AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 13 March 2015

IKATAN KASIH - BAB 3




            Rabeta yang baharu keluar dari pejabat, berhenti menapak. Matanya menghala ke arah sebuah kereta yang baharu sahaja dipandu masuk ke perkarangan Rumah Ikatan Kasih.  Rumah banglo yang terletak dalam kawasan seluas satu ekar itu telah diubahsuai oleh Jamilah untuk dijadikan tempat perlindungan bagi penghuni yang tinggal di pusat itu.  Sebuah bangunan dua tingkat juga telah dibina bagi menempatkan asrama dan dewan kuliah.  Bangunan pejabat terletak berhadapan dengan bangunan dua tingkat itu.  Mudah untuk memantau penghuni yang ada. Jumlah penghuni juga sentiasa bertambah.
            Dia berjalan mendekati kereta Iswara  hitam yang telah pun diparkir di tempat letak kereta yang telah disediakan.  Dia menunggu pemilik kereta itu keluar dari perut kereta. 
            “Apa mimpi datang hari ini, Inspektor?” sapa Rabeta seusai menjawab salam pemilik kenderaan itu.  Wajah lelaki yang tua beberapa tahun daripadanya itu dipandang sekali imbas.  Bertubuh sasa, selayaknya sebagai seorang anggota polis.
            “Mimpikan awaklah,” usik Faizul, senyuman dilakar buat Rabeta.  Dia mendekati perempuan yang sudah dua tahun dikenalinya.  Mereka berjalan seiringan menuju ke pondok wakaf yang terletak tidak berapa jauh dari bangunan pejabat.
            “Amboi! Mimpi saya jadi hantu ke?”  Rabeta ketawa.  Lelaki itu sering menceriakan suasana.  Walaupun wajahnya tampak serius tetapi pandai berjenaka.
            “Buruk sangat agaknya orang di sebelah saya ni, sampai dalam mimpi pun jadi hantu?”  Faizul ketawa. Rabeta hanya tersenyum.  Mereka duduk di kerusi batu yang tersusun kemas di pondok wakaf yang sering menjadi tempat Rabeta dan penghuni pusat itu berehat dan berbual santai sesama mereka.
            “Inspektor dah jumpa Kak Milah?  Ada apa-apa berita tentang dia?” tanya Rabeta.  Dia mengeluh.  Mengenangkan sahabatnya itu membuatkan hatinya risau.  Dia memandang wajah Inspektor Faizul tidak berkelip.   Dia berharap sangat kehadiran lelaki itu membawa berita gembira.
            “Masih belum ada apa-apa berita lagi, Eta. Orang-orang saya sedang berusaha mendapatkan maklumat tentang Kak Milah.  Kita sama-samalah berdoa, semoga kita dapat bertemu Kak Milah semula.” Faizul bersuara mendatar.
            “Dah setahun, Inspektor. Saya bimbang jika Kak Milah tidak sempat diselamatkan.” Rasa hiba menghentak hatinya.  Bagaimanalah keadaan Jamilah sekarang ini?  Entahkah hidup, entahkan tidak. 
            “Eta jangan bimbang.  Dapat saja berita tentang Kak Milah, saya akan terus beritahu Eta,” janji  Faizul.  Wajah kerisaun  Rabeta mengusik hatinya.  Sayang benar Rabeta kepada Jamilah.  Hubungan mereka bagaikan adik-beradik biarpun bukan sedarah sedaging.   
            “Harapan saya begitulah, Inspektor.”  Rabeta tidak mahu berputus asa.  Dia amat pasti, Jamilah masih berada di Kuala Lumpur.  Kehilangan sahabatnya itu sudah lama dilaporkan kepada pihak polis.  Tidak mungkin Zahir membawa Jamilah keluar dari negara ini.  Sahabatnya itu masih berada di Malaysia.  Dia yakin. Cuma tidak tahu berada di mana.  Rumah lama mereka sudah tidak berpenghuni, malah sudah dijual kepada orang lain.  Oleh sebab itu pencarian mereka semakin sukar.  Tidak mungkin  Jamilah disorokkan di rumah pelacuran yang dikendalikan Zahir dan konco-konconya. 
