AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 8 November 2014

AKU TURUT BAHAGIA

BAB 2
“Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu…(Surah Luqman ayat 7)
Ummi Khadeeja menadah tangan memohon petunjuk daripada ALLAH SWT.  Dia tidak menentang hukum ALLAH SWT. Dia tidak menentang poligami, cuma dia terkejut apabila suaminya meminta untuk berkahwin lagi.  Paling dia takuti, dia tidak boleh menguruskan perasaannya sendiri.  Perasaan cemburu kepada perempuan lain. Dia tidak mampu berkata apa-apa.  Lidahnya kelu bagaikan terkunci. Dia tidak bermaksud untuk membisu atau tidak bercakap dengan suaminya.  Entahlah dia sendiri tidak  tahu apa yang harus dia katakan.  Apakah dia harus menunjukkan reaksi kecewa?  Gembira atau suka dengan permintaan suaminya itu?  Dia sendiri tidak tahu perasaannya ketika itu.  Apa yang pasti hatinya benar-benar sakit.
            Enam belas tahun bukan waktu yang singkat.  Enam belas tahun mereka hidup bersama.  Kenapa semuanya berubah dalam sekelip mata sahaja?  Mana janji manis suaminya sewaktu mereka baru berumah tangga dahulu?  Dia  menangis sayu.  Bagai terngiang-ngiang janji manis Amir Hudzaifa di malam pertama mereka.
             “Ija… terima kasih kerana sudi menjadi suri hati abang.  Abang berjanji akan setia hanya pada Ija. Ija yang pertama dan terakhir untuk abang.  Abang tidak akan mensia-siakan Ija.  Abang tidak akan menduakan Ija.  Abang janji sayang.”  Amir Hudzaifa membelai lembut pipi gebu Ummi Khadeeja.  Akhirnya anak gadis kawan baik ayahnya  itu, menjadi miliknya abadi.
            “Abang, jangan mudah abang berjanji.  Takut nanti abang tak mampu nak tepati.  Perjalanan hidup kita masih jauh, bang.   Kita tidak tahu masa depan kita.   Ija ucapkan terima kasih kerana abang sudi mengambil Ija sebagai isteri.   Terima kasih juga kerana menerima Ija seadanya.  Semoga rumah tangga yang kita bina ini kekal sehingga akhir hayat kita.”  Ummi Khadeeja memeluk tubuh Amir Hudzaifa erat.  Seerat kasihnya kepada suaminya itu.
Ah! Semua itu sudah berlalu.  Kenangan hanya tinggal kenangan.  Tidak mungkin akan berpatah kembali. Ummi Khadeeja  menangis lagi. Itu cerita enam belas tahun dahulu, sewaktu mereka baru mendirikan rumah tangga.  Sekarang ini semuanya sudah berubah.  Perasaan suaminya juga sudah berubah.  Bukan berubah ke, jika niat di hati ingin kahwin lagi.  Dia  menangis sayu.
Amir Hudzaifa tersedar dari lena apabila mendengar suara Ummi Khadeeja menangis.  Dia yang berada  di atas katil memerhati sahaja tingkah laku isterinya dari kegelapan malam.  Lampu bilik tidur tidak dipasang.  Sebak dadanya mendengar suara tangisan isterinya.  Perlahan-lahan dia mendekati Ummi Khadeeja.  Tubuh isterinya yang masih bertelekung dipeluk erat.
“Jangan macam ni sayang! Hiba hati abang melihat keadaan Ija begini.” Amir Hudzaifah membelai lembut rambut isterinya.  Ummi Khadeeja menolak tubuh Amir Hudzaifa lembut dan memandang wajah suaminya. Janggut yang kemas rapi, kumis yang tipis. Hidung mancung bak seludang.  Wajah kacak yang menjadi idaman ramai gadis dan wanita yang mengimpikan suami yang kacak, warak dan berilmu.  Dia sungguh bertuah memiliki suami seperti Amir Hudzaifa.  Bertuahkah dia apabila suami yang  disanjung tinggi tiba-tiba ingin menikah lagi?
