Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 31 Disember 2014

ULASAN ATAS LANTAI TAKDIR



ATAS LANTAI TAKDIR
FIDA ROHANI
ALAF 21
2013
RM22.00
553 muka surat.
Cinta pertama sukar dilupakan, begitulah yang dirasakan oleh Zulfikar terhadap cinta pertamanya.  Perasaan cinta, kasih dan sayang tetap utuh, teguh di hati.  Walaupun masing-masing sudah berumah tangga.  Berkahwin kena paksa dan terpaksa kadangkala tidak membawa bahagia.  Jika suami dan isteri yang dikahwini sikap dan perangai bagaikan syaitan jantan dan betina.  Begitulah yang dirasakan oleh Zulfikar terhadap perkahwinannya dengan Shamira yang lebih tinggi pangkat dan bergaji besar daripada dirinya sendiri.  Penghinaan, cacian membuatkan hatinya terkoyak rabak, dan tidak mungkin mampu dijahit semula.  Membuatkan Zulfikar sukar melupakan kekasih hatinya, Nik Anum yang terus bertahta di hati.
Hatinya semakin  derita apabila anak gadisnya juga turut bersikap sama seperti isterinya yang langsung tidak menghormatinya sebagai seorang suami dan ayah.  Akhirnya dia meninggalkan rumah lantaran sikap isterinya semakin hari semakin  menjadi-jadi memburukkan dirinya  pada rakan-rakan di pejabat.  Ketika itu dalam hatinya hanya ada Nik Anum.  Setelah sekian lama terpisah akhirnya  mereka bertemu semula. Tetapi dalam keadaan yang berbeza, masing-masing sudah berkeluarga.
Apa yang berlaku seterusnya?  Mampukah cinta suci mereka disatukan?  Mahukah Shamira bermadu?  Bagaimana dengan suami Nik Anum?  Anak-anak mereka pula bagaimana?  Tentu ingin tahu cerita selanjutnya, kan?  Jom dapatkan karya ini di pasaran atau hubungi terus penulisnya.
Ini adalah karya ketiga yang saya baca garapan dan tulisan penulis ini.  Apa yang boleh saya katakan, setiap karya beliau mempunyai jalan cerita yang tersendiri yang tidak mampu difikirkan oleh akal.  Rasa sedih yang menyerap dalam hati bagaikan tidak mahu pergi, setiap perkataan yang terlahir bagaikan menjerut rasa, menghimpit rasa hiba, air mata mengalir tanpa henti.  Nasib baik membaca waktu malam, hanya ditemani dengkuran suami di sebelah, kalau tidak pasti ada yang bertanya, kenapa menangis?  Sebuah lagi karya kehidupan yang berlaku dipersekitaran kita.  Seorang isteri yang  rasa diri hebat kerana berkelulusan tinggi sehingga hilang rasa hormat pada seorang suami, anak-anak yang hilang rasa hormat kepada kedua orang tuanya.  Cinta pertama yang tidak pernah akan padam jika kehidupan terkini tidak lagi membawa bahagia.  Tahniah kekandaku, karya yang bagus mampu menggugat hati nurani.

Isnin, 29 Disember 2014

AKULAH PEMIMPIN




Resah mengapai diri, kebimbangan berdiri teguh di tangkai hati.  Ketakutan menerjah datang.  Apa yang harus dia lakukan?    Sebagai pemimpin Negara dia perlu berbuat sesuatu, lakukan sesuatu.   Dia berjalan mundar-mandir di bilik kerjanya yang luas dan selesa itu.  Cuaca sejuk di luar tetapi hatinya sedang kepanasan, bukan marah tetapi rasa seram yang menyelusuri setiap urat nadinya, bukan takut berjumpa hantu tetapi keadaan cuaca yang semakin buruk.  Langit menangis tanpa henti, sesekali berhenti mengalir, kemudian mengalir lagi dan lagi dan lagi…  Dia tidak tahu harus berbuat apa, keadaan di beberapa buah negeri amat menyedihkan.  Bantuan yang diberi ada yang tidak sampai.  Banyak barang keperluan harian di perlukan.  Hendak ambil dari mana?  Tidak mungkin meminta terus daripada rakyat di luar sana?  Sumbangan yang diberi tidak akan cukup sepenuhnya.  Bantuan pasti diperlukan ketika dan selepas bencana alam itu berakhir.  Apa pun dia  harus melawat kawasan yang terlibat.
                “Kita ke tempat yang paling teruk dilanda banjir!” arahnya kepada PA yang setia siang dan malam, mengikutnya ke mana sahaja.  Setia dan menunggu setiap arahan daripadanya.
                “Baik Dato…” jawapan yang klise tetapi itulah yang sepatutnya.
                Dia memandang keadaan mangsa dengan mata yang berkaca.  Hiba menghimpit diri, tidak sanggup melihat kesengsaraan mangsa terutama yang sakit tua dan tenat.  Dia mengeluh keras.  Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Mereka hanya tidur beralaskan tikar, tidak berbantal dan tidak berselimut. Selimut yang diberi tidak akan cukup, jumlah mangsa semakin hari semakin bertambah.  Tidak cukup air bersih, lampu juga begitu, bekalan air dan eletrik terpaksa ditutup kerana keadaan yang semakin teruk dan tenat.  Ada rumah yang sudah ditenggalami air sehingga hanya kelihatan bumbungnya sahaja.  Begitu juga dengan beberapa bangunan tinggi.  Hanya keluhan berat  yang keluar dari mulutnya.
                “Apa harus kita buat dato?  Bekalan keperluan tidak mencukupi,” luah salah seorang menteri yang turut ikut meninjau mangsa banjir.   
         
