AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 24 February 2015

IKATAN KASIH - BAB 1


Inspektor Faizul

Rabeta Hj. Ismail




BAB 1




Dahinya berkerut memandang wajah muram Rabeta. Dipanggil berkali-kali pun tidak menyahut.  Apalah yang dilamunkan oleh perempuan pengganti  ibunya itu. Zara menggeleng laju. Fail yang berisi maklumat beberapa unit yang bermesyuarat tadi diletakkan di atas meja Rabeta.  Jarinya mencuit bahu Rabeta. Leka sungguh, sampaikan kehadirannya juga tidak disedari.         
            “Zara? Erk… mesyuarat dah habis ke?”  Rabeta mengelap matanya yang berair. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran Zara. 
            “Dah mak cik… jauh sangat mak cik mengelamun. Sampai Zara masuk pun mak cik tak sedar. Teringatkan si dia ke?” teka Zara. Matanya dikecilkan, wajah suram itu ditatapnya seketika. 
            “Siapa?” Rabeta mengerutkan dahi.
            “Manalah tahu. Sejak akhir-akhir ni, mak cik nampak berseri-seri aje,” usik Zara. Rabeta menggeleng-geleng. Pen yang terlantar di depannya dicapai.
            “Mak cik teringatkan mama Zara. Apa khabarlah dia sekarang…” akui Rabeta. Seraut wajah cekal bermain di matanya.
            “Mak cik memang sahabat mama yang baik.” Zara bersuara lirih.
“Mana mungkin mak cik lupakan mama Zara tu. Dialah yang telah memberi kehidupan baru pada mak cik,” luah Rabeta. 
Ya, bagaimana mungkin dia melupakan sahabatnya itu. Perempuan itulah yang telah banyak menolongnya, ketika dia tersepit dan memerlukan tempat berteduh. Air matanya mengalir tiba-tiba.  Dalam keadaan susah, Nazatul menghulurkan tangga untuknya meneruskan hidup. Kata-kata nasihat dan semangat sering menjadi santapan telinganya.
Dalam keadaan dirinya sendiri susah, Nazatul masih lagi sudi membantu dirinya. Mendahulukan orang lain daripada diri sendiri. Dia ingin menjadi seperti Nazatul.
            “Mak cik janganlah sedih. Buat Zara rasa sedih pula. Siapalah yang tidak ingatkan mama.  Kalaulah mama tidak selamatkan Zara, agaknya entah bagaimana nasib Zara,” keluh Zara. Dia mendekati Rabeta. Bahu perempuan itu dipeluknya erat. Mereka sama-sama menangis, mengenangkan orang yang mereka sayang.
            “Kita kena cari mama! Di mana agaknya papa Zara sorokkan mama.”  Rabeta mendengus kasar. 
            “Entahlah mak cik, mungkin di Kutub Utara kut? Itu sebab tak jumpa,” gurau Zara.
            “Zara…tak lawak, ok! Sudah! Jangan nak main-main lagi. Kita ada banyak kerja nak buat ni.  Biar mama Zara bangga tengok nanti…. bila dia balik ke sini lagi.” Rabeta membina harapan. Ceria kembali.
            “Ala… nak gurau sikit pun tak boleh.” Zara mencebik manja. Dia mengesat air mata yang berbaki. Arahan Rabeta perlu dipatuhi. Dia sayangkan Rabeta seperti dia sayangkan mamanya. Kalau tidak kerana Rabeta dan mamanya, sudah pasti sekarang ini dia sudah tiada lagi di dunia ini.Tentu kehidupannya sekarang ini berlainan sekali. 
Zara mengeluh kesal. Kerana dirinya,  mamanya pula menjadi galang ganti. Sudah setahun berlalu. Siang malam dia berdoa agar dipertemukan semula dengan mamanya. Dia meminta diri.
Rabeta hanya memerhatikan langkah Zara dengan senyuman yang terukir. Dia menatap sekali lagi gambarnya bersama Nazatul. Dia rindukan senyuman sahabatnya itu.
***
            Nazatul meronta-ronta kuat. Dia berharap sangat, rantai besi yang mengikat kaki dan tangannya itu mereput seperti rafia dimamah tikus dan dia boleh keluar dari sini. Sudah lama dia terpasung di dalam bilik bawah tanah itu. Bilik yang berbau hapak, busuk dan meloyakan tekak. Lebih busuk daripada tapak pelupusan sampah.   
“Arghhhh!!!”
Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang datang menyelamatkannya. Air matanya gugur lagi. Kalau ditadah, sudah menjadi tasik buatan. Hidupnya bagaikan kuda tunggangan. Hanya diberi makan dan minum. Pakaiannya tidak berganti. Waktu datang bulan juga, darah kotor itu dibiarkan mengalir membasahi tilam dan lantai. Hanyir menjolok hidung tak terkatakan. 
Dia terpaksa bangun sendiri ke bilik air yang jaraknya tidak jauh dari kedudukan katilnya. Nasib baik rantai yang mengikat kaki dan tangannya agak panjang. Giginya tidak pernah bergosok, mandi tidak bersabun. Air kering sendiri di tubuh. Rasanya kucing peliharaan pun dijaga lebih baik daripada dirinya. 
           
