AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 26 March 2015

IKATAN KASIH - BAB 4




            Sebaik Faizul pulang, Rabeta melawat kelas-kelas yang diadakan untuk bekas-bekas banduan di Rumah Ikatan Kasih.  Kelas bimbingan al-Quran dan Fardhu Ain turut diadakan untuk mereka menambah ilmu akhirat.  Kelas memasak dan jahitan juga dibuka kepada yang berminat untuk menambah pendapatan.  Kelas pengurusan rumah tangga juga ada untuk mereka yang ingin bekerja di sektor pembantu rumah. Syarikat Ikatan Kasih menyediakan perkhidmatan  untuk syarikat atau individu yang memerlukan tukang cuci pejabat atau pembantu rumah di hujung minggu atau sepenuh masa. Setiap pekerja diberi latihan sepenuhnya. 
            Mereka juga diberi motivasi diri untuk menjadi pekerja yang jujur dan ikhlas.  Hanya mereka yang layak sahaja akan diberi peluang. Mereka juga dilatih untuk menjadi pekerja terbaik.  Hanya dengan cara ini sahajalah usaha mereka untuk mengurangkan pergantungan kerajaaan pada buruh asing.  Biarpun bantuan ini tidak sebanyak mana, sekurang-kurangnya mampu mengurangkan kehadiran mereka.  Cara ini juga dapat membina keyakinan tinggi dalam hati bekas-bekas banduan itu.  Setakat ini tiada majikan yang mengadu atau tidak berpuas hati.  Kalau ada pun hanya perkara kecil yang boleh diatasi.
            “Inspektor Faizul dah jumpa mama, mak cik?” tanya Tina.  Dia tidak dapat bertemu dengan lelaki itu tadi kerana melunaskan tanggungjawab hariannya di rumah itu.
            “Belum lagi, Tina.  Itulah yang buat mak cik risau.  Setahun sudah berlalu, bayang mama Tina masih tidak kelihatan.  Ayah Tina dah pindah rumah.  Pihak polis dah jumpa rumah baharu ayah Tina.  Cuma mereka nak pastikan mama ada di situ atau tidak.  Kita sama-samalah berdoa, ya,”  jelas Rabeta.  Dia tahu, Tina bimbang.  Dia juga risau.  Siang malam dia berdoa agar sahabatnya itu ditemui.  Semoga Jamilah berada dalam keadaan selamat dan sihat hendaknya.
            “Okeylah, cerialah.  Bagaimana dengan kelas-kelas yang kita adakan? Semuanya berjalan lancar ke?”  Terus menukar topik bicara.  Tidak mahu Tina terus berasa sedih mengenangkan mamanya.  Dia tidak mahu Tina terbeban dengan masalah itu.
            “Alhamdulillah mak cik… terima kasih ya.  Tanpa mak cik, Rumah Ikatan Kasih ini pasti terkubur.”  Tina menunduk.   Dadanya sebak mengenangkan mamanya.  Kerana dirinya, namanya terkurung bersama papanya yang tidak berperikemanusiaan itu. Dia langsung tidak punya kasih kepada papanya yang hanya tahu memberi benih pada mamanya sehingga melahirkannya.  Langsung tidak wujud rasa kasih dan sayang antara dia dan papanya. Papa apakah itu jika hendak menjual anak sendiri pada rumah pelacuran di Thailand? 
Sakit hatinya memikirkan hal tersebut.  Hilang rasa hormatnya terhadap lelaki yang berani mengaku menjadi papa kandungnya.  Tina mengetap bibir, rasa marah merasuk hati.  Apabila memikirkannya boleh buat dia gila.  Tidak pernah menyangka dia mempunyai papa kandung seburuk itu tingkah lakunya.
            “Tina, Tina!” panggil Rabeta.  Terlalu jauh anak gadis itu mengelamun.  Tentu banyak perkara yang bermain di benak gadis itu.
