AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 14 November 2014

DIA BUKAN RATU LAGI.


                Rambutnya kusut masai, pakaiannya compang-camping, benar-benar tidak terurus.  Pipinya kendur, kulit wajahnya kusam.  Lengan dan lehernya sudah mula berkedut.  Dia membuka tong sampah yang bertutup kemas.  Menyelongkar mencari sesuatu.  Terkial-kial dia mengodek ke dalam tong sampah tersebut.  Orang yang lalu lalang memandang sinis kepadanya.  Ada yang bercakap dengan teman di sebelah, tidak kurang juga  yang buat tak tahu.  Mungkin sudah terbiasa dengan kehadirannya di situ.  Dia langsung tidak menghiraukan mata yang melihat.  Dia meneruskan pencarian.  Akhirnya…

****

                Rambut disisir kemas, rantai leher bertahtakan nilam dipakai ke lehernya yang jinjang.  Dia membetulkan jaket kulit yang kemas di tubuhnya yang langsing.  Bibirnya bak delima mekar dipalit dengan gincu bibir berwarna merah hati, terserlah kecantikan bibirnya.   Dia membelek tubuhnya kiri dan kanan, tersenyum puas dengan ketrampilan diri.  Siapa tidak kena Datin Sharifah Fauziah, bekar Ratu Cantik Asia.    Dia mencapai beg tangan jenama LV yang terkini dan terbaharu di pasaran, edisi terhad.  Harga?  Tidak usah ditanya, sesiapa sahaja tahu jenama tersebut hanya dipakai oleh mereka yang berduit sahaja.  Rumah agam  yang tersergam indah di atas bukit milik suaminya kelihatann bagaikan Istana diterangi lampu neon pelbagai rupa.  Dia melangkah menuruni anak tangga ke tingkat bawah.  Sudah siap sepenuhnya.   Dengan penuh yakin dan bergaya, dia menuju ke kereta.  Kereta Lamborgini berwarna kuning pilihan hati.  Dia mampu memandu sendiri.  Suami?  Masih berada di luar Negara, sibuk dengan urusan perniagaannya.  Balik atau tidak, tidak pernah jadi kudis padanya.  Apa yang penting kekayaan yang dimiliki cukup untuk dia memanjakan diri.  Apatah lagi dia tiada zuriat yang perlu dijaga.
                Zuriat?   Dia tidak suka dengan kanak-kanak.  Hey!  Ini Ratu Asialah.  Model terkenal, satu Asia mengenali dirinya.  Datin Sharifah Fauziah bt  Kasim, dia bukan keturunan Sharifah atau Syed.  Entah kenapa keluarganya meletakkan nama Sharifah di hadapan namanya.  Biarlah, yang penting nama itu telah membuatkan dia terkenal dan dapat berkahwin dengan seorang dato dan jutawan.  Siapa yang tidak suka dan berbangga.  Kecantikan yang dimiliki adalah aset penting dalam hidupnya.  Mana mungkin dia beranak dan melahirkan?  Tidak akan!  Biarpun berkali-kali suaminya menyuarakan hasrat hati ingin memiliki anak sendiri, dia pekakkan telinga dan buat tidak tahu sahaja.  Lama-lama suaminya mendiamkan diri. 
                Dia hendak ke mana dengan bergaya sakan mengalahkan artis terkenal tanahair?  Ke mana lagi kalau tidak ke jamuan makan malam yang diadakan untuk bekas-bekas Ratu Asia.  Mana boleh dilepaskan peluang ini.  Waktu inilah dia ingin menunjukkan kemewahan diri.  Sudah pastilah jemputan bukan calang-calang orang.  Ternama dan terkenal.   Tempatnya, sudah pastikan sebuah kelab yang terkenal dan mewah juga.  Mana mungkin di buat di dalam dewan orang ramai.  Tidak ada kelaslah.    Kereta mewah yang dipandu akhirnya sampai dikawasan yang dituju.  Berderetan kenderaan mewah bersusun di kawasan tempat letak kereta.  Dia mencebik.  Langkah dihayun bagaikan Ratu Asia yang sedang  mempamerkan kecantikan tubuh dan wajah.  Boleh cair keimanan seorang lelaki melihat kecantikkan dan lenggok tubuhnya yang langsing bak anak dara.
