AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 26 February 2015

IKATAN KASIH- BAB 2




            Jamilah meronta kuat. Berkali-kali dia menggetap gigi dan mendengus apabila usahanya tidak mendatangkan hasil. Dia berharap sangat, rantai besi yang mengikat kaki dan tangannya itu akan terbuka dan dia boleh keluar dari sini.  Sudah setahun dia terpasung di bilik bawah tanah itu.  Bilik yang berbau hapak, busuk dan meloyakan tekak. Tiada siapa yang tahu.  Tiada siapa yang datang menyelamatkannya.  Air matanya gugur lagi.  Entah, untuk kali keberapa.  Kalau dikumpulkan air matanya itu sudah pasti terbentuk menjadi tasik buatan. 
            “Ya Allah...” Jamilah merintih.
Hidup bagaikan bintang peliharaan. Hanya diberi makan dan minum. Pakaiannya juga tidak berganti. Waktu datang bulan juga, darah kotor itu dibiarkan mengalir membasahi tilam dan lantai.  Dia terpaksa bangun sendiri ke bilik air yang jaraknya tidak jauh dari kedudukan katilnya. Mujur rantai yang memasung kaki dan tangannya agak panjang. Giginya tidak pernah bergosok, mandi tidak bersabun.  Rasanya kucing peliharan pun dijaga lebih baik daripada dirinya. 
            ‘Dasar lelaki iblis! Tiada perasaan,’ cemuhnya di dalam hati.
Nasib baik Rabeta dan Tina sempat meloloskan diri. Kalau tidak tentulah nasib mereka akan jadi sepertinya. Tubuhnya terasa lenguh. Dia berusaha bangun dan menggerakkan tubuhnya.  Sedih mencakar hatinya. Dia masih cuba bertahan demi anak dan sahabatnya itu. Kalau tidak sudah lama jiwanya mati.  Dia juga tidak berhenti berdoa, agar suaminya tidak mengganggu Rabeta dan Tina serta Rumah Ikatan Kasih yang didirikan demi membantu golongan penagih dadah dan pelacur yang ingin berubah menjadi manusia yang kembali ke pangkal jalan.
            Dia pasti, mereka masih berada di Rumah Ikatan Kasih.  Dia hanya mampu berdoa dari kejauhan agar pusat itu terus berdiri dan beroperasi.  Semoga usahanya itu terus disambung oleh Rabeta dan anaknya.  Niatnya hendak membantu mereka yang sesat kembali ke pangkal jalan. Dia berusaha menyelamatkan perempuan-perempuan yang dilacurkan oleh suaminya, hanya cara itu sahaja dia dapat membantu mereka. Bukan mudah mengubah manusia daripada jahat menjadi baik, daripada syaitan menjadi manusia seperti suaminya. 
“Suami? Tui!” Dia meludah. Layakkah dipanggil suami?
            Keriut daun pintu dibuka mematikan lamunannya. Jamilah memejamkan mata.  Tidak ingin memandang wajah lelaki yang telah memenjara dan memusnahkan hidupnya itu.  Lelaki yang dikahwini kerana pilihan orang tua.  Dia tidak pernah menyangka, lelaki yang kelihatan begitu baik di mata keluarganya sanggup melakukan dia seperti perempuan murahan.  Sebulan, usai mendirikan rumah tangga, dia sudah dilacurkan oleh suaminya sendiri. Bukan lagi syaitan, tapi iblis. Bertahun-tahun dia diseksa dan didera mental dan fizikal.  Dia tidak berani melarikan diri kerana Zahir sering mengugut akan mencederakan ahli keluarganya. Mahu atau tidak, suka atau tak suka, dia terpaksa menurut.  Dalam diam-diam, dia menubuhkan Rumah Ikatan Kasih. 
            “Hello sayang, abang datang bawa makanan.”  Zahir mendekati Jamilah yang terbaring kaku di atas katil bujang.  Bau hanyir dan hamis tidak menyinggah hidungnya kerana itu awal-awal lagi dia sudah memakai topeng muka.  Boleh muntah hijau, kalau tercium bau di bilik bawah tanah itu.
            Suara lelaki yang menyapa itu menyebabkan telinganya terasa pedih menanah. Kalau boleh, biarlah telinganya pekak sahaja, agar tidak mendengar suara yang menyakitkan itu.  Matanya sengaja dipejamkan rapat.  Bawa makanan? Bagaimana dia hendak makan dengan keadaan busuk hamis itu?  Ada ketika terpaksa ditelannya juga, demi memberi tenaga pada tubuh sendiri.