            “Keadaan di sini bagaimana?  Syarikat Ikatan Kasih bagaimana? Ada masalah tak?”  tanya Faizul ramah.  Sekadar mengambil tahu. 
Setelah mengambil alih pengurusan pusat itu, Rabeta memberanikan diri menubuhkan syarikat pembekal pekerja tempatan pada sektor tertentu yang memerlukan pekerja, seperti buruh kasar, pembantu rumah, pembantu restoran, tukang masak dan pengawal keselamatan.  Jika ada kilang yang memerlukan pekerja pun dia akan berusaha dapatkan.  Malah sebuah  bakeri telah dibuka di bandar berhampiran.  Setakat ini sambutan amat memberangsangkan.  Faizul tersenyum bangga.  Rabeta seorang yang berwawasan dan berpandangan jauh.  Cuma, nasibnya tidak baik kerana pernah dipenjarakan dan bergelar bekas banduan. 
            “Alhamdulillah, berkat kerjasama pihak penjara.  Syarikat tidak pernah kekurangan tenaga kerja.  Mana yang dirasakan sesuai untuk bekerja di sektor yang telah kita pilih, mereka akan diserapkan ke situ.  Setiap bulan seorang penyelia daripada pihak kita akan turun bertemu dengan majikan tempat  mereka bekerja, untuk mendapatkan maklum balas tentang pekerja kita.  Bakeri kita pun dah mendapat sambutan.  Saya bercadang nak buka pusat penjagaan kanak-kanak dengan harga yang berpatutan,” cerita Rabeta dan cadangannya untuk masa hadapan.  Nampak macam mudah, tetapi tidaklah sukar.  Dia hanya perlu bekerja keras. Sering turun padang, membantu apa yang perlu.  Menerjah rumah-rumah pelacuran dan kelab-kelab malam, lorong-lorong sempit, mendekati  mereka yang ingin mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
             Rumah Ikatan Kasih yang sebelum ini hanya menerima mereka yang menjadi pelacur, GRO dan penagih dadah, kini menerima kehadiran bekas banduan yang tidak mempunyai keluarga atau yang dibuang keluarga.  Sebagai bekas banduan dia memahami hati mereka yang pernah dipenjarakan, apabila keluar terus disisih keluarga, dinafikan kehadiran mereka, kononnya memalukan keluarga.  Itu sebablah dia membuka pintu pusat itu kepada bekas banduan pula.
            “Alhamdulillah, saya bangga dengan usaha murni Kak Milah, Eta. Tina dan Kak Ani, juga. Pihak polis akan terus membantu usaha yang baik ini. Kalau tiada orang sanggup mendekati mereka,  orang-orang seperti mereka akan terus terpinggir dan terbiar,” puji dan janji Inspektor Faizul. Rabeta tersenyum sambil menggaru pipi.
“Alhamdulillah, Inspektor. Harapnya kebaikan Kak Milah ini menjadi asbab kekuatan dia sekarang ni.” Rabeta melemparkan pandangan dan benar-benar memaksudkan agar Jamilah terus kuat dan tabah, sekiranya nyawa masih di badan.
“Itu sebab ada yang sanggup kembali menjadi pelacur, penjenayah kerana tidak mampu hidup di tengah-tengah masyarakat.  Mereka akan terus dipandang hina.  Hendak dapat pekerjaan pun susah, jika sudah pernah dipenjarakan.  Sesetengah orang  akan pandang sinis dan jijik kepada golongan seperti ini.” Inspektor Faizul menekan kata.
            “Hanya ini yang dapat kami lakukan untuk agama, bangsa dan negara.  Terima kasih juga kepada pihak polis dan Inspektor yang tidak jemu-jemu membantu kami,” ucap Rabeta.