                Dia memandang sekali lagi wajah-wajah duka mangsa.  Dia perlu buat sesuatu.  Ini negaranya, dia yang berkuasa, dia boleh buat apa sahaja, ketepikan birokrasi, nyawa rakyatnya lebih penting dari segala-galanya.  Nyawa tiada galang gantinya.  Dia memandang wajah menteri itu lalu tersenyum.
                “Keluarkan arahan, semua syarikat makanan yang tidak terjejas dengan banjir, wajib menyumbang satu atau dua kontena barang makanan yang diperlukan.  Hubungi semua syarikat seperti Nestle, Cadbury, Gardenia dan apa sahaja yang bersangkutan. P & G, syarikat yang mengeluarkan pampers pakai buang, tuala wanita, pembuat pakaian, selimut.  Pembekal air minuman, air mineral.  Kita tidak perlu meminta pada rakyat, banyak syarikat di luar sana yang boleh membantu. Hubungi Bernas, minta mereka hantar terus beras ke tempat pengumpulan.  Semua syarikat yang terlibat kita akan tolak incometax dari sumbangan yang mereka berikan kepada mangsa banjir.  Awak rasa adakah syarikat yang menolak?”  Dia tersenyum.  Kenapa terjerit-jerit meminta daripada rakyat di luar sana.  Jika ada yang sudi membantu dipersilakan.  Waktu inilah syarikat-syarikat pengeluar makanan dan keperluan harian ini harus membantu dan bantuan mereka tidak percuma.  Mereka dapat pemotongan cukai. 
                “Dato memang bijak,”  puji menteri itu.
                “Kalau saya tidak bijak, saya tak jadilah Perdana Menteri,” selorohnya.  Mereka sama-sama tersenyum.
                Arahan dikeluarkan segera.  Siapa yang menolak jika PM yang memberi arahan, walaupun ada juga syarikat yang mempertikaikan arahan yang diberi tetapi setelah diterangkan bahawa mereka mendapat pemotongan cukai pendapatan, akhirnya mereka akur.  Barangan keperluan terus dibawa berkontena-kontena oleh syarikat yang terlibat.  Arahan seterusnya, setiap syarikat yang ada helikopter diminta menyumbangkan keperluan mereka untuk membantu rakyat yang terkandar di dalam banjir.  Para sukarelawan dikerah bekerja.  Bot-bot nelayan yang sesuai disewa untuk membawa dan menghantar barang makanan ke tempat yang terjejas teruk. 
                Semua bersatu atas nama perikemanusian.  Tidak kira berlainan agama dan ideology, semuanya berganding bahu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  Ketika ini terlihatlah kerjasama sesama rakyat yang berbilang kaum dan agama ini.  Tentera dan polis turut turun padang.  Bantuan perlu sampai segera, tidak mahu ada yang terlepas pandang.  Setiap kawasan, ceruk rantau ditinjau.  Takut ada yang terbiar tidak terbantu. 
                “Dato…  bagus tindakan dato,” puji seorang rakyat yang tidak dikenali tetapi dia amat dikenali.  Dia mengangguk perlahan.  Dia bukan minta dipuji atau dikeji,  sudah menjadi tanggungjawabnya.  Tidak akan dapat memuaskan hati sesiapa.  Jika semua saling membantu, tiada wang kerajaan atau rakyat yang dikeluarkan.  Di Negara ini banyak syarikat dan kilang mengeluarkan makanan dan barang keperluan.  Waktu dan ketika inilah mereka boleh membuat kerja amal dan mengeluarkan wang untuk membantu mereka yang memerlukan.  Tidak perlu mengeluarkan belanja menaja perkara yang bukan-bukan hanya semata-mata ingin menolak cukai pendapatan.  Ketika inilah mereka boleh melabur sebanyak mana pun, anggapan sebagai satu tajaan.   Bukan niat untuk merugikan syarikat yang sudi membantu, tetapi itulah tanggungjawab sosial mereka. Bukan selalu, tiada siapa meminta nasib malang menimpa mereka.  Bukan ada orang yang berdoa agar bencana alam ini berlaku.  Bukan kehendak sesiapa.  Bukan kehendak dia juga. 
                “Dato… semua syarikat sudah memulakan langkah mereka.  Mereka cuma minta surat perjanjian atau jaminan daripada kerajaan bahawa segala sumbangan mereka akan ditolak cukai pendapatan,”  terang PAnya. 
                “Hantar beberapa orang pegawai ke syarikat yang terlibat. Pantau barangan yang dihantar.  Saya tidak mahu ada sebarang penipuan daripada syarikat terbabit dengan menghantar barangan yang telah tamat tarikh luputnya atau barangan rosak,  hantar pegawai yang jujur, saya tidak mahu ada penipuan!  Faham!” arahnya.  Manusia ada pelbagai hati, kalau sudah kerjanya menipu, dalam keadaan seperti ini pun masih ada yang ingin menipu.    Bukan semua orang boleh dipercayai, mencari yang jujur bukan mudah.  Membantu dengan hati yang ikhlas juga payah.  Yang ramai adalah kaki komen dan hanya tahu menghentam, ketika diminta turun padang atau membantu, peluk tubuh dan angguk sahaja tanpa berbuat apa-apa.
                Beberapa jam kemudian segala arahan dipatahi,  barang-barang yang diminta sudah pun sampai ke tempat pengumpulan, dan kerja pemungahan dan pengagihan juga sudah bermula.  Dia belum boleh tersenyum bahagia, selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah tiada senyuman di bibirnya, tiada kegembiraan di hati.  Semoga usahanya yang sedikit ini dapat membantu mereka yang susah di luar sana.  Semoga ALLAH SWT mengampunkan dosanya dan dosa seluruh rakyat dibawah pimpinannya itu.  Semoga keadaan segera pulih, itulah doanya tidak henti-henti.  Akulah pemimpin, katanya dalam hati.

