir,” kata Amir Hudzaifa panjang lebar.  Dia berharap sangat mentua dan orang tuanya memahami keadaan dirinya.
            “Kan dah ada Ustaz Din yang membantu kau menguruskan maahad ini?” Haji Naim kurang senang dengan keputusan menantunya itu.  Takkanlah kerana urusan dakwah sehingga hendak kahwin lagi.   Kalau kerana maahad, Ustaz Din sudah cukup membantu.  Bukankah boleh dicari orang lagi yang boleh membantu menguruskannya.  Alasan yang tidak cukup kuat.  Tidak boleh diterima oleh akal.
            “Tak sama bapa!  Kalau boleh Amir nak ahli keluarga Amir sendiri menguruskannya.  Bukan orang lain,”  jelas Amir Hudzaifa.  Seboleh-bolehnya dia ingin meyakinkan orang tua dan mentuanya agar mereka menerima cadangannya itu.  Dia tidak mahu perkahwinannya nanti tidak direstui oleh mereka.
            “Mak tetap tak setuju!”  Lantang Hajah Rahmah bersuara.  Dia tidak mahu anak bongsunya itu dimadukan.  Dia tidak sanggup melihat anak kesayangannya itu berkongsi kasih dengan orang lain.  Dia juga perempuan.  Kalaulah suaminya bernikah lagi tentu hancur hatinya.  Mungkin itu juga yang dirasakan oleh Ummi Khadeeja .
            “Mak…! Ija dah setuju.  Ija rela abang bernikah lagi.   Ija redha mak.  Ija ikhlas mengizinkan abang bernikah lagi,” perlahan saja suara ummi Khadeeja.  Mereka semua terdiam. Wajah redup Ummi Khadeeja ditenung dengan penuh sayu.  Patutlah wajah itu muram dan suram.  Tidak bermaya.  Rupanya ada duka yang tersembunyi di hati.  Terpancar di mata.  Tersandar mereka semua mendengar pengakuan Ummi Khadeeja.
            “Ija… jangan buat keputusan terburu-buru, nak,”  kata Hajah Faridah sayu.  Ummi Khadeeja melemparkan senyuman kepada emak mentuanya.  Saya  tidak terburu-buru mak, kalau dah suami meminta apalah daya, detik hati kecilnya.  Ummi Khadeeja memeluk emaknya yang ada di sisi.  Mahu sahaja air matanya mengalir keluar.  Janganlah mengalir air mata, bisik hati kecilnya.
            “Insya-ALLAH mak, Ija ikhlas,”  itulah yang mampu dikatakannya.  Semoga hatinya ikhlas.  Mampukah dia ikhlas hanya  ALLAH SWT  jua yang mengetahuinya.
            “Amir,  Apa dah kau buat, nak?  Ayah dan emak tidak akan menghalang.  Menyuruh pun tidak.  Jika inilah kehendakmu.  Ija, emak dan ayah tidak akan masuk campur dalam urusan kalian.  Tapi pesan ayah, apa pun terjadi banyak-banyaklah bersabar.  Kalianlah yang telah memilih jalan ini.” Haji Ishak menggelengkan kepala.   Kecewa pun ada.   Dia lelaki, siapalah yang tidak mahu beristeri lebih dari satu.  Kalau ditanya pada semua lelaki pasti mereka mahu tapi mampukah untuk berlaku adil kepada isteri-isteri yang dikahwini  nanti.  Wajah Amir Hudzaifa dan Ummi Khadeeja dipandang silih berganti.  Ya, ALLAH… KAU tabahkanlah hati anak menantuku dalam menempuh cabaran dan dugaan yang mendatang, doa Haji Ishak dalam hati.
            “Ija!”  Hajah Rahmah memeluk erat Ummi Khadeeja.  Dia menangis.  Sayu hatinya memikirkan  nasib anak bongsunya nanti.   Poligami memang dibolehkan dalam  Islam.  Terdetik hati kecilnya mampukah Amir Hudzaifa berlaku adil? Mampukah Amir Hudzaifa memberi kasih sayang yang sama rata.  Berat hati Hajah Rahmah untuk menerima keadaan ini.
 Ummi Khadeeja membalas pelukan emaknya.  Dia menahan air matanya dari keluar.  Kalau ikhlas buat apa sedih? Kalau ikhlas kenapa harus berduka? Wahai, hati cerialah kau, kata ummi Khadeeja dalam hati.  Mampukah dia ceria seperti dulu?  Mampukah dia berlagak biasa dengan suaminya.  Mampukah dia tersenyum semanis dulu?  Semua itu bermain di kotak fikirannya.
            “Amir, ingat pesan ayah ini.  Jangan kau sia-siakan Ija dan anak-anak kau.  Biar empat sekali pun isterimu.  Jagalah hati dan perasaan mereka.  Sama rata, sama adil! Ingat  tu!  Rasulullah SAW telah  bersabda yang bermaksud: Mana-mana lelaki yang mempunyai dua orang isteri tetapi tidak berlaku adil antara kedua-duanya, dia akan datang (dibangkitkan) pada hari akhirat dalam  keadaan separuh badannya senget sebelah ( Riwayat Al-Tirmizi), jangan sesekali kau lupa itu, Amir!”  Haji Naim mengeluh. Amir Hudzaifa menunduk. 
            “Maafkan emak, Ija,”  kata Hajah Faridah.  Dia merasa bersalah kerana anak lelakinya sanggup menduakan menantunya yang baik dan penyayang itu.
            “Mak…! Mak tak ada salah pada Ija, kenapa nak minta maaf,”  sayu hati Ummi Khadeeja.  Hajah Faridah menangis.  Dia bagaikan terasa dirinya pula yang dimadukan.  Dia juga perempuan tentulah dia dapat memahami perasaan seorang perempuan.  Kalau dia, tak mungkin dia sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Tidak mungkin!  Bukan menentang tapi terasa diri tidak kuat untuk menghadapinya.  Semoga menantunya ini kuat dan tabah.
            Amir Hudzaifa memandang wajah orang tuanya dan mentuanya.  Wajah yang penuh kesedihan. Dia harap mereka faham dan mengerti kenapa dia berkahwin lagi.  Amir Hudzaifa bersyukur akhirnya Ummi Khadeeja bersetuju juga.  Biarlah mengambil masa yang lama untuk isterinya itu berfikir, apa yang penting persetujuan dari iserinya telah diperolehi.  Kedua emaknya masih lagi menangis.  Isterinya pula memujuk mereka.  Amir Hudzaifa tersenyum dalam hati. Kedua ayahnya hanya memerhati dan tidak berkata apa-apa lagi.  Semoga rumahtangga baru yang akan dibinanya nanti akan membawa lebih banyak rahmat dalam hidupnya dan hidup keluarganya.

No comments:

Post a Comment