AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 6 November 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 19


Adrian tersenyum gembira. Mastura jauh lebih baik daripada Katrina rupa-rupanya. Ingatkan orang kampung tidak pandai bergaul. Hebat berbicara. Petah berkata-kata. Ada wawasan dan cita-cita. Impian menggunung tinggi. Ingin menjadi wanita bekerjaya. Ada harta. Janda kaya. Dia ketawa.
Hari ini dia benar-benar puas dapat keluar bersama Mastura. Bukan sengaja atau mengikut langkah Mastura, memang secara kebetulan mereka bertemu. Tidak menyangka buah nangka jadi cempedak. Risiko tetap ada jika inginkan sesuatu yang berharga. Dia tidak akan gentar. Inilah cabaran namanya.
Bunyi telefon bimbitnya langsung tidak dihiraukan. Dia tahu siapa yang menelefon. Biarlah. Perempuan itu bukan sesiapa dan tiada apa-apa lagi di dalam hidupnya. Kini dia ada mangsa terbaharu yang jauh lebih baik. Ini Adrianlah, akan ditakluk Mastura sehingga jatuh ke tangannya. Dia keletihan. Matanya kian layu, bantal bagaikan menggamit dirinya. Akhirnya...

“Buka pintu ni, Adrian!” jerit seorang perempuan di luar rumah.
Adrian yang terlelap terkejut mendengar ketukan yang kuat di luar pintu rumahnya. Dia bergegas bangun. Nanti riuh seluruh kondo dengan suara jeritan tetamu yang tidak diundang itu. Daun pintu dibuka. Berdiri di hadapannya dengan wajah menyinga.
“Buka pintu ni, Adrian!” jerit perempuan itu bagaikan orang hilang pedoman.
“Kenapa ni? Terjerit-jerit macam Tarzan? Teringin agaknya duduk dalam hutan!” sindir Adrian.
“Amboi! Sedap ya mengejek aku? Buka pintulah!” Katrina menggoyang-goyangkan pintu gril yang berkunci dan bermanga.
“Dah jauh malam, Rina. Pergilah balik. Esok aje kita jumpa. Malulah dengar jiran tetangga.”
“Bukalah! Aku telefon langsung kau tak jawab. Kau main kayu tiga belakang aku ya? Kau ingat aku tak tahu, kau cuba rapat dengan madu aku tu! Kau ingat senang kau nak tinggalkan aku!” marah Katrina. Sejak siang tadi dia menyimpan perasaan marah dan geram. Kesakitan akibat tendangan Mastura membantutkan keinginannya untuk segera bertemu lelaki itu.
“Aku letihlah, Rina. Esok kita jumpa. Kau pergilah balik!” halau Adrian. Daun pintu ditutup semula.
“Adrian! Rian!” jerit Katrina.
Adrian menyepi. Biarlah meroyan seorang diri di luar itu. Katrina sudah tidak berharga untuknya lagi. Berkahwin? Ajak-ajak ayam sahaja. Tidak pula dia bersungguh-sungguh hendak berkahwin dengan Katrina melainkan perempuan itu berharta seperti Mastura. Dua-dua pun boleh. Kouta untuk kahwin empat masih terbuka. Seorang pun belum. Suara jeritan Katrina sudah tidak kedengaran lagi. Sudah balik agaknya. Dia merebahkan kembali tubuhnya di katil. Baiklah tidur, esok barulah dia selesai apa yang perlu.

“Tak guna! Berani dia mempermainkan aku! Dulu kasihlah... sayanglah. Sanggup tunggu aku konon! Rupanya kau permainkan aku, ya Rian!” bebel Katrina sendirian di dalam keretanya. Dia menghentak-hentak stereng. Marah meracun diri. Menjalar ke seluruh urat dan nadi. “Kau hancurkan hati aku. Kau pergi kepada perempuan tak tahu malu itu!” Hatinya panas membara, mampu membakar apa sahaja yang ada dipersekitarannya. Inilah lelaki! Jeritan batin begitu menghiris hatinya. Geram bercampur baur dengan rasa marah yang mengelegak di jiwa. “Aku benci kau Mastura! Aku benci kau!” jeritnya.
Tiada siapa yang mampu mendengarnya. Hatinya luka berdarah, menanah. Belum pernah Adrian memperlakukan dirinya seperti itu. Dia benar-benar berasa terhina. Hati dan perasaannya telah dipermainkan? Dia bukan bola, atau barang permainan yang mudah ditolak dan diketepikan. Dasar manusia yang tidak tahu diri, bisik hatinya sendiri.
Ibu mertuanya entah ke mana? Sejak pagi keluar sehingga ke malam tidak nampak batang hidung. Takkan melarikan diri? Kepalanya mula berdenyut. Migrain pula menyerang. Terlalu banyak berfikir sehingga kesihatan diri sendiri tidak terjaga.
Kereta dipandu laju meninggalkan pekarangan kondo itu. Nyanyian luka berlagu sendu. Menghiris jantung kalbu. Kepada arwah suami cinta langsung tidak bersemi, lantaran sakit hati akan kisah lama yang telah berlalu pergi. Dendam kesumat di sanubari menghenyak diri membuatkan dia sanggup hidup berkongsi. Jodoh tidak panjang, suami pergi menemui ILAHI. Kini hidup menumpang dengan ibu mertua serta madu yang tidak sedar diri. Dia meramas stereng kereta dengan kuat. Seolah-olah meramas Adrian dan Mastura yang kini menjadi racun dalam diri.
Dia berhenti sejenak di hadapan pintu pagar sebelum memandu masuk. Rumah itu bagaikan Neraka kini, menghambat luka lama bagaikan tidak mahu pergi. Katrina meraup muka dengan kedua belah tangannya. Mencari kekuatan di dalam diri. Madunya bukan calang-calang orangnya. Teruk dia dibalun siang tadi. Kesakitan masih terasa, ditambah dengan sakit di hati. Tambah berganda peritnya.
Langkah diayun dengan laju. Daun pintu dibuka dengan kasar. Rumah itu sepi, sunyi bagaikan tiada penghuni. Dia mendengus kasar. Daun pintu ditutup semula. Lampu dipasang menerangi ruang tamu.
“Kau ke mana, Rina? Dah jauh malam baru balik?” sapa satu suara.
Mahu gugur jantung Katrina kerana terkejut. Apa pula ibu mertuanya buat dalam gelap tadi? Nyaris tidak ada sakit jantung. Kalau tidak tentu dia rebah di situ juga. Wajahnya bertambah kelat. Langkah diatur mendekati ibu mertua yang duduk bersilang kaki di sofa sambil matanya tajam merenung.
“Ibu pula ke mana? Baru sekarang nampak muka?” Soalan dijawab dengan soalan.
“Ibu yang bertanya dulu, jawablah!” Halijah kurang senang apabila diri dipersoal. Jawapan masih belum diperoleh.
“Bosan duduk di rumah, baik keluar berjalan,” jawab Katrina selamba.
“Lain kali jangan balik tengah malam, kalau jiran tetangga nampak, macam mana? Kan tak manis?” tegur Halijah, matanya masih memandang wajah menantunya tidak berkelip.
“Macam tak biasa pula ibu ni.” Katrina melabuhkan punggungnya di sofa. Dia menjeling. Kurang selesa ditegur begitu. Bukan dia tidak biasa keluar malam, sudah acapkali. Kenapa kali ini tindakannya dipersoalkan. Apa yang tidak kena? Silapnya di mana?” “Ibu pula ke mana?” tanyanya semula.
“Adalah urusan ibu,” jawab Halijah. Buat apa bercerita. Nanti pecah di mulut Katrina bagaimana? Tidak pasal-pasal orang tuduh dirinya ibu mertua yang kejam. Apapun berlaku biarlah dia tanggung sendiri.
“Berahsia pula? Sejak bila?” sindir Katrina. Tiba-tiba berahsia. Sebelum ini mereka berkongsi apa sahaja, kenapa kali ini tidak? Apa yang telah merasuk ibu mertuanya?
“Sudah! Pergi tidur. Esok kita ada urusan di pejabat peguam. Ibu akan tuntut kembali harta milik ibu yang berada di tangan perempuan itu,” Halijah bingkas bangun.
“Pejabat peguam? Ibu tak ingatkah, kalau kita saman, semua harta akan jatuh ke tangan Baitulmal. Ibu mahukah?”
“Ibu rela daripada jatuh ke tangan perempuan tu!” kata Halijah kasar.
“Betul juga.” Katrina mengeyakan kata-kata ibu mertuanya. Dari jatuh ke tangan perempuan tidak sedar diri itu, biarlah disedekahkan kepada orang lain. Baru puas hati. Kalau terpaksa melawan di mahkamah, dia rela. Dia juga berhak mendapatkan separuh daripada harta tersebut.
“Menunggu kau sampai terlena ibu di sini. Tutup lampu dan masuk tidur! Jangan nak merayap pula,” suruh Halijah.
“Ibu tahu tak, siang tadi, Mastura belasah Rina. Nasib baik tak cedera parah atau patah riuk!” adu Katrina.
“Ya ke? Kau tak melawan?” Terkejut Halijah mendengarnya. Mereka bergaduh siang tadi? Sebab apa?
“Kenapa kalian bergaduh?” sambung Halijah lagi.
“Sebab perangai busuk perempuan itulah!” jawab Katrina. Tidak mungkin dia memberitahu sebab apa dia bergaduh dengan Mastura. Nanti panjang ceritanya, jenuh pula kena ulas.
“Yalah, tapi sebab apa?” Halijah tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi.
“Tak kisahlah sebab apa, ibu. Hati sedang sakit tahu tak. Dia tumbuk dan tendang Rina!” adu Katrina, geram menampal semula. Sakit hati menikam kembali.
“Kuat juga dia.” Halijah teruja ingin tahu.
“Pandai bersilat!” kata Katrina dengan hati yang mendidih.
“Wow!” Halijah mencebik. Tidak mungkin menantu sulungnya sekuat itu?
“Tak nak cerita dengan ibulah. Bangga pula?” Katrina mencuka. Dia melangkah laju menuju ke biliknya. Buat sakit hati sahaja bercerita. Bukan hendak simpati. Ingat dia cerita olok-olok agaknya.
Halijah mendengus kasar. Bukan mudah rupanya hendak menjatuhkan Mastura. Pandai bersilat? Susahlah nak upah orang pukul perempuan itu. Silap hari bulan tukang pukul masuk wad. Orang seperti itu tidak boleh diajar secara kasar. Kena buat juga secara halus. Biar padan muka.
Uncang yang berbungkus kain kuning dikeluarkan dari beg tangannya. Dia tersenyum riang. Masih ada ruang untuk dia mendapatkan semula hak miliknya. Perempuan itu harus ditendang keluar. Halijah mengatur langkah ke biliknya. Bayang Katrina sudah tidak kelihatan.


No comments:

Post a Comment