Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 22 Februari 2015

ULASAN SAH, AKU CINTA KAMU!

SAH, AKU CINTA KAMU!
HEZZY AZRA
ALAF 21
2014
RM23.00
593 muka surat

    Pernah tak kita terpikat kepada seseorang hanya dengan senyuman?  Tentu pernahkan?  Senyuman itu membuatkan kita tidak tidur malam, asyik terbayang sahaja.  Seperti ada tarikan yang membuatkan kita selalu terkenang.  Ditambah kerap berjumpa dan akhirnya bertegur sapa.  Itulah yang terjadi kepada Irdina, daripada pertemuan pertama, hanya pandang-pandang, jeling-jeling, langkah kedua, senyuman berbalas senyuman, akhirnya terlahirlah kata-kata.  Menyusun ayat, melahirkan rasa, bertukar fikiran, minat dan cita-cita. Akhirnya mereka menjadi kawan baik yang seia-sekata.  Irdina dibawa berjumpa keluarga si jejaka, Raif Imran sehingga membuatkan hati Datin Raudhah tertawan dengan tingkahlaku gadis manis yang dibawa pulang oleh anak bujangnya itu.
 
    Goreng pisang   punya pasal  membuatkan Datin Raudhah mengambil tindakan drastik meminang Irdina untuk Raif Imran.  Padaa mula hati Irdina berbelah bahagi, benarkah Raif Imran menyimpan perasaan terhadap dirinya, mereka tidak pernah mengungkapkan kata cinta, tidak pernah meluahkan rasa sayang.  Namun dalam hatinya sudah mekar rasa cinta seorang perempuan kepada seorang lelaki, cuma tidak terucap di bibirnya.

    Bukan terpaksa, tidak juga memaksa.  Hati ada sayang, jiwa ada cinta.  Akhirnya merek berkahwin juga, sikap Irdina yang penuh dengan advanture membuatkan Raif Imran berasa dirinya dimanja dan disayangi.  Awal perkahwinan, hidup mereka bersulamkan keceriaan dan kebahagian.  Tragedi menimpa.  Yasmin, mama Irdina disahkan menghidap kanser.  Di saat Irdina sarat mengandunga, terpaksa pula menjaga mamanya yang sakit, hubungan Raif dan Irdina sedikit renggang, tetapi tidak pernah menguburkan rasa kasih dan sayang yang utuh di hati.

    Kehilangaan seorang yang kita sayang, kadangkala membuatkan hati kita turut mati bersama dengannya.  Begitu jugalah yang dirasakan oleh Irdina setelah kehilangan mama tersayang. Kelahiran puteri Reesah tidak dapat memadamkan rasa rindu di hati terhadap mamanya.  Dia menjadi murung dan pendiam.  Tidak lagi semesra dahulu.  Kesempatan itu telah dicuri oleh Delisa, setiausaha baharu Raif Imran untuk memikat hati  ketuanya yang kacak dan berduit itu.  Berlakulah sengketa dalam rumah tangga mereka lantaran tidak berterus-terang dan suka memendam perasaan. 

Apa yang berlaku seterusnya? Apa yang berlaku sebenarnya sehinggakan sebab pisang goreng Datin Raudhah mengambil keputusan meminang Irdina tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada Raif Imran.  Adakah Raif Imran berkahwin dengan Irdina kerana paksaan mamanya atau hatinya memang ada perasaan kasih dan sayang terhadap isterinya itu?  Berjayakah Delisa menawan hati Raif Imran? Pulihkah kembali semangat Irdina hidup tanpa mama tercinta?  Siapa yang suka memendam perasaan?  Siapa yang banyak rahsia dan tidak suka berterus-terang?  Semua persoalan ini akan terjawab di dalam karya ini.

