AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 29 December 2014

AKULAH PEMIMPIN




Resah mengapai diri, kebimbangan berdiri teguh di tangkai hati.  Ketakutan menerjah datang.  Apa yang harus dia lakukan?    Sebagai pemimpin Negara dia perlu berbuat sesuatu, lakukan sesuatu.   Dia berjalan mundar-mandir di bilik kerjanya yang luas dan selesa itu.  Cuaca sejuk di luar tetapi hatinya sedang kepanasan, bukan marah tetapi rasa seram yang menyelusuri setiap urat nadinya, bukan takut berjumpa hantu tetapi keadaan cuaca yang semakin buruk.  Langit menangis tanpa henti, sesekali berhenti mengalir, kemudian mengalir lagi dan lagi dan lagi…  Dia tidak tahu harus berbuat apa, keadaan di beberapa buah negeri amat menyedihkan.  Bantuan yang diberi ada yang tidak sampai.  Banyak barang keperluan harian di perlukan.  Hendak ambil dari mana?  Tidak mungkin meminta terus daripada rakyat di luar sana?  Sumbangan yang diberi tidak akan cukup sepenuhnya.  Bantuan pasti diperlukan ketika dan selepas bencana alam itu berakhir.  Apa pun dia  harus melawat kawasan yang terlibat.
                “Kita ke tempat yang paling teruk dilanda banjir!” arahnya kepada PA yang setia siang dan malam, mengikutnya ke mana sahaja.  Setia dan menunggu setiap arahan daripadanya.
                “Baik Dato…” jawapan yang klise tetapi itulah yang sepatutnya.
                Dia memandang keadaan mangsa dengan mata yang berkaca.  Hiba menghimpit diri, tidak sanggup melihat kesengsaraan mangsa terutama yang sakit tua dan tenat.  Dia mengeluh keras.  Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Mereka hanya tidur beralaskan tikar, tidak berbantal dan tidak berselimut. Selimut yang diberi tidak akan cukup, jumlah mangsa semakin hari semakin bertambah.  Tidak cukup air bersih, lampu juga begitu, bekalan air dan eletrik terpaksa ditutup kerana keadaan yang semakin teruk dan tenat.  Ada rumah yang sudah ditenggalami air sehingga hanya kelihatan bumbungnya sahaja.  Begitu juga dengan beberapa bangunan tinggi.  Hanya keluhan berat  yang keluar dari mulutnya.
                “Apa harus kita buat dato?  Bekalan keperluan tidak mencukupi,” luah salah seorang menteri yang turut ikut meninjau mangsa banjir.   
         
