AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 11 December 2014

BERCUTI DI PERLIS

















BERCUTI DI PERLIS
                Negeri Perlis Indera Kayangan, negeri kecil yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Inilah negeri tempat suamiku dilahirnya.  Mula menjejakkan kaki di negeri ini dalam tahun 1985, ketika itu aku hendak ke Langkawi bersama-sama rakan sekolah dan kedua orang tuanya.  Ketika itu negeri ini begitu asing padaku.  Usai meningkat dewasa dan bertemu jodoh dengan orang Perlis, negeri itu begitu dekat dengan diriku.   Perlis Indera Kayangan berjiran dengan negera  Thailand di sebelah utara dan Negeri Kedah di sebelah selatan.  Baru-haru ini aku  sekeluarga  bercuti di Perlis.  Awal pagi lagi, kami sudah bertolak dari Kedah ke Kuala Perlis.  Tujuan utama adalah untuk menjamu selera dan bersarapan di situ.  Walaupun sudah berulang kali menikmati laksa Kola atau Laksa Kuala Perlis, namun kesedapannya tidak pernah dinafikan.  Malah Laksa adalah menu utama di Kuala Perlis  untuk sarapan pagi selain kuih-muih dan nasi lemak.  Dahulu, waktu pertama kali aku menjejakkan kaki di Kuala Perlis, iaitu rumah mertuaku, Laksa dijual dalam bentuk ‘cap’  atau dilingkar di atas daun pisang yang dipotong kecil.  Satu ‘cap’ laksa RM0.50 sen sahaja.  Murah, kan?    Aku sendiri teruja apatah lagi dengan harga yang begitu murah, sedangkan sepinggan laksa di Kuala Lumpur ketika itu RM2.50 sepinggan.  Sekarang harga laksa sudah naik, namun masih lagi murah jika dibandingkan di tempat lain. Terdapat dua buah kedai yang terkenal menjual laksa, Kedai Kak Su dan Kedai D’Adna di pekan kecil Kuala Perlis. Tidak susah mencarinya, kalau tidak jumpa, boleh sahaja ringankan mulut bertanya kepada penduduk di situ.

                Usai sarapan dan menikmati beraneka jenis kuih-muih yang lazat serta semangkuk laksa, kami ke sebuah kedai menjual beraneka jenis kuih-muih tradisional Melayu, kerepek, maruku dan pelbagai lagi tidak berapa jauh dari situ.  Harganya murah dan rasanya tentulah sedap.  Setiap kali balik, pasti saya akan singgah beli.  Selepas itu  kami bertolak ke Padang Besar.  Gedung membeli belah yang terkenal di  negeri Perlis selain Wang kelian.  Tempat yang selalu menjadi tumpuan para pelancung yang singgah di Perlis atau Kedah.  Tujuan utama adalah untuk membeli jubah untuk anak-anak yatim yang dijaga oleh suamiku.  Memang murah.  Anak-anak kepenatan tetapi mereka seronok.  Kalau sebut Padang Besar pasti terbayang di ruang mata kita, barisan barangan pinggan-mangkuk, periuk belanga dan pakaian dengan harga berpatutan yang boleh dirunding harganya.  Pastikan datang waktu bukan cuti sekolah, jika tidak hendak cari tempat letak kereta pun susah, malah barangannya jauh lebih mahal.  Jadi kenalah pandai sesuaikan waktu untuk ke sana.
                Selesai membeli beberapa barang keperluan, kami menuju ke Gua Kelam yang terletak di daerah Padang Besar Utara.  Tempatnya yang dingin, berhutan dan sesuai untuk mereka yang cintakan keindahan alam.  Deruan air sungai yang menyapa telinga, memang mengasyikkan.  Kesejukan gua yang gelap dan hanya diterangi lampu di beberapa tempat agak menyeramkan juga kalau jalan  berseorangan.  Tidak pernah masuk ke dalam gua tersebut.  Waktu menyusurinya, telinga kita akan mendengar laluan air yang laju arusnya.  Warna airnya agak keruh, mungkin agaknya baharu sahaja lepas hujan.  Setelah penat berjalan melalui jambatan kayu yang merentangi kawasan tersebut, akhirnya tiba di satu kawasan lapang,  cantik sekali, sesuai sangat jika ingin mencari ilham bagi seorang pencinta alam.  Boleh berkhemah dan berkelah di situ.  Di luar Gua Kelam juga ada tempat rehat disediakan dengan pondok dan kerusi untuk beristirehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.  Mulanya hendak mandi-manda di situ tetapi memandangkan airnya yang agak keruh, kami batalkan niat tersebut.
                Kami seterusnya ke Batu Pahat, Perlis.  Ada Bukit Air, Taman Ular, Taman Burung, Taman Herba, Ladang Anggur juga terdapat di kawasan tersebut.  Jika ke tempat itu selain boleh mandi-manda boleh juga melawat beberapa tempat yang saya sebutkan tadi.  Terdapat sebuah resort di situ tetapi bagaikan terbiar.  Tempat yang cantik dan jika dipromosikan dengan baik pasti menjadi pilihan pelancung dari dalam dan luar Negara.  Kami akhirnya bawa anak-anak mandi-manda di Bukit Air.  Air terjunnya besar dan cantik.  Mungkin musim hujan, maka airnya laju dan agak keruh sedikit.   Ramai juga pengunjungnya ketika itu.  Kawasannya tidaklah terlalu bersih, namun masih boleh diterima.  Bau najis beruk dan monyet menyengat hidung.  Terdapat beberapa buah gerai menjual makanan ringan.  Ada sebuah rumah pondok dijadikan surau untuk mereka yang ingin bersolat.  Bilik air juga disediakan tetapi kurang bersih.  Mungkin pihak-pihak yang berkenaan boleh memperbaiki lagi keindahan tempat tersebut, terutama bilik airnya.  Jika perlu berbayar rasanya tiada siapa yang akan merungut.  Apa yang penting kepuasan mandi-manda di situ.  Memang cantik dan menarik sekali.  Salah satu tempat yang menarik  untuk bawa keluarga bercuti bersama-sama.  Dua jam mandi-manda di situ, setelah membersihkan diri baharulah kami bertolak kembali ke Kedah.  Banyak lagi tempat di Perlis yang tidak sempat dijelajahi seperti Bukit Kubu, Wang Kelian dan Tasik Melati. Kepada yang ingin mencari tempat bercuti.  Perlis adalah tempat yang sesuai.

No comments:

Post a Comment