            “Eta asyik selesaikan masalah orang, masalah sendiri bagaimana? Dah cari anak-anak Eta?” tanya Faizul.  Siang malam Rabeta hanya memikirkan hal orang lain.  Hal sendiri tidak pernah dapat diselesaikan.  Dia mengenali Rabeta waktu menahan wanita itu di rumahnya, atas tuduhan mencederakan suami sendiri dengan niat hendak membunuh.  Dialah pegawai polis yang mengambil kes tersebut.  Sedaya upaya dia cuba membantu Rabeta agar tidak dipenjarakan terlalu lama, tetapi undang-undang tidak memihak kepada Rabeta.  
            Mereka bertemu buat kali kedua di suatu tempat tanpa disengajakan.  Ketika itu dia baru sahaja pulang dari melakukan satu tugasan di kawasan berhampiran. 24 jam tidak tidur. Matanya begitu mengantuk.  Kereta yang dipandu sekejap ke kiri, sekejap ke kanan.  Hampir sahaja dia terbabas.  Namun digagahi juga memandu untuk segera pulang ke rumah dan berehat.  Penat dan mengantuk menguasai diri.  Matanya sudah memerah, silap haribulan boleh jadi zombie.  Tubuhnya juga berasa sengal.  Bergelut dengan dua tiga orang Awang Hitam tak makan saman memang memeritkan.  Sudahlah datang ke negara orang buat kacau, apabila ditangkap masih ada hati hendak melawan.  Jauh sekali untuk menghormati budaya ataupun undang-undang. ‘Menyusahkan orang,’ rungutnya. 
            Dia terus memandu mengikut had laju yang dibenarkan, terasa lambat pula hendak sampai ke rumah.  Muzik sengaja dipasang dengan kuat, buat peneman matanya yang semakin kuyu.  Sekurang-kurangnya alunan irama yang dimainkan mampu menyegarkan pandangannya yanag sesekali kelihatan kabur.  Alahai, bukan ada katarak atau rabun. Tapi mengantuklah!
            “Ya ALLAH!” jeritnya.  Dia terlanggar seseorangkah?  Seorang?  Seingat dia ada dua orang perempuan yang melintas dalam keadaan tergesa-gesa tanpa memandang kiri dan kanan.  Nasib baik brek keretanya masih bernyawa dan kuat.  Kalau tidak, argh! Tidak tergamak dia membayangkan kemungkinannya. Enjin kereta dimatikan.  Dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar, melihat keadaan di hadapan keretanya.  Terlopong mulutnya seketika.  Benarlah, dia telah melanggar seseorang.  Bukan kecuaiannya tetapi kecuaian kedua-dua  perempuan itu yang melintas secara tiba-tiba.  Seorang perempuan sudah rebah di jalan. Yang seorang lagi sedang memangku perempuan yang pengsan itu. 
            “Kenapa ni dik?  Kenapa seberang tak tengok kiri kanan?  Ada yang cedera ke?” soal Faizul panik. Perempuan yang masih sedar itu tidak  menjawab, malahan sibuk menggegar tubuh rakannya yang pengsan itu.
            Lelaki yang bertubuh sasa, berkumis tebal, wajah ala-ala Tom Selleck memerhati  sahaja.   Dia sendiri panik.  Salah diakah atau salah kedua-dua peremuan yang menyeberang tidak tengok kiri-kanan? Alahai!  Mata yang mengantuk pun sudah hilang kantuknya gara-gara terkejut.  Faizul mengurut dadanya sendiri.  Menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Menghilangkan rasa panik yang sedang dirasakan ketika itu.  Tangkap penjenayah pun tidak sepanik itu. Kalau yang dilanggar meninggal, masaklah dia!  Silap haribulan boleh digantung lesen memandunya.
            “Mak cik! Mak Cik Eta, bangunlah.  Jangan buat Tina takut!” laung gadis bernama Tina yang duduk di samping perempuan yang rebah di atas jalan.
            “Kita bawa dia ke hospitallah. Jom, masuk dalam kereta!” arah Faizul.  Dia sendiri berasa bersalah.  Mungkin perempuan yang pengsan itu terkejut atau memang dia terlanggar.  Tidak pula kelihatan luka di mana-mana.  Takut pula jika ada pendarahan dalaman.  Lebih bahaya. 
            “Baiklah pak cik.  Tolonglah saya angkat mak cik saya ni,”  ucap Tina. 
