Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 28 Mac 2015

ULASAN CATATAN DARI SYURGA



CATATAN DARI SYURGA
ROHANI DERAMAN
CTRA PRODUCTION
RM16.00
115 muka surat

                Kisah benar seorang wanita, ibu tunggal yang membesarkan enam orang anaknya dengan kudrat sendiri.  Paling sedih, ibu ini seorang yang cacat, dilahirkan serba tidak sempurna, tangan dan kaki yang kudung.  Perit jerihnya membesarkan anak-anak membuatkan hati saya berkata, hebat sungguh wanita ini.  Berkat kesabarannya, anak-anaknya berjaya juga dalam hidup. Tidak kenal putus asa dan pantang menyerah.  Liku hidup yang dilalui dengan tulang empat keratnya mampu membesarkan anak-anak dengan sempurna.  Budinya luhur, tidak pernah meminta-minta, walaupun cacat anggota.  Pandai mengaji, menjahit dan memasak. Satu kelebihan anugerah ILAHI kepada hamba sepertinya.  Itulah dia, Puan Aminah Tahir yang  berasal dari Kampung Berata, Segamat Johor.  Hidup dibenci ibu sendiri lantaran kecacatan diri.  Tidak pernah menyalahkan kedua orang tuanya, malah tetap menyayangi mereka.  Tidak berdendam kepada mereka yang telah menganiayanya sehingga hancur rumah tangganya.  Kepada ALLAH dia berserah, hanya meminta dirinya diberi kekuatan bagi meneruskan hidup untuk membesarkan anak-anak.
                Kesusahan banyak mengajar anak-anaknya erti ketabahan, biarpun pernah makan nasi berkuahkan air garam, tetapi mereka tidak merungut. Reda dengan ketentuan ILAHI.  Buku yang menarik buat hati tertarik. Boleh dijadikan pembakar semangat bagi ibu-ibu di luar sana terutama ibu tunggal yang terpaksa mengharungi sendiri kehidupan untuk membesarkan anak-anak.  Semoga ketabahan Puan Aminah memberi inspirasi kepada kita semua. 


Ahad, 22 Mac 2015

ULASAN- KERANA AKU ISTERI BIDAAN.



KERANA AKU ISTERI BIDAAN
TULIP UNGU
INSTENS
RM27.00
665 muka surat

                Saya tengok karya ini diwall penerbitnya.  Hanya memandang, tengok tajuk macam tidak berminat untuk memilikinya.  Kenapalah isteri bidaan, fikir dalam hati saya.  Baru-baru ini ke Terengganu, tidak sah kalau tak singgah di kedai peminat novel Melayu tetapi berbangsa cina.  Kebetulan beliau juga menjual novel, beliau pun memperkenalkan saya buku ini, katanya menarik, semalam sahaja dia baca sehingga habis.  Wah!  Saya yakin dengan citarasa pembaca ini, maka dengan senang hati saya sambar sajalah.  Kebetulan tiada lagi buku yang hendak dibaca ketika sedang bercuti itu.  Selalunya bawa dua buah, tetapi entah kenapa kali ini berjalan saya bawa sebuah sahaja.  Maka buku cerita ini menjadi santapan mata saya.  Dua hari masa saya ambil untuk menghabiskannya. 

                Tahniah kepada penulis, satu tema yang berat tetapi digarap dengan cara yang santai dan mudah difahami jalan ceritanya.  Ada nilai pengajaran yang bagus di dalamnya. Tahniah juga kepada penerbit Intens yag berani mengetengahkan jalan cerita seperti ini. 
                Cerita bermula dengan prolog seorang gadis  GRO yang berpakaian seksi menemani dua orang lelaki di sebuah kelab malam.  Seorang lelaki yang memang menjadi temannya tetapi kehadiran seorang lelaki lagi membuatkan gadis itu hampir pengsan melihatnya.  Lelaki itu amat dikenalinya. Siapakah lelaki itu?  Bagaimana gadis  GRO itu mengenali lelaki itu? 

                Raina seorang gadis yang agak liar mempunyai seorang kekasih bernama Aznor, dia benar-benar cinta kepada lelaki itu dan berangan untuk berkahwin dengan Aznor, namun dibantah oleh kedua orang tuanya.  Aznor tidak bekerja dan  menjadi kutu rayau, itu sebab keluarga Raina tidak senang anak gadis mereka berkawan dengan lelaki itu.

                Farel, seorang banduan yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara.  Dia mengusahakan kebun pisang dan menjual hasil pisangnya kepada isteri Imam Long yang mengusakan gerai goreng pisang.  Farel jatuh hati dengan anak Imam Long bernama Solleha yang baik akhlaknya.  Berangan-angan ingin memperisterikan gadis itu. Farel tidak disukai oleh penduduk kampung kerana dia bekas perompak dan ayahnya pula seorang perogol.  Dia sering dihina dan dipandang benci oleh penduduk kampung, kecuali keluarga Imam Long yang yakin lelaki itu boleh berubah.
                Borhan yang serik dan pening memikirkan perangai lepas bebas Raina bercadang untuk mengahwinkan anaknya dengan  Haji Meon, seorang duda dan usia hampir sebaya dengannya.  Raina memberontak, dia tidak setuju dikahwinkan dengan lelaki yang sudah tua itu.  Raina mencari akal sehingga akhirnya dia dikahwinkan dengan Farel.  Kenapa Farel?  Bukan Aznor?  Hah! Banyak konflik berlaku bermulanya perkahwinan Farel dan Raina.  Bagaimana Raina boleh menjadi seorang GRO setelah berkahwin dengan Farel?  Adakah Farel sanggup menjadikan isterinya seorang GRO?  Bagaimana Raina boleh meyakinkan keluarganya agar mengahwinkan dia dengan Farel sedangkan selama ini dia tidak berapa kenal pun lelaki itu?  Kalau ulas panjang lebar, memang tak habis.  Kenalah dapatkan buku ini untuk mengetahui cerita selanjutnya.  Memang ada adegan yang sweet-sweet sedikit, tetapi pengajarannya  juga ada.  Antara pengajaran yang boleh diambil iktibar kepada anak-anak gadis yang membaca karya ini adalah.