Ahad, 28 Disember 2014

ULASAN DIA DOKTOR HATIKU

DIA DOKTOR HATIKU
RADZ IZARA
ALAF 21
RM21.00
513 muka surat.

                Lydia Insyirah Taufik/ Lydia Taufik/Insyirah, menjadi mangsa rogol oleh adik angkat ayahnya yang bersikap rakus dan kejam.  Ketika itu umurnya baharu sahaja berusia 11 tahun.  Dia terpaksa merahsiakan hal tersebut setelah diugut oleh lelaki durjana itu.  Kuasa ALLAH mengatasi segalanya.  Lelaki itu mati dalam kemalangan jalan raya.  Insyirah berasa lega kerana terlepas dari gangguan lelaki itu.
                Masa berlalu.  Namun peristiwa hitam itu tidak pernah hilang dari ingatannya, sehinggalah dia sukar untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya, sehinggalah muncul Imran seniornya di universiti yang menaruh minat terhadapnya.  Dia menceritakan sejarah hitam yang telah menimpa dirinya.  Imran simpati dan tidak kisah dengan sejarah hitam Lydia.  Cinta antara mereka akhinya berputik.  Dalam melayari kebahagian cinta dua remaja, bagaikan cinta antara dua darjah, hubungan mereka ditentang oleh keluarga Imran kerana status antara mereka yang jauh berbeza.  Hubungan mereka juga terpisah atas sikap masing-masing yang ego dan tidak mahu mengalah.  Akhirnya mereka putus dan membawa hati masing-masing.  Adat orang bercinta, biar mulut kata benci, dalam hati tetap ada rasa kasih dan sayang. Cinta yang terpahat di hati sukar untuk dibuang pergi. 
                Bagaimana dengan hubungan Imran dan Lydia?  Adakah cinta mereka akan sampai sehingga ke jinjang pelamin?  Mahukah Datin Sairabanu menerima Lydia sebagai menantunya setelah mengetahui status dan kedudukan gadis itu?  Apa yang bakal terjadi?  Kalau hendak tahu jom dapatkan buku ini, kisah cinta remaja yang pasti mengusik hati mereka yang suka cerita sebegini.