            “Tak payahlah buat-buat tidur, aku tahu kau tak pernah boleh tidur lena,” kata Zahir.  Dia mendekati isterinya yang masih ‘setia’ di situ. Dia menyengih.  Rambut Jamilah yang panjang mengurai dan keras itu ditarik kuat. 
            “Sakitlah!” Jamilah mengerang kesakitan. 
            “Ini nasi kau!  Makan! Aku tak nak kau mati cepat!” jerkah Zahir.  Nasi yang berisi ikan goreng dan kicap diletakkan di depan Jamilah.  Hanya lauk itu yang layak dijamah oleh isterinya.  Perempuan yang berhati keras dan degil. Bertahun-tahun dilacurkan, tiba-tiba melarikan diri dan mula melawannya.  Kehadiran Jamilah ingin menyelamatkan Tina, anak mereka mengundang Jamilah terkurung di sini.
            “Lepaskan akulah!  Dah setahun kau kurung aku macam ni!  Apa kau nak lagi?  Tak puas lagi ke kau seksa aku?”  kata Jamilah keras.  Rasa marah mencucuk jantungnya.
            “Lepaskan kau?  Supaya mudah kau buat laporan polis?  Kau ingat aku bodoh ke, Milah?  Jangan ingat semudah itu!”  Zahir menolak tubuh Jamilah yang dibangunkan secara paksa dengan menarik rambutnya tadi, dengan kuat.  Hampir tersembam semula di atas katil.  Dia tidak sebodoh itu, melepaskan Jamilah seumpama menempah maut.  Jamilah tahu semua rahsianya. Dia pasti jika Jamilah lepas bebas, perempuan itu akan membuat  laporan polis.  Dia boleh sahaja menamatkan riwayat isterinya, bila-bila masa sahaja, tapi dia ada agenda yang lebih besar daripada itu.
            “Aku janji, jika kau lepaskan aku.  Aku takkan kacau kau!”  rayu Jamilah.  Dia tidak mahu terus terkurung di situ. Hatinya berkeras ingin bebas dari situ. Bebas bertemu anak dan kawan-kawannya.  Bebas bertemu keluarganya.  Tentu mereka juga sudah tahu tentang kehilangannya.
            “Jangan harap!”  Zahir menampar muka Jamilah.  Sejak akhir-akhir ini dia suka sangat menyakitkan tubuh isterinya yang semakin kurus kering itu.  Tangannya mula meraba tubuh isterinya. Dia ketawa.
            “Kau terlalu kurus, tak selera aku tengok. Nak jual kau pun tak laku,” ejek Zahir.
            “Aku tidak pernah reda tubuhku kau sentuh!” jerit Jamilah.
            “Kau ingat aku teringin ke?  Sudah berapa ratus jantan kau layan?  Kalau aku nak pegang atau sentuh pun, kau boleh buat apa?” marah Zahir.  Dia menolak pinggan  yang berisi nasi sehingga bertaburan di atas katil dan lantai.  Dagu Jamilah dicengkam dan ditarik  hampir dengan mukanya.  Dia tersenyum sumbing.  Tubuh Jamilah ditolak keras.
            “Kau tahu tak?  Aku sedang cari Tina.  Aku tahu di mana letaknya Rumah Ikatan Kasih, aku akan ambil Tina semula.  Kalau aku jual di Selatan Thailand, mahu laku beribu ringgit tu.  Kalau tidak kerana kau, sudah lama aku jual si Tina! Kerana kau usaha aku gagal! Kau tahu tak, Milah. Perniagaan aku sudah semakin besar.  Pusat kau tu tak mampu menghalang usaha aku! Aku dah jadi peniaga yang berjaya sekarang ini! Aku akan jadi jutawan!”  kata Zahir, angkuh.
            “Jutawan!?  Apa ertinya duit yang kau dapat?  Kau buat kerja haram, kau jual anak dara orang, anak kau sendiri pun kau sanggup gadaikan.  Isteri sendiri kau lacurkan! Kau memang bajingan!  ALLAH laknat perbuatan kau!” Air matanya mengalir laju.  Kalau tidak kerana ajakan Rabeta yang beria-ia hendak menyelamatkan Tina, sudah tentu masa hadapan anaknya telah lama musnah.   Lelaki itu langsung tidak ada perasaan belas ehsan terhadap darah dagingnya sendiri.  Binatang pun tidak akan membiarkan anaknya sendiri.  Manusia jenis apakah yang dikahwininya?