“Kenapa semua lelaki menjadikan alasan berpoligami kerana mengikut Sunah Rasulullah s.a.w? Sedangkan Rasulullah s.a.w. berkahwin bukan kerana nafsu.  Malah, perkahwinan poligami Baginda s.a.w. terjadi setelah tiga tahun wafatnya Syaidatina Khadijah r.a.  Ini bermakna Rasulullah s.a.w. setia kepada seorang isteri selama dua puluh lima tahun!  Perasaan cinta itu tidak pernah hilang walaupun setelah wafatnya isteri Baginda s.a.w. yang tercinta.  Kalaulah benar ingin mengikut contoh Rasulullah s.a.w. kenapa tidak berkahwin setelah Ija meninggal dunia?”  Mata Ummi Khadeeja masih  menatap  wajah Amir Hudzaifa di dalam kesuraman malam.  Sengaja dia tidak memasang lampu sewaktu bersolat tahajud.  Terkedu Amir Hudzaifa mendengar tutur kata isterinya itu.  Tidak disangka soalan itu akan keluar dari mulut Ummi Khadeeja.   Kenapa dia tidak pernah perasan tentang itu, sedangkan sudah acap kali dia memberi contoh tentang poligami mengikut cara Rasulullah s.a.w.
“Baginda berkahwin bukan kerana mengikut nalurinya sahaja, bang.  Semua perkahwinan poligami Baginda s.a.w. bersebab dan ada yang berlaku atas kehendak ALLAH SWT.   Atas alasan apa abang ingin berkahwin lain?  Kalau atas alasan kerana sering bermusafir dan  abang ingin isteri baru abang nanti  membantu Ija  menguruskan maahad, mungkin boleh diterima. Tetapi apakah alasan itu sudah cukup kuat untuk membolehkan abang bernikah lagi?”   Tanya  Ummi Khadejaa tegas, dalam esakan yang semakin menjadi-jadi.  Amir Hudzaifa tetap membisu.  Hatinya benar-benar terhiris dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya.  Dia kecewa memikirkan permintaan suaminya itu.
“Ija, jangan macam ni!  Abang tak bermaksud untuk menyakiti hatimu.  Percayalah pada abang.  Abang akan berlaku adil padamu.  Abang tidak akan mensia-siakan Ija dan anak-anak,”  janji Amir Hudzaifa.  Dia cuba meyakinkan isterinya.
Ummi Khadeeja masih lagi menangis.  Mampukah untuk dia hidup berkongsi kasih sayang suaminya dengan perempuan lain?  Persoalan yang sedang bermain difikirannya ketika ini. Mampukah suaminya berlaku adil?  Bukan sahaja dari segi giliran tetapi adil dalam menjaga perasaannya sebagai seorang isteri dan perempuan?   Ada ke perempuan yang mahu menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki yang mempunyai tiga orang anak seperti suaminya?  Bolehkah keluarga gadis itu menerima suaminya itu yang masih lagi bergelar suami orang sebagai menantu?  Mahukah mereka melihat anak gadis mereka dijadikan isteri kedua? Ummi Khadeeja  melepaskan keluhan lagi.  Dia  menyeka air mata dengan hujung telekungnya.
“Bawa mengucap Ija!”  Pujuk Amir Hudzaifa. Ummi Khadeeja memandang wajah suaminya dengan pandangan yang sinis.  Lelaki, mudah kau menabur janji, mudah juga kau mungkiri, hatinya  berkata-kata lagi.
“Ija masih sedar bang.  Ija masih ingat pada ALLAH. Cuma berilah Ija masa untuk memikirkannya. Hati Ija cukup kecewa dengan keputusan abang.  Hati Ija hancur!”   Jiwa dan hatinya bagaikan kosong.    Semuanya bagaikan terawang-awang.  Dia tidak merasakan apa-apa lagi.  Mungkin juga hatinya kecewa. Naluri kewanitaannya terguris.  Hati perempuannya lebur bagai debu mendengar cadangan suaminya itu. Mungkin itu yang dia rasakan ketika ini sehinggakan dia tidak mahu bercakap dengan suaminya. Hati perempuan mana yang tidak sakit  Jika suami sendiri menyatakan keinginan untuk bernikah lagi? Begitulah yang dia rasakan ketika dan saat ini.
Ya ALLAH… berikanlah aku kekuatan.  Ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujianMU ini, doa Ummi Khadeeja dalam hati.  Air matanya mengalir di pipi.  Dia menangis lagi.  Ya, dia kecewa. Hatinya bagaikan dilempar bom tangan, meledak dan hancur lebur.  Dia tidak pernah terfikir suatu hari dia akan dimadukan. Tidak pernah terlintas di hati suatu hari dia akan berkongsi suami dengan perempuan lain.  Semuanya bagaikan mimpi.  Sukar untuk dia percaya.  Kalaulah dia tidak ada pegangan agama sudah pasti dia akan menuduh suaminya sudah terkena buatan orang.  Ummi Khadeeja beristighfar.  Terlalu jauh fikirannya melayang.  Berfikir yang bukan-bukan apabila hati sedang sakit dan menderita.