                “Datin Sharifah Fauziah, Ratu Asia tahun 2008.  Masih cantik dan bergaya,” sapa seorang wanita yang bergaun malam berwarna hitam putih, rambut disanggul kemas, solekan tebal menghiasi wajahnya. 
                “Cik Puan Arni,Ratu Asia tahun 2009, apa khabar?  Sudah lama kita tidak bertemu, kan?” balas Sharifah Fauziah, sambil matanya memandang  wajah juniornya dalam dunia peragaan dengan pandangan sinis.  
                “Datuk tak datang samakah?”  tanya Arni sambil matanya mencari wajah seseorang.
                “Datuk sibuk dengan perniagaannya, lagipun, buat apa yang awak sibuk sangat nak tahu, suami saya datang ke tidak?”  sebetulnya Datin Sharifah Fauziah kurang senang dengan pertanyaan itu.  Dia tahu  perempuan di hadapannya itu pernah cuba menggoda suaminya.  Untung suaminya tidak terpikat kerana dirinya sendiri apalah kurang.  Malah lebih cantik dan menawan daripada perempuan tersebut.
                “Datuk sibuk berniagakah, atau berpeleseran dengan isteri muda,”  sindir Arni sambil menjeling.  Dia mencebik.
                “Makan boleh sebarang makan, tapi cakap jangan sebarang cakap.  Silap haribulan habis solekan awak yang cantik itu Arni,”  Datin Sharifah Fauziah mengetap bibir.  Dia memang kurang senang dengan  perempuan di hadapannya itu.  Kalau bertemu atau bertembung dengannya, pasti keluar kata-kata sinis dan penghinaan.  Entah apa yang bersarang di kepalanya, cemburukan orang lain.
                “Ops!  Terlepaslah pula.  Saya masuk dululah…” Arni berlalu meninggalkan Datin Sharifah Fauziah sendirian di tempat letak kereta.   
                “Tak guna punya perempuan!” marah Datin Sharifah  Fauziah.  Dia menghentak-hentak kaki.  Rasa hendak diramas wajah Arni biar berkereput selamanya. Perasaan bagus.  Selepas menang Ratu Cantik Asia tidak pernah pula dia melihat wajah itu menghiasi majalah atau suratkhabar?  Dengar kata sibuk berlakon dan ingin jadi penyanyi.  Sedap sangatkah suaranya?  Dia menarik nafas panjang dan melepaskan rasa mual terhadap perempuan bernama Arni.
                Langkah diatur, masuk ke dalam kawasan dewan.  Ramai yang hadir kebanyakkannya amat dikenali.  Seronok rasanya dapat berjumpa dengan mereka kembali.   Dia berasa malam itu adalah malam yang indah dan bermakna.  Gelaran Ratu yang dimenanginya membuatkan dirinya di kenali.  Biarpun setiap tahun ada sahaja Ratu Asia yang dinobatkan, namun dia tetap dikenali, mungkin kecantikkan dirinya yang ada iras-iras pan-Asia.  Lagipun dia agak tinggi, 6 kaki lebih.    Begitu terserlah untuk menjadi Ratu Dunia.  Namun suaminya tidak lagi membenarkan dia masuk pertandingan.  Dia akur selagi kemewahan melimpahi hidupnya.

                Makanan yang terhidang, pelbagai jenis dan penuh kemewahan mengamit selera.  Tidaklah boleh makan seperti orang tak makan berbulan-bulan.  Jaga penampilan diri, cara makan dan minum juga turut di ambil kita.  Nanti dikatakan tidak sopan dan gelojoh pula.  Setiap majlis da program dia hadir sendiri.  Suami sibuk dengan perniagaan, dalam sebulan entah berapa kali sahaja berada di rumah.  Malas hendak bertanya.  Bukan dia tidak teringin hendak ikut, tetapi masanya banyak dihabiskan dibilik hotel sedangkan suaminya bermesyuarat di sana dan di sini.  Dari pergi ke tempat yang dia tidak kenali dan tidak punya kawan.  Baiklah duduk di rumah, ramai jugalah yang boleh memghiburkan hatinya.  Sesekali keluar berpeleseran dengan rakan-rakan dan teman sekolahnya.

                Malang tidak berbau.  Suaminya pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya.  Tanpa sebarang pesan dan kata-kata manis buat dirinya yang berada jauh.  Suaminya terlibat kemalangan kereta sewaktu pulang dari mesyuarat perniagaan di Paris.  Hancur luluh hatinya.  Jiwanya parah terluka.    Segalanya sepi dan kosong.  Dia tinggal sendiri.  Harta?  Harta suaminya?  Dia telah bertemu dengan peguam suaminya.  Siapa sangka dia akan jadi janda kaya? Semua harta bakal jadi miliknya.  Hanya untuk dirinya seorang sahaja.  Tidak perlu berkongsi dengan sesiapa.  Itulah harapannya.  Impian menjadi kenyataan.  Suaminya bukanlah muda lagi.  Hampir dua puluh tahun perbezaan usianya. 
                “Maaf Datin… saya sendiri tidak tahu hendak terangkan kepada Datin atas dasar apa?   Pertama, perkahwinan Datin dan Datuk di sempadan Thailand tidak berdaftar.  Mungkin datuk terlupa agaknya.  Datin tidak pernahkah bertanya kenapa datuk dan datin berkahwin dia sempadan Thailand?” tanya peguam yang seusia suaminya itu.
                Datin Sharifah Fauziah menggelengkan kepala.  Tidak pernah pulalah dia bertanya sebabnya.  Apa yang dia ingat suaminya hanya mengatakan nak elak dikesan oleh para wartawan, kerana dia berkahwin dengan Raatu cantik Asia, macam tak logik sahaja alasannya.  Tapi dia diamkan asalkan dia dapat berkahwin dengan suaminya, biarpun sudah berumur.  Bukan usia yang jadi ukuran, yang penting harta yang melimpah ruah itu bakal menjadi miliknya.   Bolehlah dia menumpang senang dengan kemewahan suaminya itu.  Di mana bernikah, ada majlis mewah atau tidak, itu semua tidak penting lagi.  Apa yang ada difikiran, suaminya orang kaya.
                “Datuk sudah ada keluarga sebelum berkahwin dengan Datin, dia ada lima orang anak.  Semuanya sudah berjaya dan sudah bekerja.  Lima tahun Datuk dan Datin berumah tangga, takkan Datuk tidak beritahu?”  tanya Peguam itu lagi.
Hanya gelengan menjadi jawapan pada setiap pertanyaan yang diluahkan.
                “Maaf datin, segala harta telah diletakkan  atas nama anak-anaknya sejak dahulu lagi.  Tidak pernah bertukar wasiat, mungkin datuk terlupa agaknya hendak meletakkan nama datin sebagai pewaris,” kata peguam itu lagi.
                “Apa yang tuan cakapkan ini?  Saya tidak faham?”  Datin Sharifah Fauziah tidak mengerti.  Apakah dia telah ditipu?  Apa yang sedang berlaku?  Dia sendiri tidak faham?  Lima tahun dia hidup bersama arwah suaminya.  Memanglah dia berkahwin macam koboi aje.  Tapi takkan sedikit pun harta tidak ditinggalkan untuknya?  Anak?  Dia pernah dengar suaminya ada memberitahu yang dia pernah berkahwin, tapi  tidak pula menyebut pasal anak?  Anak?  Memang suaminya impikan anak dengannya, dia sahaja yang tidak rela mengandung. 
                “Datuk memang ada isteri lain sebelum berkahwin dengan datin, tapi sudah diceraikan kerana  isteri datuk tak suka dimadukan.  Mereka mempunyai anak, dan semua harta ini adalah milik anak-anaknya,” kata peguam itu lagi.
                “Maksud tuan, saya tidak dapat apa-apa?  Rumah dan kereta bagaimana?”  tanya Datin Sharifah Fauziah bagaikan orang bingung.
                “Semuanya atas nama anak-anaknya, datin kena kosongkan rumah itu sebelum hujung bulan ini.  Isteri arwah datuk akan berpindah semula ke rumah itu.  Itu rumah isteri tuanya, datin,”  jelas peguam itu lagi.
                “Awak nak tipu saya, ya?” kata Datin Sharifah Fauziah tidak percaya.  Takkan tiada satu pun ditinggalkan untuknya?  Tak mungkin?  Dia tidak percaya.  Arwah suaminya sayang sangat dengan dirinya.  Sayang amat-amat. Itulah yang sering diucapkan di cuping telinganya.  Itulah yang didengarinya setiap kali mereka bersama.   
                “Mungkin arwah datuk terlupa menukar wasiat yang telah dibuat beberapa tahun dahulu.  Menyangkakan usia masih panjang lagi.”  Peguam itu mengeluarkan surat wasiat yang telah dibuatnya beberapa tahun dahulu.  Tidak pernah diusik dan ditukar.