            “Maafkan saya mak cik.” Air matanya mengalir laju.  Rasa sayu yang menyinggah mengamit rasa sendu menebal di hati.  Terasa hidup bagaikan tiada erti.  Tidak ada tempat bergantung dan mengadu, kalaulah tiada Rabeta, entah bagaimana hidupnya kini.
            “Jangan terlalu berduka dan menangisi nasib diri, Tina.  Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.  Kita berdoalah, agar mama sentiasa dilindungi  ALLAH SWT.  Semoga mama diberi kekuatan menempuh apa jua dugaan dan cubaan,” nasihat Rabeta.  Tina bagaikan anaknya sendiri.  Sementara anak kandungnya entah berada di mana.  Sejak keluar penjara hanya sekali sahaja dia bertemu anak bongsunya.  Selepas itu mereka seperti menjadi sejarah masa lampaunya yang hanya layak dikenang.  Ya, dia pernah dipenjarakan di atas perkara yang bukan dia lakukan.  Masih diingati ketika dia dibebaskan setelah 15 tahunn menjadi penghunu penjara wanita itu.


Nun jauh di sebuah penjara wanita…
            Hari ini tiupan angin terasa indah daripada biasa, bagi dirinya.  Kedinginannya menyapa pipi.  Kicauan burung terasa indah di telinga.  Lagu kebebasan terngiang-ngiang.  Matahari yang memancarkan sinarnya terasa indah di pandangan mata.  Senyuman  yang terukir lebih bermakna daripada biasa.  Ucapan tahniah daripada kawan-kawan membuatkan senyumannya terus melebar.  Sekejap lagi baju hijau florescent yang dipakai akan dibuka.  Hari ini adalah hari terakhir dia melakukan tugasnya sebagai banduan di penjara wanita itu.  Penjara wanita yang dihuninya sejak 15 tahun dahulu.  Terbayang di mata, wajah-wajah tersayang.  Mungkin mereka juga sepertinya, teruja dan tidak sabar untuk bertemu mereka.
            Terselit juga rasa sayu dalam hati kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan di dalam penjara itu. Biarpun mereka penjenayah, namun mereka masih boleh membina ukhwah sesama mereka.  Ada sebahagiannya bagaikan adik-beradik, kepada merekalah tempat meluahkan apa yang dirasa.  Bukannya indah atau enak duduk di penjara.  Kalau bercerita, tiada siapa yang akan faham.  Sukar, susah, sendirian, semuanya bermain di hati.  Kalau boleh janganlah tempah tempat di situ.  Maruah dan harga diri menjadi taruhan.  Air matanya mengalir di pipi.
            “Eta, kalau dah keluar nanti, kau jangan pula lupakan aku ya.  Lagi beberapa bulan aku pula dibebaskan.  Kau tunggu aku ya,” kata Ani, salah seorang teman yang amat rapat dengannya.  Ani ditangkap kerana melacurkan diri dan mengedar dadah. Nasibnya baik kerana jumlah dadah yang ditemui tidak sampai membuatkan dia ke tali gantung.  Tetapi sudah  12 tahun dia ditahan di penjara itu.
            “Mana boleh aku lupakan kau, Ani?  Kaulah sahabat aku di sini, luah Rabeta.  Dia memeluk bahu Ani erat.  Ani yang sebaya dengannya itu tersenyum dan mengangguk.  Air mata tetap mengalir laju, Ani kelihatan menyeka dengan hujung jarinya.
            “Sesekali kau datanglah ziarah aku, ya?” pesan Ani.  Wajahnya masih muram. 
            “Insya-ALLAH, Ani.  Ada ruang dan peluang, pasti aku ziarah kau,” janji Rabeta.