            Tina membantu Faizul mengangkat  perempuan yang dipanggil Mak Cik Eta ke dalam kereta.  Tina segera melangkah masuk ke dalam perut kereta apabila terpandangkan dua orang lelaki yang mengejar mereka tadi. Dia menundukkan kepala menyorokkan diri.  Hatinya berdebar-debar, ketakutan merasuk hati. 
            Faizul terus memandu keretanya keluar dari kawasan itu.  Keadaan di dalam kereta sunyi sepi.  Hanya dengusan nafas masing-masing dan  bunyi enjin kenderaan yang sedang bergerak laju.  ‘Hospital manalah dia hendak hantar perempuan ini?  Hospital kerajaan atau swasta?’ Fikir Faizul dalam hati. 
            Di belakang kereta.  Tina sudah pun melelapkan mata, mungkin terlalu penat berlari tadi dan terkejut hampir dilanggar kereta. 
            Perempuan yang pengsan tadi, mula sedarkan diri.  Dia memicit kepalanya yang terasa berat dan pening.  Dia membuka mata perlahan-lahan.  ‘Aku di mana? Aku di mana?’ Tanyanya dalam hati.  Dia menoleh, kepalanya dipangku oleh Tina.  Gadis itu sedang tidur.  Dahinya berkerut.  ‘Mereka berada di dalam kereta siapa pula ni,’ bisik hati kecilnya.  Dia memandang ke arah pemandu.  ‘Kena tangkapkah mereka? Di mana mereka sekarang ini?’  Hatinya terus berkata-kata.  Dia bingkas, duduk.  Matanya melilau memerhati.
            “Hah!  Air Hitam Johor? Kita dah sampai Johor?  Tina!  Kita kat mana ni? Kita kena tangkap lagi ke?  Mereka nak bawa kita ke Singapura ke? Macam mana ni?” jerit perempuan itu bagaikan orang hilang akal. Terkejut sehingga hilang kewarasan.
            “Mak cik!” jerkah Tina.  Dia sendiri yang sedang tidur, terkejut mendengar jeritan perempuan yang dipanggilnya mak cik, itu.  Dia mengurut dada.  Tangan perempuan itu ditarik.       Faizul yang sedang memandu turut terkejut. Dia memberhentikan kereta.  Dia menoleh ke belakang.  Johor?  Bila pula dia ke Johor? Mereka baru sampai di Sri Kembangan, Air Hitam Selangorlah. Bukan Johor.  Perempuan itu jatuh pengsan, sampai hilang akalkah? Ada gegaran di otak, agaknya, teka Faizul.
            “Ini Air Hitam dekat Sri Kembangan, Selangorlah!” kata Faizul.  Keadaan menjadi kecoh seketika.  Wajah perempuan itu pucat, takut atau memang sakit,dahinya berkerut.
            “Okey, bertenang, bertenang.  Saya baharu saja bercadang nak bawa awak ke hospital, awak dah sedar. Rasanya ada gegaran di otak awak tu.  Kita ke Hospital Serdang, dekat sikit dari sini,” cadang Faizul.
            “Awak siapa?  Kenapa Tina ikut orang yang tidak dikenali?  Entah-entah dia juga orang jahat! Kawan ayah Zahir ke?  Kita ada di mana ni?” Perempuan itu terus mempersoalkan tindakan Tina dengan soalan-soalan yang bertalu-talu.
            “Mak cik Rabeta! Tenang boleh tak?  Mak cik buat saya takut sajalah.” Tina mendengus kasar.  Dia menampar perlahan  muka Rabeta yang masih terpinga-pinga.
            “Saya Faizul, Inspektor Faizul,”  kata Faizul memperkenalkan diri. Dia tidak mahu kedua-dua perempuan itu ketakutan lagi.
            “Polis?!” Rabeta mengerutkan dahi.  Betulkah polis?  Zaman sekarang ini macam-macam orang ada, ada yang sanggup menyamar jadi polis juga.  Dia mula cuak.  Dia memandang wajah   Faizul, sinis.  Masih ada was-was di hati.
