AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 21 November 2014

DIA INGIN BERUBAH



                Jam di dinding sudah beberapa kali berbunyi, dia masih lagi tidak bergerak dari tempat tidurnya.  Kemalasan menghambat diri.  Fikirannya kosong, langsung tiada apa di minda.  Apa yang ada huruf kosong.  Buku latihan yang masih belum disiapkan masih berselerak di lantai.  Langsung tidak menarik minatnya untuk menyusun dan mengemas buku-buku tersebut.    Dia mengeliat, meluruskan tulang belulang yang masih muda dan kuat itu, namun jika tiada semangat yang muda pun terasa tuanya.
                “Rahim! Tak bangun lagi?” jerit emaknya dari luar pintu bilik.
                Alahai, baru nak merehatkan minda, mengembalikan semangat yang telah hilang dan lenyap ditelan bumi.  Ditelan bumikah?  Biarlah.  Lambat-lambat dia bangun.  Kenapalah perasaan malas ini langsung tidak mahu pergi.  Bagaikan suka pula menghimpit diri.  Serasi dan seia sekatalah pula.  Rahim menyengih sendiri.
                Daun pintu dibuka perlahan. Tuala sudah pun tersangkut di lehernya yang keding itu.  Kurus bukan sebab tidak cukup makan, sememangnya tubuh sudah sebegitu sejak dari kecil.  Terima sahajalah ketentuan ILAHI, kalau gemuk, buruk pula rupanya.  Orang kata, mereka yang bertubuh gemuk yang malas, kenapa dia yang kurus juga malas?  Memang sudah dasar  pemalas.  Dia mengutuk diri sendiri.
                Orang malas, kalau melangkah pun lambat.  Begitulah keadaan dirinya.  Entahlah, susah betul hendak memotivasi diri sendiri, bagaimana hendak menjadi seorang  yang rajin dan tekun terutama belajar.  
                “Hah!  Jalan pun dah macam siput!” jerit emaknya dari muka pintu dapur. 
                Dia mengurut dada.  Terkejut dia mendengar suara emaknya yang garang macam singa lapar itu.  Bukan Mak Lijahlah kalau tidak menjerit di dalam rumah itu.
                “Apalah mak ni, kalau Rahim ada sakit jantung, dah tentu rebah ke lantai!” Rahim mencebik.
                “Banyaklah kau punya jantung, jantung aku yang berdegup kencang kerana susah hati pasal kau, kau tak ambil kira!” jerkah Mak Lijah, geram dengan sikap anak bongsunya itu.  Anak-anaknya yang lain berjaya dalam pelajaran. Tinggal yang kecil ini, buat semak perut dan hatinya sahaja.  Selalu kena panggil ke sekolah, bukan kerana pandai atau dapat anugerah tetapi  kerana rajin ponteng dan tidak buat kerja rumah.  SPM tidak berapa lama lagi, belajarnya entah ke mana.  Apa yang tahu melepak kat tembok depan kedai Ah Seng.  Melalak dengan gitar tongnya.  Eee… ikut hati yang marah hendak sahaja dihempuk gitar itu sampai pecah.   Bila fikir balik, dia juga yang belikan.  Sudah permintaan anak bongsunya, diturutkan sebagai upah agar pergi ke sekolah.  Hendak ke sekolah pun kena bagi ‘rasuah’.  Mak Lijah menggeleng laju.  Kesal menebal di hati.  Geram tidak usah kira, membukit di sanubari.  Kalau dileterkan pun, anaknya tetap seperti itu.
                Usai mandi, Rahim bersiap hendak ke sekolah.  Dalam fikiran sudah tertanam perasaan kurang enak.  Pastilah dia akan didenda kerana kerja sekolah yang tidak sempat disiapkan.  Cuti dua hari dihabiskan dengan melepak.  Rahim mengeluh.  Salah diri sendiri.  Hari Isnin yang memang membosankan.  Setiap hari Jumaat, guru-gurunya akan memberi kerja rumah, sepatutnya hari Isninlah kerja tersebut diserahkan.  Biarlah. 
***
                Wajah cemberut Cikgu Muhamad sudah diketahui sebabnya.  Sudah pastilah kerana dia tidak menyiapkan kerja sekolah.  Rotan sudah ada di tangan guru matematiknya itu.  Rahim menunggu sahaja hukuman dijalankan.  Dia menunduk, mengaku kesalahan diri sendiri.  Tangan diangkat bagi menerima hukuman yang bakal berlangsung.  Langsunglah sangat.  Wajah kawan-kawan sekelas yang memandang ke arahnya dengan pandangan mengejek langsung tidak terkesan di hati.  Ejeklah puas-puas, kata Rahim dalam hati.