            Panggilan daripada pihak pengurusan penjara mempercepatkan langkahnya. Tidak sabar hendak keluar dari situ.  Tidak sabar hendak lepas bebas.  Tidak sabar hendak bertemu anak-anak dan suami.  Suami?  Masihkah dia ada suami?  Sejak dimasukkan ke situ, belum pernah sekalipun suaminya datang menjengah.  Begitu juga dengan anak-anak.  Rabeta mengeluh sendiri.  Dia menarik nafas panjang, pergi jauh-jauh duka di hati.  Biarlah kegembiraan yang menanti, bisik hati kecilnya sendiri.         
            Usai mengemas barang-barang milik pihak penjara atau lebih senang kata milik kerajaan, dia terus ke bilik Ketua Pengarah Penjara, Timbalan Komisioner Rahimah yang sudah siap sedia  menunggu kehadirannya.  Sempat dia berpamitan dengan rakan-rakan penghuni yang lain.  Air matanya mengalir juga. Bukan sahaja gembira malah sedih terpaksa berpisah dengan pelbagai manusia yang mempunyai berbagai-bagai ragam dan perangai di dalam penjara  itu.  Semoga mereka juga insaf dan tidak lagi mengulangi apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.  Sejak tinggal di situ, dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.   
            Rabeta dibawa masuk ke bilik Ketua Pengarah Penjara Wanita itu dengan diapit oleh dua orang pegawai penjara.  Mereka turut mengucapkan tahniah atas pembebasannya.  Kebebasan yang besar ertinya bagi banduan sepertinya.
            “Rabeta, akhirnya awak dibebaskan.  Oleh kerana awak bersikap baik selama ditahan di sini, awak dibebaskan awal 14 hari dari tarikh sebenar,”  kata Ketua Pengarah Penjara, Timbalan Komisioner Rahimah yang tersenyum manis.  Wajah Rabeta yang kelihatan gembira ditatap seketika.  Sewaktu dia mula bertugas di situ, wanita itu sudah pun berada  di penjara itu.  Seorang wanita yang ramah dan mesra dengan semua orang.  Ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongannya.  Semoga kebebasan ini memberi kebahagian dalam hidup Rabeta, itulah doanya setiap kali ada  banduan yang dibebaskan.  Dia juga berdoa agar mereka tidak kembali ke situ semula. 
            “Alhamdulillah.”  Hanya perkataan itu yang keluar daripada mulut Rabeta.  Dia terlalu gembira sehingga tidak mampu berkata apa-apa.  Sudah lama dia menantikan saat ini.  Saat kembali bersama keluarga tercinta.  Air matanya gugur juga, jelas terbayangkan wajah-wajah insan tersayang.  Masih adakah rasa sayang mereka terhadapnya?
            “Rabeta, kuatkan diri dan hati.  Bukan mudah banduan seperti awak memulakan hidup baharu di luar sana.  Sudah banyak banduan yang saya tengok, sanggup kembali ke mari, kerana tidak tahan hidup di luar sana.  Saya harap, awak kuat dan bersabar, ya,” pesan pegawai penjara itu.
            “Insya-ALLAH puan, pesanan puan saya akan ingat,” jawab Rabeta.  Air mata yang mengalir diseka dengan hujung jari. 
            Timbalan Komisioner Rahimah menunduk terharu.  Itulah yang dia rasakan ketika melihat para banduan dibebaskan setelah menamatkan hukuman yang mereka jalani.  Hiba, gembira dan suka bercampur baur di hati.  Ada yang berubah setelah dihukum bertahun-tahun, tidak kurang juga yang kembali menjadi penghuni penjara, bagaikan rumah mereka sahaja.  Bila ditanya, jawapan mereka, tidak sanggup hidup di luar.  Lebih sukar daripada hidup di dalam penjara.
            Segala barang peribadi miliknya diserahkan kembali.  Cincin perkahwinan, gelang tangan pemberian suaminya masih elok dalam simpanan pihak penjara.  Begitu juga dengan rantai lehernya.  Barang kemas yang tidak sempat dititipkan kepada keluarganya sewaktu dia dipenjarakan.  Dia memandang barangan tersebut dengan mata yang berkaca.  Barang kemas itu banyak meninggalkan nostalgia dalam hidupnya. Dia tersenyum bahagia kerana barang-barang itu masih ada.
