AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 13 March 2015

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 3




            Jauh dia mengelamun.  Apa yang harus dia lakukan? Penat dia menunggu Zaiton pulang dari kerja. Sejam bagaikan setahun rasanya. Sudah seperti orang gagal  bercinta pula.   Sedih sahaja memanjang.  Dia memang sedang gagal bercinta! Dia cintakan kerjanya sebagai seorang setiausaha.  Dia rindukan kerja-kerjanya.  Kenapa mereka kejam sangat! Langsung tidak menimbang mutu kerjanya selama ini. 
            Duit simpananya masih ada.  Tidak pernah terusik pun. Dia seorang yang berjimat cermat. Jarang membeli barangan yang berjenama atau berabis tanpa sebab.    Dia kurang bergaya, hanya menjaga mutu kerjanya.  Mungkin sebab itulah syarikat tempatnya bekerja sebelum ini tidak menyambung kontraknya.  Roseyatimah memandang wajahnya dicermin yang terdapat di ruang tamu apartment rumah sewanya itu.
            “Kulit aku memanglah hitam, tapi taklah sehitam buntut kuali.  Masih ada kelihatan cerahnya walaupun hanya sepuluh peratus, hidung aku mancung apa?  Pipi aku tentulah gebu, walaupun tak jelas dipandangan.  Kenalah belek dekat-dekat! Tengok, kening aku, punyalah lebat!  Ala… memanglah aku rendah dan sedikit montel.  Nanti aku kurang makan, pasti kelihatan comel macam Nora Danish! Waktu itu aku takut CEO  Empayar Milinium pun terpikat!”  katanya kepada diri sendiri.  Dia berpusing kiri dan kanan.
            “Kalau aku tak puji diri aku sendiri, siapalah yang sudi.  Hey… aku dijadikan oleh ALLAH SWT, tentulah cantik dan sempurna.  Hanya mereka yang buta warna sahaja tidak tahu nilai orang berkulit gelap ini.  Tengok sahajalah Mat Afrika yang datang ke negara ini.  Bukan main digilai oleh anak dara Malaysia. Kalau dibandingkan mereka dengan aku, rasanya kau jauh lebih cantik,” pujinya sendiri. 
            Bunyi pintu dibuka membuatkan dia kembali ke alam nyawa.  Matanya memandang ke arah pintu. Sudah pasti Zaiton yang pulang dari kerja.  Dia sudah melakarkan senyuman paling manis buat sahabatnya itu.  Harap-harap ada cerita manis yang boleh dikongsikan bersama.
            “Ton! Tak sabar aku tunggu kau balik!  Ada apa-apa cerita yang menarik, yang ingin kau kongsikan bersama aku?” tanya Roseyatimah dengan muka paling manis.  Terlebih manis daripada madu dari Tualang.
            “Kau ni Rose, langsung tak ada rasa simpati dengan akukan?  Aku ni baru sahaja balik. Penat tau memandu dari Shah Alam ke mari… kot nak sambut aku dengan air sejuk ke?  Sirap ke? Ini tidak, sambut dengan air liur kau tu saja!”  Zaiton melabuhkan tubuhnya yang letih di sofa.  Dia meluruskan kaki, melepaskan kelelahan, kepenatan seharian bekerja.
            “Erk… air liur ya? Tak sempat nak kumpul!” kata Roseyatimah dengan muka selamba.  Dia duduk di sebelah Zaiton. Lengan Zaiton diurut perlahan, dia menyengih.
            Zaiton menggeleng.
            “Pergilah ambilkan air untuk aku! Kalau tak ada yang sejuk dan manis. Air paip pun okey juga,” sindir Zaiton.
            “Air paip pun boleh ke?” soal Roseyatimah  kembali.
            “Kau ada rasa-rasa nak makan orang tak?” 
            “Erk… tak pernah lagilah cuba.  Tapi… aku bukan kanibal! Daging ayam dan lembu aku makanlah!” tempelak Roseyatimah dengan muka serius.
            “Apalah dapat sahabat bengap macam kau ni Rose! Tolonglah ambilkan aku air kosong dalam peti sejuk tu. Haus tau!” jerkah  Zaiton, dia menepuk dahinya sendiri. 
            “Erk… ooo… nak air minum  Cubalah cakap nak air minum!”  Roseyatimah ketawa sendiri.  Susah sangatkah nak minta air untuk diminum.  Ini panjang laluanya sehingga dia sendiri tidak faham.  Roseyatimah kembali ke ruang tamu dengan sebotol air kosong dan mug. Dia meletakkannya di atas meja kopi. Dia duduk semula di sebelah Zaiton.  Tidak sabar hendak mengetahui perkembangan terkini masalah yang sedang dihadapi. Semoga ada jalan keluar yang terbaik buat dirinya.
            Zaiton terus menyambar botol tersebut dan terus menuang ke dalam mug. Diteguk dengan rakusnya. Terasa sejuk di tekak sehingga ke perut.  Alhamdulillah, ucapnya dalam hati. Erk… jangan ingat dia tidak baca Bismillah ya, awal-awal lagi dia sudah membaca dan menyebut nama rahmat itu.
            “Okey, dah minum?  Sudah hilang dahaga?  Kembali kepada cerita kita sejak seminggu yang lalu, bagaimana? Sudah ada jawapan pada setiap persoalan?” kata Roseyatimah bagaikan seorang  pembaca iklan.
            “Bagus!  Terbaik cara kau bertanyakan soalan.  Aku pun teruja nak beri jawapan,”  jawab Zaiton.  Rasa hendak ketuk sahaja sahabatnya itu.  Hari-hari tanya soalan yang sama. Bukan dia tidak simpati, tetapi kenalah belajar bersabar.  Dia mendengus kasar.
            “Kau tak nak bantu aku ke Ton? Kau tak kasihan dengan aku ke?  Tengoklah keadaan aku dah macam mati kucing?  Hari-hari menangis.  Kau tahulah muka aku yang tidak cantik ni, kalau sembab akibat menangis, agak-agak kau jadi macam mana?”
            “Mati kucing? Kalau setakat mati kucing, tak adanya aku nak simpati. Lainlah mati laki!” Zaiton membulatkan matanya memandang wajah muram Roseyatimah yang tidak serik-serik memujuknya agar sanggup memujuk sesiapa sahaja di syarikat itu untuk menerima dia kembali bekerja.
            “Mati laki?  Kahwin pun belum… macam mana nak mati laki!?”  Roseyatimah memukul lengan Zaiton.
            Zaiton ketawa, Roseyatiman turut ketawa.  Akhirnya pecah gelak mereka. 
            “Gelak-gelak juga, macam mana?  Ada apa-apa perkembangan?  Asyik badan aku saja yang kembang sejak duduk rumah ni, kau langsung tak bawa khabar berita dari seberang. Hah! Jangan nak memandai-mandai. Bukan Indonesia atau Thailand ya… tetapi Syarikat Milinium,” tutur Roseyatimah.
            “Yalah… yalah. Aku dah buat temu janji dengan CEO Syarikat Milinium… Insya-ALLAH minggu  hadapan boleh aku bawa kes kau kepadanya,”  jelas Zaiton apa yang telah dia lakukan. Semoga Roseyatimah mampu bersabar.
            “Terima kasihlah Ton.  Kalaulah sahabat aku dunia dan akhirat. Malam ni aku belanja kau makan!”  Roseyatimah tersenyum riang.
            “Baguslah, baik juga hati kau ya Rose.  Sudi kau belanja makan malam aku!”  Zaiton tersenyum gembira.
            “Er… aku belanja dan tolong pesankan. Tapi kaulah bayar!”  kata Roseyatimah serius. Dia berlalu menuju ke biliknya. Sebelum masuk bilik dia menoleh seketika
            “Apalah punya kawan!” Zaiton mencebik.  Kedekut! Rungutnya.
            “Banyak kau punya kedekut.  Aku dalam sesi ikat perut sebab dah tak ada kerja, ada boleh faham!”  Roseyatimah menjegilkan mata dan menghirutkan mulutnya. Daun pintu bilik di buka dan dia terus melangkah masuk.
            “Ingat lawa buat muka macam tu!”  Zaiton buat muka poyo.  Dia mengeluh.  Nampaknya kenalah keluarkan duit sendiri, apalah nasib.

No comments:

Post a Comment