                “Rahim, sampai bila saya hendak menghukum awak? Setiap minggu pula tu.”  Cikgu  Muhamad memandang wajah selamba pelajarnya itu. Langsung tiada rasa bersalah, langsung tiada kesal kerana didenda.
                “Cikgu nak hukum saya ke tidak ni?”  tanya  Rahim, masih menunggu dengan tangannya menghadap Cikgu Muhamad.
                “Untuk apa saya menghukum awak?  Awak tetap seperti ini, tiada perubahan.  Manusia yang malu dan ingin mengubah hidupnya, tidak akan melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang kali, walaupun setelah dihukum.  Awak faham maksud saya?”  Cikgu Rahim mencengkak pinggang. 
                “Hukum sahajalah saya, cikgu.” Rahim mengeluh. 
                “Satu hari awak akan menyesal, Rahim,” kata Cikgu Muhamad sebelum kelasnya berakhir.
                Rahim masih tidak bergerak.  Dahinya berkerut kerana  Cikgu Muhamad tidak menghukumnya hari ini.  Dia memandang langkah Cikgu Muhamad meninggalkan kelas.  Dia menoleh ke arah kawan-kawannya.  Masing-masing mencebik dan mengangkat bahu tanda tidak tahu apa yang sedang berlaku.  Hanya Cikgu Muhamad sahaja yang tahu. 
***

                Rahim pulang dari sekolah, seperti biasa  meja makan dan tudung saji menjadi tempat pertama yang dia singgah.  Beg sekolah dicampakkan ke dalam biliknya. Di mana jatuhnya, bukan urusannya.  Hah! Tiada makanan?  Kenapa pula?  Emak ke mana?  Rahim melilau mencari emaknya.  Setiap ruang di dalam rumah, langsung tidak kelihatan.  Ke mana pula emaknya pergi?  Selalunya emaknya akan berada di rumah waktu begini.  Rahim gelisah.  Perutnya yang lapar minta diisi sudah menjerit-jerit. 
                “Mak!”  laung Rahim.  Dia menjengah ke luar pintu dapur.  Manalah tahu emaknya ke rumah Mak Timah di sebelah.  Dia melaung, memanggil emaknya.  Namun tiada sahutan.
                “Mak Timah!  Mak Timah!”  panggil Rahim. 
                “Apa halnya Rahim?”  Mak Timah yang sedang memasak, menjongol keluar melalui pintu dapur.
                “Mak Rahim mana?  Mak Rahim  tak ada di rumah,” terang Rahim.  Mengelabah  sendiri.
                “Hish, emak kamu hendak ke mana pula?”  Mak Timah sendiri kehairanan.  Dahinya yang sudah terlihat kedutan bertambah berkedut. Hairan pula dengan kehilangan jiran sebelahnya  Tidak pernah ke mana-mana selain menjaga anak bongsunya itu.  Urusan belanja dapur semuanya diuruskan oleh anak-anak jirannya yang sudah bekerja. 
                “Emak mana Mak Timah?”  Rahim tidak keruan, mengelabah pun ada.  Ke mana emaknya pergi, hilang secara tiba-tiba.  Pagi tadi biasa-biasa sahaja setelah puas meleterinya. 
                “ Mak Timah pun tak tahu, Rahim…” keluh Mak Timah, simpati pula dengan anak jirannya yang seorang ini.
                “Kau tunggu ajelah mak kau balik, tak ke mana perginya,”  pujuk Mak Timah sebelum kembali masuk ke dalam rumah.
                Rahim bingung.  Penat dia berfikir, habis berputar sudah kepalanya.  Dia melangkah masuk ke dalam rumah.  Perutnya yang bernyanyi riang minta di isi bagaikan tidak tertahan-tahan lagi.  Lembut sudah lututnya.  Aduhai, apa yang harus dia lakukan?  Ke mana pula pergi emaknya.  Takkan kerana kemalasannya, emaknya lari dari rumah?  Emak lari? Takkan kut?
                “Mak, baliklah!” rayu Rahim seorang diri.  Pagi tadi emaknya berleter berapi-api menasihatinya.  Hampir pekak jugalah telinganya mendengarnya.  Mahu terluka parah, boleh pecah gegendang telinganya. 