1) Jangan percaya kepada cinta seorang lelaki yang manis hanya di bibir sahaja.  Kalau sudah meminta kepada yang tidak sepatutnya, haruslah angkat kaki dan carilah lelaki yang jauh lebih baik daripada yang ada.
2) Ikut nasihat orang tua.
3) Jangan ikut hati, kelak mati, itulah yang berlaku kepada Raina sehingga dia menyesal seumur hidup atas tindakan yang tidak bermoralnya itu.
4)Jangan tabut fitnah akibatnya diri sendiri yang tanggung, jika fitnah yang dibuat menjerat diri sendiri.
5)Berterus-terang dalam apa sahaja keadaan, bersikap mendiamkan diri mampu membakar diri jika perkara itu tidak baik untuk diri sendiri dan orang sekeliling.

Kepada peminat novel Melayu, karya ini sememangnya tidak menghampakan. Jalan cerita yang menarik, dilakarkan dengan baik, plotnya yang lancar dan disulami dengan imbas semula yang tidak mencacatkan jalan cerita.  Tahniah kepada Tulip Ungu dan semoga menghasilkan karya yang bermutu dan diminati pembaca.

               

               

ULASAN SAYANGKU CIK TIRAMISU



SAYANGKU  CIK TIRAMISU
HERNA DIANA
ALAF 21
RM25.00
597 muka surat
               
                Kalau tengok tajuk pasti teringatkan kek tiramisu yang enak dengan rasa nescafe dan coklatnya.  Sambil baca ditemani sekeping kek tiramisu membuatkan hati terbunga riang.  Jom kita tengok apakah kisah yang digarap oleh Herna Diana setelah Mr. London, Ms Langkawi tulisan beliau meletup-letup malah telah diadaptasikan, dan hanya menunggu waktu untuk ditayangkan.  Yang menariknya karya SAYANGKU CIK TIRAMISU turut menghadirkan Mr London dan Ms Langkawi bagi pelengkap cerita.
                Intan dan Faiz berkawan sejak di kecil, namun terpisah apabila keluarga Faiz berpindah ke tempat lain.  Mereka sudah berjanji akan bertemu semula 19 tahun kemudian.  Perjanjian dibuat, jika diantara  mereka yang masih lagi tidak berteman, mereka akan bersama selama-lamanya.  Jika sebaliknya, tiada jodoh antara mereka.  Mereka akan hanya menjadi sahabat baik.  Masa terus berlalu, masing-masing meningkat dewasa.  Intan berjaya menjadi seorang cikgu.  Waktu yang dijanjikan masih lama lagi tetapi mereka bertemu dalam keadaan yang tidak sepatutnya.  Perebutan sekeping kek tiramisu membuatkan hati masing-masing rasa semacam. Intan meluat memandang Faiz.  Lelaki itu pula terkejut dengan sikap kasar gadis yang baharu dikenalinya itu.  Setiap kali bertemu mereka pasti bertengkar sehinggalah…
                Terkejut beruk Intan ketika bertemu kembali rakan sepermainannya ketika kecil dahulu, lelaki yang sama yang berebut kek tiramisu dengannya.  Mahu pengsan rasanya.  Begitu juga Faiz, tidak menyangka sama sekali, gadis yang garang seperti singa itu adalah rakan baiknya sewaktu kecil dahulu.  Hubungan bersambung semula, hati berbunga cinta.  Intan jadi rimas apabila Faiz asyik saaja mengajaknya berkahwin sedangkan dia belum bersedia.  Yang menariknya Intan mengajar adik Faiz yang terkenal dengan sikap tidak berdisplin dan sering melanggar peraturan sekolah.  Kebetulan pula mama Faiz tidak suka dengan Intan, dia beranggapan Intan tidak setaraf dengan Faiz.  Keadaan ayah Faiz yang lumpuh akibat serangan angin ahmar turut tidak suka kepada Intan.  Mama Faiz ada pilihannya sendiri.  Bagaimana Intan mampu hidup di sekeliling mereka yang membenci dirinya?  Mampukah hubungan cinta yang berputik sejak dibangku sekolah mekar bahagia?  Mampukah Intan hidup bahagia?  Apa yang harus Faiz lakukan agar keluarganya mampu menerima kehadiran Intan?  Kalau hendak tahu cerita selanjutnya, bolehlah dapatkan buku ini.
                Penulis ini terkenal dengan gaya bahasa ala-ala komedinya.  Walaupun karya ini kurang komedinya namun tidak menghampakan kepada para pembaca novel yang suka cerita santai dan ringan seperti ini.  Semoga penulisnya terus sukses dan berjaya. Latar tempat juga menarik.  Perlukisan watak juga mampu membuatkan pembaca membayangkan watak-watak tersebut diminda masing-masing.  Tahniah kepada penulisnya.