“Abang beri Ija masa untuk memikirkan perkara ini.  Abang tidak akan mendesakmu, sayang.  Maafkan abang ika menyakiti hati kecilmu itu.”  Amir Hudzaifa serba-salah.
“Ija perempuan bang.  Ada perasaan cemburu.  Ada perasaan iri hati.  Ija hanyalah manusia. Sebagai seorang perempuan sudah pasti tidak mahu suami Ija dikongsikan dengan orang lain. Hati mana yang tidak hancur bang.  Setelah berbelas-belas tahun  kita hidup bersama akhirnya Ija akan  dimadukan!  Ija akan ada pesaing.   Suami Ija   akan menyayangi perempuan lain.  Suami  Ija akan membelai perempuan lain.   Suami Ija   akan berkongsi katil dengan orang lain. Bukan dengan Ija seorang,” semakin laju air matanya mengalir lagi.  Semakin pedih hatinya.
Ya, ALLAH! Mampukah aku menghadapinya,  detik hati kecil Ummi Khadeeja.  Dadanya sebak terasa sakit dan perit.
“Apa  pandangan masyarakat terhadap Ija nanti?  Selama ini masyarakat tidak pernah memandang baik pada sebuah rumah tangga poligami.  Ada sahaja pandangan sinis dan menjijikkan!” Ummi Khadeeja mengusap dadanya yang terasa berat.
“Ija, sudahlah!”  Pujuk Amir Hudzaifa.   Dia cuba meraih tangan Ummi Khadeja,  namun ditepis dengan pantas oleh isterinya.
'Hatiku sedang sakit tak mungkin dapat kau pujuk,’ kata hati kecil Ummi Khadeeja.
“Abang  tahu tak, pada  mereka yang di luar sana, poligami adalah perkara jijik yang dilakukan oleh mereka yang gatal dan tidak cukup hanya mempunyai seorang isteri.  Kegagalan dalam menguruskan sebuah rumah tangga poligami menyebabkan masyarakat tidak pernah memandang elok pada mereka yang berpoligami.  Akan ada kata-kata nista mengatakan  Ija   tak  pandai melayan suami.  Sebab itulah abang berkahwin lagi.   Isteri muda  abang nanti  pula akan dituduh miang, sanggup mengambil suami orang. Fitnah masyarakatlah yang paling Ija takuti bang! Siapa tidak kenal  abang.  Ustaz Amir Hudzaifah seorang Hafiz, pandai dalam Ilmu Hadis.  Seorang pendakwah bebas yang lantang bercakap soal hukum.  Bagaimanalah reaksi rakan-rakan dan kenalan Ija dan abang  Jika mereka mengetahui abang  berkahwin lagi?” Dia  menangis tersedu-sedu. Hiba sungguh hatinya. Rasa sakit yang menyucuk-nyucuk.
Ya, ALLAH! mampukah aku menghadapinya?  Hati kecilnya terus berkata.  Entah bagaimana reaksi keluarganya dan keluarga mentua apabila mengetahui suaminya akan berkahwin lagi.  Kesal dan sesal bermain di sanubari.   Demi ALLAH dia tidak pernah terfikir suatu hari nanti suaminya akan berkahwin lagi.  Kini, iyanya  bukan khayalan lagi.  Bukan cakap-cakap kosong lagi.  Dia mendengar sendiri permintaan suaminya.  Permintaan itu keluar dari mulut suaminya sendiri.   Keluar dari mulut orang yang amat disayangi.   Kekasih hati, sahabat dan rakan yang amat dikagumi.
Ya, ALLAH! kuatkanlah hati hambaMu ini.  Ummi Khadeeja menangis lagi.  Hati perempuannya telah dihiris-hiris, hancur dan kecewa.   Pelukan dari Amir Hudzaifa   tiada kehangatannya lagi. Semuanya terasa dingin.  Sedingin hatinya terhadap suaminya kini.  Perasaan benci menerjah di hati.  Bukan dipinta.  Bukan dipaksa.  Iya hadir sendiri. Ummi Khadeeja beristighfar.  Berdosa membenci suaminya sendiri tetapi apakan daya.  Hatinya benar-benar sakit, perit, lukanya terlalu dalam.  Hanya masa menentukan sama ada hati yang terluka akan dapat diubati.  Bolehkah iya sembuh seperti biasa?  Ummi Khadeeja mengeluh lagi.


No comments:

Post a Comment