.           “Rabeta, jangan  kembali ke sini lagi,” nasihat terakhir Timbalan Komosioner Rahimah sebelum Rabeta melangkah keluar dari ruang pejabatnya.
            Rabeta melangkah dengan hati yang berbelah bahagi.  Dengan penuh debaran di hati.  Seram sejuk dirasakan.  Bagaikan ada rama-rama yang sedang terbang di dalam perutnya.  Perasaan yang sama, sewaktu kali pertama melangkahkan kaki di penjara itu.  Kali ini lebih hebat lagi, dia akan berhadapan semula dengan keluarganya setelah 15 tahun meninggalkan mereka. Mahukah mereka menerima kembali dirinya yang sudah pun bergelar bekas penjenayah dan banduan?  Rabeta mengeluh kesal.  Tidak pernah termimpi akan menjadi penghuni penjara, tidak pernah terfikir akan jadi banduan dan penjenayah.  Langkahnya ditemani oleh dua orang pegawai wanita  sehingga ke muka pintu penjara.
            Pintu besi dan berjeriji yang berkunci kukuh itu menjadi singgahan matanya.  Bunyi ketukan sel penjara dengan gayung dan koleh bagai meraikan kebebasannya.  Beberapa banduan yang berbaju seragam putih yang bertembung dengannya turut mengucap tahniah kepadanya.
            Bagai orang yang baharu lepas menerima anugerah pula.  Memang satu anugerah.  Anugerah kebebasan yang selama ini dinanti-nantikan.  Dia berharap ada keluarganya yang menanti, menyambut kepulangannya.  Menurut pihak penjara, ahli keluarganya sudah pun diberitahu tentang pembebasannya pada hari ini.  Tidak sabar rasanya hendak menatap wajah-wajah mereka.  Walaupun selama dia ditahan tiada siapa yang datang menziarahinya, hanya sesekali emaknya sudi datang menziarahinya. Semoga kebebasannya membawa seribu erti buat keluarganya dan menerimanya kembali.  Pintu kecil sisi yang boleh memuatkan dua orang dibuka.  Bunyi deruman kenderaan menyapa telinga. Senyuman terukir di bibir.  Panahan matahari bagaikan riang menyambut pembebasannya. Dalam hati, dia tidak berhenti-henti mengucapkan syukur.  Matanya liar memerhati dan mencari. Dahinya berkerut, tiada siapa yang menunggu?  Jiwanya walang, rasa sedih pula yang hadir.  Apakah mereka terlupa atau terlambat sampai?  Pelbagai persoalan bermain dibenaknya.
            “Tiada siapa menunggu awak ke, Rabeta?” tanya salah seorang pegawai wanita yang menemaninya sehingga ke luar.  Mereka turut mencari sepertinya.
            “Entahlah, puan,”  keluh Rabeta, kecewa mengusik hati.  Adakah mereka terlupa? Mahu sahaja air matanya gugur lagi.
            “Mungkin mereka terlewat agaknya.  Tak apalah puan.  Saya akan tunggu mereka di depan sana,” kata Rabeta hendak menutup resah hati sendiri.    Cuba menyembunyikan rasa kecewa yang mula membenih di hati.
            “Baiklah, jaga diri awak. Semoga berjaya ya,” kata seorang lagi.
            “Terima kasih.”  Rabeta mengukir senyuman. Usai bersalaman dengan kedua pegawai perempuan itu, mereka masuk kembali ke dalam penjara.  Dan dia pula meneruskan perjalanannya.  Langkah diatur menuju ke hentian bas yang terletak tidak jauh dari situ.  Matanya masih mencari kelibat sesiapa sahaja di kalangan ahli keluarganya.  Dia mengeluh kesal.  Nampaknya  tiada siapa yang datang menjemputnya.  Sebak dadanya.  Terasa berat tubir matanya. 