                “Kau nak jadi apa Rahim? Kerja sekolah tak pernah siap?  Pergi sekolah sekali-sekala, macam sekolah tu arwah ayah kau ada kongsi,  solatnya tidak.  Balik sekolah, kau melepak berjam-jam di depan kedai Ah Seng, kut-kutlah nak baca buku dan ulangkaji pelajaran.  SPM dah dekat, kenalah fikirkan masa hadapan sendiri.  Kalau emak tak ada nanti, kau ingat, abang-abang dan kakak-kakak kau nak jaga kau?  Tak kuasa mereka, jaga budak malas macam kau!”  leter Mak Lijah panjang lebar.  Geram betul dengan sikap sambil lewa anak bongsunya itu.  Langsung tidak memikirkan masa depannya.  Dia sahaja yang sibuk berfikir dan menyuruh anaknya itu berusaha belajar sehingga berjaya. Bukan untuknya tetapi untuk anaknya sendiri.  Susah betullah nak nasihatkan anak yang seorang ini.
                Air mata  Rahim mula mengalir.  Dia menangis? Kenapa dia menangis?  Dia takut, benar-benar takut sebenarnya.  Bagaimana dia hendak hidup? Siapa hendak jaga dia? Sudahlah tiada ayah, kini emak pula tiba-tiba menghilangkan diri?  Kejam sangatkah dia?  Teruk sangatkah kemalasannya? Kalau emaknya tiada, dia nak duduk mana? Siapa hendak jaga makan minum  dia? Siapa? Abang-abangnya? Kakak-kakaknya? Penat dia berfikir.  Sebak dadanya.  Perutnya semakin memulas, minta di isi. Belum pernah dia berlapar sehingga ke petang.  Selalunya balik sekolah sudah terhidang makanan di atas meja.  Usai makan dia keluar rumah dan melepak di tembok berhampiran kedai Ah Seng.  Hampir senja baru dia balik, kadang-kadang lajak sehingga ke malam. Balik pasti panahan leteran emaknya menghambur keluar.  Pedih dan menanah telinganya mendengar, namun dia pekakkan telinga dan buat tidak faham dan dengar  sahaja. 
                “Mak!” panggil Rahim.  Sudah berpinar matanya.  Sudah letih berfikir.  Bayang emaknya juga masih tidak kelihatan.  Mahu  sahaja dia meraung. Tidak tahu harus berbuat apa, walaupun usianya sudah 17 tahun namun perangai bagaikan orang tidak matang.
                “Mak, baliklah!  Rahim janji tak malas lagi.  Rahim akan rajin belajar, Rahim akan dengar cakap emak! Rahim akan turut kehendak emak!   Rahim akan solat, Rahim akan rajin mengaji, Mak!   Baliklah!” jerit Rahim seorang diri.  Bergema suaranya di dalam rumah. Rumah itu terasa sunyi tiba-tiba.  Di rindukan emaknya, dia rindukan bebelan emaknya.  Biarlah emak berleter 24 jam, dia terima daripada menghilang tiba-tiba ini.
                Dia menangis sayu.  Dia menjengah ke dalam bilik emaknya, hampa.  Ke manalah emaknya pergi?  Rahim menapak keluar rumah, sekali lagi matanya liar mencari, air mata di pipi cepat-cepat diseka dengan  jarinya.  Sudah berjam-jam dia begitu.  Perut  yang lapar hendak diisi dengan apa?  Mana ada makanan?  Malam kian menjelang.  Bayang emaknya tetap  tiada.  Ke mana? Soalan yang sama berulang-ulang dibenaknya.  Penat menangis. Geram pula yang hadir.  Takkan emaknya benar-benar melarikan diri, meninggalkan dia seorang diri?  Biar betul?  Azan maghrib sudah berkumandang dari masjid berhampiran. Semakin tidak keruan jadinya.  Mengelabah tidak tahu harus berbuat apa.  Matanya liar mencari, hendak cari di mana?  Dia mana tahu rumah siapa yang selalu emaknya kunjungi.  Dia sibuk dengan urusannya sendiri.  Dia hanya tahu emaknya memenuhi seluruh keperluannya.  Membantu langsung tiada.   Dia hanya tahu memuaskan hatinya sendiri.   Resah mencuit rasa, menjerut tangkai hatinya.
                “Mak! Baliklah!” jeritnya, hilang rasa malu. 
                “Kenapa menjerit ni Rahim?” tegur Mak Lijah yang muncul tiba-tiba.  Entah dari mana?
                “Mak!” Rahim menerpa memeluk tubuh gempal emaknya.  Dari mana pula emaknya tiba-tiba muncul?  Rahim kehairanan.  Tidak kisahlah, yang penting emaknya telah kembali. Ke mana dan dari mana itu bukan persoalan yang memerlukan jawapan. 
                “Mak, jangan tinggalkan Rahim.  Rahim janji takkan malas, tak nakal lagi, akan rajin belajar!  Akan turut kehendak emak.  Tolong jangan tinggalkan Rahim, ya mak?”  kata Rahim beria-ia benar.  Semakin erat pelukan emaknya.  Semakin utuh kasihnya. 
                “Yalah… lemaslah emak Rahim peluk kuat sangat,”  Mak Lijah tersenyum riang.  Sengaja dia menyorok di rumah jirannya  di hujung kampung.  Baru anaknya tahu jika dia tiada kepada siapa dia akan bergantung.
                Mak Lijah menarik tangan  Rahim duduk di pangkin  yang terletak di tepi pintu utama rumah mereka.  Wajah suram anaknya ditatap seketika.  Dia ketawa nipis. 
                “Rahim risau tak, bila tengok emak tak ada?” tanya Mak Lijah perlahan
                “Tentulah risau, siapa nak jaga Rahim kalau emak tak ada,”  jawab Rahim, pilu masih berlagu di hati. 
                “Ada yang lebih sayang dan kasihkan Rahim yang akan jaga Rahim kalau emak tiada, DIA sentiasa dekat dengan  Rahim, sentiasa ada dengan Rahim.  Cuma Rahim tak tahu dan tak ingin ambil tahu.  Rahim sibuk dengan kemalasan Rahim.  Sibuk dengan gitar Rahim, bertemu dan berbual dengan DIA pun Rahim tak nak.  Mak dah suruh, Rahim buat tak tahu sahaja.”  Mak Lijah mengeluh.
                “Mak sengaja tinggalkan Rahim tadi ya?” tanya Rahim.
                “Tak kisahlah, sengaja atau tidak, yang pasti, suatu hari nanti mak akan tinggalkan Rahim juga.  Mak nak sebelum mak tutup mata, Rahim  sudah berjaya, bukan sahaja di dunia, tapi juga di akhirat.  Itu sebab mak suruh Rahim rajin bersolat, sebab dengan solatlah Rahim dapat berhubung dengan ALLAH, DIAlah yang menjaga Rahim siang dan malam.  Mak mana ada jaga Rahim sepenuh masa.  Ada masa mak tidur, mana mak ada ingat dengan Rahim.  Tapi ALLAH tak tidur, ALLAH sentiasa ada, setiap masa.  Rahim faham tak maksud mak?”  Mak Lijah mengangkat dagu anaknya.  Wajah polo situ ditenung lama.  Dia ingin tengok anak bongsunya berjaya seperti anak-anaknya yang lain.  Bukan tiada motivasi diri, bukan tidak ditegur, tetapi sikap  buruk yang meracun hati anaknya telah membuat anaknya sukar menerima teguran, sukar untuk berubah.  Sehingga dia tekad menyorokkan diri.  Habis sudah usahanya memujuk anak bongsunya itu agar berubah. 
                Rahim mendengar butiran bicara emaknya.  Benarlah, jika emaknya tiada, dia masih ada yang menjaga.  Tetapi hubungannya dengan yang menjaga dirinya tidak baik.  Rahim mengeluh sendiri. 
                “Emak  harap sangat, Rahim berubah menjadi manusia yang berguna, bukan untuk emak, tapi untuk diri Rahim sendiri. Bolehkan Rahim?  Jangan buang masa melakukan perkara yang tidak menguntungkan diri sendiri, seperti melepak di hadapan kedai Ah Seng, melalak tanpa tujuan, orang tengok pun sakit hati, malu emak tahu tak?  Orang kata anak mak muka tembok.  Cuba Rahim duduk di tempat emak?  Bagaimana Rahim rasa?”  Nasihat Mak Lijah lagi. 
                Rahim menunduk, memikirkan kata-kata emaknya yang bernas itu.  Memang salah dirinya, melepak tanpa memikirkan kesannnya kepada emaknya sendiri.  Sering dipanggil oleh pihak sekolah kerana kemalasan dirinya dan sering ponteng sekolah.  Rupanya emaknya malu dengan dirinya. 
                “Maafkan Rahim, mak,”  tuturnya lembut.  Rahim memeluk Mak Lijah erat.  Dia akan cuba buang sikap malasnya.  Dia akan berusaha untuk berjaya dalam pelajaran.  Rupa tidak boleh diubah tetapi sikap boleh berubah. 
                Mak Lijah tersenyum riang.  Tidak sia-sia dia menyorok tadi.

No comments:

Post a Comment