AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 2 November 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 17


Mastura meneliti akaun syarikat. Sudah dua bulan suaminya meninggal. Syarikat berjalan lancar tanpa apa-apa masalah. Dahinya berkerut lagi. Jujurnya pegawai-pegawai suaminya menjalankan tugas. Keuntungan tahun ini pula berganda. Rezeki namanya. Tuannya sudah tiada, syarikat berjalan lancar. Pelik ke tidak? Positif, jangan salah sangka.
“Siapa yang kendalilah bahagian pemasaran?” Mastura merenung wajah setiausaha arwah suaminya. Shirley, gadis berbangsa Tionghua tapi fasih berbahasa Melayu.
“Encik Borhan, puan. Tapi dia tiada di pejabat. Keluar jumpa pelanggan syarikat,” terang Shirley.
“Saya berpuas hati dengan perjalanan syarikat. Keuntungan juga berganda. Rasanya saya boleh buat keputusan, kan? Bonus tahun ini dua bulan setengah gaji,” ujar Mastura, tersenyum.
“Biar betul, puan? Tak nak tunggu pengurus bahagian HR dulu, baru puan buat keputusan?” Shirley memberi cadangan.
“Tak perlu. Saya tahu kemampuan syarikat. Awak suruh pihak HR bayar penghujung bulan ini. Ini juga adalah sedekah arwah suami saya kepada para pekerjanya. Semoga ada pahala untuknya, amin.” Mastura perlu buat sesuatu untuk para pekerja yang setia kepada arwah suaminya. Sehingga kini mereka langsung tidak meninggalkan syarikat, malah semakin memajukan syarikat. Berapa sen sangatlah bonus dua bulan setengah gaji itu, jika hendak dibandingkan dengan jasa mereka kepada keluarganya dan syarikat? Tanpa mereka, syarikat arwah suaminya tidak akan terus maju dan mampu bersaing dengan syarikat besar di luar sana.
“Terima kasih, puan.” Shirley tersenyum gembira.
“Bagaimana dengan projek perumahan kita di Sungai Buluh, berjalan lancar?” Mastura meneliti fail yang mengandungi butiran projek perumahan di Sungai Buluh. Kawasan yang sedang pesat membangun.
“Semua butiran ada di dalam fail, puan. Ketua projek Encik Razif dah memuat naik semua butiran ke dalam fail tu. Tiak lama lagi siaplah tu. Masih mengikut jadual perancangan kita sebelum ini,” jelas Shirley.
Mastura berpuas hati dengan penerangan yang diberi serta segala laporan tentang projek perumahan milik syarikat suaminya.
“Bagaimana dengan projek rumah kos rendah? Sudah mula ke?”        
“Dah, puan. Kalau tak salah sudah 50 peratus siap.” Shirley menerangkan butiran projek. Kerjasama dengan kerajaan tempatan.
“Terima kasih, Shirley. Bawakan saya air kosong.” Mastura menutup semula fail tersebut. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi yang menjadi tempat duduk suaminya. Sewaktu arwah masih hidup dia jarang datang ke syarikat tersebut. Takut bertembung dengan ibu mertuanya. Dia bukan berminat menguruskan syarikat yang besar itu tetapi terpaksa. Dia tahu Katrina tentu tidak akan mahu, Ibu mertuanya, entahlah. Dia memicit dahinya sendiri. Gambar dia, bersama suami dan Maria masih kemas duduknya di meja kerja itu. Rindu masih berbaki. Tidak mungkin padam dengan begitu cepat.
Mastura memandang persekitaran pejabat melalui cermin di bilik arwah suaminya. Para pekerja tekun melakukan tugas masing-masing. Bagaikan tiada apa yang berlaku dan berubah. Semuanya berjalan lancar. Dia berasa pelik namun tidak mampu terluah dengan kata-kata. Nanti orang fikir dia gila. Tidak mungkin sebuah syarikat masih beroperasi dengan baik sedangkan pemiliknya sudah tiada. Mungkin ada, tetapi bukan semua. Syarikat yang masih ada pemiliknyapun kadang-kadang goyah.