                Dia memandang sekali lagi wajah-wajah duka mangsa.  Dia perlu buat sesuatu.  Ini negaranya, dia yang berkuasa, dia boleh buat apa sahaja, ketepikan birokrasi, nyawa rakyatnya lebih penting dari segala-galanya.  Nyawa tiada galang gantinya.  Dia memandang wajah menteri itu lalu tersenyum.
                “Keluarkan arahan, semua syarikat makanan yang tidak terjejas dengan banjir, wajib menyumbang satu atau dua kontena barang makanan yang diperlukan.  Hubungi semua syarikat seperti Nestle, Cadbury, Gardenia dan apa sahaja yang bersangkutan. P & G, syarikat yang mengeluarkan pampers pakai buang, tuala wanita, pembuat pakaian, selimut.  Pembekal air minuman, air mineral.  Kita tidak perlu meminta pada rakyat, banyak syarikat di luar sana yang boleh membantu. Hubungi Bernas, minta mereka hantar terus beras ke tempat pengumpulan.  Semua syarikat yang terlibat kita akan tolak incometax dari sumbangan yang mereka berikan kepada mangsa banjir.  Awak rasa adakah syarikat yang menolak?”  Dia tersenyum.  Kenapa terjerit-jerit meminta daripada rakyat di luar sana.  Jika ada yang sudi membantu dipersilakan.  Waktu inilah syarikat-syarikat pengeluar makanan dan keperluan harian ini harus membantu dan bantuan mereka tidak percuma.  Mereka dapat pemotongan cukai. 
                “Dato memang bijak,”  puji menteri itu.
                “Kalau saya tidak bijak, saya tak jadilah Perdana Menteri,” selorohnya.  Mereka sama-sama tersenyum.
                Arahan dikeluarkan segera.  Siapa yang menolak jika PM yang memberi arahan, walaupun ada juga syarikat yang mempertikaikan arahan yang diberi tetapi setelah diterangkan bahawa mereka mendapat pemotongan cukai pendapatan, akhirnya mereka akur.  Barangan keperluan terus dibawa berkontena-kontena oleh syarikat yang terlibat.  Arahan seterusnya, setiap syarikat yang ada helikopter diminta menyumbangkan keperluan mereka untuk membantu rakyat yang terkandar di dalam banjir.  Para sukarelawan dikerah bekerja.  Bot-bot nelayan yang sesuai disewa untuk membawa dan menghantar barang makanan ke tempat yang terjejas teruk. 
                Semua bersatu atas nama perikemanusian.  Tidak kira berlainan agama dan ideology, semuanya berganding bahu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  Ketika ini terlihatlah kerjasama sesama rakyat yang berbilang kaum dan agama ini.  Tentera dan polis turut turun padang.  Bantuan perlu sampai segera, tidak mahu ada yang terlepas pandang.  Setiap kawasan, ceruk rantau ditinjau.  Takut ada yang terbiar tidak terbantu. 
                “Dato…  bagus tindakan dato,” puji seorang rakyat yang tidak dikenali tetapi dia amat dikenali.  Dia mengangguk perlahan.  Dia bukan minta dipuji atau dikeji,  sudah menjadi tanggungjawabnya.  Tidak akan dapat memuaskan hati sesiapa.  Jika semua saling membantu, tiada wang kerajaan atau rakyat yang dikeluarkan.  Di Negara ini banyak syarikat dan kilang mengeluarkan makanan dan barang keperluan.  Waktu dan ketika inilah mereka boleh membuat kerja amal dan mengeluarkan wang untuk membantu mereka yang memerlukan.  Tidak perlu mengeluarkan belanja menaja perkara yang bukan-bukan hanya semata-mata ingin menolak cukai pendapatan.  Ketika inilah mereka boleh melabur sebanyak mana pun, anggapan sebagai satu tajaan.   Bukan niat untuk merugikan syarikat yang sudi membantu, tetapi itulah tanggungjawab sosial mereka. Bukan selalu, tiada siapa meminta nasib malang menimpa mereka.  Bukan ada orang yang berdoa agar bencana alam ini berlaku.  Bukan kehendak sesiapa.  Bukan kehendak dia juga. 
                “Dato… semua syarikat sudah memulakan langkah mereka.  Mereka cuma minta surat perjanjian atau jaminan daripada kerajaan bahawa segala sumbangan mereka akan ditolak cukai pendapatan,”  terang PAnya. 
                “Hantar beberapa orang pegawai ke syarikat yang terlibat. Pantau barangan yang dihantar.  Saya tidak mahu ada sebarang penipuan daripada syarikat terbabit dengan menghantar barangan yang telah tamat tarikh luputnya atau barangan rosak,  hantar pegawai yang jujur, saya tidak mahu ada penipuan!  Faham!” arahnya.  Manusia ada pelbagai hati, kalau sudah kerjanya menipu, dalam keadaan seperti ini pun masih ada yang ingin menipu.    Bukan semua orang boleh dipercayai, mencari yang jujur bukan mudah.  Membantu dengan hati yang ikhlas juga payah.  Yang ramai adalah kaki komen dan hanya tahu menghentam, ketika diminta turun padang atau membantu, peluk tubuh dan angguk sahaja tanpa berbuat apa-apa.
                Beberapa jam kemudian segala arahan dipatahi,  barang-barang yang diminta sudah pun sampai ke tempat pengumpulan, dan kerja pemungahan dan pengagihan juga sudah bermula.  Dia belum boleh tersenyum bahagia, selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah tiada senyuman di bibirnya, tiada kegembiraan di hati.  Semoga usahanya yang sedikit ini dapat membantu mereka yang susah di luar sana.  Semoga ALLAH SWT mengampunkan dosanya dan dosa seluruh rakyat dibawah pimpinannya itu.  Semoga keadaan segera pulih, itulah doanya tidak henti-henti.  Akulah pemimpin, katanya dalam hati.

No comments:

Post a Comment