“Dasar lelaki iblis! Tak ada perasaan!” Batinnya melaung.
Nasib baiklah anak dan sahabatnya itu sempat meloloskan diri. Kalau tidak tentulah nasib mereka akan jadi sepertinya. Tubuhnya terasa lenguh. Dia berusaha bangun dan menggerakkan tubuhnya. Sedih mencakar hatinya. Dia masih cuba bertahan demi mereka. Kalau tidak agaknya sudah lama jiwanya mati.
Nazatul tidak berhenti-henti berdoa, agar suaminya tidak mengganggu mereka. Lebih-lebih lagi RIKA yang didirikan demi membantu golongan penagih dadah dan pelacur yang ingin berubah menjadi manusia yang baik, kembali ke pangkal jalan.
            Dia pasti, mereka masih berada di sana. Dia hanya mampu berdoa dari kejauhan agar rumah itu terus berdiri dan beroperasi. Semoga usahanya itu terus disambung oleh Rabeta dan anaknya. Niatnya hendak membantu mereka yang sesat kembali ke pangkal jalan.
Bukan mudah mengubah manusia daripada jahat menjadi baik, daripada syaitan menjadi manusia seperti suaminya.  Suami?
Kuakan daun pintu mematikan lamunannya. Nazatul memejamkan mata. Menyampah, meluat untuk memandang wajah lelaki yang telah memenjara dan memusnahkan hidupnya itu. 
“Hello sayang, abang datang….” Zaheer mendekati Nazatul yang terbaring mengerekot di atas katil bujang.
Zaheer, lelaki yang dikahwini kerana pilihan orang tua. Dia tidak pernah menyangka, lelaki yang kelihatan begitu baik di mata keluarganya sanggup memperlakukannya dia seperti perempuan murahan.
“Abang datang bawa makanan ni…” Nadanya menghina. Lebih-lebih lagi kemudiannya dia ketawa mengekek. Bau hanyir dan hancing tidak menyinggah hidung lelaki itu kerana awal-awal lagi dia sudah memakai topeng muka. Boleh muntah hijau, kalau tercium bau di bilik bawah tanah itu.
Suara yang menyapa telinga Nazatul terasa pedih menanah. Kalau boleh, biarlah telinganya pekak sahaja, agar tidak mendengar suara yang menyakitkan itu. Matanya sengaja dipejamkan rapat. Nazatul belum lupa. Sebulan usai mendirikan rumah tangga, dia sudah dilacurkan oleh lelaki itu. Bukan lagi syaitan, tapi iblis.
Makanan, terpaksa ditelannya juga, demi memberi tenaga pada tubuh sendiri. Jika tidak dipujuk hati, sudah lama dia menyerah. Mengaku kalah.
            “Tak payahlah buat-buat tidur, aku tahu kau tak pernah boleh tidur lena,” kata Zaheer. Dia mendekati isterinya yang masih ‘setia’ di situ. Dia menyengih. Rambut Nazatul yang panjang mengurai dan kasar seperti dawai itu ditarik kuat. 
            “Sakitlah!” Nazatul mengerang kesakitan. 
            “Ini nasi kau! Makan! Aku tak nak kau mati cepat!” jerkah Zaheer. Nasi yang berisi ikan goreng dan kicap diletakkan di depan Nazatul. Hanya lauk itu yang layak dijamahnya. Perempuan yang berhati keras dan degil. Bertahun-tahun dilacurkan, tiba-tiba melarikan diri dan mula melawannya.
            “Aku tak nak makanlah!” protes Nazatul. Kehadirannya dengan niat menjadi penyelamat, mengundang dirinya terkurung di sini.
            “Makanlah! Aku tak nak kau mampus senang-senang aje.” Zaheer mencekau nasi putih tadi dan menonyoh-nonyohnya ke mulut Nazatul.  
            “Biar aku mati!” laung Nazatul sambil meludah-ludahkan nasi itu ke muka Zaheer.
            “Isteri derhaka!” sumpah Zaheer. Tamparan dihadiahkan sebaik meraup mukanya yang disembur nasi dan air liur tadi.
“Lepaskan akulah! Dah bertahun kau kurung aku macam ni. Apa kau nak lagi? Tak puas lagi ke kau seksa aku?” jerit Nazatul. Rasa marah mencucuk jantungnya. Pemberontakan jiwanya terbias.
            Tidak seperti dulu. Bertahun-tahun dia diseksa dan didera mental dan fizikal. Melarikan diri tidak pernah difikirkan. Apatah lagi, Zaheer sering mengugut akan mencederakan ahli keluarganya. Mahu atau tidak, suka atau tak suka, dia terpaksa akur. Dalam diam-diam, dia menubuhkan Rumah Ikatan Kasih.
            “Aku janji, jika kau lepaskan aku, aku takkan kacau kau!” Nazatul berubah sayu. Dia tidak mahu terus terdera di situ. Hatinya berkeras ingin bebas dari situ. Bebas bertemu anak dan kawan-kawannya. Bebas bertemu keluarganya. Tentu mereka mengharapkan kepulangannya.
“Betul? Janji…?” Zaheer mendekatkan wajahnya. Pipi Nazatul ditepuk-tepuk perlahan. Nazatul mengangguk sungguh-sungguh. Sinar kebebasan mencelah.




2 comments:

  1. Permulaan yang mengujakan... Best kalau ade ebook

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Norlia, bakal diterbitkan Insya-ALLAH. Doakan ya.

      Delete