Jalan cerita agak perlahan pada bab awal, lama kelamaan semakin menarik apabila mereka mula berumah tangga.  Konflik yang berlaku membuatkan hati tertarik untuk terus membacanya.  Gaya bahasa santai tetapi diselang seli dengan penggunaan BI. Masih boleh difahami dengan baik.  Plot yang mudah. Latar tempat juga tidak kurang menariknya, walaupun ada ketikanya tidak digambarkan dengan terang.  Apa yang penting adalah jalan ceritanya.  Kepada yang belum memiliki buku ini, bolehlah dapatkan segera. Masih ada di pasaran. Jika sukar mendapatkannya, boleh beli secara dalam talian dengan Karangkraf Mall. Selamat membaca dan semoga terhibur.

Isnin, 16 Februari 2015

ULASAN CUKUP HANYA ALLAH

Siapa yang tidak minat dengan DUKE, setiap hari Selasa pasti terpacul di hadapan peti televisyen untuk menonton rancangannya KALAU DAH JODOH. Terpikat dengan gaya dia menyampaikan ceramah, begitu dekat dengan diri kita. Setiap kali dia menyampaikan ceramahnya pasti kita akan tersenyum dan turut ketawa mendengar ceramahnya yang mengusik hati dan jiwa.
CUKUP UNTUK DIA adalah buku kedua beliau bersama Karya Bistari (karangkraf). Saya sudah selesai mentelaahnya. Kepada yang berminat bolehlah dapatkan di kedai buku berhampiran.


CUKUP HANYA ALLAH
DATUK USTAZ KAZIM ELIAS
KARYA BISTARI ( KARANGKRAF)
2014
RM19.90
Karya yang santai dan mudah difahami Banyak pengajaran di dalamnya Kita kenal DUKE yang akan menyampaikan ceramahnya dengan santai dan tidak memberatkan kepala, mencari dan memikirkannya untuk memahami sesuatu isu. Begitu juga karya ini. Karya yang wajib dimiliki. Terasa dekat di hati.
Banyak isu diketengahkan dalam buku ini, antaranya Sayang isteriku sayang, yang menyarankan bagaimana seorang suami harus melayan seorang isteri. Hati wanita selembut salju, layanlah dengan lemah lembut. Rajinlah Bersedekah pula menyarankan agar kita tidak lokek bersedekah kerana takut harta habis. Sebenarnya dengan bersedekah kita membina pahala yang banyak untuk sampai ke akhirat.
Bila Kita ada Ayah dan Ibu, kedua orang tua adalah syurga kita. Tanpa mereka tiadalah kita di dunia ini. Kewajipan mentaati dan menghormati adalah tugas utama. Banyak lagi tajuk-tajuk dan kupasan yang menarik untuk kita jadikan rujukan bagi diri sendiri. Amalan yang berterusan memerlukan ilmu dan panduan. Semoga buku ini dapat memberi kita panduan dan ilmu untuk bekalan ke Jannah.

Ahad, 15 Februari 2015

Bukan Mudah Bergelar Penulis









Sukarnya untuk  bergelar penulis?  Bagi saya memang sukar dan bukan jalan yang mudah. Banyak onak dan duri terpaksa ditempuhi sebelum mampu berdiri kukuh.  Bagaikan bayi yang baharu lahir, perlu melalui proses, menyiarap, menjulur, duduk, merangkak dan baharulah berjalan.  Begitu juga diri saya.  Masih ingat lagi pengalaman pertama saya menghantar manuskrip pertama saya yang tebalnya hanya 150 muka surat.  Ketika itu saya tiada langsung ilmu tentang penulisan novel.  Hanya menghasilkan  cerpen.  Cerpen pun tersiar setelah saya mengikuti kelas.  Baharulah saya sedar, jika ingin menjadi apa pun, perlu ada ilmu dalam bidang yang ingin diceburi.  Bukan hanya berangan dalam hati dan mengetuk huruf-huruf di komputer membentuk perkataan seterusnya menjadi ayat.

Saya tahu ramai penulis baharu kecewa ketika karya atau manuskrip ditolak, ada yang tidak mahu menulis lagi. Tidak kurang yang menyalahkan syarikat atau editor yang menolak karya tersebut.  Dalam hati kita sendiri, berasakan karya kita itu sudah terbaik, mana mempersoalkan  kenapa ia ditolak.  Pelbagai persoalan bermain difikiran.  Bagi sesetengah syarikat penerbitan yang menolak karya kita, pasti akan diiringi dengan surat penolakan dan ada juga yang menulis kenapa karya tersebut ditolak. 

Manuskrip pertama saya hantar pada tahun 1999 ke Karangkraf, kemudian dipulangkan semula, kerana tidak cukup tebal.  Saya tidak tahu bahawasanya, manuskrip novel perlu setebal 400 ke atas.  Saya tidak putus asa.  Manuskrip itu saya tambah dan kembangkan menjadi 400 muka surat seperti yang diminta oleh pihak Karangkraf.  Saya hantar semula pada tahun 2000, menunggu dua bulan baharulah mendapat jawapan yang pasti mengecewakan.  Manuskrip saya ditolak.  Hati benar-benar kecewa, bohonglah jika saya cakap tidak kecewa, hancur, lebur sehingga terdetik tidak mahu menulis lagi.  Masih saya ingat lagi antara komen Dr. H. M. Tuah dalam suratnya itu.  Kalaulah masih ada surat tersebut sudah pasti akan saya kongsikan dengan  rakan-rakan yang minat menulis.

Antara komen pihak Karangkraf

1) Mereka  tidak keluarkan jalan cerita berbentuk Biografi-

jawapan saya : tidak dinafikan manuskrip itu bermula daripada heroinnya bersekolah, sehinggalah sudah bekerja.

2) Jalan cerita tidak kuat –

Jawapan saya : Kisah kahwin paksa yang tiada isu dan motif. Memang layak ditolak.
3)  Banyak kesalahan tanda bacaan dan tatabahasa -

Jawapan saya : kesalahan diri sendiri.

Kepada adik-adik semua, jika karya kita ditolak oleh sesebuah syarikat atau editor, janganlah marah atau menyindir atau  mengeluarkan perkataan yang mampu menguriskan hati orang lain.  Bukanlah saya berasa diri saya baik.   Sewaktu karya saya ditolak oleh pihak Karangkraf, saya telah menelefon Dr. H. M Tuah dan mengucapkan terima kasih, sedar akan kelemahan diri saya, malah beliau menasihati saya untuk cuba ke syarikat lain.  Saya akur.  Sejak itu saya tidak pernah berangan lagi  hendak menjadi penulis novel.  Berpuas hati dengan hanya menjadi penulis cerpen.

Tahun 2011 saya menghantar manuskrip SESALAN TIDAK TERUCAP, ke sebuah rumah penerbitan yang masih baharu yang dikenalkan oleh seorang kawan penulis buku kanak-kanak.  Dengan rasa berkobar-kobar mencuba nasib.  Tahun 2012 mendapat jawapan manuskrip itu ditolak kerana pihak  karya itu tidak menepati sasaran pembaca syarikat tersebut.  Kecewa?  Memanglah kecewa.  Hanya sebab yang kecil sahaja, kan?  Tapi akak tak marah, malah mengucapkan terima kasih kepada ketua editor syarikat tersebut.

Pada tahun yang sama juga, saya bertungkus-lumus menyiapkan naskah yang sama, yang pernah ditolak dan mula paparkan di wall grup penulisan.  Waktu itu ramai yang membantu dan mencantikkan  manuskrip tersebut.  Banyak perubahan saya lakukan sehingga karya pertama saya itu tampak menarik.  Awal 2013, dengan berani dan cuba meyakinkan diri sendiri,  saya meminta bantuan suami untuk menghantar manuskrip SESALAN TIDAK TERUCAP  ke Syarikat Penerbitan Karangkraf.  Rumah penerbitan yang pernah dua kali menolak manuskrip saya.   Alhamdulillah, mungkin rezeki saya ketika usia meniti 40-an, dan berkat saya mengasuh anak yatim.   Manuskrip itu diterima.  Hanya ALLAH jua yang tahu apa yang bermain difikiran ketika itu.  Teruja, gembira, riang dan terlahirlah pelbagai rasa yang tidak tergambarkan oleh akal.  Siapalah yang tidak gembira.  Pucuk dicita, ulam mendatang.  Impian bakal menjadi kenyataan.  Terasa hendak melompat dari Gunung tertinggi di dunia.  Rasa ingin khabarkan kepada umum, bahawa diri ini bakal bergelar NOVELIS.  Kalau tidak percaya, tanyakan kepada mereka yang pernah mengalami situasi ini.

Alhamdulillah, akhirnya SESALAN TIDAK TERUCAP ditukar tajuknya menjadi AKU TURUT BAHAGIA.  Karya yang dekat dengan diri dan hati.  Saya tulis daripada hati sendiri melihat keadaan kawan yang berpoligami.  Walaupun sambutannya kurang memberangsangkan, namun itu bukan penyebab untuk saya menyimpan jari,  berhenti mengetup  papan kekunci.  Saya akan terus menulis dan menulis selagi akal sihat dan kuat.  Kemudian lahir karya kedua, TOLONG CARI SUAMIKU pada tahun 2014. 

Satu lagi pengalaman yang ingin saya kongsikan.  Ketika karya saya ditolak, dalam hati saya terlintas sesuatu, agaknya jika menang apa-apa pertandingan, maka baharulah karya itu dipandang orang dan dicetak.  Itulah yang sering saya fikirkan, sehinggakan pantang ada mana-mana pertandingan penulisan, semuanya saya sertai, hatta  menulis skrip, sedangkan ketika itu ilmu langsung tiada.  Semuanya ditolak dan tidak pernah dapat tempat pun.  Sampai sekarang saya beranggapan begitu.  2013, saya masuk pertandingan menulis novel remaja anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka.  Alhamdulillan keputusan diberitahu pada tahun 2014, saya sendiri sudah lupa, yang saya ada hantar manuskrip saya ke pertandingan tersebut.  Manuskrip dengan tajuk asal SEBUAH KEHIDUPAN, menang tempat kedua.  Alhamdulillah, satu lagi hadiah manis buat diri sendiri selama bergelar penulis. 

Kepada adik-adik yang baharu mencuba nasib, bercita-cita ingin menjadi penulis.  Jangan sesekali menempelak, marah atau menyindir syarikat penerbitan dan editor yang menolak karya kita itu. Mungkin ada kekurangan di mana-mana. Kita terima dengan hati yang terbuka.  Penulis yang baik yang boleh menerima teguran daripada  mana-mana pihak terutama editor dan penerbit.  Mereka punya hak untuk menolak karya kita.  Setiap penerbit punya etika mereka tersendiri.  Untuk menjadi  penulis yang cemerlang, gemilang dan terbilang, teguran daripada orang lain adalah yang terbaik untuk memperbaiki penulisan dan diri sendiri. Jangan buat musuh dengan syarikat penerbitan atau editor, kerana suatu hari ini, kita akan memerlukan mereka. Percayalah.  Buktinya saya sendiri, walaupun pernah ditolak oleh Syarikat Karangkraf, saya masih lagi menghantar manuskrip ke rumah penerbitan itu dan akhirnya diterima.  Jadi, berhati-hatilah ketika berkata-kata, bertindaklah gunakan akal yang waras.  Marah, geram dan kecewa, simpan sahaja di hati.  Pertingkatkan diri dan prestasi, agar kejayaan menanti kita suatu hari nanti.  Bersabar dan teruslah berusaha, kerana orang yang ikhlas dan  tidak kenal putus asa, pasti  berjaya.




Jumaat, 6 Februari 2015

ULASAN HINGGA HUJUNG WAKTU












HINGGA HUJUNG WAKTU
SAIDEE NOR AZAM
BUKU PRIMA
RM25.90
2013
659 Muka Surat.

                Irfan Rushidi anak saudara kepada Datuk Osman dan Datin Shamsiah, telah kehilangan kedua orang tuanya dalam satu kemalangan jalanraya.  Sejak itu dia tinggal dengan bapa saudaranya yang kebetulan tidak mempunyai zuriat.  Datuk Osman telah mewariskan  segala hartanya kepada anak buahnya itu.  Irfan Rushidi mencintai seorang gadis bernama Ayu Aleya.  Cintanya berbalas. Namun Datuk Osman tidak merestui cinta anak saudaranya itu. 

                Datuk Osman ada membeli sebuah jam antik dengan harga yang terlalu mahal jika hendak dibandingkan dengan fizikal jam tersebut.  Sebelum meninggal dunia, Datin Shamsiah telah mendengar suara orang perempuan menjerit sebaik sahaja jam itu berdetik pukul 12.00 malam.  Kerana suara itulah membuatkan dia menemui ajal.  Begitu juga Datuk Osman.  Gangguan dari jam itu membuatkan dia mengalami serangan jantung dan akhirnya menemui ajal.

                Irfan Rushidi mempunyai seorang kawan baik bernama Zulkifli yang dirasakan amat baik dan setia kepadanya. Segala isi hati diluahkan kepada Zulkifli hatta hubungan cintanya dengan Ayu Aleya.  Datuk Osman tidak suka perkembangan tentang anak buahnya itu.  Cepat-cepat dia menghantar  Irfan Rushidi ke Australia atas alasan menguruskan perniagaannya di sana.  Irfan Rushidi akur.  Pasangan suami isteri itu sudah dianggap seperti orang tuanya sendiri.  Merekalah tempat  dia bermanja.            Kehilangan Ayu Aleya juga telah membuatkan hatinya terluka. Akhirnya dengan bantuan Zulkifli Irfan Rushidi telah mengupah seorang penyiasat persendirian bernama Rasydan untuk mencari Ayu Aleya.  Pencarian itu telah membawanya ke sebuah rumah banglo berwarna kuning di sebuah kawasan yang agak terpencil.

                Dalam kebaikan Zulkifli, Irfan Rushidi tidak mengetahui bahawa sahabatnya ada menyimpan satu rahsia yang besar.  Usai majlis pernikahannya, Zulkifli meminta untuk berbulan madu di banglo Mahligai Cahaya yang kini diwarisi oleh Irfan Rushidi selepas kematian bapa dan ibu saudaranya.  Irfan Rushidi tidak membantah, apalah sangat setakat hendak bermalam di banglo itu.  Rupanya ada agenda tersendiri yang telah dirancang pleh Zulkifli tanpa pengetahuan Irfan Rushidi dan isterinya yang baharu sahaja dikahwini.  Pada malam kedua, pasangan itu berada di banglo Mahligai Cahaya, Zulkifli  cuba memusnahkan jam antik yang berada di rumah itu dan dia telah terbunuh isterinya yang disangkakan seseorang yang amat dikenali.  Akhirnya Zulkifli diburu oleh pihak polis.  Irfan Rushidi terkejut menerima perkhabaran itu.  Jam antik yang cuba dipecahkan oleh Zulkifli akhirnya dibawa ke balai polis dan mayat seorang perempuan ditemui di dalamnya.   Irfan Rushidi ingin mengetahui mayat siapakah itu?  Loket yang berada di leher mayat itu membuatkan hatinya tidak keruan.  Loket itu pernah dihadiahkan kepada seseorang yang amat dicintainya.
                Kenapa Datuk Osman sanggup membeli jam antik itu dengan harga yang tinggi?  Apa rahsia yang ada di dalamnya?  Kenapa Zulkifli ingin memusnahkan jam itu? Kenapa Datuk Osman menghalang hubungan anak buahnya dan Ayu Aleya?  Ke mana gadis itu menghilangkan diri?  Apa rahsia yang ada di banglo berwarna kuning dan apa hubungannya dengan Ayu Aleya?  Adakah cinta Irfan Rushidi dan Ayu Aleya akan bertaut kembali?  Cerita yang penuh misteri, thriller dan cinta. Kepada peminat cerita begini, bolehlah mendapatkan karya ini.