                Datin Sharifah Fauziah terdiamm mendengarnya.  Angan-angannya musnah.    Harta yang diharapkan tidak akan lagi menjadi miliknya.  Mahu sahaja dia  meraung dan menangis di hadapan peguam itu.    Kenapa jadi seperti ini?  Kenapa suaminya lupa haknya?  Kenapa dia tidak pernah mengambil berat akan perkahwinannya di luar Malaysia sama ada berdaftar kembali atau tidak?  Dia sudah kehilangan hak, dia tidak boleh tuntut apa-apa.  Perkahwinannya dikira tidak  sah di Negara sendiri.  Biarpun sah di sisi agama.   Kenapa dia bodoh sangat! Terleka dan terlena dengan kekayaan  yang tampak cantik di ruangan mata.  Semuanya palsu berlaka.  Dia menumpang hak orang lain.  Harta-harta itu bukan haknya lagi, bukan hak  arwah suaminya. 
                “Apa yang boleh saya buat?”  tanyanya bagaikan orang bodoh.  Bingung dan sebal di hati.
                “Tiada apa datin,”  jawab peguam itu seraya menunduk.  Mungkin turut simpati.
                Mana dia hendak tinggal?  Mana dia hendak pergi?  Keluarga?  Dia sudah lama membuang mereka.  Dia kedekut dan cemburu jika adik beradiknya ingin berkongsi kemewahan dengannya.  Dia tinggalkan mereka semua sejak dia berkahwin dengan arwah suaminya.  Kedua orang tuanya sudah lama meninggal dunia.  Dia kini sebatang kara.   Bekerja semula? Mana mungkin dalam usia lewat 30-an, siapalah yang ingin mengambilnya sebagai model lagi?    Apa pekerjaan yang mampu dia lakukan?  Dia tidak kelulusan dan pengalaman.  Hanya yang ada adalah kecantikan yang bakal menghilang bila tiba waktunya.
                Dia melangkah keluar dari pejabat peguam dengan perasaan kecewa dan hampa.  Semuanya terpaksa diserahkan kembali kepada anak-anak arwah suaminya.  Tiada satu pun miliknya  Duit di dalam akaun?  Berapalah sangat.  Dia tidak pernah dan pandai menyimpan.  Keborosannya membuatkan sekarang ini dia menjadi manusia muflis dan miskin.  Langsung tidak beringat untuk menyimpan sedikit bagi  bekalan ketika tua.  Belum tua lagi segala-galanya telah hilang dari pandangan mata.  Hilang suami, hilang harta.   Datin Sharifah Fauziah rebah di tepi jalan.  Kereta yang bertali arus langsung tidak dihiraukan.  Sejak itu dia hilang dirinya yang  sebenar.

***

                Air matanya tumpah sewaktu menjamah makanan dari sisa tong sampah.  Sesekali dia ketawa, kadang-kadang dia menangis.  Pakaiannya yang kotor dan berbau itu langsung tidak menganggu gugat hidungnya.  Dia menyengih setelah perutnya kenyang.  Dia minum dan makan, makanan yang dia jumpa di tepi jalan dan di dalam tong sampah.    Hilang kemasyuran diri, hilang kemewahan yang pernah dirasa.  Sesekali dia akan melalui kawasan rumah agam yang pernah menjadi tempat tinggalnya.  Dia akan dihalau bagaikan anjing kurap, langsung tidak diberi peluang mendekati rumah tersebut oleh pengawal keselamatan yang bertugas.  Tidak pernah pula dia dapat melihat penghuninya.   Matanya dipejam rapat.  Perutnya yang kenyang membuatkan dia cepat dan mudah tertidur.  Tilamnya, lantai simen  berlapikkan suratkhabar atau kotak.  Selimutnya kertas suratkhabat atau kotak juga.  Kukunya yang panjang dan hitam itu menggaru tubuhnya yang gatal dan kotor itu.  Rambutnya ditolak-tolak ke tepi telinga ketika ditiup  angin.  Dia terus memejamkan mata.  Biar apa yang berlaku padanya ketika ini adalah hanya mimpi ngeri.  Itulah harapannya setiap hari dia memejamkan mata dan bangkit nanti dia adalah Datin Sharifah Fauziah, bekas  Ratu Cantik Asia.  Matanya terus terpejam rapat, serapat-rapatnya.

No comments:

Post a Comment