AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 4 November 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 18


Wajah kelat Katrina menyambut kepulangan Mastura bersama-sama barang dapur yang penuh di tangan. Katrina berdiri di muka pintu sambil mencekak pinggang. Gigi bertaut rapat menahan geram. Kalau ikut hati mahu sahaja dia sembur Mastura.
“Hei, perempuan kampung! Amboi, kubur suami kita merah lagi tahu, kau sudah pandai mengatal ya?” Melengking suara Katrina tanpa sempat memberi mukadimah.
Mastura yang baru sampai terkial-kial membawa barang masuk ke dalam rumah, berkerut dahi mendengar suara Katrina bagaikan petir yang baharu sahaja memancarkan panahannya.
“Apa kau cakap ni, Rina? Aku tak faham!” tanyanya. Barang-barang yang dibeli diletakkan di atas lantai. Wajah cemberut Katrina dipandang seketika. Hairan bin ajaib. Apa yang telah merasuk perempuan yang berada di hadapannya itu. Kemasukan iblis agaknya? Mastura mengeluh.
“Kau ingat aku tak nampak tadi? Bukan main mesra lagi. Hei, anak ikan kau ke?’ sindir Katrina.         
“Anak ikan? Aku tak beli ikan, aku beli barang-barang kering aje,” jawab Mastura.
“Jangan nak buat lawak bodoh! Tak sesuai!” Katrina menolak tubuh Mastura kasar.
“Hoi! Apa main tolak-tolak? Kau ingat aku barang ke apa?!” marah Mastura dengan tindakan Katrina.
“Ikut suka akulah! Kau sedar dirilah siapa kau! Dasar perempuan perampas!” tuduh Katrina.
“Perampas? Siapa perampas? Kau atau aku?” Mastura pula mencekak pinggang. Kalau hendak bergaduh? Dipersilakan. Dia tidak akan mengaku kalah. Perempuan di hadapannya tidak tahu siapa dirinya. Jangan main-main. “Kau keluar dengan siapa tadi?!” jeritnya.
“Dengan siapa aku keluar, itu bukan soal kau!” Tinggi suara Mastura melawan kembali.
“Kau memang perempuan murahan! Teman lelaki aku pun kau nak kebas ya?” Katrina menarik tangan Mastura, satu tamparan dilemparkan. Keras mengena pipi Mastura.
“Hoi! Main kasar ya?! Siapa benarkan kau lempang aku? Kau ingat kau ada kuasa veto nak tampar aku! Mak aku pun tak naik tangan ke muka aku tahu!” Mastura membalas semula tamparan ke pipi Katrina.
Katrina mengusap pipinya.
Mastura tersenyum sinis. ‘Dia ingat hanya dia ada telapak tangan. Aku pun ada,’ desis hati kecilnya.
Katrina mengayun tangannya dan menumbuk perut Mastura.
Aduh! Mastura tidak sempat mengelak. Senak perutnya seketika. Dia mengusap perutnya perlahan. Wajahnya mencuka. Dia memandang tepat ke muka Katrina yang sedang menyengih memandangnya.
Mastura memasang kuda-kuda. Dia mula pasang bunga silat yang pernah dipelajarinya dahulu. Dia tidak akan lupa apa sahaja yang pernah dipelajari di dalam hidupnya. Apatah lagi seni mempertahankan diri. Katrina menyerang tanpa ilmu, tunggulah serangan dia pula.
Katrina mengayun penumbuk. Mastura menangkis dengan mudah sekali. Satu tamparan di dada. Terhenyak Katrina di lantai. Mastura tersenyum sinis. Katrina tidak mahu kalah. Dia bingkas bangun. Barang-barang yang masih di lantai dicapai. Dibaling ke arah Mastura, mudah sahaja Mastura mengelak. Bertaburan tin susu, sardin, tisu dan sabun di lantai. Mastura menggeleng dan ketawa.
Katrina menendang namun tidak kena. Mastura mengelak dan menendang semula. Kali ini Katrina terjatuh di sebalik pintu. Mengerang kesakitan. Riuh rendah ruang tamu dengan suara jeritan mereka berdua. Saling bertelingkah dan berlawan.
Suti, Yanti dan Pak Yono tergocoh-gocoh datang apabila terdengar suara hiruk-pikuk di ruang tamu. Bunyi barangan jatuh membuatkan mereka kerisauan.
“Puan!” Suti memandang wajah Mastura yang berpeluh. Katrina pula mengerang kesakitan di sebalik pintu utama.
“Kalau nak berlawan, tengok dengan siapa kau berlawan! Kau fikir aku takut dengan kau!” herdik Mastura. Dia menendang kaki Katrina.
“Suti, kutip barang-barang ni! Bawa ke dapur. Perempuan tu... biarkan dia!” Mastura melangkah laju masuk ke biliknya. Daun pintu dihempas kuat. Geram menerja pintu hati. Kesabarannya tercabar. Main kasar? Dia akan balas dengan kasar! ‘Kau tidak kenal siapa aku, Katrina!’
Maria yang sedang menonton televisyen dipandang sekali imbas. Kalau tidak kerana anaknya, dia tidak akan ada di sini.

Katrina menolak tangan Suti dan Yanti yang ingin membantunya. Dahinya berkerut menahan sakit. Dia ingatkan ada asas taek kwan do, dia mampu melawan Mastura. Rupa-rupanya perempuan itu jauh lebih hebat daripadanya. Pandai bersilat. Tidak mengapa. Ini hari adalah hari dia. Kau tunggulah Mastura. Kau ingat aku akan biarkan kau menginjak-injak maruah aku! Perlahan-lahan Katrina melangkah naik ke biliknya.
Dia mengusap pipinya. Ditilik berkali-kali melalui cermin. Sedikit lebam. Perutnya yang senak disapu minyak panas. Biar hilang rasa sakitnya. Dia menghenyakkan tubuh di katil. Terasa sakit seluruh badan. Tendangan Mastura kuat juga tadi. Nyaris tidak melayang nyawanya. Memang terasa sakit tapi lebih sakit hatinya ketika itu.
Adrian! Lelaki itu juga harus diajar. Senang-senang sahaja beralih arah. Adrian fikir dia perempuan murahan agaknya? Hilang madu sepah dibuang. Ini Katrinalah. Sudah banyak dia berkorban untuk lelaki itu.
‘Tidak semuda itu kau meninggalkan aku!’ jeritnya di dalam hati. Nasib baik dia pakai seluar panjang, jika tidak tersingkap segalanya. Dia mendengus kasar sambil mengusap belakangnya yang masih sakit. Kerana lelaki tubuhnya sakit, tidak sesuai langsung!

No comments:

Post a Comment