AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 20 November 2014

PENTINGNYA MENYIMPAN

                Matanya liar memerhati sawah padi yang ditenggelami air bah.  Sekali air bah ranap  petak sawahnya yang dipenuhi padi  sedang menguning.  Hanya tunggu waktu untuk mengutip hasil.  Memandang dengan mata berkaca dan hati yang kecewa.  Habis usahanya beberapa bulan ini.  Pijar jiwanya. Nanar hatinya.  Hendak salahkan siapa?  Cuaca dan alam?  Zarul mengeluh berat.  Dari mencangkung dia bangun berdiri, mencekak pinggang, memandang sekali lagi, tak pernah puas dan tak pernah putus matanya melekat di petak sawah yang dipenuhi air.   Habis pokok padi direndami air banjir.  Sekali lagi keluhan berat terlahir. 
                “Pergilah berehat, mandi dan solat. Kalau pandang sampai terkeluar anak mata itu pun tak mampu mengubah keadaan,”  kata Mak Jemah dari hujung tangga.  Memahami perasaan anaknya itu.  Dia sendiri kecewa.  Sudah ada angan-angan yang terpasang jika hasil padi  dapat dituai hujung bulan ini.  Nampaknya tidak kesampaianlah.
                “Tiba-tiba hujan, tiba-tiba air naik,” kata Zarul.  Dia memejamkan seketika matanya.  Ralat dengan apa yang berlaku.  Hanya beberapa waktu sahaja lagi, padi-padi itu akan dituai. 
                “Sabarlah… adalah hikmahnya,” nasihat Mak Jemah.  Apa lagi yang boleh dibuat.  Selain bersabar dengan ujian yang berlaku. Bukan kehendak mereka, bukan salah alam, dan bukan juga salah ALLAH SWT.  Sudah ditentukan kejadiannya begini, tentu ada sebabnya.  Tentu ada hikmahnya. 
                “Yalah mak…  nampaknya terpaksalah tangguhkan lagi program kita tu,”  kata Zarul lirih.
                Mak Jemah terdiam.  Tidak mampu menyambung kata-katanya.  Tangguh lagi?  Mahukah orang sebelah sana menunggu?  Inilah jadinya jika hidup bergantung dengan hasil pertanian terutama sawah padi yang sekangkang kera.  Hendak besarkan rumah, tunggu duit padi,   hendak pergi umrah tunggu duit padi, hendak kahwin pun tunggu duit hasil jual padi.  Kalau sudah jadi seperti ini, hendak harapkan apa lagi?
                Zarul melangkah perlahan, menaiki anak tangga kayu masuk ke dalam rumah.  Hatinya yang sebal bertambah parah memikirkan janji yang telah dibuat.  Harapan tinggal harapanlah jawabnya ini.  Berat kepala otaknya memikir, berat lagi hatinya yang sarat dengan harapan orang lain.  Hendak dipujuk hati menerima apa yang berlaku dengan berlapang dada, bagaikan tidak kuat pula.   Lemah mencengkam sanubari, terasa gigil langkah yang diatur.  Kecewa menusuk ke dalam jantungnya. Dia tahu emaknya juga kecewa, harapan tinggal harapan.  Mungkin bukan waktunya.  Mungkin di lain waktu dan ketika. 
***

                Usai banjir surut, pokok-pokok padi yang tumbang  menyapa tanah dipandang dengan mata berkaca.  Mahu menangis rasanya.  Tidaklah boleh dituai kembali, padi basah dan rosak.  Kenalah bersihkan sawah, dan mula membajak kembali.  Zarul yang memakai kasut but  melangkah masuk ke dalam petak sawah.  Dia menyentuh  pokok-pokok padi yang rebah menyembah bumi.  Air matanya tumpah juga.  Dia telah menghampakan perasaan emaknya.  Dia telah gagal memenuhi impian emaknya.  Impiannya juga.
                Setelah membersihkan petak sawah yang luasnya beberapa relung itu, dia kembali ke rumah. Matahari sudah tegak berdiri di kepala.    Dia mengesat peluh  di dahi, muka dan lehernya.  Emak yang duduk di kaki tangga memerhatikan dia bekerja, dipandang sekali imbas sahaja.   Zarul melangkah mendekati emaknya.  Dia melakarkan senyuman.
                “Tadi mereka ada telefon, bertanya.  Apa kita nak cakap?”  tanya Mak Jemah.  Wajahnya   muram.
                “Tak apa, nanti Zarul telefon balik,”  Zarul duduk di sebelah emaknya.    Dia menarik tangan emaknya.  Dia mengusapnya lembut.
                “Mak… biar Zarul keluarkan duit simpanan Zarul itu.  Nanti bila dah tanam semula, padi dah masak, kita gantilah balik,” cadang  Zarul.  Dia ingin juga memenuhi impian emaknya.
                “Tak boleh!  Itukan duit untuk Zarul kenduri hujung tahun ini,”  Mak Jemah menolak.
                “Insya-ALLAH, adalah rezeki yang lain nanti.  Mak jangan bimbang,”  jelas Zarul.
                Mak Jemah serba salah  Dia tidak mahu menggunakan duit simpanan anaknya, demi memenuhi impian dan cita-citanya.   Siapa lagi yang hendak diharapkan.  Zarullah satu-satunya anak yang dia ada.  Susah senang dengan Zarullah.  Perit, manis, pahit semuanya dengan Zarul.  Sejak arwah suaminya meninggal tiga tahun yang lalu. 
                Zarul mengeluh di sisi emaknya.  Sejak kematian arwah ayah, dialah yang menjaga emaknya.  Dia anak tunggal, siapa lagi yang hendak diharapkan untuk menjaga emaknya, tanah sawah dan tanah kebun milik keluarganya.  Dia tinggalkan pekerjaannya di Bandar demi berbakti kepada emaknya.  Dia tinggalkan kerjanya demi berbakti  pada tanah.    
                “Nantilah Zarul fikirkan ya mak…”  Zarul melepaskan genggaman tangan emaknya.  Dia menaiki anak tangga.  Dia tidak boleh menghampakan perasaan emaknya.    Dia masuk ke dalam bilik.  Rumah papan tiga bilik itu semakin usang dimamah alam.  Dia mengambil buku banknya.  Melihat jumlahnya.  Dia tersenyum.  Masih cukup untuk memenuhi impian emaknya dan impian dirinya sendiri.  Semoga ALLAH permudahkan jalan untuknya.
***
                Wajah Mak Jemah sayu.  Matanya berkaca dan tidak  berkelip, memandang tiket di tangan dan rumahnya juga akan dibina baru.  Semuanya atas jasa Zarul, anak tunggalnya.  Dia akan ke Mekah menunaikan umrah. Impiannya sejak dahulu lagi.  Dia pernah menunaikan haji dengan arwah suaminya.  Ingin pergi sekali lagi, namun tidak mampu, akhirnya dapat juga dia menunaikan umrah dan memenuhi impiannya sendiri.  Usai balik dari umrah nanti, Zarul akan mendirikan rumah tangga.  Syukur kepada ILAHI.  Rupanya duit simpanan arwah suaminya  dan simpanan Zarul memang mencukupi untuk menyelesaikan masalah mereka.  Dia juga baru sahaja mendapat tahu, pihak kerajaan akan membayar sedikit imbuhan kepada para petani yang  sawah mereka dilanda bah.
                “Alhamdulillah, mak. Akhirnya dapat juga mak tunaikan umrah, dan rumah ini pun kita boleh perbaiki,” kata Zarul gembira. 
                “Yalah Zarul, kalau kita sabar dengan ujian yang melanda, pasti nikmat kurniaan ILAHI akan berganda-ganda hadirnya.”  Mak Jemah tersenyum puas. 
                Zarul tersenyum senang.  Sawah yang sudah dibersihkan dan bakal menanam semula dipandang dengan mata gembira.  Semoga cuaca akan kembali cerah.  Duit yang telah digunakan, akan dikembalikan nanti setelah dapat hasil padi yang akan datang.  Duit simpanan untuk masa susah seperti hari ini.  Entah bagaimana keadaannya jika tiada duit simpanan itu.  Dalam hati dia menanam azam, akan terus menyimpan biarpun hanya sedikit.  Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.  Inilah hikmahnya, ALLAH SWT memberi peringatan agar dia berjimat cermat dan menyimpan untuk menghadapi  hari susah. Cuaca tidak selalu cerah, langit tidak sentiasa bercahaya. 

No comments:

Post a Comment