Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 30 Januari 2015

Ulasan UNTUKMU

UNTUKMU
AZILAH WAHAB
2005
CREATIVE  ENTERPRISE SDN. BHD
RM22.90
468 Muka surat.

    Alia Zulaikha seorang gadis kampung  yang sopan, sentiasa  menjaga tatasusila seorang gadis Melayu dan beragama Islam.  Seorang pelajar universiti dalam bidang arkitek.  Bercita-cita ingin mengubah nasib keluarganya.  Terpaksa melupakan cinta pertamanya lantaran tidak direstui oleh keluarga sebelah pihak lelaki kerana kemiskinan keluarganya.  Dia redha dengan apa yang berlaku. Sudah tertulis bukan jodohnya dengan rakan sekolahnya itu.

    Di universiti Alia berkenalan dengan Rambo@ Azlan yang dikenali melalui FB.  Di situlah bermula kisah cinta mereka.  Dari hanya kawan biasa, akhirnya mereka terjebak dalam dunia percintaan.  Alia sentiasa keluar bersama Azlan, adat muda-mudi melepaskan rasa rindu di hati, jika tidak berjumpa, perasaan itu  terbuku, meresahkan jiwa.  Suatu hari mereka keluar bersama, kereta mereka rosak dalam perjalanan pulang ke rumah sewa Alia.  Kerana sudah jauh malam, mereka terpaksa bermalam di sebuah hotel.  Saat duduk berdua-duaan, ketika itu ‘orang’  ketiga datang bersama.  Mereka  kalah dengan amukan nafsu sendiri sehingga terjadinya perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pasangan yang belum dijabkabulkan. 

    Penyesalan hanya seketika, jiwa dan rakusan nafsu membuatkan mereka terus hanyut dalan noda dan dosa.  Usai tamat belajar, Azlan telah masuk meminang.  Namun masa terus berlalu, Azlan masih belum mahu menamatkan status mereka sebagai pasangan yang sudah bertunang.  Azlan masih belum bersedia untuk berkeluarga.  Alia berasa bersalah kerana mereka sudah hidup seperti pasangan yang sudah berumah tangga dan dia pula disahkan mengandung.  Dia tidak mahu lagi bersulam dosa, perkara itu perlu dihentikan segera.  Azlan pula tidak bersedia lagi dan meminta Alia menggugurkan kandungannya.  Alia mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan mereka. Belum sempat perkara itu berlaku, Alia ditimpa   kemalangan.  Bertahun dia berada di dalam keadaan koma.   Waktu dalam keadaan begitu, dia mengalami mimpi aneh.

    Azlan  dalam duka, dia kehilangan pekerjaan dan atas bantuan Fara Diba, rakan sesama di universiti dahulu, dia   mendapat pekerjaan.  Fara Diba telah lama mencintai Azlan, tetapi cintanya tidak berbalas.  Demi memiliki Azlan, dia sanggup memerangkap dirinya sendiri, asalkan  Azlan menjadi miliknya.  Perkahwinan mereka tidak bahagia.  Azlan tidak pernah melayan Fara Diba seperti seorang isteri.  Kekecewaan di hati, membuatkan Fara Diba mencari keseronokkan di luar bersama bekas teman lelakinya Syafiq.  Pada mulanya lelaki itu menolak, namun jika terusan dirayu, akhirnya dia kalah dengan rayuan Fara Diba.  Berasakan rumah tangganya tidak mampu memberi kebahagiaan kepadanya, Fara Diba  mahu menamatkan perkahwinannya dengan Azlan.  Cadangannya itu dihalang oleh abahnya.  Fara Diba kecewa, Azlan juga begitu. Kalau boleh dia ingin berkahwin dengan Alia jika gadis itu sedar dari komanya nanti.

    Masa terus berlalu, segala doa mereka telah diterima.  Alia akhirnya sedar daripada koma.  Azlan ingin menyambung semula hubungannya dengan Alia.  Ketika Alia mendapat tahu Azlan sudah berkahwin dengan Fara Diba, hatinya benar-benar kecewa.  Fara Diba pula merayu agar tidak diceraikan.  Dia rela bermadu dengan Alia, asalkan dia tetap menjadi isteri  Azlan.  Pada mulanya Alia keberatan, akhirnya dia rela demi menutup segala dosa dan noda yang pernah mereka  lakukan. 

    Apa yang berlaku seterusnya?  Kenapa Fara Diba tidak jadi bercerai dengan Azlan?  Adakah hubungan Azlan dan Alia berjalan lancar?  Mampukah mereka hidup berpoligami?   Bagaimana keadaan hidup Alia setelah sedar daripada koma?  Mampukah dia mengingati segala yang telah berlaku dalam hidupnya? Saya tidak pasti buku ini masih berada di pasaran.  Kalau ingin memilikinya bolehlah bertanya kepada penulisnya.

    Cerita cinta sepasang kekasih yang hanyut  dengan nafsu sendiri.  Pengajaran yang boleh dikutip daripada kisah ini, bahawasanya jodoh pertemuan itu di tangan ALLAH, jika bagaimana sayang dan cinta sekalipun, jika tertulis pasangan kita bukanlah jodoh kita, maka ia  tidak akan berlaku.  Percintaan tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan.  Jadi kepada anak-anak gadis di luar sana, janganlah mudah menyerahkan diri kepada lelaki yang hanya menjadi kekasih.  Kehormatan diri hanya untuk seorang suami.  Berhati-hatilah dalam menjalinkan hubungan agar tidak menyesal di kemudian hari.   
    Gaya bahasa yang baik dan menggunakan BMT, walaupun tidak sepenuhnya. Penceritaan yang baik mampu menyentuh hati pembaca.  Sekarang ini penulis ini menulis dengan Alaf 21, sudah empat buah buku novel dewasa, sebuah buku remaja dan beberapa buah buku kanak-kanak sudah diterbitkan di bawah label rumah penerbitan Karangkraf.  Semoga penulis ini terus sukses berkarya.  Karya-karyanya sekarang lebih pada kisah kekeluargaan.  Tema yang menarik dan menyentuh hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan