AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 22 November 2014

SESALAN TIDAK TERUCAP

                Air mata sudah tidak mahu mengalir lagi.  Sudah penat dia berfikir, sudah penat dia termenung, sudah letih dia berharap.  Semuanya hanya palsu, semuanya hanya omongan kosong sahaja.  Kepada siapa dia harus mengadu? Kepada siapa dia harus berharap?  Nasi sudah menjadi bubur.  Jiwanya sudah parah, sakit dan terluka.  Penipuan demi penipuan terpaksa ditempuh demi memberi kehidupan kepada anak yang baru sahaja dilahirkan beberapa minggu yang lalu.  Ke mana suaminya pergi?  Kenapa sehingga ke hari ini tidak pulang ke rumah?  Tidak mahukah melihat anak ini?   Wajah kecil yang comel dan polos itu ditatap dengan penuh kasih dan sayang.  Diangkat dan dipeluk dengan erat.  Dicium berkali-kali.  Matanya mula berkaca.  Dia tidak memikirkan tentang dirinya, tetapi anak ini.
                “Apa kau nak buat sekarang ini, Rahmah?  Takkan  suami kau tak datang jemput kau?”  tanya  Zaitul.  Simpati menerpa di hati.  Kasihan pula melihat nasib kawan baiknya itu. 
                “Entahlah Zai, aku telefon berkali-kali, langsung tak berjawab,” keluh Rahmah.  Dia sendiri bingung memikirkan nasib diri. 
                “Apa kata kau balik aje ke rumah mak kau, takkan kau nak berpantang di sini?  Aku manalah pandai jaga orang berpantang ni,”  Zaitul menghulurkan nasi yang dibawa pada Rahmah.  Dia tahu kawannya itu tiada selera makan, mungkin susah hati dengan apa  yang sedang berlaku.
                “Balik rumah?  Kau gila!  Kau sendiri tahu, orang tua aku tak izinkan aku berkahwin dengan Abang Muslim, mereka membantah keras.”  Rahmah mengeluh berat.  Hubungan yang tidak direstui oleh kedua orang tuanya.  Muslim, suaminya bukan warganegara Malaysia.  Dia orang Nepal.  Dia sahaja yang beria-ia ingin meneruskan perkahwinannya.  Dia cintakan lelaki itu separuh gila.  Lelaki itu baik dipandangan matanya.  Tiada cacat dan cela.  Melayannya bagaikan seorang puteri, siang dan malam di sisi.  Membelainya setiap masa.  Dia benar-benar rasa istimewa.
                “Habis tu, kau nak buat apa sekarang?  Takkan nak tunggu Abang Muslim kau itu?  Entah ke mana dia pergi?”  Zaitul mencebik. Ikutkan sangat rasa hati.  Diri sendiri juga yang rugi.
                “Entah-entah dia ditangkap tak?  Manalah tahu permitnya telah tamat tempoh,” teka Rahmah.
                “Mungkin juga.” Zaitul mengangguk laju.  Usai memberi mandi anak  Rahmah dan memberi kawannya makan, Zaitul bersiap untuk ke tempat kerja.  Hanya itu yang mampu dia membantu Rahmah.  

                Rahmah mendail nombor telefon beberapa orang kawan suaminya.  Dia berharap sangat mereka tahu di mana suaminya berada.   Dia menunggu dengan sabar setiap panggilan itu berjawab.  Jawapan yang diterima semuanya menghampakan.  Mereka tidak tahu di mana suaminya berada.  Dia hendak cari di mana?  Kenapa suaminya menghilangkan diri?   Hatinya dipanah duka.  Berat kepalanya bagaikan dihempap batu besar.
                Pertemuan pertama kali di tempatnya bekerja menanamkan rasa cinta yang berbunga  mekar di hati.  Dia tidak lawa, tiada lelaki Melayu yang sudi dengannya.  Badannya gempal, kulitnya hitam gelap.  Ketika Muslim mendekatinya. Dia bagaikan terpanar dengan rayuan dan kata-kata lelaki itu.  Dia bawa Muslim bertemu dengan kedua orang tuanya.  Dia berharap sangat orang tuanya merestui hubungan mereka berdua.  Tetapi hampa.  Kedua orang tuanya tidak merestui dia berkahwin dengan warga asing.  Dia sahaja yang degil dank eras kepala.  Dia pasti Muslim boleh jadi suami yang baik dan tidak akan mengecewakan dirinya.  Kenapa orang tuanya tidak memikirkan dirinya?  Lihatlah dirinya?  Siapa hendak gadis buruk sepertinya?  Untung ada Muslim yang sudi mengambilnya sebagai isteri, dari jadi anak dara tua, tidak kisahlah berkahwin dengan warga asing sekalipun.  Apa yang penting kahwin. 
                Akhirnya dia ambil keputusan berkahwin di sempadan Thailand.  Itu sahaja jalan terakhirnya setelah kedua orang tua serta adik beradiknya berkeras tidak mahu mewalikannya.  Apa lagi dayanya.  Dia sudah jatuh sayang pada suaminya.  Begitu juga lelaki itu.  Salahkah tindakannya itu?  Orang hanya tahu mencemuh, tapi dia yang menanggungnya.    Usia sudah 30-an, masih belum berumah tangga.  Cakap sana  sini, sindiran saudara mara takkan dia hendak pandang sepi.  Kahwin salah, tak kahwin pun salah.  Inikan sudah jodohnya.  Kenapa mereka tidak mahu terima?  Rahmah menelan duka di hati, biar perit dan payah terpaksa juga dia menghadapinya.  Luka yang parah, bernanah dan sakitnya masih terasa sehingga kini.  Anaknya yang lahir tanpa ayah di sisi, tanpa datuk dan nenek, tanpa ayah dan ibu saudara, tiada juga usikan dari sepupu-sepupunya.  Semakin menebal rasa sakit di sanubari.
***
                Wajah majikannya, juga majikan suami  menjadi habuan matanya yang sudah mula berair.  Berkali-kali dia bertanya,  dia inginkan jawapan yang jelas.  Dia ingin tahu apa yang berlaku.  Dia tidak mahu lagi mendengar jawapan yang tidak pasti.  Dia tidak mahu lagi mendengar pembohongan.  Dia sudah letih.  Dia sudah penat berfikir, sudah penuh takungan air matanya, kalau dibiarkan mengalir boleh banjir satu Malaysia. 
                “Saya dah larang awak berkahwin dengan Muslim, dia bukan lelaki yang baik Rahmah.  Sudah beberapa orang gadis Melayu ditipunya.  Awak adalah mangsa terbaharunya.  Dia hanya mencari wanita-wanita yang tidak cantik untuk dijadikan mangsa.  Saya pasti duit simpanan awak telah habis dikikisnya,”  kata majikan suaminya, bekas majikannya.
                Memang benar, bekas majikannya itu ada melarang dia mendekati Muslim.  Dia selalu berfikir, orang cemburu dengan kebahagiannya.  Wajah tenang majikannya dipandang dengan air mata yang mengalir laju.  Semalam dia ingin mengeluarkan duit simpanannya.  Hatinya  hancur luluh apabila melihat duit di dalam akaunnya hanya berbaki RM1.00 sahaja.  Mana pergi duitnya yang puluhan ribuan ringgit?  Duit simpanan selama dia bekerja.  Dia bukan seorang yang boros.  Dia simpan duit gajinya setiap bulan RM200.00.  Duit untuk waktu susahnya.  Lemah seluruh anggota tubuhnya.  Mana dia hendak cari suaminya? Entah-entah sudah kembali ke Negara asalnya.   Anak di dalam kendongan di peluk erat.  Dia duduk menyandar di kerusi.  Tiada siapa-siapa dan tiada apa-apa.  Bagaikan orang muflis sahaja.  Duit simpanan dikebas suami.   Dia ditinggalkan berdua dengan anak yang tidak sempat mengenali siapa ayahnya.  Hendak mengadu ke mana?  Dia berkahwin di sempadan Thailand.  Dia tidak mendaftarkan perkahwinannya.  Dia takut suaminya ditangkap, dia takut perkahwinannya dibubar.  Kerana  rasa sayang yang tidak bertepi dia lupa diri, dia biarkan dirinya sendiri teraniaya.