            “Saya bukan polis palsu, okey.  Saya betul-betul polis.  Kalau nak pergi ke balai tempat saya bekerja pun boleh. Kalau masih tak percayalah!”  terang Faizul, pandangan sinis Rabeta mengganggu perasaannya.  Ingat dia penipu agaknya.  Tidak boleh salahkan kedua perempuan itu. Melihat keadaan mereka, dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.  Mereka lari daripada siapa dan kenapa?  Pertanyaan itu pula bermain di benaknya.
            “Okey, saya percaya.  Terima kasihlah kerana membantu.  Tak perlu bawa saya ke hospital, saya dah sedar.  Lagipun saya tak cedera, tak luka.” Membelek dirinya sendiri.  Mati-mati dia ingatkan sudah sampai ke Johor.  Rabeta menepuk dahi sendiri.  Wajah Tina yang pucat bagaikan terkejut atau takut ditatap lama. 
            “Macam mana ni mak cik?  Mama macam mana? Kita pula nak ke mana?”  Tina mula menangis. 
            “Jangan menangislah Tina, nanti kita fikirkan bagaimana nak selamatkan mama, ya,”  pujuk Rabeta.  Jantungnya  masih berdegup kuat.  Perasaan takut masih bersisa.  Melarikan diri daripada penjahat, tentulah takut.  Silap haribulan, kalau tertangkap sudah pasti menjadi mangsa kekejaman mereka.
            “Apa yang berlaku ni?”  soal Faizul.  Dia telah memandu semula.
            “Panjang ceritanya, tuan,”  jawab Rabeta. 
            Akhirnya dia mendengar cerita Rabeta sehinggalah bagaimana dia menemui mereka berdua.  Sejak itu dia menghulurkan tangan untuk membantu Tina dan Rabeta.  Selepas itu baharu dia perasan, Rabeta adalah perempuan yang pernah ditangkap satu ketika dahulu.  Dia tidak akan lupakan pertemuan kedua itu. Pertemuan pertama, kalau boleh dia tidak mahu mengingatinya.  Pertemuan kedua, membuatkan dia tersenyum sendiri, tatkala terkenangkan Rabeta menganggap mereka sudah berada di Johor.  Faizul tersenyum lagi.
            “Hai, senyum sorang-sorang pula, Inspektor?”  tegur Rabeta.
            “Ingat kenangan lama.”  Faizul ketawa.
            Rabeta turut tersenyum.  Entah apa yang diingatkan oleh Faizul.  Malas hendak bertanya.  Biarlah lelaki itu melayan perasaannya sendiri.
            “Berbalik pada hal tadi, saya berharap sangat pihak polis dapat cari Kak Milah.  Saya bimbang keadaan dirinya,inspektor.  Entah apa yang berlaku, sudah setahun berlalu, apalah agaknya yang Zahir buat dengan Kak Milah?  Kenapa Zahir masih bebas?  Sudah terang lagi bersuluh, lelaki itu jadi bapa ayam dan pengedar dadah, kenapa masih tak tangkap?”  Bukan dia mempertikaikan kerja pasukan polis, tetapi dia risaukan Jamilah.  Dia tidak mahu Zahir terus mempergunakan Jamilah untuk kepentingan dirinya sendiri.
            “Eta, jangan bimbang.  Kami sedang berusaha mengumpul bukti untuk menentang Zahir.”  Faizul faham perasaan Rabeta.   Jepas terpancar kerisauan di wajah yang polos dan redup itu, yang sejak akhir-akhir ini pula sering bermain di ruang matanya. 
            “Terima kasih Inspektor, terima kasih juga kerana sering menyokong kami,” tutur Rabeta.  Matanya memandang  dengan penuh harapan.  Semoga semuanya dipermudahkan.
            Faizul mengangguk perlahan.  Senyuman terukir manis di bibir.  Dia sendiri ingin menghapuskan penjenayah seperti Zahir yang merosakkan nama baik negara, merosakkan anak bangsa sendiri.  Benci dia dengan manusia seperti Zahir yang hanya tahu mencari keuntungan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment