AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 11 November 2014

ULASAN SUARA TENGAH MALAM

SUARA TENGAH MALAM ( ISBN 978 967 0535 38-8)
MARIA KAJIWA
BUKU PRIMA
2013
RM19.90
518 muka surat
Cerita bermula dengan prolog mengisahkan dua orang pemuda sedang mengecat sebuah rumah banglo yang sudah lama ditinggalkan.  Sedang mereka mengecat terdengar suara kanak-kanak sedang menyanyi lagu  Cina.   Mereka berasakan rumah itu  berhantu.  BERHANTUKAH?
Adam seorang penyiasata persendirian menjejaki isterinya yang telah diculik oleh seorang lelaki bertahun-tahun lamanya.  Dalam pencariannya dia telah bertemu dengan Soffy yang akhirnya telah membantunya mendapatkan sebuah bilik untuk disewa, dia juga bertemu dengan Rafiq,  yang kebetulan menyewa di rumah yang sama.  Hampir setiap malam mereka akan terdengar suara budak menyanyi lagu Cina dan menangis sayu. 
Rumah yang mereka sewa dan tinggal bagaikan tidak terurus, terbiar, gelap dan kotor.  Namun kerana sewanya murah dan tiada pilihan mereka teruskan juga tinggal di situ.  Dalam masa yang sama Rafiq berusaha mencari bilik lain. Tidak tahan rasanya tinggal dalam keadaan begitu ditambah dengan suara kanak-kanak yang menyanyi dan menangis, buat bulu romanya meremang. 
Adam juga cuba menjejaki suara itu namun gagal.  Ditambah Mak Minah yang tidak suka bercerita dan bagaikan merahsiakan sesuatu.  Kepulangan Mazni anak Mak Minah  mengusik hati Rafiq.  Gadis itu kelihatan begitu  polos dan begitu misteri.  Rafiq cuba mendekati Mazni untuk menyelami perasaan gadis tersebut.
Pencarian Adam masih menemui jalan buntu.  Usop pula mula mengugut kakaknya untuk mendapatkan imbuhan  yang bernilai.  Mak Minah pula sering marah-marah dan bagaikan orang hilang arah.   Mazni pula bagaikan ada rahsia tersendiri.
Kehidupan mereka semua begitu misteri sehingga kita tidak sabar menghabiskannya sehingga ke garisan penamat. 
Zed lelaki yang menculik isteri Adam juga digambarkan sebagai seorang yang pendendam sehingga ke akhir hayatnya.
Adam, Rafiq dan Usop serta Mazni juga terdengar suara kanak-kanak menangis itu.  Cuma mereka tidak tahu suara siapa.  Tidak tahu hendak cari di mana?  Mak Minah langsung tidak memberi kerjasama, untuk merungkai misteri yang sedang berperang dalam diri mereka.  Apa yang bakal berlaku?  Adakah Adam akan bertemu kembali dengan isterinya?  Bagaimana dengan perasaan Rafiq terhadap Mazni setelah mengetahui rahsia tersembunyi Mazni?  Rahsia apakah itu?  Suara siapa yang menyanyi?  Benarkah rumah itu berhantu?  Hanya SUARA TENGAH MALAM yang mampu menjawabnya. 
*****  lima bintang untuk karya ini.  Puas membacanya.  Pelbagai rasa dan perisa.  Ada suka dan duka.  Tidak kurang permainan perasaan yang menyentuh hati.  Gaya bahasa yang santai dan tidak begitu memberatkan minda.  Latar tempat dipaparkan dengan baik, bagaikan melihat suasana Melaka dari mata penulis sendiri.  Plot tersusun namun sesekali ada teknil imbas semula.    Tema kekeluargaan, genre misteri.    Kepada yang suka tema dan genre begini, bolehlah dapatkan di pasaran.  Karya menarik buat hati tertarik.

No comments:

Post a Comment