Dia menyandar di tiang hentian bas, kenderaan bertali arus, mengganggu jiwanya. Matanya masih mencari dan hatinya masih berharap.  Kehampaan menunjal perasaannya.  Dia masih menunggu berharap.   Sejam berlalu begitu sahaja. Terik matahari terasa pedih panahannya. Mungkin mereka terlupa, itulah anggapannya. 
Dia hendak ke mana?  Pulang ke rumah keluarganya atau kembali semula ke rumah suaminya? Mereka masih tinggal di tempat yang sama atau sudah berpindah?  Hatinya berbelah bahagi.  Tidak tahu apa yang harus dilakukan.  Dia mengeluh.  Akhirnya keputusan diambil, dia tidak mungkin terus menunggu di situ.  Akhirnya dia menahan bas yang datang.   Hentian terakhir bas itu berhenti merupakan tempat yang akan ditujunya nanti.  Di dalam bas dia melayan perasaan sendiri.  Nasib baik ada wang di tangan.  Duit yang diterima ketika di dalam penjara sebagai upah untuk kerja-kerjanya.  Banyak perkara yang dipelajari dalam penjara.  Dia juga belajar menjahit dan memasak.  Duit upah yang diterima tidaklah sebanyak mana tetapi cukuplah untuk dia menggunakan sebagai tambang pulang ke rumah keluarganya.
            Pudu Sentral?  Rabeta menarik nafas panjang.  Terpaksalah dia turun di situ. Dia tercangak-cangak mencari bas yang menuju ke kampung halamannya  di Sg. Buluh.  Kotaraya Kuala Lumpur sudah banyak berubah.  Mata Rabeta terlalu asyik memandang.  Kenderaan lalu-lalang, bersimpang siur, kesibukan warga kota melangkah laju bagaikan mengejar sesuatu. Bunyi hon kenderaan membingitkan telinga.  Bau masakan dari restoran berhampiran membuatkan hidungnya kembang-kempis. 
Rabeta melangkah masuk ke terminal Pudu Sentral. Dia mencari bas yang akan membawanya pulang ke kampung halamannya.  Dia tidak pernah naik bas sejak dia berumah tangga. Kini sudah 15 tahun berlalu.  Pengalaman pertama setelah keluar dari penjara.  Terpaksalah dia menempuhnya.  Jika orang asing boleh hidup dan tidak sesat di negara ini, takkanlah dia, warganegara Malaysia, bertutur Bahasa Malaysia, berbangsa Melayu boleh sesat. Dia tersenyum sendiri, jangan salah sangka, ada juga yang sesat walaupun lahir di negara ini.  Perubahan pesat membuatkan banyak perkara berubah.  Paling ketara adalah jalan raya.
            Sejam menunggu, akhirnya bas yang dinantikan tiba.  Sepanjang perjalanan, matanya asyik memerhati.  Sudah seperti rusa masuk kampung.  Segalanya berubah wajah. Bangunan pencakar langit, tol.  Bas pula penuh dengan pelbagai bangsa.  Bukan bangsanya sahaja, ada Indonesia, Nepal dan Bangladesh.  Harmoninya negara ini.   Rabeta tidak menghiraukan mata mereka yang memandangnya.  Mungkin mereka pelik melihat keadaan dirinya yang tertoleh kiri dan kanan.  Seperti orang terlepas kandang sahaja lagak lakunya.  Dia turun di hentian berhampiran Kem Paya Jaras.  Macam mana dia hendak masuk ke dalam kawasan kampungnya?  Tiada kenderaan yang akan lalu ke situ, melainkan teksi.  Kalau hendak berjalan mahu berjam-jam baharu sampai.  Dia mengeluh.  Menapaklah perlahan-lahan. Kalau ada teksi tahan sahajalah.  Dalam hati, sebak dan pilu terus menyerang.

No comments:

Post a Comment