            “Apa aku peduli?  Kau sendiri pernah aku jual dan lacurkan, ada aku hairan?  Nasib baik kau kurus kering dan dah tak cantik, kalau tidak sampai sekarang kau aku lacurkan.  Hei, perempuan.  Kenapa kau patah balik ke mari?  Kan dah malang nasib kau! Dalam perniagaan yang aku jalankan ini, tiada rasa kasih dan sayang atau keluarga, yang ada adalah duit dan nafsu, faham! Kau faham tak?” jerit Zahir kemudian dia ketawa pula.  Dahulu, Jamilah memang cantik orangnya, bentuk tubuh badan yang mampu mencairkan mana-mana lelaki yang melihatnya. Itu sebab dia  berusaha mendapatkan Jamilah. 
            “Kenapa kau buat aku macam ni? Lepaskanlah aku, Zahir.  Kalau kau ada sedikit perasaan belas ehsan!” rayu Jamilah.  Dia tidak akan berputus asa.
            “Kau ni tak dengar aku cakap, agaknya.  Kau akan mati di sini, perlahan-lahan. Makanan kau aku letak sedikit kokain, lama-lama kau akan ketagih dan keras sendiri.  Ketagihan akan membunuh kau, Milah.” Zahir ketawa galak. Terbelalak mata Jamilah sambil memandang benci lelaki itu.
Melihat reaksi isterinya itu, hati syaitan Zahir teruja dan ketawanya menjadi-jadi. Apabila sedikit reda, dia bersuara, “itulah degil sangat, tak nak dengar cakap.  Kau biarkan anak kau lari, lepas itu kau bawa lari perempuan-perempuan aku, kau buang dan rosakkan dadah aku bernilai jutaan ringgit.  Kau ingat semudah itu aku nak lepaskan kau?” Zahir mencbit kedua belah pipi Jamilah. 
Dia kerugian banyak akibat perbuatan Jamilah dan rakannya itu.  Rumah pelacurannya diserbu polis.  Port orang-orangnya mengedar dadah dikacau. Semua itu menyakitkan hatinya.  Meranapkan segala impiannya hendak menjadi ‘tauke’ besar dalam perniagaan ini. 
            “Tergamak kau!”  Jamilah menangis.  Padanlah ada ketikanya dia terasa menggigil seluruh tubuh, bagaikan orang demam, dia ketagihan rupanya. 
            “Aku akan cari kawan kau dan anak aku tu!”  Zahir ketawa.
            “Jangan kau ganggu mereka!” jerit Jamilah keras.  Kalaulah dia mampu melawan, sudah tentu dia tidak akan terbaring menjadi pendengar dan pemerhati sahaja.  Dia tidak berdaya.
            “Makan nasi kau tu, itu pun kalau lapar.  Di dalamnya aku sudah campurkan kokain.  Aku bukanlah kejam sangat sampai tak bagi kau makan.” Zahir meludah ke lantai.  Dia menutup semula separuh mukanya. 
Bau hanyir terus menyambar hidungnya waktu dia membuka topeng itu untuk meludah.  Busuk sungguh.  Macam mana Jamilah mampu bertahan.  Wajah Jamilah yang kusut masai, pakaian yang hampir mereput, menampakkan tubuhnya yang kurus.  Wajah itu dipandang dengan penuh kebencian.  Bodoh betul orang tua Jamilah, terpengaruh dengan lakonan dan kekayaannya.  Mereka sanggup memaksa Jamilah bernikah dengannya.
            “Kau kejam! Kejam! Zahir!” jerit Jamilah sekuat hati.  Wajah Zahir yang menyinga memandangnya langsung tidak menakutkan. Malah menyakitkan hatinya.  Dia benci lelaki itu.  Hatinya tidak  pernah menerima Zahir sejak lelaki itu menyuruhnya menggugurkan kandungannya.  Zahir tidak suka ada zuriat sendiri.  Zahir tidak mahu ada anak.  Hanya Jamilah  yang berkeras untuk membiarkan kandungannya itu sehingga lahir ke dunia ini.  Kehadiran Tina membawa bahagia dalam hidupnya, terasa hidupnya lebih bermakna.  Tetapi Zahir,  telah merosakkan segala kebahagian yang dikecapi bersama Tina.  Kenapalah dalam dunia ini ada manusia seperti suaminya?  Jamilah tenggelam dalam tangisannya sendiri.


No comments:

Post a Comment