AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 19 December 2014

ULASAN LUKANYA MERAH



LUKANYA MERAH
ROHANI DERAMAN
DBP
2013
657 muka surat

                Tanah Selatan diganggu gugat dengan pembunuhan demi pembunuhan.  Penduduk persekitaran Pattani dan Yala kebingungan, tidak tahu kenapa mereka ditembak dan dibunuh.  Mereka tidak lagi bebas di tanah air sendiri.  Semuanya bermula apabila sekeping surat sampai ke  tangan pemerintah  meminta kemerdekaan untuk Tanah Selatan.    Natijah dari itu kehidupan di Tanah Selatan tidak aman lagi. Ditambah dengan batu api yang menabur fitnah kononnya para ustaz dan guru agama sedang mengajar para pemuda agar memberontak.  Seorang demi seorang guru agama ditembak dan dibunuh.  Pembunuhan tidak pernah berhenti.  Di mana-mana sahaja di Tanah Selatan bermandi darah, tidak kira di mana sahaja, di hutan, di dalam masjid, semuanya menjadi sasaran.  Senjata tidak bermata menembak sesuka hati. Tidak kira tua atau muda.  Itulah yang dialami oleh Mek Romah apabila kehilangan suami dan dua orang anaknya di hujung senjata yang tidak mengenal sesiapa. 
                Mek Romah bangkit  bersemangat untuk menentang pemerintah yang telah menafikan hak penduduk Tanah Selatan.  Keamanan yang selama ini dinikmati oleh penduduk Tanah Selatan dimusnahkan hanya kerana salah faham dan syak wasangka.  Kehilangan orang tersayang telah membakar semangatnya untuk berjuang menentang ketidakadilan  pihak pemerintah.  Mek Romah sanggup buat apa sahaja, berkorban harta dan tenaga demi perjuangan yang belum selesai.  Dia berani dan tegas.  Seorang wanita tua yang berani, cekal dan bercita-cita tinggi.  Semangatnya harus ada dalam diri setiap wanita di dunia ini.  Bukan sahaja untuk mempertahankan diri sendiri tetapi Mek Romah mampu mempertahankan tanah airnya sendiri.  Semangatnya bukan hanya terlahir dari kata-kata yang kosong.  Dia  tekad  membela  kedaulatan tanah airnya yang diceroboh sesuka hati oleh pemerintah yang tidak berperikemanusiaan. 
                Berjayakah Mek Romah merealisasikan impian seluruh penduduk Tanah Selatan untuk bebas Tdari cengkaman pemerintah yang kejam itu? Bagaimana nasib penduduk Tanah Selatan?  Mampukah mereka mendapatkan kembali kebebasan dan keamanan di Negara mereka?   Bagaimana Mek Romah berjuang menentang pemerintah?  Hendak tahu?  Boleh dapatkan karya ini.

                Gugur air mata ketika membaca karya ini.  Apa yang berlaku di selatan Thai yang kita tonton di kaca televisyen bagaikan menari-nari di mata.  Pembunuhan beramai-ramai di Takhbai meremuk rasa.  Geram, marah dan semangat Mek Romah menghenyak diri.  Perjuangan seorang wanita tua, berani, tangkas dan cekal orangnya.   Karya hebat yang sepatutnya menjadi pilihan para peminat buku di Malaysia.  Selami perasaan penduduk Selatan Thai seperti Mek Romah yang terpaksa hidup menumpang di tanah air sendiri.  Hak mereka dinafikan hanya kerana bukan mereka yang memerintah.  Agaknya beginilah nasib kita, jika tanah air kita diperintah oleh orang asing.  Semangat dan kasih sayang  seorang warganegara kepada negaranya sendiri terpancar pada watak Mek Romah, Mak Khosim, Haji Mat Daud, Siti Aishah dan Fatma.  Perjuangan belum selesai selagi menjadi hamba di tanah air sendiri.

No comments:

Post a Comment