                “Apa harus saya buat, tuan?” tanyalah lemah.  Lirih hatinya.  Hiba menampar setiap sudut jiwanya.  Jantungnya bagaikan  terhenti berdenyut.
                “Kembalilah kepada keluarga awak, Rahmah.  Mereka akan bantu awak.  Marah mereka takkan lama,” nasihat majikannya.
                “Biarlah saya fikirkan dulu, tuan,”  Rahmah bingkas bangun.  Dia mengesat air mata yang masih berbaki di pipi. 
                “Ini ada sedikit sumbangan saya pada awak. Sudah habis pantang nanti, kembalilah bertugas seperti biasa,”  kata majikannya lagi sebelum dia berlalu pergi.
*** 
                Hilang rasa malu dan segan dalam diri.  Dia yang membuat keluarganya konon cinta sejati telah hadir dalam hidupnya.  Sejatilah sangat sehingga diri ditipu pun  tidak sedar.  Suaminya telah melarikan barang kemasnya, duit simpanan dan perabut dalam rumah.   Tidak tahu dibawa ke mana?  Rumah sewanya telah kosong sepenuhnya. Sebulan lebih dia duduk di rumah Zaitul.  Nasib baik kawannya itu tidak berkira dan sudi membantu.  Kalau tidak merempatlah dia di tepi jalan, dengan duit yang tiada di tangan.  Untung masih bekerja dan duit gaji masih diterima. Kalau tidak hendak makan apa dia dua beranak.               
                Rumah batu setingkat, laman dihias dengan bunga kertas  beraneka jenis yang sedang kembang mekar menggamit memori indah di benaknya.  Tangan kanannya mengendong  si kecil.  Tangan kiri beg pakaian dipegang kemas.  Langkah diatur perlahan, kejap mencecah bumi.  Jantungnya berdegup kencang.  Hatinya berdebar.  Takut, bimbang bercambur baur di benak fikiran.  Sunyi bagaikan tiada berpenghuni, laman yang bersih dan cantik di pandangan mata.  Emaknya memang rajin mengemas laman rumah.  Emaknya sukakan suasan bersih dan kemas.  Hiba menusuk lubuk hatinya.  Rasa sayu menembak tanpa diduga.  Mahukan keluarganya menerima dirinya semula, setelah dia mencalit arang ke muka mereka. 
                Dia berjalan mendekati pintu utama, masih warna yang sama, warna perang.  Daun pintu di ketuk perlahan sambil mengalunkan salam.   Tunggu sekekita. Dia mengetuk sekali lagi. Salam dilaungkan sekali lagi. Dia mengundur sedikit ketika daun pintu dibuka dari dalam.  Berdiri di hadapannya wajah yang amat dirindui.  Setahun dia meninggalkan keluarganya.  Kini kembali setelah hatinya disakiti.  Berpadan dengan dirinya sendiri kerana menyakiti hati keluarganya.  Inilah balasan bagi orang degil dan tak dengar cakap.
                “Rahmah?  Rahmah anak mak?”  Mak Som menerpa.  Rahmah dipeluk erat.  Hilang rasa rindu yang sekian lama bersarang di dada. 
                “Mak… maafkan Rahmah!”  Rahmah terharu. 
                “Mak dah lama maafkan Rahmah, ayah pun dah lama maafkan  Rahmah.  Masuklah…” pelawa Mak Som, girang hatinya.    Lebar senyumannya.  Matanya melekat pada si kecil yang mengeliat di dalam dukungan Rahmah.
                “Anak Rahmah?  Ayahnya mana?” Mak Som menjengah keluar.
                Ketika itu Rahmah meraung sekuat hati.  Terlalu berat dadanya menahan sedih sendiri.  Tidak mampu menahannya lagi.  Biar lepas segala perasaan yang berbuku.  Luka yang dalam, kembali bernanah semula.  Berat tanggungan hatinya.  Dia menyusahkan keluarga, pulang bersama anak yang tidak tahu apa-apa.  Suaminya telah menghilangkan diri dan tidak mungkin kembali lagi.    Dia tahu tidak semua wanita yang berkahwin dengan warga asing tidak bahagia, ada juga yang bahagia sehingga ke syurga.  Mungkin nasibnya tidak baik.  Untung hanya dirampas harta bendanya, bagaimana jika dia dijadikan keldai dadah?  Lagilah parah.  Wajah emak yang mencium dan menangis bersama-sama membuat hatinya semakin diulit resah.  Marah orang tuanya tidak lama, dia tetap anak mereka.  Darah daging mereka.  Mana mungkin dibuang begitu sahaja.  Dia sahaja yang bodoh, ikut rasa dan ikut nafsu.  Keluargalah tempat terbaik untuk mengadu.  Sesal di hati tidak tertahan lagi, ikutkan rasa binasa, ikutkan hati mati.  Semoga kebahagian menjadi miliknya dan anaknya itu.  Biar tiada  suaminya di sisi, dia akan menjaga dan membela anak itu menjadi insan berguna.   Semoga ada kemaafan dari keluarganya.  Rahmah membalas pelukan emaknya, erat.

No comments:

Post a Comment