Usai segala urusan di pejabat, dia singgah sebentar di Pasaraya Giant untuk membeli barang keperluan. Terasa lapang fikiran apabila berjalan sendirian. Troli ditolak perlahan. Dia mengambil barang-barang keperluan yang sudah siap disenaraikan. Keperluan dapur juga dia yang terpaksa uruskan kini. Ibu mertuanya tidak mengambil tahu pula.
Bertambah parah apabila semua harta di bawah pengawasannya. Senyuman terukir di bibir apabila terkenangkan hal tersebut. Berjaya juga dia mendapatkan milik Maria tanpa perlu bekerja keras. Tidak perlu merayu atau saman menyaman. Kalau mereka hendak menyaman, terserah, bila-bila masa. Rasa hendak ketawa pun ada. Baru mereka tahu siapa dirinya. Dia tidak akan membiarkan dirinya dibuli. Kalau dia boleh ketawa, sudah pasti dia akan ketawa kesukaan yang amat sangat.
‘Kau ingat senang kau nak permainkan aku?’ detik hati kecilnya. Padan muka keluarga Ashraf!
Mereka fikir budak kampung seperti dia boleh dikotak katikkan, dipermainkan. Dipersendakan? Dia tidak akan membiarkan diri terus dihina, dicaci hanya kerana dia budak kampung dan tidak berpelajaran. Dia ada hati, ada rasa. Apakah mereka fikir dia boleh terima bulat-bulat dan redha setiap cacian yang lahir dari bibir mereka? Silap orang.
Langkah diayun penuh gaya, janda kaya, itulah statusnya sekarang. Tidak lagi perlu ada kerisauan di hati jika harta milik suaminya akan jatuh ke tangan ibu mertuanya semula. Begitu juga dengan madunya yang tidak sedar diri itu. Dua bulan sudah berlalu. Yang mati biarlah bersemadi dengan aman. Yang hidup perlu teruskan kehidupan. Mastura sudah berkira-kira hendak bercuti dengan anaknya. Ke mana? Belum ditentukan lagi.
“Helo, apa ini satu kebetulan?” Satu suara menyapa lembut.
Mastura laju menoleh. Lelaki ini lagi? Buat apa dia di sini? Benarkah kebetulan? Mastura memaniskan senyuman.
“Buat apa di sini?” tanya lelaki itu lagi.
“Joging,” jawab Mastura selamba.
Pecah tawa lelaki itu. “Ops! Membeli-belah, kan?” katanya dengan tawa yang masih berbaki.
“Tahu tak apa. Awak… terlupa pula nama siapa ya?” memang benar Mastura lupa nama lelaki tersebut. Hanya pertama kali mereka berjumpa, selepas itu berpisah.
“Adrian.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya semula.
“Oh ya, Adrian. Maaflah dah semakin tua. Ingatan pula tak berapa baik.” Senyuman masih terukir di bibir.
“Sudah terlanjur berjumpa, harap kali ini awak tak menolak?”
“Maksudnya?” Kening Mastura bertaut.
“Saya belanja awak minum. Boleh, kan?” Adrian menunduk hormat.
“Saya?” Mastura serba salah. Tidak manis pula dia keluar minum dengan seorang lelaki lain. Apatah lagi dengan statusnya sekarang. Nanti jadi buah mulut orang pula.
“Kita berada di tempat awam, bukan di tempat sunyi atau hanya kita berdua,” ujar Adrian, bagaikan memahami apa yang terlintas difikiran Mastura.
“Okeylah, saya beli barang keperluan dulu. Lepas tu kita minum di kedai berhampiran ajelah.” Akhirnya persetujuan diberi oleh Mastura.
“Terima kasih.” Adrian tersenyum bahagia. Umpan mengena. Mereka berjalan seiring menolak troli masing-masing sambil berbual mesra.

Berkerut seribu dahi Katrina menahan marah dan geram di hati. Jantan tidak guna! Mahu sahaja dia menyerang madunya dan lelaki tersebut. Sudah pandai menikamnya dari belakang. Adakah agenda lelaki tersebut mendekati madunya? Baru minggu lepas mengajaknya berkahwin, hari ini sudah berani menegur musuhnya. Terbantut seleranya hendak menikmati KFC. Dia mencapai beg tangannya dan berlalu keluar dari restoran tersebut. Dia melangkah masuk ke dalam pasar raya. Hendak melihat sendiri drama lakonan lelaki tersebut bersama madunya.
Baru sahaja kematian suami, takkan sudah hendak cari pengganti? Pengganti itu adalah teman lelakinya sendiri. Dasar perempuan yang suka merampas hak orang lain! Dahulu merampas Ashraf daripadanya, sekarang Adrian pula. Tak guna!
Langkah semakin laju, terhendap-hendap bagaikan pencuri. Sesekali menyorok di sebalik barang. Memerhati kelakuan dua manusia yang bagaikan menghina dirinya. Mereka ketawa? Aduhai! Apa agaknya yang menyentuh hati lelaki itu. Mastura pula melayan! Eeii… geramnya! Roti di tangan dipukul-pukul. Mata pelanggan yang memandang langsung tidak dihiraukan. Biarlah mereka fikir apapun, dia peduli apa. Roti itu diletak semula. Penyek. Lantaklah. Dia terus mengikut langkah kedua-dua lelaki dan perempuan itu.
Dia terus mengikut, bersembunyi bila perlu. Masuk restoran pula? Mereka minum berdua? Ini sudah melampau! Marah menghambat diri. Cemburu dan geram bertali arus. Kaki dihentak-hentakkan melepas kemarahan di dada.
‘Nanti kau Adrian!’ Dia terus keluar dari pasar raya terkenal di Malaysia itu dengan hati yang sebal, terluka dan berdarah. Tak mengapa. Mungkin mereka terserempak secara tidak sengaja. Mungkin juga Mastura tidak tahu Adrian itu teman lelaki dia. Dia akan dapatkan jawapan daripada lelaki itu nanti. Pasal Mastura, tahulah dia apa yang harus dilakukan. Mastura ingat dia boleh rampas semua hak miliknya. Tidak! Dia tidak akan benarkan sama sekali.

No comments:

Post a Comment